Terima Kasih Ketuanan Melayu

Hi semua. Kecoh pasal ketuanan Melayu sekarang. Aku nak ceritakan sesuatu yang dah lama aku pendamkan. Aku tak tahu macam mana nak ceritakan tapi aku akan cuba sampaikan.

Aku seorang yang berasal dari kampung. Alhamdulillah, berkat usaha aku yang gigih. Aku berjaya sambung belajar di MRSM dan seterusnya ke Cardiff, United Kingdom dalam bidang kejuteraan dengan biasiswa MARA. Aku sangat beruntung kerana dapat biasiswa MARA, duit elaunnya lebih dari cukup, aku pakai duit elaun MARA untuk travel lebih 40 negara Eropah. Aku juga berjaya membawa pulang lebih RM70K hasil duit simpanan elaun aku semasa di UK. Duit RM70K ni aku gunakan untuk membeli hartanah, kahwin, dan kini pada usia 26, aku dah beli 5 buah rumah. Aku target untuk beli 15 buah rumah sebelum umur 30. Terima kerana bantuan “KETUANAN MELAYU”. Hehe..

Semasa aku kat UK, jiwa Melayu sangat tebal diri aku. Memang aku tak berkawan sangat dengan kaum lain. Semasa aku di tahun dua, kami pelajar Malaysia didatangi oleh seorang Professor sebuah IPTA tempatan, Professor itu pesan kepada kami ” Orang Cina ada Tanah Besar China, Orang India ada Negara India, Orang Melayu hanya ada Tanah Melayu, jagalah negara kita dengan baik, jangan bersifat apologetik pada bangsa lain”.. Fuhh.. Bertambah2lah semangat kemelayuan aku. Lagu anak kecil bermain api menjadi pembakar semangat aku untuk menjadi pembela agama, bangsa dan tanah air. Di UK, aku menyertai Kelab sebuah Parti Politik Ultra Melayu.

Semasa berada dalam kelab politik tersebut, aku sangat terkejut apabila mengetahui anak orang Melayu yang Ultra Kaya pun dapat biasiswa. Ada member aku, anak CEO GLC tapi dapat biasiswa MARA. Bapak dia dulu pun dapat biasiswa MARA. Lepas itu, dengan sikap kebaratan mereka, agak membuatkan aku tidak selesa berada di dalam kelab tersebut. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar sahaja dari kelab tersebut. Namun, semangat kemelayuan aku masih lagi utuh !

Pada tahun akhir, semasa kami semua melakukan persiapan untuk pulang ke Malaysia. Ada member aku yang juga pemegang biasiswa MARA mengatakan dia taknak pulang ke Malaysia, nak menetap di UK. Aku mengatakan ” Weh, Malaysia dah habis hampir sejuta ringgit taja kau belajar di UK, takkan sikit pun kau taknak menyumbang kepada Negara?”. Dia balas ” Bro, MARA takde kontrak bro, and buat apa aku nak balik ke third world country? Lagipun tujuan MARA adalah untuk anak Melayu berjaya, kini aku dah berjaya, apa yg MARA nak lagi ? “. Tersetak aku dengan kata-kata member aku ni. Aku tak sangka semudah itu anggapannya terhadap duit rakyat yang telah dilaburkan ke atasnya. Ramai sebenarnya yang tak pulang. Takpela, asal Melayu jadi kaya, boleh shopping di London. Kan ?

Semasa dalam flight pulang ke Malaysia, sebelah aku semasa di dalam flight ialah seorang budak Cina, budak Medik dari Sheffield, baru habis final year. Aku borak-borak dengan dia. Korek2, akhirnya dapat tahu yang mak ayah dia jual tanah supaya dia dapat blaja medik kat UK. Aku tanya kenapa tak keje kat UK ke, Ireland ke. Dia kata mak ayah dia mmg suruh kerja kat UK, tak payah balik Malaysia sebab nanti didiskriminasi. Tapi dia nak jugak balik keje di Malaysia sebab dia nak berbakti kepada negaranya, Malaysia. Sepanjang dalam flight, aku terfikir. Lebih baiklah duit kerajaan digunakan untuk menaja orang yang sayangkan negaranya tak kira la apa etniknya, aku rasa macam membazir pula duit rakyat dan pembayar cukai dihabiskan untuk taja member-member aku yang dah tawar hati kat Malaysia, banyak kutuk Malaysia.

Selepas pulang ke Malaysia, aku berjumpa semula dengan rakan-rakan aku yang kebanyakan belajar di IPTA, kesian aku dengan rungutan mereka mengenai kos sara hidup, pinjaman PTPTN. Selama ni aku tak pernah rasa semua tu. Aku ingatkan Melayu masuk UiTM je, skor 3.50 tak payah bayar, ingat UiTM ni senang, rupa2nya ramai gak xdapat 3.50. Masa kat UK, bodoh mesti dikaitkan dengan UiTM, macam kalau org tersebut sebut bodoh mesti ada yg cakap ” Woii, apa bodoh2, kalau aku bodoh, aku masuk UiTM, xdatang UK dah “. Rupanya sangkaan aku meleset, UiTM ni payah gak syllabusnya. Aku tak boleh bayang la PTPTN, muda-muda, belum kerja dah berhutang. Aku sangat bertuah kerana diberi biasiswa MARA, duit elaun bulanan lebih dari cukup, malah terlalu banyak lebihan. Bayar balik kat MARA pun dalam 1% je, aku guna simpanan duit elaun je bayar. Lupa nak bagitahu, balik ke Malaysia tu, aku dah dapat kerja sebab aku dah phone call interview sejak dari UK lagi. Alhamdulillah.

Sebelum aku mula kerja, aku stay kat kampung sebulan. Turning point dalam hidup aku adalah semasa aku di kampung selama sebulan sebelum kerja. Aku ada jiran Cina dan India yang miskin. Jiran Cina, anaknya pandai tapi tak dapat masuk matrikulasi, masuk STPM lepas tu ke Unitar. Anak Jiran India pula, tak dapat sambung belajar, jadi samseng. Masa tu aku terfikir, bukan kaum Melayu je miskin, kaum Cina dan India pun ada yang miskin. So, aku terfikirlah kenapa negara kita tak tolong rakyat yang miskin tanpa mengira kaum? Kaum Melayu yang miskin ramai tak dibantu, anak dato’ boleh plak dapat biasiswa jutaan ringgit.

Kalau kita kata jurang kekayaan antara kaum tu bahaya, mengapa kita tolong Melayu yang kaya sehingga jurang makin parah? Mengapa anak ceo pun dapat biasiswa yang khas untuk orang Melayu? Kalau kita nk tolong Melayu sebab ketinggalan dari segi ekonomi, mengapa bantu orang Melayu yang dah kaya ? Apa manfaat kepada penduduk kampung yang miskin ? Aku tak kisah nak ketuanan Melayu, nak Islam dan Melayu berkuasa. Tapi kenapa nak tolong orang Kaya? Tu aku tak faham. Mengikut laporan terbaru institut kajian khazanah, jurang kekayaan di Malaysia semakin lama semakin meluas. Kenapa ? Sebab kita tak atasi masalah kemiskinan, kita duk sibuk bantu berasaskan bangsa, last2, orang kaya dapat.

Aku sangat setuju dengan Tunku Mahkota Johor dengan idea bangsa Johor. Daulat Tuanku ! Kita bantu rakyat Malaysia yang miskin. Ketuanan Melayu tak perlu dihapuskan, cuma perlu diperbaiki supaya orang Melayu miskin sahaja yang dibantu. Selain itu, hak2 kaum lain juga dipelihara mengikut lunas-lunas perlembagaan yang ditetapkan. Aku tak tahu apa solusi yang ideal, yang aku tahu kita mesti tolong orang yang miskin, orang susah. Anak aku nanti aku nak bayar sendiri kos pendidikannya, Insyaa Allah.

Semoga perpaduan yang benar-benar ikhlas hadir di negara kita.

Sekian, terima kasih.

– Indra

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *