Saat-saat Membahagiakan Bersama Si Penagih Dadah

Assalamualaikum. Padam, taip… padam, taip. Itulah situasi aku sekarang. Aku harap, aku dapat habiskan penceritaan ni. Aku perempuan. Awal 20++ dan sedang melalui fasa pertunangan. Pertunangan aku sedang diuji dengan perhubungan kekeluargaan aku yang tidak seberapa baik. (doakan aku semuanya akan Okay ye? InshaaAllah) Dan bukanlah itu yang aku mahu ceritakan. Hehe.

Aku ada baca confession tentang sorang lelaki ni yang tak pernah solat sampai ayah mereka meninggal barulah mereka berubah. Arwah ayahnya tak pernah solat juga. Sampailah ajal menjemput. Berbalik pada cerita aku, abah aku meninggal masa aku sekolah menengah. Dalam belasan tahun je aku sempat merasa hidup dengan arwah abah. Memang tak cukup kasih sayang lagi-lagi nak membesar jadi seorang remaja. Rebel pernah dan terlalu banyak.Dan berkali-kali. Tapi masih terkawal.

Ada beberapa perkara yang kalau aku ingat tentang apa yang arwah Abah aku lakukan, memang menyakitkan dan sukar untuk aku telan. Tapi, aku mahu lupakan, letak semua memori pedih tu dalam sudut yang paling tersorot dalam hati aku. Tapi aku gagal, ia berterusan menerjah memori dan ia berkecai. Aku kutip balik. Simpan semula. Bila kadangkala ia datang mengimbau juga.

Aku perah otak aku cari kebaikan Abah supaya aku dapat lupa dia seorang penagih dadah dan pesakit HIV . Supaya aku tak bersangka buruk yang pengakhiran hidup Abah akan sia – sia. Abah baik, takdir untuk Abah habiskan sisa kehidupan dia agak pilu. Aku tahu dia dah cuba.

Dia cuba untuk solat. Ye solat. Walaupun dia penagih dadah….

Aku tak tahu Abah penagih dadah dan ada HIV pun masa kecik-kecik dulu sampailah 5 bulan sebelum Abah meninggal, baru Ibu ceritakan. 8 tahun ibu sorok dari kami adik beradik. Alhamdulillah, Allah Maha Hebat Maha Kuasa Maha Penyayang, Dia lindungi kami semua dari penyakit tu.

Sepanjang kehidupan aku dengan Abah, saat paling aku BAHAGIA dan hati berbunga-bunga bila aku tengok Abah solat. Bila aku intai Abah solat, aku tak tahu nak gambarkan perasaan ni macam mana. Aku still ingat waktu tadika dulu bila cikgu tadika tanya “ayah siapa tak pernah solat?” Aku sorang je angkat tangan krik krik krik….. Aku hanyalah budak kecil yang tak mengerti apa-apa.

Aku BAHAGIA bila tengok Abah ambik wuduk dan bagi aku mukanya itu sangat bersih dan paling tenang waktu tu. Bila Ibu bergurau nak sentuh tangan Abah. Abah mengelak cakap ” Abang ada wudhuk ni ” aku hanya memandang gelagat dua orang kesayangan aku dan tersenyum bangga dalam hati. YEAY ABAH AKU DAH SOLAT MACAM AYAH KORANG !!!! Saat yang aku tunggu untuk tengok Abah solat sudah tiba. Aku gembira bukan kepalang. Tapi ianya sekejap sahaja. Hanya untuk beberapa hari dan Abah kembali sediakala. Dia tinggalkan solat lagi.

Beberapa lama, bertahun juga selepas itu, pernah sekali lagi Abah cuba solat lagi. Kali ni Abah bawak aku pergi mancing tepi sungai. Aku dengan Abang aku sibuk duk bakar ikan dan sotong perap yang Ibu bekalkan, aku tengok Abah bentangkan tempat untuk solat, dan dia solat. Angkat takbir. Allahu akbar. Wallahi aku sebak. Masa tu aku umur dalam 9/10 tahun. Aku tak tahu kenapa masa kecik dulu aku obses nak tengok Abah solat. Mungkin kebahagiaan aku terletak disitu. Sememangnya.

Tapi itu tidak bertahan lama. Abah belum kuat lagi untuk teruskan ibadah itu. Abah kembali ke rutinnya.

Masa kecik aku pernah nampak Abah potong straw kecik-kecik. (Nak pack dadah dia beli kecik-kecik kot.tak sure) Abah masuk toilet lama. Aku tahu, Abah cucuk bende tu dalam toilet. Aku dapat agak. Tapi aku deny. Abah sorok ketum, Abah rebus ketum, Abah packing ketum. Aku kembali kecewa. Aku nak Abah solat.

Aku selalu tanya Ibu “Kenapa Abah tak solat ? ” Aku lupa jawapan Ibu apa. Tapi satu je aku ingat apa Ibu cakap lepas tu ” Kalau nak Abah solat, awak kena solat. Tunjuk kat dia awak solat. Bila dia tengok awak solat, mana tahu Allah gerakkan hati Abah untuk solat” Dan aku ikut cakap Ibu. Ibu ajar aku solat dan dengarkan bacaan solat aku. Betulkan posisi solat aku. Terima kasih Ibu. Abah memang tak pernah ajar. Tapi Abah pernah suruh aku solat. Sekali je tapi bermakna sampai bila-bila. Waktu tu aku bersiap-siap nak ke sekolah agama. Abah laung dari luar. “Solat dulu ya. Nanti Abah hantar g sekolah” BAHAGIA sangat.

Sampailah satu tahun tu, Abah selalu sakit dan terpaksa masuk wad berkali kali. Abah dan Ibu baru bercerai waktu tu dan Abah tinggal dengan Atok. Aku pulang ke rumah Atok nak jumpa Abah sebab rindu. Abah cakap ” Ibu dah tak sayang Abah” Aku tengok Abah dan aku tahan air mata. Aku masuk bilik, aku intai Abah dah tidur.Aku tengok Abah. Lama. Aku bawa kaki ke dada dan aku peluk kaki.

Aku tak tahu nak buat macam mana dah. Aku sayang Abah sangat. Aku nak peluk sangat dia. Dan beberapa hari lepas tu, aku terpandang tempat tidur Abah. Ada kerusi. Ada sehelai sejadah tersidai di atas kerusi. Aku senyum. Hati aku berbunga lagi untuk kesekian kali.

Bila Abah tak da, perasaan BAHAGIA itu dah lama pergi. Perasaan tu tak sama dengan perasaan jatuh cinta, perasaan saat disarung cincin masa bertunang, perasaan crush kau minat kau jugak. Tak sama. Perasaan tu sepertinya lebih mengharapkan sebuah keupayaan dari Allah, semoga Allah kekalkan Abah untuk terus solat dan melakukan ibadah lain. Bahagia bila tengok orang solat. Walaupun memori tengok abah solat 2,3 kali je seumur hidup aku, tapi ia tersimpan kukuh dalam hati ni. Dan aku harap Allah terima taubat Abah.

Aku cuma mengharapkan husnul khotimah buat Abah. Aku cemburu melihat cerita kematian orang lain yang selalu dipuji-puji kebaikan mereka yang mereka pernah buat sepanjang hayat. Sedangkan aku, orang nampak Arwah Abah seperti sampah masyarakat sewaktu hidupnya dahulu. Tak. Abah dah cuba dan usaha untuk kembali hidup berTuhan. Aku nampak Abah struggle kuat untuk beri contoh terbaik buat anak-anak. Abah memang tiada jasa pada masyarakat. Tapi aku harap setiap usaha Abah untuk berubah dulu menjadi asbab dia ke Syurga dan memimpin tangan aku bersama-sama. Aku ingin.

Terima kasih luangkan masa membaca. Doakan Arwah Abah aku ye ! * jumaat 5.03pm * aku pilih waktu doa paling mustajab. AMIIN.

– Anne Square

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *