Aku dan Tanggungjawab

Hai Assalamualaikum. Terima kasih admin sebab publish kan kisah aku. Nama aku Wardah Hannah (of course bukan nama sebenar). Berumur 26 tahun, bujang dan bekerja. Ini kali pertama aku menghantar confession di sini, jadi maafkan aku andai ada bahasa tulisan aku yang kurang menarik.

Aku merupakan anak tengah dari 8 beradik. Semua kakak-kakak aku sudah mendirikan rumah tangga. Aku dikira anak sulong kepada mak ayah aku dan adik-adik aku selepas yang lain sudah berumah tangga. Namun, kakak-kakak aku sangat rapat dengan keluarga dan sentiasa cakna dengan perkembangan adik-adik.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang susah. Semenjak kecil selalu apa yang kami semua adik beradik mintak pasti susah tertunai. Kadang aku faham, kadang aku memberontak disebabkan kawan-kawan aku dapat memiliki barang baru tapi aku tidak. Aku ditakdirkan duduk kelas pertama dari darjah satu sampai enam dan boleh dikatakan 3/4 dari pelajar kelas aku anak orang berada.

Majoritinya anak guru di sekolah aku. Mak dan ayah aku bagus dalam mendidik ilmu agama kepada kami walaupun kedua-duanya tidak belajar sampai SPM pun. Ayah aku kerja dikilang, sehingga ke hari ini ayah masih lagi bekerja untuk menyara keluarga. Kami tinggal di rumah sewa dengan kadar bayaran RM500 sebulan.

Semenjak zaman sekolah, aku anak yang tidak menyusahkan mak ayah tentang duit. Lagi satu, Alhamdulillah dengan izinNya, aku dikurniakan akal yang sedikit cerdas. Aku berjaya mendapatkan 5A dalam UPSR, dan seterusnya ditawarkan sebuah sekolah berasrama penuh dengan biasiswa penuh sehingga habis tingkatan 5.

Selepas SPM, dengan keputusan 9A, aku tidak terus masuk ke universiti sebaliknya membuat keputusan untuk mengambil STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia). Dengan keputusan STAM, aku berjaya diterima masuk ke sebuah IPTA. Rezeki lagi aku berjaya mendapatkan biasiswa JPA seawal sem 1 pengajian sehingga menghabiskan pengajian.

Bercerita tentang tanggungjawab, aku jadi sedih dengan diri sendiri. Aku sedih melihatkan kudrat ayah yang berusia 60an tapi masih gagah untuk mencari nafkah kepada keluarga. Kakak-kakak akuada juga menghulur duit sekadar kemampuan untuk membantu keluarga kami. Namun, mereka juga bukanlah bekerja bergaji besar walaupun kedua-duanya merupakan pemegang ijazah dari IPTA. Mereka ada keluarga dan tanggungjawab untuk diambil berat.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian dan menunggu konvokesyen, aku bekerja dengan gaji RM800. Aku tidak memilih kerja memandangkan aku perlukan wang untuk hidup. Aku tidak tergamak untuk meminta daripada ayah kerana aku tahu duit perbelanjaan dapur rumah sentiasa tidak cukup. Aku bekerja sebagai kerani sehingga pertengahan tahun ini. Aku memilih untuk berhenti selepas ditawarkan bekerja dengan gaji 2 kali ganda berbanding gaji aku terdahulu.

Aku sebenarnya pernah rasa penat! Aku penat dengan kudrat wanita aku untuk menggalas beban keluarga. Aku bukanlah orang yang kedekut. Selalu duit gaji aku hulurkan untuk perbelanjaan rumah. Dan aku bertanggungjawab kepada adik-adik aku yang selalu memerlukan wang untuk kelangsungan hidup. Cuma aku penat memikirkan masa depan diri dan keluarga.

Aku selalu terfikir sampai bila ayah akan bekerja? Ayah tak macam orang lain yang ada titik noktah pencen. Kalau ayah berhenti, ayah tak ada bayaran pencen untuk kelansungan hidup. Sehingga mati atau habis kudratkah ayah akan terus bekerja? Ayah, maafkan Hannah sebab masih tak mampu nak biarkan ayah rehat di rumah.

Selalu orang tanya, kenapa masih tak kahwin? Aku rasa mungkin hikmahnya lagi aku tidak dipertemukan jodoh supaya aku masih boleh berbakti kepada mak ayah dan adik-adik. Aku tidak terasa hati dengan soalan-soalan jodoh kerana aku yakin jodoh pasti bertemu jika ada di dunia ini. Sehingga hari ini aku tidak pernah ‘berkenalan’ dengan mana-mana lelaki apatah lagi bertunang.

Aku selalu terfikir jika aku kahwin siapa nak jaga mak ayah aku? Pasti tanggungjawabku lebih besar untuk mengurus keluarga sendiri. Melainkan aku ditakdirkan berjodoh dengan seseorang yang aku hanya perlu ‘cuci kaki’ untuk aku masuk kedalam hidupnya. Yang selalu boleh menghulurkan perbelanjaan yang cukup untuk keluarga aku. Tapi aku tidak jadikan ukuran kekayaan sebagai aras utama jodoh aku. Cukuplah seseorang yang bertanggungjwab kepada keluarga dan agama untuk menjadi pelengkap hidup aku. Doakan ye guys.

Aku banyak impian. Aku nak beli kereta untuk kemudahan pergerakan keluarga, namun dengan gaji dan tanggugjawab yang aku pikul, aku letak tepi dulu impian aku. Masih banyak perkara penting untuk aku selesaikan. Aku harap usia aku ini aku dapat manfaatkan duit gaji untuk kebahagiaan mak ayah dan adik-adik aku.

Aku yakin ramai lagi di luar sana yang menggalas bebanan yang lebih besar berbanding aku. Aku doakan semoga tanggungjawab yang kita galas ini Allah angkat menjadi ibadah. Ye, gaji aku tak besar tapi cukup. Doakan ianya terus cukup untuk aku menggalas tanggungjawab ini. Aku tiada wang simpanan, kerana habis bulan maka habislah duit aku.

Doakan bos aku lembut hati untuk tambah gaji aku atau doakan aku cukup dengan apa yang ada. Aku juga ada buat bisnes online yang kadang ada juga boleh untung tapi tak banyak sangat, cukuplah untuk aku berbelanja. Doakan bisnes online aku berjaya ye.

Disebabkan ini tulisan pertama aku, aku tidak lagi pandai untuk keluarkan segala isi hati. Cukuplah catatan umum untuk kita menghargai kehidupan kita.

Semoga semua terus berbahagia.

– Wardah Hannah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *