Kisah Won Deuk Mencari Rezeki

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Won Deuk adalah nama watak dalam kdrama 100 Days My Prince. Cerita fiksyen ini mengisahkan seorang putera mahkota zaman Joseon, bernama Prince Yul yang hilang ingatan dan mengambil identiti seorang rakyat biasa, Won Deuk, selepas mengalami kecederaan di kepala kerana diserang hendap oleh pihak musuh. Walaupun cerita ini dikategorikan sebagai romantik komedi, akan tetapi, bila sudah melibatkan politik istana, mestilah ada scene yang buat kita meleleh air mata. Jangan risau, kesedihannya belum tahap jdrama 1 Litre of Tears. Politik istananya tidak begitu berat seperti cdrama My King’s Woman atau kdrama Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo. Bolehlah layan untuk mengisi masa lapang jika berminat nak tengok.

Dipendekkan cerita supaya tak bagi spoiler banyak sangat, Won Deuk (Prince Yul) dikahwinkan dengan (baca: bukan sebarangan) gadis kampung bernama Hong Shim. Maka, bermulalah kehidupan yang sangat mencabar bagi Prince Yul yang sudah biasa hidup mewah di istana, makan berhidang, baju dipakaikan, air mandian disediakan siap ada bunga-bunga. Won Deuk tidak ingat apa yang sudah berlaku kepada dirinya, tetapi dia masih mengekalkan laras bahasa formal dan sifat arrogant (haihh.. tak ingat pulak apa perkataan yang sesuai dalam BM). “Oho.. I’m not feeling comfortable”.

Membesar sebagai Prince Yul, Won Deuk mempunyai citarasa mewah tetapi naif dengan kehidupan rakyat marhaen, dia diperdaya oleh loan shark untuk mengambil loan yang begitu banyak. Dia sudah menghabiskan wang yang dipinjam dengan membeli barang dan dekorasi rumah melebihi kemampuan mereka. Hong Shim sangat marah kerana suaminya boros dan lebih menyakitkan hati bila Won Deuk tidak rasa tindakannya itu salah. Oho.

Saya bukan hendak cerita apa yang berlaku setiap episod (“recap”) dalam drama tersebut. Bukan analisis atau review drama. Sebenarnya, baru-baru ini saya ada pergi seminar Digital Marketing. Saja hadirkan diri untuk lihat dan belajar perkara baru. Sedangkan peserta yang lain memang sudah ada perniagaan dan mencari kaedah sesuai untuk tujuan pemasaran produk mereka. Apabila melihat bagaimana Won Deuk dan Hong Shim mencari duit untuk melangsaikan hutang, ntah macammana saya terfikir sesuatu berkaitan dengan pendapatan tambahan dan ingin berkongsi apa yang ada dalam kepala saya.

1.       Jual produk: Tinggal di kampung di mana peluang kerja terhad, Hong Shim menyuruh Won Deuk belajar membuat kasut daripada jerami. Terkial-kial Won Deuk belajar, tak menjadi pula tuh. Disuruhnya Won Deuk potong kayu api atau ambil ranting/ pokok herba. Habis terpelanting pisau pemotong. Malanglah Hong Shim, dapat laki jenis tak biasa buat kerja kasar. Oho.

Seperti yang kita tahu, untuk menghasilkan produk/ barang seperti membuat kek atau menjahit, mengambil masa. Bagi orang yang tidak mahir, kualiti mungkin kurang memuaskan. Nanti orang pun tidak berminat untuk  membeli lagi. Nak mahir dalam sesuatu perkara bukan boleh sekelip mata. Saya pernah masuk kelas jahitan dan bertemu dengan seorang adik (adik?? anak saudara saya pun lagi tua daripada dia) yang berumur 11 tahun.  Orang yang mahir tu sudah belajar sejak muda. Kalau macam saya, 30an baru nak bermula, tak tahulah bila boleh mahirnya. Jahit baju kurung sendiri pun buruk. Haha.

Mencebur diri dalam MLM atau menjual produk sedia ada juga salah satu cara untuk menjana pendapatan. Kadang-kadang, berapalah sangat keuntungan boleh dapat jika komisyen dikira ikut jumlah barangan dijual. Kalau satu barang saja dapat dijual dalam sebulan, minyak kereta pun tidak lepas. Saya juga pernah masuk beberapa MLM, tetapi tidak mendatangkan hasil, kerana cepat rasa simpati apabila ahli keluarga atau rakan-rakan meminta harga ahli.

2.       Jual perkhidmatan: Demi mencari duit lebih, Hong Shim turut menawarkan perkhidmatan 3D (difficult, dangerous and dirty) kepada orang kampung. Kerja ini boleh dapat bayaran tinggi sikit, tetapi perlu menanggung risiko sendiri. Ada jiran meminta Won Deuk carikan cincin dalam tempayan berisi najis. Euuwww..  Won Deuk tak sanggup, dia pegang dan celupkan ahjumma (makcik) tu ke dalam tempayan, dengan sinisnya berkata  “Carilah sendiri”. Kemudian, datang pula seorang lelaki, ingin mengupah Won Deuk berdiri di sungai. Nampak macam senang, bukan? Rupanya dijadikan umpan supaya lintah jadi gemuk hisap darah dari kaki dia. Kesian Crown Prince. Oho.

Perkhidmatan biasanya melibatkan tenaga fizikal. Kadang-kadang bila dah setuju nak ambil job, pelanggan demand perkara bukan-bukan sampai melampaui batas. Cerewet. Bila ditegur, “eh… aku bayar kot servis dia”. Banyak cabarannya dan perlu banyak bersabar.

3.       Jual kepakaran:  Orang kampung sudah gelarkan Won Deuk sebagai  “lelaki tidak berguna”. Ahjumma dan ahjusshi kat kampung sibuk membawang  “Kesian Hong Shim. Dapat kahwin akhirnya, tetapi suami banyak menyusahkan hidup dia”.  Sabarlah, Hong Shim. Dah jodoh, terimalah seadanya.

Pada suatu hari, orang kaya kampung mengadakan satu majlis. Ada suatu insiden telah berlaku, Won Deuk melawan orang kaya tempatan dengan recite satu poem. Tergamam orang kampung. Won Deuk yang mereka perlekehkan sebelum ini, rupanya orang yang berpendidikan. Gembira Hong Shim bila tahu Won Deuk boleh membaca. Of course, that’s your intelligent Crown Prince!

Apa jadi selepas itu? Ya, beratur orang kampung mencari Won Deuk untuk membaca dokumen kerana mereka buta huruf. Tak perlu iklan, orang yang mencari. Bayaran yang diterima pun lebih tinggi.

Kenapa ada orang buat kerja berpeluh-peluh dalam sejam hanya dapat upah rm30, sedangkan tempoh yang sama, ada orang bagi ceramah dalam dewan berhawa dingin boleh dapat RM1500? Kepakaran. Pendidikan. Pengetahuan. Semua orang sibuk bercakap pelaburan hartanah atau emas. Apa salahnya kalau kita keluarkan duit untuk masuk mana-mana kelas, laburkan untuk menambah ilmu. Tak rugi. Kalau tidak ada masa untuk sertai kelas, boleh beli buku atau baca website di Internet.

Ok, tamat kisah Won Deuk. Kisah saya pula, selepas menghadiri seminar digital marketing secara percuma, saya menerima ebook, link website dll utk membantu e-usahawan memulakan perniagaan. Saya masih belum putuskan untuk buat apa-apa. Sebab, priority saya sekarang mencari bakal suami. Oho. Dengan pendapatan gaji hakiki dan sewa rumah pertama, saya memperolehi RM5k+ sebulan. Untuk hidup seorang, memang mencukupi.

Bila saya sudah bayar downpayment rumah kedua dan membayangkan barang keperluan dan kelengkapan rumah yang perlu dibeli, terasa sakit juga kalau nak tanggung sorang-sorang. Lagi dua tiga tahun akan dapat kunci. Nak duduk rumah sewa berkongsi ramai-ramai, bukan pilihan saya. Pernah solat dalam keadaan housemate tidak perlahankan radio/ tv, bersiap dalam keadaan gelap atau harapkan lampu toilet kerana ada unspoken rule, tidak boleh pasang lampu jika ada masih tidur. Rumah keluarga pula jauh dari tempat kerja. Rakan sebaya sudah ada anak lima. Seperti mereka, saya juga inginkan kediaman yang selesa. Buat masa sekarang, saya menyewa satu bilik seorang.

Bukan tak berusaha mencari jodoh, tapi semua perkenalan tak menjadi. Baru-baru ni jadi perigi, berkenalan dgn sorang oppa yang bekerja dalam satu organisasi, tetapi lain jabatan. Pada mulanya, elok je berkawan. Bila kita confess, dia bagi bluetick saje. Takpe, takde jodoh namanya. Allah tak hadirkan jodoh, tapi Allah bagi rezeki bentuk lain. Bila imbas kembali, 9 tahun lepas, saya berhenti kerja kerana sudah nampak syarikat mengalami masalah kewangan. Berhenti tanpa perancangan dan tidak mohon mana-mana kerja. Memang nekad.

Keluarga bawa jumpa Allahyarham Ustaz Dr Haron Din di Darussyifa. Minta arwah doakan saya dipermudahkan jodoh dan dimurahkan rezeki dgn pekerjaan. Saya ada juga berjumpa ustazah, dia pesan, amalkan baca alwaqiah. Berkat doa orang alim, minggu depannya saya dapat panggilan untuk pergi interview di putrajaya. 2 tahun sebelum itu, saya pernah pergi interview SPA dan nama saya dimasukkan sebagai calon simpanan. Tak sangka dipanggil ketika baru nak cari kerja lain. Alhamdulillah, dapat kerja walaupun kontrak.

Saya teruskan amalan sedekah, alwaqiah, arrahman dan solat dhuha. Niat lebih kepada jodoh sebenarnya. Selepas habis master, saya cuma apply dan pergi interview dua tempat sahaja. Saya sudah terima panggilan daripada syarikat media gergasi tempatan, jawatan yang ditawarkan kontrak. Saya tolak walhal belum terima jawapan lagi satu. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, dapat panggilan daripada organisasi yang memang saya sangat berharap, terkenal di dalam dan luar negara. Kontrak juga, tapi badan berkanun.

Pada tahun yang sepatutnya kontrak saya habis, kebetulan ada beberapa orang staf berhenti kerja. Jadi, ada kekosongan tempat. Saya pergi interview sekali lagi bila iklan dibuka, dan akhirnya dapat jawatan tetap. Degree dan master saya bidang yang berlainan, tapi melengkapi antara satu sama lain. Menurut ketua jabatan, itu adalah added value yang buat mereka memilih saya.

Ada rakan sejawat sudah memiliki phD. Mungkin saya pun perlu tingkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran saya kalau hendak bersaing untuk kenaikan pangkat pula lepas ni. Boleh dapat gaji lebih baik. It’s ok kalau tak jumpa jodoh. Mungkin itu cara Allah nak bagi kita ketenangan dan supaya dekat kepada-Nya. Kalau hidup seorang, pandai-pandailah hendak mencari duit lebih.

Sebab, saya sedar, saya bukan anak raja macam Prince Yul. Kita rakyat marhaen perlu bekerja keras mencari rezeki. Won Deuk pula, sudah kembali ke istana menjadi Prince Yul. Minggu ini, episod terakhir drama tersebut. Bagi siapa yang nak tengok, bolehlah mula marathon untuk saksikan kesudahan kisah Won Deuk dan Hong Shim.

Dah namanya berkongsi apa yang ada dalam kepala, macam-macam pula cerita keluar. Mana yang baik, harap bermanfaat kepada kalian. Terima kasih kerana sudi membaca.

– Former EXO-L OTP12

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *