Hidup Ini Semuanya Atas Pilihan Kita

Assalammualaikum semua. Aku Muslimah dan izinkan aku menggelar kalian yang sudi membaca entry ini sebagai Sahabat. Aku berasal dari negeri cencalok. Aku lepasan Degree in Management (hospitality). Merujuk entry confessor “dugaan jobless” (https://iiumc.com/dugaan-jobless) kisah dari segi kerjaya dan keluarga hampir sama. Kisahku, aku dah berkerja dengan sebuah syarikat terkemuka Malaysia selama hampir 8 tahun dan aku bertahan selama itu dengan status kontrak.

Dipendekkan cerita, syarikat tersebut telah membuang pekerja yang bukan permenant pada ogos lalu untuk mengecilkan kos (ramp down) termasuklah aku. Ianya merupakan satu perasaan yang amat sukar tapi lama kelamaan aku ikhlas dan redha. Pasti ada hikmah yang Allah berikan.

Pada aku, dikala umurku 28 tahun (2018) mengikut perancanganku, aku sudah mendapat kerjaya yang stabil tapi sebaliknya yang berlaku. Benarlah, kita merancang Allah juga merancang, tapi perancangan Allah lebih baik. Setelah beberapa bulan, kini akulah pengganggur terhormat. Dah banyak interview aku pergi mungkin belum ada rezeki kerja lagi di negeri sendiri.

Hajat di hati memang nak timba pengalaman kerja di luar negeri seperti KL, Selangor atau Putrajaya sbb katanya banyak peluang. Tapi terbatas kerana 2 faktor iaitu pertama, parents. Ya ibu ayah tidak mengizinkan aku berkerja luar negeri. Sejak kecil apa jua urusanku, aku mendahulukan dan meraikan pendapat dan restu mereka.

Sebelum sahabat kecam aku mari baca faktor kedua iaitu diri aku sendiri yang berbelah bahagi nak tinggalkan parents sbb mereka sudah tua. Usia linkungan 60-an. Kadang-kadang sakit. Harus ada yang tengokan mereka. Aku je anak yang ada boleh tolong tengokkan mereka dan bawa kemana mereka mahu. Aku ada 5 orang adik-beradik, semua sudah berkahwin dan mereka tinggal di rantauan, aku merupakan anak bongsu, adik beradik lain jarang pulang jenguk ibu di kg lantaran ada kenkangan tugas.

Jadi aku tersepit. Ikut hati memang nak keluar dari area tempat tinggal, keluar dari comfort zone, dan bina kerjaya yang lebih baik tapi aku tak sampai hati nak tinggalkan harta dunia akhirat aku. (aku menaip ni sambil tangan mengelap air mata yang gugur dan mataku sedang melihat dengan sayu wajah tenang ibu yang sedang tidur di depanku ini)

Pernah dulu sebelum aku berkerja, aku telah mendapat tawaran sambung belajar ke peringkat ijazah di Universiti Malaya, aku sangat gembira dan terkejut kerana aku terpilih belajar di top 10 ranking university terbaik Malaysia, tapi aturan Allah, a day before daftar pengajian aku tiba-tiba decide untuk tidak pergi kerana aku tidak sampai hati berjauhan dengan ibu ayah. Berat sungguh rasa hati saat itu. Aku yakin dengan rezeki Allah.

Selang beberapa hari, aku menerima panggilan dari pensyarah sewaktu diploma dulu mengatakan aku mendapat tajaan belajar kemahiran berkaitan computer secara percuma dan aku juga menerima panggilan tawaran kerja. Alhmdulillah, 8 tahun Allah izin aku berkhidmat di syarikat tersebut. Selama 8 tahun berkerja, aku menerima banyak anugerah, reward, dan menjadi best staff tiga tahun berturut-turut. Melalui peluang ini, aku berjaya kumpul duit dan tanggung pengajianku di peringat ijazah secara pjj dan tanpa sebarang loan.

Sahabat, meskipun terhimpit dengan bebanan hidup masih ramai yang lupa, alpa bahawa rezeki itu datangnya dari ALLAH. Sesukar mana pun kehidupan, DIA berkuasa mengubah segalanya hanya dalam sekelip mata. Sahabat, sangat luasnya pintu rezeki ALLAH, dan betapa mudah sebenarnya untuk memperoleh rezeki dengan keizinanNYA. Ramai yang tidak tahu tentang empat rahsia pintu rezeki oleh ALLAH, antaranya adalah orang tua kita. Orang tua kita adalah pintu rezeki utama dan paling mudah bagi kita untuk memperoleh kesenangan hidup.

Dear confessor “dugaan jobless” dan untukmu yang memilih tinggal bersama ibu ayah daripada merantau, janganlah kita derhaka pada ibu bapa kita. Keberkatan hidup ita terletak pada restu ayah ibu selagi ianya tidak bertentang dengan syarak. Merekalah yang dahulunya bersusah payah membesarkan kita. Sampai masa, kita perlu balas semula jasa mereka. InshaALLAH, ALLAH akan balas semula kebaikan kita pada mereka. Kita perlu berbalik kepada konsep asal kejadian kita. Kita datang dari ibu dan ayah dan pemberian (rezeki) paling besar dari ALLAH untuk kita adalah kelahiran kita ke dunia.

InsyaAllah, Allah tau kemampuan kita sekiranya kita berbuat baik kepada ibu bapa, ALLAH akan melipatgandakan rezeki yang diperoleh dalam kehidupan kita. Saluran paling luas bagi kita untuk memperoleh rezeki adalah dengan memperoleh keredaan ALLAH, dan keredaan ALLAH bergantung kepada keredaan ibu bapa. Pintu rezeki itu akan tertutup sekiranya kita ingkari ibu bapa

Pergi jauh dari kampung halaman adalah satu cara untuk menggapai impian. Di negeri sendiri mungkin peluangnya tipis dan potensinya juga kecil sementara di Bandar besar sana, kamu boleh mendapatkan peluang yang diidamkan dan kerana ini lah ramai yang berlumba-lumba mencari peluang kerjaya di ibu kota. Namun kini prinsipku jauh lebih sederhana Cita-cita setiap orang berbeza. kejayaan bagi masing-masing orang pun tak sama.

Tanggungjawabnya kita juga barangkali tak sebesar mereka diluar, jadi tak perlu terlalu memikirkan kata-kata orang. Masing-masing dari kita memiliki prioriti yang berbeza-beza. Kejayaan tidak ditentukan oleh tempat di mana kita bekerja, melainkan seberapa besar usaha yang kita lakukan. Kita yang tahu apa cita-cita kita, kita juga yang tahu apa kejayaan yang telah kita kecapi

Buat job seekers, aku share tips dari orang hebat. Cuba buat sesuatu atau kerja yang kita passion dan suka nak buat. Sebab bila kita suka, kita happy, kita akan rasa kerja tu seronok. Jadi macam kita punya permainan. Dan insya Allah, duit pun senang datang. Lagi-lagi kepada orang yang positif dan bahagia dengan kerja dia. Lastly, aku mohon sahabat sekalian doakan aku supaya berjaya jumpa kerja yang diri sangat suka, happy dan passion dengan sangat mudah, pantas, berkat serta halal.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku serta kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil

Firman Allah bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.”

(Surah al-Isra, ayat 24)

– Muslimah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *