Pengalaman Aku Dibuli

Aku dilahirkan dan dibesarkan di kawasan bandar. Aku tinggal di sebuah rumah flat 4 tingkat. Aku seperti kanak-kanak lain yang mempunyai cerita tersendiri. Walaupun aku dibesarkan dengan keadaan yang sangat sederhana, ayahku seorang yang panas baran, mak aku pun adakalanya memukul kami adik beradik kalau kami buat kesalahan, tetapi aku masih lagi dapat merasai keseronokan sebagai seorang kanak-kanak terutamanya di sekolah.

Aku juga diberi gelaran oleh mak aku sebagai ‘ulat buku’ kerana aku sangat suka membaca. Seawal umurku 5 tahun, aku sudah boleh membaca dengan lancar hasil bimbingan mak aku, seorang surirumah. Selama 9 tahun aku menjalani hidup sebagai seorang kanak-kanak yang periang akhirnya, hidup aku berubah setelah aku berpindah ke sebuah kawasan pedalaman di Pulau Pinang.

Apabila aku mendapat tahu bahawa kami sekeluarga akan berpindah, aku sungguh terkejut dan cuba membantah. Tapi apakan daya, aku cuma budak yang berusia 9 tahun dan dianggap belum tahu lagi tentang kehidupan, maka aku cuma mampu mendiamkan diri. Aku sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan kawan-kawan aku, tempat bermainan, dan banyak kenangan manis. Aku kemudian tinggal di sebuah rumah teres yang lebih baik daripada keadaan rumah flat aku.

Pada mulanya aku sedih, tetapi aku paksa diri aku untuk terima keadaan yang baru ni. Sebagai permulaan, aku turut mengecat, mencuci dan menghias rumah seperti abang, ayah dan adik aku buat sambil mainkan CD lagu-lagu arab yang masa tu lagu Nourel Chams meletup gila-gila. Mak aku macam biasa, akan masak masakan yang sedap-sedap dan kemudian, kami berkelah di depan rumah kami di bawah pokok sambil ditiup angin tengah hari. The most unforgettable quality time ever aku dengan family yang aku pernah rasa. Jadi kesedihan aku telah berkurang.

The moment of truth, awal Januari 2002, bermulalah alam persekolahan aku di sekolah yang baru. Aku agak gementar pada mulanya sebab aku tak biasa dan aku ada sikap lambat adapt dengan suasana yang baru. Aku selalu berfikir, aku akan ada kawan kah? Aku duduk di kelas yang mana? Macam mana kawan-kawan dan cikgu-cikgu aku nanti? Dan banyak lagi persoalan yang timbul membuatkan pergerakan aku menjadi terhad sepanjang tempoh awal persekolahan. Kawan pertama aku di sekolah itu adalah Azimah sebab dia duduk di sebelah meja aku. Kemudian Amirah dan Wan. Merekalah yang memulakan bicara yang pertama ketika aku masuk ke kelas itu.

Mereka sangat baik, sangat mengambil berat tentang aku dan banyak yang mereka ajar aku dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, aku juga dapat merasakan ada aura-aura negatif dari kawan-kawan sekelas aku yang lain. Azimah, Wan dan Amirah pernah berkata kepada aku yang budak-budak kat sekolah ni mostly tak boleh terima orang luar, tambah-tambah kalau orang tu datang dari bandar. ‘Gulp’. Berat air liur aku nak menelan setelah aku dengar statement tu. Tapi aku carry on dan buat tak tau sebab aku datang sekolah aku nak belajar, bukan nak bermusuhan.

Tapi lama-kelamaan, aura negatif tu semakin kuat. Bermula dengan pandangan menjeling sehingga kelancangan mulut mereka berkata sinis kepada aku. Aku cuba cari punca kesilapan yang membuatkan mereka melayan aku begitu, aku tapi aku tak jumpa langsung! Aku dah jadi malas belajar selepas itu. Aku dah tak suka buat kerja sekolah. Aku dah tak buat ulangkaji di rumah. Aku pergi sekolah pun untuk penuhkan kehadiran aku dalam setahun. Sehingga satu hari, cikgu aku minta kerja sekolah matematik yang dia telah berikan untuk disemak. Aku cuak dan panik! Aku belum siapkan lagi latihan tu sebab aku terlupa,plus aku tak suka subjek matematik.

Jadi aku sembunyikan buku aku di bawah meja dan aku berbohong kepada cikgu aku dengan menyatakan aku tertinggal buku tu di rumah untuk elakkan diri aku dari dimarahi. Tapi taktik aku tu telah dapat dihidu oleh kawan sekelas aku yang tak sukakan aku. Nama dia Shahirah. Lalu dia bangun dan datang ke tempat aku terus dia ambil buku aku tu dan hantar kepada cikgu aku. Aku kaget. Aku tak sangka akan ada orang bertindak sedemikian. Satu kelas pandang ke arah aku. Cikgu aku pun mengamuk dan automatik aku kena demerit 10 markah + rotan ditangan. Shahirah dan kawan-kawannya tersenyum sambil high five sesama sendiri.

Dalam sukan, aku teringin nak join team bola jaring/bola baling. Tapi aku tak ada bakat. Tapi, aktiviti petang-petang kokurikulum aku selalu datang untuk training. Lepas ujian kelayakan, aku cuma dijadikan pemain simpanan. Tapi aku OK, asalkan aku boleh join training dah cukup memadai. Ramai yang terpilih, antaranya Shahirah dan kawan-kawannya. Aku akui memang mereka berbakat, sebab itu mereka jadi main player. Tetapi bila tiba hari perlawanan antara sekolah, aku sekali lagi dibuli oleh mereka. Mereka mengarah aku untuk membawa beg dan peralatan mereka, suruh aku jadi watergirl (pembancuh/pemberi air).

Aku tak kisah pun actually, but the way they give order to me was very rude, tu yang aku tak boleh terima. Dalam bas masa kami nak balik, mereka tak habis-habis menganjingkan aku. Aku hanya diamkan diri dan senyum-senyum kambing. Dalam hati, Allah saja yang tau hati aku sedang menangis. Sampai saja di sekolah, aku terus meluru ke basikal aku dan terus aku pecut balik dalam hujan lebat ketika itu. Aku tak peduli cikgu aku yang halang aku balik sehingga hujan reda, asalkan aku tak menghadap muka-muka orang yang menganjingkan aku itu. Aku menangis sepanjang aku berbasikal pulang. Sampai di rumah, aku layan lagu-lagu LINKIN PARK untuk aku salurkan kesedihan aku.

Aku juga pernah di ‘body shaming’ oleh kawan-kawan lelaki aku. Aku akui tubuh aku agak berisi sedikit dan kelihatan lebih matang dari usia sebenar aku. Bermakna kalau ketika tu umur aku baru 7 tahun, fizikal aku dah macam budak darjah 3 atau darjah 4. Sebelum aku akil baligh lagi memang tumbesaran fizikal aku macam tu. Aku mencapai akil baligh pada umur aku 10 tahun. Dan ya, aku di ‘body shaming’ oleh kawan-kawan lelaki aku di kelas tuisyen.

Suatu hari, mereka mengejek-ejek aku gemuk, gedempol, dalam bilik kelas yang tertutup pintu itu aku dapat mendengar dari luar yang mereka bercanda tentang buah dada aku. Aku malu dan terus aku menyerang mereka. Aku menengking suruh mereka diam. Tapi mereka meneruskan dengan membandingkan buah dada aku dengan yoyo yang mereka sedang main. Bayangkan, masa tu kami semua baru darjah 5 tapi mereka sudah pandai bergurau dalam hal yang macam ini.

Tak cukup dengan buah dada aku, mereka beralih kepada gigi aku. Gigi aku tak secantik orang lain yang terletak elok dan putih menyinar. Gigi aku memang terletak elok, aku tak pernah sakit gigi sehingga sekarang cuma gigi aku kekal berwarna kuning setelah gigi susu aku patah dan tumbuh gigi kekal. Mereka mengatakan yang gigi aku kuning sebab aku hisap rokok. Mungkin mereka terpengaruh dengan iklan ‘bahaya rokok’ dalam TV, tapi takkan aku hisap rokok ??? Sehinggalah sampai masa cikgu tuisyen aku masuk kelas dan mula mengajar, mereka masih lagi mentertawakan aku dan mengejek-ejek aku di belakang. Aku memberi amaran kepada salah seorang dari mereka untuk berhenti mengejek aku, atau aku akan tampar muka dia.

Tapi dia tidak menghiraukan amaran aku dan terus mengejek sambil menjelirkan lidahnya. Tiba-tiba “PANG!”, Tangan aku di muka dia menyebabkan satu kelas diam seperti malaikat lalu. Cikgu pun terkejut dan menyoal aku kenapa aku buat macam tu? Aku diam dan geram kat cikgu tu. Sepanjang aku dalam kelas tu, cikgu tu tak dengar ke apa yang budak-budak tu berbisik sesama sendiri? Kuat pulak suara diorang bisik. Aku duduk meja yang paling depan dekat cikgu tu pun boleh dengar, takkan cikgu tu tak dengar? Cikgu aku tu pun meneruskan pengajaran. Aku pula dah meleleh air mata aku sebab terlalu geram.

Segala apa yang aku lalui ini, aku tak pernah memberitahu keluarga aku terutamanya kedua orang tua aku. Aku tak nak mereka fikir lain dan menganggap aku nakal serta bermasalah. Tapi akhirnya sampai juga ke telinga ibu aku setelah adik aku yang ceritakan beberapa hari kemudian. Adik aku pula memang berkawan dengan kawan-kawan aku ni. Kawan-kawan aku tu pun menceritakan hal ni kepada adik aku. Mak aku apa lagi, 2 jam rancangan syarahan radio dia hadiahkan kat aku. Mereka yang ejek aku, aku pula yang kena marah disebabkan aku mempertahankan maruah aku.

Salah aku juga sebab aku pun tak cerita hal yang sebenar masa mak aku leterkan aku sebab aku rasa aku tetap salah dengan tindakan aku tu. Tapi, itulah diri aku sebenarnya yang terlalu banyak memendam perasaan untuk nampak “perfect” di mata orang tua aku. Dan sekali lagi, lagu-lagu Linkin Park menjadi peneman aku. Tempat aku salurkan perasaan marah, kecewa, benci, sedih aku. Semua lagu Linkin Park dalam album Hybrid Theory dan Meteora seolah-olah menceritakan perasaan sedih dan marah aku sehingga sekarang.

Masa aku di sekolah menengah pun aku pernah dipulaukan oleh kawan-kawan rapat aku. Masa tu betul-betul dah nak SPM. Aku memang tak tau punca apa mereka pulaukan aku. Adakah sebab aku lembap dalam Add Math? Ye, mereka yang pandai ajar aku banyak kali setiap topik add math, tapi aku masih tak boleh go. Adakah sebab aku adakalanya menjadi panas baran? Entah. Aku tak tahu. Mereka tak ajak aku makan sekali, tak study sekali, jalan asing-asing dengan aku. Aku tak faham kenapa, sehingga hari ni aku masih tak dapat jawapannya.

Selepas tamat SPM, aku terus bawa diri aku. Mungkin mereka dah tak perlukan aku, dan tiba masa untuk aku berdikari. Dan sekarang, aku menjadi seorang yang datang menyinggah dan diam-diam pergi dalam hidup teman-teman yang pernah rapat dengan aku. Aku jarang berhubung dengan kawan-kawan aku disebabkan faktor bekerja. Dan masih lagi aku mendengar lagu-lagu Linkin Park untuk menenangkan jiwa aku setiap kali aku teringat hal-hal yang macam ni.

Aku tau akan ada yang cakap,”Hang tak mengaji, sembahyang ka? Dok dengaq lagu-lagu kapiaq sesat macam tu kalau nak tenangkan fikiran pun”. Jawapan aku, aku memang sembahyang dan mengaji. But I need another alternative way to throw away my sadness instead of throwing things until I felt satisfied when I see they are broken. Sebab aku memang akan hancurkan apa saja barang kat depan mata aku untuk aku hilangkan perasaan kecewa aku. Aku tak tau sama ada ini adalah depression atau memang perangai aku macam ni. Tetapi, sesiapa yang pernah dibuli, pasti faham perasaan yang macam ni.

Aku dah lama memaafkan mereka yang pernah buli aku. Dan ada antara mereka mempunyai kehidupan yang lagi baik dari aku. Macam mana aku tahu? Sebab aku ada follow FB dan IG sebahagian dari mereka. Alhamdulillah.

Doakan yang baik-baik untuk aku supaya aku dapat lupakan kesedihan ini.

– Llorona Frida Kahlo

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *