Rindu Yang Tak Tertanggung

Bismillah dan assalamualaikum buat semua pembaca. Sebelum ni aku hanya menjadi silent reader. Tetapi entah kenapa terdetik di hati ini untuk berkongsi sebuah kisah sedih dalam keluarga aku. Aku pasti dan percaya, setiap antara kita punyai ujian dan rezeki yang berbeza.

Kisahnya mengenai kehilangan orang yang tersayang iaitu adik kedua bongsuku yang kami panggil Ayie. Seorang yang sangat ringan tulang dalam keluargaku dan tidak pernah ‘kedekut’ kudratnya andai kami meminta pertolongan darinya. Sikapnya yang suka menolong orang memang sangat disenangi kami sekeluarga dan juga rakan-rakannya. Tapi tu lah, lagi kita sayang dia, Allah juga sayangkan dia. Terleka dengan kehidupan harian menyebabkan kadang-kadang kita lupa yang kita semua ni hanyalah pinjaman dariNYA.

Arwah adikku pergi secara mengejut dan sihat walafiat. Jadi untuk kami terima yang dia sudah tiada memang mengambil masa dan kadang-kadang rasa bagaikan tidak percaya. Beberapa hari sebelum arwah meninggal dunia, aku didatangi bayangan seperti sedang menangis dan meratapi pemergian seseorang. Dalam bayangan itu, keluargaku kebanyakkan berjubah hitam sedang menangis dan mengelilingi serta menatap satu wajah. Wajah itu tidaklah aku ketahui siapa pemiliknya. Aku yakin yang aku bukannya bermimpi.

Sedang asyik melakukan kerja, satu bayangan ini datang sekilas dan tiba-tiba pergi. Risau akan sesuatu perkara yang buruk terjadi, aku maklumkan kepada suami. Tetapi suami hanya berdiam dan menyatakan mungkin hanya perasaanku sahaja. Jadi aku pun membiarkan bayangan dan perasaan itu berlalu pergi dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Suatu petang, sedang aku, suami dan anak-anak berjalan ambil angin petang, ibuku menghubungiku dan memberitahu bahawa adikku eksiden. Jangkaanku hanya eksiden biasa. Tambah pula suara ibu dipanggilan tidaklah cemas, jadi aku tidaklah terus bergegas dan terburu-buru untuk ke sana. Ibu juga pasti sepertiku yang beranggapan bahawa adikku hanya mengalami luka-luka biasa dan cedera ringan.

Memandangkan kami hanya menaiki motosikal, aku dan suami meminjam kereta adik iparku untuk ke rumah ibuku. Semasa dalam perjalanan, hati mula berasa semacam kerana laluan ke rumah ibuku tiba-tiba sesak dan jem. Aku mencadangkan kepada suamiku untuk menggunakan laluan kecemasan dan memberi signal kecemasan. Sampainya di tempat kejadian, aku ternampak sekujur tubuh di jalanan. Tanpa berlengah, aku terus ke sana dan aku nampak sorang lagi adikku datang dan menangis.

Katanya, Ayie, dah tak de. Seluruh lututku longgar dan aku hampir terjatuh tetapi sempat disambut suamiku. Jarak Ayie eksiden dan rumahku tidak jauh. Aku terus bertanyakan adikku megenai keadaan ibuku. Adikku memberitahu yang ibuku berada di rumah. Dia dah datang tapi tak kuat untuk terus berada di situ dan meminta untuk pulang ke rumah. Aku berlari mendapatkan ibuku dan soalan pertama yang ditanya, Ayie masih ada ke? Masyaallah, macam terkena panahan dan aku terketar-ketar untuk menjawab persoalan ibuku ini. Dia juga mempunyai masalah kesihatan, jadi aku sangat bimbang untuk memberitahu perkara yang sebenar. Aku hanya mampu memangis dan memeluknya.

Beberapa lama kemudian, adik beradikku yang lain juga sampai. Mereka semua sama sepertiku, sejurus mendapat perkhabaran yang Ayie eksiden, kami hanya ingat kemalangan biasa dan bukanlah sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa di tepi jalan itu. Rupanya salah seorang adikku sudah ingin memaklumkan hal ini di group wassup family tetapi dia tak mampu untuk berbuat demikian, suaranya tersekat-sekat untuk memaklumkan kami semua mengenai perihal ini. Kemudian ayahku sempat membuat voice di group family whatsapp untuk minta kami semua datang di selekoh atas bukit depan rumah kerana Ayie eksiden. Masyaallah, dalam voice tu aku dapat dengar suara ayahku yang sangat lemah dan sedih.

Adik bongsuku juga mengalami trauma yang teruk atas perkhabaran ini. Dia pengsan di tempat kejadian. Selepas kematian arwah, adikku terpaksa di ambil di sekolahnya kerana sering teringat akan arwah. Untuk makluman semua, adikku yang bongsu ni sangat rapat dengan arwah. Mereka juga pergi ke sekolah bersama-sama.

Apa yang aku kesalkan semasa kematian arwah ialah orang yang datang dan mengambil gambar arwah tanpa menjaga aib dan sensitiviti si mati serta keluarganya. Terutamanya kepada mangsa eksiden yang masih belum ditutup wajah dan badannya. Aku tahu zaman sekarang semua orang memiliki telefon pintar dan berteknologi. Tetapi aku harap, masyarakat kita seharusnya lebih menjaga aib dari berlumba-lumba untuk viral atau menyebar info kepada orang lain. Aku harap agar mereka semua dapat mengormati perasaan keluarga si mati.

Baru-baru ini juga sekali lagi terjadi eksiden berdekatan rumahku, sekali lagi juga aku kesal dan tindakan netizen yang mengambil gambar arwah dan menyebarkan tanpa menjaga aurat si mati yang kebetulan pada masa itu terpasa ditanggalkan tudungnya bagi membuat rawatan ekoran mengalami kecederaan teruk di kepala. Moga kita semua dapat menjadi masyarakat yang lebih prihatin. Maaf andai aku terlebih memberi pesanan khidmat masyarakat ni.

Berbalik kepada kematian arwah, arwah dimandikan keesokan paginya. Setelah selesai, kami sekeluarga dipanggil untuk mengucup arwah sebelum wajah arwah ditutup dan dikebumikan. Masyaallah, bayangan yang aku terima sebelum kematian arwah benar-benar terjadi. Cuma Allah tidak dedahkan siapa orangnya. Tetapi bayangan kami berjubah hitam, mengelilingi arwah sambil menangis, bersedih dan melihat arwah dikapankan seperti bayangan yang kumaklumkan kepada suami benar-benar terjadi.

Ye la, aku manusia biasa yang tidak punya kuasa untuk tahu siapa yang bakal pergi meninggalkan kami. Ajal maut jodoh rezeki kan rahsia Allah. Kalau sudah kami tahu arwah bakal meninggal, pasti kami tidak membenarkannya ke mana-mana. Tetapi ajal setiap kita semuakan sudah tertulis. Di rumah pun kita boleh mati andai sudah tertulis jangka hayat kita sudah tiada. Itulah kematian. Tidak cepat sesaat. Tidak lambat sesaat.

Sebelum arwah meninggal dunia, ibuku sudah per asan yang arwah kurang bercakap dan kurang makan. Tetapi ibuku berat untuk bertanya kepadanya. Beberapa jam sebelum arwah pergi juga, ayahku perasan yang muka arwah pucat tetapi mulutnya juga seakan berat untuk bertanya. Hanya menatap dengan pandangan dan arwah berlalu pergi. Setengah jam sebelum arwah meninggal dunia juga, dia sempat bergambar dengan kawannya. Dan gambar tu memang jelas muka dan mulut arwah pucat.

Selain itu, kawan-kawannya turut memberitahu yang arwah sempat belanja kawan-kawannya minum dan mengajak kawan-kawannya meronda kawasan kampung. Di sekolah, arwah juga sempat bertemu gurunya, bersalam dan meminta maaf yang menyebabkan gurunya juga berasa pelik tetapi tidak mengesyaki rupanya itu salah satu petanda arwah akan pergi.

Perginya seseorang yang kita sayangi secara mengejut sangat memberi kesan yang mendalam. Tetapi kita semua hanya pinjaman. Hari dia sudah berlalu, hari kita tak tahu bila? Mungkin hari ini, esok? Kita pun tak tahu? Apa-apapun moga kita semua dapat mati dalam iman dan husnul khotimah. Buat Ayie, rindu yang sarat ialah rindu pada orang yang telah meninggalkan kita. Kak Ha, mok ayoh dan yang lain juga semua rindukan Ayie.. Hanya doa mampu kami utuskan buat Ayie kat sana. Moga Allah lapangkan dan luaskan kuburmu dik, cerahkan kuburmu, tempatkanmu dikalangan orang yang soleh dan beriman. Amin….

P/s: Maaf andai tersalah bicara dan penulisan tidak bagus. Terima kasih sudi membaca dan mohon juga doa semua buat arwah.
Amin..

Yang sarat rindu,

– HH @ I.A

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *