Pelangi Hadir Jua

Pelangi yang ku nantikan hadir jua. Sungguh aku tak sangka Dia akan meredakan hujan ribut ini dengan menghadirkan pelangi yang selama ini aku dambakan.

Assalamualaikum semua readers. Aku Cik Puan Seroja berstatus janda, berumur 20an. Ini kisah hidup aku. Maaf jika penceritaan aku ini agak messy dan sukar difahami. Tapi aku harap kisah aku ini dapat dijadikan iktibar dan tauladan buat kita semua.

Aku berkenalan dengan bekas suami tidak lama dan melihat kesungguhannya ingin memperisterikan aku, aku telah bersetuju untuk berkahwin dengannya. Walaupun dia telah membuat keputusan untuk berhenti bekerja di bandar kerana tidak ingin hidup PJJ dengan ku, aku masih terima dia dan berkahwin. Awal perkahwinan bahagia seperti biasa. Aku set up 1 company untuk dia berdasarkan kemahiran yang dia ada. Alhamdulillah rezeki sentiasa ada dan aku bahagia begitu. Kami masih tinggal di rumah ibunya bersama abang, isteri dan seorang anak. Kami boleh hidup dengan rukun pada masa itu.

Selepas hampir 6 bulan berkahwin, bekas suami telah mendapat tawaran bekerja di sebuah kolej swasta dan aku mula mencari rumah sewa agar kami dapat berdikari sendiri. Aku tahu ibu mertua dia menyetujui keputusanku, tapi kami teruskan juga. Berharap ibu akan mengerti suatu hari nanti. Alhamdulillah kami bahagia dengan cara kami. Walaupun gajinya kecil berbanding aku, dia tidak pernah culas memberi aku nafkah secukupnya. Tapi kusangka panas kepetang rupanya hujan ditengah hari.

Bekas suami telah mendapat pekerjaan di sebuah bangunan komersial yang memberi gaji yang lebih lumayan dan mengajak aku berpindah ke rumah yang berdekatan dengan tempat kerjanya. Aku akur. Saat ini dia mula berubah, sentiasa sibuk, aku dibiarkan keseorangan dirumah sehingga aku sendiri tidak sedar bila waktu dia pulang ke rumah.

Saat paling menyedihkan dalam hidup aku. Aku mengandung 6 minggu waktu, pagi sebelum aku pergi kerja, aku sudah merasakan sakit pada ari-ari. Aku memberitahu dia, berharap dia akan membawa aku ke klinik, namun hampa bila dia cakap itu adalah perkara biasa lalu aku terus ke tempat kerja. Dan di pejabat, aku tiba-tiba terasa sakit perut yang amat sangat dan keluar seketul darah. Aku pengsan.

Kawan sepejabat cuba call suami aku, tapi tak berjawab, nasib baik kawan baik aku yang bawa aku ke hospital. Dia? Entah dimana. Disebabkan aku completed abortion, so doktor telah benarkan aku pulang. Aku tidak terus pulang ke rumahku, tapi sebaliknya ke rumah ibubapaku. Kepada ibubapaku sedikit pun aku tidak beritahu yang aku telah keguguran kerana aku tidak ingin family aku tuduh suami aku tidak peduli langsung tentang keadaanku. Semua aku hadap sorang-sorang.

Menjelang malam baru lah suami aku muncul untuk menjemput aku pulang. Tanpa sedikit pun menanyakan keadaan aku dan bayi kami yang telah hilang. Sumpah saat itu aku sudah nekad untuk menuntut cerai tapi aku takut. Aku takut dengan gelaran J itu.

Fast forward, tersebarlah khabar angin yang suamiku tengah hangat bercinta dengan janda beranak 3. Aku diamkan sahaja. Aku tidak punya bukti. Aku nak tengok sejauh mana permainan dia. Tiba-tiba suatu malam, dia menyatakan untuk kembali menetap dirumah ibunya dan memberi kata dua untuk aku sama ada ikut dia balik bersama atau aku dan dia berpisah. Terjadilah perbalahan besar masa itu.

Aku nekad untuk pulang ke rumah orang tua ku. Seusai subuh aku angkut semua beg untuk pergi dan saat aku salami tangannya, dia telah menyatakan dia akan menghantar aku sendiri ke rumah orang tua ku. Tapi dek kerana kebodohan aku, aku berubah hati pulang ke rumah ibunya. Berharap perkahwinan kami masih boleh dikekalkan. Berharap semoga apabila tinggal bersama ibunya nanti, dia akan berubah menjadi lebih baik.

Tapi aku silap. Dia semakin mengabaikan aku. Hidup aku pergi kerja, balik kerja dan bilik. Ibu mertua sangat mengawal kehidupanku. Setiap hari aku pulang kerja dia akan call aku bertanya dimana aku berada jika aku balik sedikit lambat. Dan mertua aku mula tidak suka aku pulang ke rumah ibubapaku. Dia menyatakan aku adalah isteri anaknya dan aku sekarang adalah hak dia. Bukan lagi milik ibubapaku. Hidup aku sunyi. Sangat! Aku tiada life bersama suami, setiap hari suamiku beralasan kerja. Sehingga tiada masa sedikitpun denganku.

Ramadan itu, aku tekad untuk pulang ke rumah ibubapaku. Suami telah izinkn aku tanpa banyak soal. Aku tahu mertua sudah mula bencikan aku dan menggelarkan aku isteri nusyuz.

Mungkin berkat dibulan ramadan, Allah tunjukkan aku semuanya. Suamiku bersekedudukan dengan janda anak 3 itu, sudah setahun. Sesungguhnya aku sudah terlalu kuat untuk mengetahui kebenaran ketika itu. Aku minta penjelasan dari ibunya dan ibunya tetap menyalahkan aku dengan menyatakan aku meninggalkan suami, aku sombong sebab berjawatan tinggi, ada kerja yang hebat, sampai mengabaikan suami.

Subhanallah, ibu, tahukan ibu saya yang menanggung anak ibu ketika dia tidak bekerja, saya yang tanggung semua barangan rumah, anak ibu bergaya, anak ibu yang dulu selekeh, saya kutip, saya jaga makan pakai dia sampai dia segak bergaya, itu salah saya ke, ibu? Tapi ibu mana yang tidak sebelahkan anak kandung dia sendiri kan?

Kali ini aku tekad failkan tuntutan cerai di mahkamah. Alhamdulillah selesai talak 1. Aku bahagia, aku bebas. Family aku dapat lihat aku yang lebih ceria. Tapi status aku J menyebabkan ramai lelaki buaya yang cuba mengambil kesempatan. Dan aku telah berkenalan dengan seorang kerabat diraja di dalam satu event amal yang dianjurkan.

Aku sangat terkesan dengan kata-katanya yang menyatakan “dunia sekarang mudah je saya nak dapatkan perempuan, artis, bini orang lagikan saya boleh dapat, inikan janda macam awak” . Ayat itu buat aku sangat takut untuk menjanda dan kebetulan pada waktu itu suami aku sedang berusaha memujukku untuk kembali rujuk dan berjanji akan bina hidup baru dengan dibandar yang jauh dari ibunya dan perempuan simpanannya itu.

Aku termakan dengan pujuk rayu dia. Perempuan itu menggila marahkan aku kononnya aku telah hancurkan hubungan dia dengan suamiku. Dia sentiasa berusaha untuk merosakkan kembali hubungan aku dan suami. Tapi aku sedikitpun tidak mempedulikan dia.

Dan… Ramadan ini, sekali lagi. suamiku tanpa sebab dan alasan menceraikan aku talak 2. Aku terkesima. Kali ini aku hampir hilang punca. Aku lost. Baru sebulan lepas kami bercuti berdua, baru sebulan lepas kami bahagia ketawa dan kepulangannya kali ini aku lihat dia menangis didepanku dengan menyatakan “sayang, kita berpisahlah, abang tidak sanggup kehilangan ibuku”..Allah, aku lumpuh saat itu. Dulu ya aku bersedia, tapi tidak sekarang. Seminggu aku berdiam di dalam bilik. Hanya tangisan menemani aku.

Aku bodoh, ya aku bodoh kerana memberi peluang kepadanya untuk menyakiti aku lagi. Aku sakit, aku menangis, aku lupa Allah sehinggalah seorang hamba Allah menelefon aku dan memberi nasihat sehingga aku begitu tersentak dengan kata-katanya yang satu itu “mungkin awak terlalu meletakkan pengharapan awak kepada manusia melebihi Allah”. Allahuakbar!! Saat itu aku tersedar, aku terlalu jauh melayani perasaanku, sehingga aku lupa aku ada Allah yang lebih menyayangiku dari semua makhluk di dunia ini.

Aku mula solat malam, aku tahajjud, aku solat taubat. Subhanallah, ketenangan itu, ketenangan yang paling indah aku dapat. Kesakitan di dada aku terus hilang. Air mata hanya aku tumpahkan untuk Dia yang berhak. Aku temui keindahan disebalik ujian ini. Aku temui sahabat-sahabat yang sangat baik dengan aku. Aku temui semula diri aku. Aku temui semula masa aku dengan keluargaku.

Dan kini, alhamdulillah.. syukur kepada Allah kerana Dia telah hadirkan aku seorang lelaki yang aku selalu minta didalam doaku. Sungguh aku rasa aku masih tidak layak untuk memiliki sidia yang sempurna, tapi Allah itu maha mendengar, maha adil dan maha mengetahui segalanya. Kami akan disatukan bulan depan, InShaaAllah. Aku kini menyambung pelajaran untuk menjadi seorang pengamal undang-undang dan membantu nasib2 kaumku yang sering ditindas oleh insan yang dianggap mulia iaitu suami!

Kepada bekas suami dan isteri yang kau kahwini ketika kau masih belum menceraikan aku dan pada tarikh ulangtahun ku sendiri, aku doakan kau pun akan bahagia dengan isteri pilihan ibumu itu.Sesungguhnya aku tidak mampu menjadi isteri dambaan ibumu. Dan sesungguhnya juga, tiada demdam dihatiku untuk kamu semua.

Akhir sekali, terima kasih kerana sudi membaca coretan aku yang tidak seberapa ini. Dan kepada kaumku yang masih ditindas di dalam rumahtangga, bertindaklah segera. Jangan jadi macam aku dulu. Bangkitlah wahai wanita kerana kita masih punya harga diri!

Terima kasih, wassalam.

p/s: kepada yang mungkin kenal aku bila baca confession ni, tolong jgn tag aku ye, ini sekadar tulisan utk dijadikan iktibar pd kita semua.

– Cik Puan Seroja

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *