Hamba Yang Diberi Peluang Kedua

Aku seorang pemuda, berumur 30 an, sihat tubuh badan, sedikit gempal dan telah mendirikan rumah tangga lima tahun yang lepas. Ini kisah diri aku, membuat kesilapan bodoh itu sejarah aku, dan Allah masih beri aku peluang kedua untuk aku bertaubat dan berubah. Daripada kecil aku telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang, anak bongsu daripada 6 orang adik-beradik menjadikan aku anak yang paling manja dengan keluarga.

Ini kisah aku sebelum aku mendirikan rumah tangga. Aku abadikan cerita ini kepada semua orang di luar sana untuk sekali-sekali tidak mencuba atau melanggan rumah pelacuran. Anda pasti akan menyesal. Aku bukanlah seorang yang terlalu addicted dengan video pornografi. Aku juga bukanlah seorang yang gila seks, tetapi aku hanya hamba yang takut untuk membuat sesuatu yang di luar jangkaan aku. Aku tidak pernah ke pusat-pusat urut yang haram, bahkan ke pusat pelacuran. Berani aku katakan, aku adalah seorang manusia yang baik.

Perasaan ingin mencuba sentiasa berlegar di fikiran aku. Perasaan ingin mencuba membuat seks sentiasa aku fikirkan setiap hari. Aku takut, tetapi aku nak rasa. Suatu hari, aku ke sebuah negeri di Malaysia, memberanikan diri untuk melanggan seorang pelacur.

Aku risau dan gementar, aku beranikan diri dan aku tergoda dan ternoda. Aku telah melakukan seks dengan seorang pelacur. Aku gagal dan akhirnya itulah perbuatan yang paling menyesal aku pernah lakukan dalam hidup ini. Aku mula terfikir mengenai HIV. Aku mula takut, aku mula terfikir tentang jiran aku yang meninggal disebabkan virus HIV.

Perasaan cemas aku mengenai HIV membuatkan aku tidur tidak lena, makan tidak selera dan hari-hari aku fikirkan mengenai perkara ini. Adakah aku telah dijangkiti virus itu? Aku terfikirkan wajah ibu ayah aku. Terfikirkan wajah bakal isteri aku. Bahkan aku terfikir mengenai dosa yang aku tanggung. Ya Allah, aku bertaubat Ya Allah.

Boleh dikatakan hari-hari aku google mengenai penyakit HIV. HIV ini merupakan penyakit tanpa penawar dan hanya boleh dikawal melalui ubat-ubatan. Aku terlalu takut dan cemas. Sembilan (9) bulan aku memendam perasaan dan takut untuk menjalani ujian HIV. Hari-hari aku google mengenai simptom HIV. Dan antaranya adalah demam, flu, pembengkakan kelenjar getah bening, ulser bahkan tanpa memiliki gejala selama 5-10 tahun, sehinggalah AIDS menyerang.

2 minggu selepas aktiviti berisiko, aku terkena ulser 2 biji kecil di mulut, dan sembuh dalam masa 3 hari. Aku mula rasakan ada sedikit pembengkakan lembut di ketiak aku, badan rasa panasa dalam, dan aku pernah batuk selama sebulan. Bertambah curiga aku dan aku yakin yang aku telah dijangkiti virus HIV. Aku mula risau, Ya Allah, adakah aku telah terkena virus ini? Ampunkan dosa aku Ya Allah.

9 bulan aku mengalami perasaan cemas dan takut setiap kali berlakunya sesuatu yang lain dalam diri ini. Aku memandang ibu dan ayah aku, pasti aku akan terfikir mengenai HIV. Aku tidak mahu malukan keluargaku, aku tidak mahu memalukan rakan-rakan ku. Jauh terlintas di benak hati aku beberapa perkara untuk aku lakukan jika aku dijangkiti HIV dan antaranya adalah berhenti kerja, menjauhkan diri daripada keluarga, lari daripada rumah dan bahkan aku pernah terfikir yang aku akan mati di bawah jejantas.

Ketika itu, aku bakal melangsungkan perkahwinan dan aku terpaksa melakukan ujian HIV di hospital atau klinik kerajaan. Bertambah takut dan cemas aku, apa bakal terjadi kepada keluarga aku dan keluarga bakal isteri ku. Malulah mereka. Sehinggalah sebulan sebelum perkahwinan aku, aku beranikan diri menjalani ujian HIV menggunakan HIV Test Kit di Klinik Kerajaan. Berketar lutus, berpeluh dan berdebar menunggu keputusan.

Alhamdulillah Ya Allah, aku HIV Negatif. Aku bebas daripada virus ini. Hilang lenyap terus perasaan takut dan cemas dalam diri ini. Alhamdulillah Ya Allah. Kau telah berikan aku peluang ke dua. Dan aku berazam dan berjanji, itulah kali terakhir aku melakukan perkara terkutuk itu.

Aku ceritakan cerita ini untuk dijadikan iktibar kepada semua orang diluar sana untuk sentiasa menjauhi seks bebas. Ingatlah, sekali dijangkiti, seumur hidup dan seluruh keluarga sengsara. Ingatlah!

– DIN

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *