Aku Penat

Di saat aku menulis confession ini, diriku benar-benar penat. Jiwaku kosong. Fikiranku buntu. Aku sakit. Aku hilang diriku yang dulu. Aku rindu.

Aku tidak tahu kenapa aku perlu lalui sebuah kehidupan malang sebegini. Aku berdoa tiap hari kepada Tuhan supaya hidupku ada kemajuan. Walau hanya seukir senyuman. Sampai sekarang aku tidak dapat merasai indahnya kehidupan. Aku benar sakit. Aku rasa kosong. Aku rasa sunyi. Bukan aku yang mahu tapi ia datang tidak diundang.

Dalam kehidupan seharianku, aku penat. Tiap hari bangun aku yang selesaikan semua hal-hal rumah walhal aku belum berkahwin. Aku mengemas. Aku memasak. Aku menjaga anak buahku. Belum masuk hal kain yang setiap hari menggunung menunggu aku untuk uruskan. Tidak kurang tidak lebih, aku umpama bibik tidak bergaji. Kalau aku ter’skip’ buat kerja rumah, aku dipersalahkan umpama itu memang tanggungjawabku dunia akhirat. Aku di marah.

Aku pernah ditampar oleh ibu hanya kerana aku berdiam diri pabila ibu menengkingku. Berdesing telinga. Ibu terasa seperti dia bercakap dengan tunggul. Jadi patutkah aku melawan supaya ibu tidak berasa begitu? Patutkah aku tengking ibu seperti mana beliau telah lakukan kepadaku? Kalau saja kakakku yang dibuat begitu, bolehlah ibu merasa berdebat dengan orang berotak udang. Tapi bukan aku kerana aku rasa berdiam lebih baik. Aku tidak pandai melawan.

Aku tidak pandai menyebelahi diriku sendiri sebab aku penat. Jangan ditanya mana adik beradikku yang lain. Mereka hidup terlalu senang. Selalu dimanja dibelai. Hidup sentiasa ceria. Tapi aku tidak. Tidak mesra dan tidak ceria seperti mereka. Bukan tidak mahu tapi tidak dapat. Mungkin kerana aku anak tengah, jadi tidak ada apa yang istimewa bagi orang tua ku pabila melihat aku. Ada atau tiada, aku tetap sama.

Aku suka bulan bukannya matahari. Aku penat. Belum pun aku berkahwin atau bekerja tapi aku penat. Bila malam tiba aku bersyukur kerana itulah satu-satunya masa untuk aku berehat. Itulah satu-satunya masa untuk aku luangkan untuk diriku sendiri. “Me-time”. Masih muda tapi seperti sudah ada garis-garis halus di wajah. Hilang seri wajah kerana kurang senyum. Mungkin juga kerana tidak dapat menjaga diri dan tidak punya wang untuk berhias seperti gadis-gadis cantik diluar sana. Aku baru tamat zaman makan maggi dan biskut celup milo. Dan sedang menunggu panggilan. Itu sebab aku di rumah 24/7.

Hidupku gelap. Aku kalau diluar seperti orang lain. Masih boleh bergaul dengan baik. Masih boleh ketawa terbahak-bahak bersama sahabatku. Tapi satu aku tidak boleh, berkongsi kisah hidup dengan mereka. Merekalah “happy pills” yang selalu ada denganku ketika aku berasa senang dan kosong tapi tidak sanggup untuk aku berkongsi cerita duka dengan mereka. Mereka mungkin tidak akan faham kerana kehidupan mereka jauh berbeza denganku.

Mereka bahagia dengan keluarga tapi aku tidak. Tetapi ada masa aku tidak boleh sembunyikan rasaku bila tiba-tiba wajahku nampak suram pabila mendengar lawak jenaka mereka. Suasana ceria itu mati bila jatuh air mataku. Menangis kerana rindu. Rindu untuk ketawa. Rindu untuk bahagia. Tidak pasti jika mereka faham situasiku tapi hanya dakapan erat diberi. Mungkin mereka faham tapi mereka tidak bertanya. Menunggu masa untuk aku bercerita sendiri barangkali. Dalam percubaanku untuk bahagia, sisi gelap hidupku tetapkan muncul. Aku tidak undang tapi ia datang.

Tiada siapa-siapa. Tolak sahabatku, aku tiada siapa-siapa untuk berkongsi masalah. Kerana tiada siapa yang faham. Tiada siapa yang peduli. Keluargaku? Kalau benar mereka peduli, pasti mereka bertanya. Kenapa aku begini. Kenapa aku bersikap dingin. Kenapa aku membenci. Pasti mereka akan tanya jika mereka ingin tahu dan bukannya terus menyerangku seperti aku tidak layak berbuat salah.

Aku sakit. Bukan aku tidak pernah cuba untuk ceria, tapi aku tidak dapat. Aku begitu penat memberi sepenuh kasih sayang dan tumpuan kepada mereka. Tapi aku tidak pernah diberi apa yang aku sudah beri kepada mereka. Kalian semua insan biasa, pasti faham perasaanku kan?

Aku sunyi. Aku ingin disayangi. Tapi aku tiada siapa-siapa. Sampai satu saat, aku lupa apa itu erti sayang, apa itu erti cinta. Saat itu adalah kini. Hatiku mati untuk merasa semua itu. Walau tiap hari aku berdoa sejak tujuh tahun lalu supaya dipertemukan dengan seseorang yang boleh menjaga dan menyayangiku, ternyata Tuhan masih menangguhkan permintaanku. Lama aku menunggu. Mungkin banyak dosaku yang menghalang makbulnya doa itu. Atau mungkin juga si dia sudah tidak wujud di dunia ini lagi. Aku redha jika aku tidak berjodoh di dunia kalau Tuhan kata itu yang terbaik untukku.

“Pain is when you’re slowly dying on the inside and become so damaged that you can’t even speak about it so you keep it silent and suffer, alone”. Ini apa yang aku lalui.

Aku cuma mahu bahagia. Tapi aku begitu penat menunggu hari untuk aku bahagia. Andai saja bahagia itu boleh dibeli, pasti aku tiada disini. Tolong doakan aku.

– Pemilik Anjing Hitam

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *