Untuk part I, boleh baca di sini, (https://iiumc.com/nina/).
Sambil makan cempedak goreng tepi tasik ni, abang ada mood nak kongsi cerita lagi. Tapi, kali ini abang nak kongsi perkara yang terjadi dalam hidup abang selepas tahun 1999 – 2004 sahaja. Ya, abang nak sambung cerita pasal kisah hidup abang dan Nina, isteri abang yang montel tu semasa abang belum berkahwin dengan dia.
-1999
Dua tiga hari lepas kenduri kakak abang no 2 tu, Abang pegang je tisu yang Nina bagi. Lama abang tenung tisu warna pink yang comot dengan kesan celak mekah. Abang tengok nombor telefon Nina bagi tu. Ni nombor 5 ke nombor 8? Ni nombor 1 ke nombor 7? Hairan dan geram dengan tulisan cakar ayam Nina sebab abang tak boleh baca angka apa yang Nina bagi. Abang pun dengan berdebarnya tanya bapak abang nama penuh bapak Nina. Nasib baik bapak abang tak banyak tanya, dia terus bagi nama penuh siap dengan bin sekali. Abang termangu sekejap kemudian dia terus turun ke dapur. Tak sempat nak tanya nombor telefon bapak Nina kat bapak.
Abang pun terus berlari pergi ke ruang tamu dan selak bawah alas meja kopi. Abang jumpa buku panduan yang ada senarai nombor telefon rakyat Malaysia. Macam nak buta mata abang cari nama bapak Nina. Lepas terjuling juling mata abang, akhirnya jumpa juga nama bapak Nina beserta alamat dan nombor telefon rumah Nina. Abang tulis nombor telefon tu elok elok dalam buku 555. Sepantas kilat abang berlari ke depan balai raya kampung abang.
Abang tengok ada sorang kakak ni tengah bergayut dekat public phone. Abang beratur belakang dia dan masa sampai turn abang, dia beratur belakang abang balik. Menggigil jari abang masa tekan nombor telefon rumah Nina. Lepas tekan separuh, abang letak balik gagang. Kemudian abang angkat balik gagang, masukkan syiling, tekan nombor separuh dan letak balik gagang. Abang ulang benda tu sampai kakak kat belakang abang tolak abang, rampas buku 555 abang dan tekan nombor Nina sampai habis. Akhirnya, bertelefon juga abang dengan Nina. Tapi disebabkan abang jadi gagap bila dengar suara bapak Nina, itulah kali terakhir abang telefon Nina pada tahun 1999. Lepas tu, abang hanya berutus surat dengan Nina sebab abang malu sangat nak bercakap. Hehe sorry Nina, abang tak pandai mengurat..
-2000
Tahun ni abang masih berkawan dengan Nina. Berutus surat kalau Nina berada di universiti dan berkirim salam melalui bapak abang sekiranya Nina di rumah. Ada satu ketika, Nina dah cuti semester dan abang pula dah habis belajar, hanya menunggu hari graduasi. Nina ada ajak abang makan KFC dekat pekan, dekat je dengan rumah Nina. Abang berdebar debar masa bersiap sampai berminyak rambut dan dahi abang sebab abang sapu pomade Tancho dekat rambut banyak sangat. Abang pergi naik bas lompat untuk ke KFC.
Sampai sana, abang belanja Nina ayam KFC satu bucket. Masa abang makan, Nina tengok je kulit ayam abang yang abang letak tepi pinggan. Abang memang tak makan kulit ayam. Nina tengok je sambil gigit gigit bibir. Abang pun hairan sebab abang tak pandai baca fikiran Nina. Dengan tiba tiba, tangan montel Nina mencuri kulit ayam abang dan Nina terus masukkan dalam mulut sambil tersenyum senyum. Abang terkejut dan tergelak sendiri. Kruk kruk kruk bunyi kulit ayam kena gigit. Comel sungguh, macam kanak kanak.. Nampaknya bermodalkan kulit ayam je, dah mampu buat Nina tersenyum sehingga merah pipi Nina yang putih. Boleh gila bayang abang macam ni..
-2001
Abang buat kerja part time dari pertengahan tahun 2000 hingga penghujung 2001 sambil tunggu tawaran sambung Master. Abang ambil upah baiki alat elektronik dan buat kerja wiring. Malam pula, abang buat tuisyen dekat balai raya, ajar Maths dan Fizik untuk budak budak SPM. Semua ni abang buat berbekalkan dengan niat untuk mengahwini Nina satu hari nanti. Nina selalu tanya dalam surat, abang tak kisah ke nak berkahwin dengan orang gemuk? Abang selalu jawab, tak kisah. Abang sebenarnya tak kisah langsung pasal berat badan Nina. Selagi Nina sihat, abang okay je. Sepatutnya abang yang kena tanya Nina, Nina okay ke tak nak berkahwin dengan lelaki yang tak hensem, pemalu dan tak banyak cakap macam abang ni.
Bila abang dapat tawaran Master on full scholarship tu, mak bapak abang gembira sangat sampai buat kenduri. Nina tak dapat hadir ke kenduri sebab Nina dekat universiti waktu tu. Bapak Nina yang banyak tolong abang. Dia yang uruskan visa abang ke US dan dia tolong tukarkan duit sebab bapak Nina orang terpelajar dan selalu pergi luar negara. Banyak betul jasa bapak Nina dekat abang. Bapak Nina dah siap canang dekat orang kampung abang yang abang ni bakal menantu dia hihi. Jadi abang kena berusaha lebih untuk menjadi pelajar cemerlang masa buat Master nanti. Lagipun orang kampung banyak bagi duit poket untuk abang. Abang akan buat yang terbaik untuk membanggakan mereka semua.
-2002 – 2003
Dua tahun abang berada di bumi Amerika ni, abang banyak tempuh dugaan. Masalah racism paling buat abang jadi down lagi lagi selepas peristiwa 11 september 2001, masa permulaan semester dalam dua or tiga minggu lepas abang sampai US. Abang digelar terrorist oleh professor abang sendiri di kelas dan banyak lagi. Nasib baik ada yahoo messenger, dapatlah abang berinteraksi dengan Nina di Malaysia. Nina yang bagi semangat dekat abang, Nina jugaklah yang selalu bagi mesej berangkai dekat abang, ucap good morning dekat abang walaupun time tu abang baru nak lelapkan mata sebab dah pukul 11 malam di US. Nina yang comel dan manja..
Nina cerita kat abang pasal kehidupan seharian Nina, pasal kucing Nina makan burung la, pasal Nina tolong mak abang buat lepat pisang la dan yang paling terharu, Nina bawa mak dan bapak abang ke cyber cafe dekat pekan untuk mereka tengok apa abang chatting dengan Nina. Nina chatting depan mereka dan Nina cakap mak abang baca chat abang guna spek mata rabun dekat sambil menangis sebab terlampau rindukan abang. Nina jadi moderator dan sampaikan apa yang mak abang cakap kepada abang. Rumah abang kat kampung memang takde internet dan takde komputer, jadi usaha Nina bawak mak bapak abang ke cc sangat abang hargai. Terima kasih Nina..
-2004
Abang dah balik Malaysia dan abang dah dapat kerja di KL. Nina pun dah habis buat degree, Nina juga dapat kerja dekat KL. Nina tinggal dengan keluarga makcik Nina di Bandar Tun Hussein Onn, abang pula tinggal dengan housemates di Ampang. Setiap minggu, Nina dating dengan abang sambil bawa sepupu Nina yang berumur 7-8 tahun tu. Perempuan juga, badan macam Nina dan suka makan ayam macam Nina. Setiap kali keluar, mesti makan dekat kedai nasi ayam. Nina akan ambil kulit ayam abang, sepupu Nina akan ambil isi ayam abang. Sudahnya abang makan nasi dengan sup je. Hehehe cute pulak bila teringat balik.
Ada satu hari, Nina ajak berkelah dekat pantai Morib. Nina cakap, kita pergi asing asing, jumpa terus kat pantai pukul 4. Abang iyakan je dan Nina minta abang bawa air sekali sebab Nina akan bawa makanan yang Nina masak. Abang pun bawa la dalam 2 botol air sarsi dan sebotol air basuh tangan lengkap dengan sabun. Abang ada bawa juga ayam KFC satu bucket untuk Nina dan abang. Sampai kat sana, terkejut abang bila nampak makcik Nina, pakcik Nina, sepupu, mak abah Nina dan mak abah abang dekat sana sekali. Rasa nak patah balik je sebab malu bila mereka semua bersorak time abang datang. Rupanya ini family gathering dan mereka nak tetapkan tarikh pertunangan. Nina tersengih sengih dari kejauhan sambil jerit ‘KFC tu Nina dah cop, orang lain tak boleh makan’. Hai la Nina.. Suka betul surprise surprise ni ye. Sudahnya bapak abang suruh abang pergi beli air lagi sebab tak cukup 2 botol kemudian kena beli KFC lagi sebab sepupu Nina semua tengah kejar abang macam zombie untuk rampas bucket ayam. Hehehehe.
-18.10.2018
Abang melawat kubur Nina pada hari jadi Nina, 8 Oktober lepas. Mak bapak pun ikut sekali walaupun mereka dah tua. Walaupun kudrat mak bapak abang tak seberapa, mereka tetap gigih pergi ke kubur Nina setiap tahun, tanpa gagal. Nina yang disayangi mentua, Nina yang baik hati, Nina yang prihatin. Kalau disisi manusia pun Nina semulia ini, abang doakan Nina juga dimuliakan oleh Allah di sana. Abang rindu sangat, nak dengar suara Nina yang manja, nak chatting dengan Nina sambil senyum sendiri, nak berutus surat dengan Nina, nak baca tulisan Nina yang susah abang nak teka huruf apa Nina tulis..
Memang betul, orang cakap tak guna tangisi orang dah pergi. Apakan daya abang, abang hanyalah seorang lelaki yang merindui isterinya. Abang rasa lost bila Nina tak ada, abang rasa gelap. Abang tak pernah putus doakan kesejahteraan Nina. Biarpun keadaan jasad kita berbeza, cinta kita tetap sama. Nina, abang cintakan Nina sepenuh hati. Tak sabar jumpa Nina nanti, inshaaAllah abang akan usaha supaya kita berjumpa di syurga.
Di mana kan ku cari ganti,
Mungkinkah di syurga,
Untuk kawan berduka,
Menangis bersama, selama-lama..
– Abang Kamal
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit