Sihir Kerana Cinta

Assalamualaikum semua pembaca IIUMC. Saya bahasakan diri saya sebagai Joy je lah ye. Joy seorang perempuan, pertengahan 20 dan baru saja menamatkan pengajian peringkat sarjana. Joy hanya nak kongsikan pengalaman Joy sendiri disihir oleh orang yang Joy tak tahu pun ada hati pada Joy.

Dipendekkan cerita, Joy belajar di seberang laut, masa Joy tahun tiga, Joy dapat ‘friend request’ dari seorang lelaki melalui facebook. Rupa-rupanya, kami satu fakulti, jadi memandangkan kami satu fakulti Joy ‘approve’kan je friend request dia dengan niat untuk berkawan. Ye lah, dah satu fakulti, dah la fakulti Joy ni berapa kerat je students dia. Tak ramai.

Mula-mula tu kami banyak ‘chat’ di facebook je, kadang-kadang terserempak dekat fakulti, Joy cuma senyum sebab segan nak tegur. Ye lah, Joy bukanlah kategori perempuan yang cantik, tapi Joy boleh dikatakan golongan tembam (yang extra) jadi tak adalah Joy simpan hasrat nak betul-betul kenal dengan dia. Dekat fakulti, Joy lebih suka luangkan masa dengan kawan-kawan Joy dan Joy tak suka sangat ambil tahu gosip-gosip panas sekitar fakulti. Joy hanya dengan dunia Joy je.

Satu hari, masa tu dah dekat penghujung semester, dan arwah ayah Joy pula dah mula sakit, jadi banyak kali Joy asyik menangis, asyik merindu. Joy fikir mungkin sebab berjauhan dari ayah dan hati seorang anak ni, bila tau ayah dah sakit jadi tak keruan. Itu yang Joy fikir. Bayangkanlah, malam-malam masa Joy tengah buat ‘source code’ Joy boleh menangis pandang baris-baris ‘source code’ tu. Joy jadi resah, jadi gelisah, jadi tak tentu hala. Tapi alhamdulillah, Joy masih ingat Allah, ingat study, ingat lagi solat dan doa semua.

Joy masa tu memang hati dan perasaan porak-peranda, tak tahu kenapa. Padahal study okay, ‘carry mark’ sebelum ‘final’ pun okay, cuma Joy jadi tak tenang. Joy sedaya upaya kawal diri Joy supaya tak terhanyut perasaan. Joy abaikan je bisikan-bisikan halus yang buatkan Joy mula merindu, tapi Joy tahu, rindu tu tak mungkin untuk ayah Joy sebab dia macam merindu yang luar biasa.

Habis final, Joy terus terbang balik kampung. 2 hari pertama, Joy boleh bertahan lagi, siap temankan arwah ayah pergi rawatan haemodialisis, tapi masuk hari ke-3, Joy mula banyak termenung. Betul, Joy tak perasan pun Joy termenung, tapi mak Joy perasan. Dekat seminggu jugaklah Joy macam tu. Joy macam hilang dalam awang-awangan, kebetulan pulak masa tu Joy tak boleh solat. Jadi Joy jadi makin hanyut. Bila Joy dah boleh solat, Joy sampai dah tak ingat Joy dah solat ke belum. Bila mak tanya dah solat, Joy boleh tanya mak balik, ada nampak Joy solat tak? Joy lupa.

Kemuncak yang buatkan mak dengan arwah ayah Joy buat keputusan untuk hantar Joy jumpa ustazah adalah bila Joy tengah urut arwah ayah, Joy menangis. Menangis yang sangat teruk sampai arwah ayah dengan mak tak dapat pujuk. Arwah ayah ada jugak sedikit ilmu perubatan Islam, bila dia dapat rasa ada yang tak kena dengan Joy, arwah ayah terus buat keputusan untuk bawak Joy berubat malam tu jugak.

Sampai rumah ustazah, (Joy dah tak sedar masa ni sebenarnya, mak yang cerita) Joy tak nak keluar kereta. Joy pegang pintu kereta kuat-kuat, sampai arwah ayah datang tarik pun tak jalan. Akhirnya, ustazah sendiri yang datang pujuk. Masa Joy tengok ustazah tu kata mak, Joy tenung dia, mata Joy jadi merah bernyala, bersinar tajam. Kejap je, Joy dah merangkak atas tanah (sumpah bila dapat tahu rasa malu gila). Joy mundar-mandir depan rumah ustazah tu macam harimau kata mak. Bila ustazah mula rukyahkan Joy, Joy tiba-tiba dah terkam ustazah tu, nasib baik ada orang lain yang tolong pegangkan.

Mak kata Joy punya kekuatan masa tu dah macam beruang, dah la saiz Joy ni pun dah macam beruang. Lima orang lelaki yang cuba pegang Joy semua Joy tampar dan tendang(bila dah sedar, Joy mintak maaf dah banyak-banyak dekat dorang). Last-last, suami ustazah ikat Joy dengan kain, kaki tangan berikat lepas tu mereka usung Joy masuk rumah(kepala Joy terhantuk dekat pintu masa kena angkut sebab Joy meronta, rasa bengkaknya).

Masa dalam rumah, semua orang yang ada kat situ ramai-ramai mula baca ayat al-quran, lepas tu Joy yang kena ikat masa tu tiba-tiba ketawa. Mak kata, suara Joy jadi garau, tapi bila ketawa mengilai macam orang gila. Arwah ayah masa tu datang dekat dengan Joy, pastu mak kata Joy jerkah arwah ayah(kurang ajar betul tak memasal je Joy jadi anak derhaka). Ini apa yang mak Joy ceritalah, Joy cakap macam ni lebih kurang. “Celaka kau orang tua! Sebab kau anak perempuan kau ni tak nak kawin dengan aku. Kalau kau tak nak bagi anak perempuan kau jadi gila, bagi aku kawin dengan dia!” arwah ayah masa tu nampak tenang je mak kata, mak pula yang rasa sedih sebab tengok Joy jadi mcam tu.

Ustazah tu terus hentikan rukyah, dia duduk depan Joy dan pegang kepala Joy, Joy tak tahu apa yang dia baca, sebab arwah mak pun tak dengar, tapi lepas tu Joy terus pengsan. Masa Joy pengsan tu, ustazah tanya mak, ada nampak apa-apa baju atau kain yang Joy selalu pakai tak , rupa-rupanya, tudung merah jambu yang Joy pakai masa berubat tu dah dicalit minyak pengasih masa Joy dekat fakulti. Joy tak tahu pun pasal hal tu. Nasib baik mak perasan Joy macam melekat dengan tudung tu.

Bayangkan, Joy boleh pakai ulang-kali tudung tu tanpa basuh(Joy tak pernah buat macam tu. Lepas pakai terus basuh, pakai tudung sekali je). Bila ustazah tu dapat tau, dia mintak semua yang bukan muhrim keluar, tinggal kaum perempuan dengan ayah Joy je. Ustazah tanggalkan tudung Joy, pastu pakaikan telekung pada Joy.

Mak kata, ustazah pun macam tahan panas masa pegang tudung Joy tu. Ustazah teruskan bacaan rukyah, arwah ayah pun sama, tiba-tiba tudung tu terbakar dan Joy pun sedar sambil menjerit sama. Jeritan kemarahan dan kesakitan kata mak. Joy bangun hampir nak cekik ustazah tapi arwah ayah sempat bacakan ayat kursi dan hembus dekat muka Joy.

2 minggu jugaklah Joy teruskan rawatan dengan ustazah. Alhamdulillah, Joy dah pulih. Kata ustazah, Joy bernasib baik sebab Joy jenis banyak mengaji, banyak berzikir, sebab tu sihir tu lambat kena tapi bila masa Joy dah tak boleh solat tu, sihir tu terus mengena sebab Joy berhenti mengaji, berhenti zikir bila Joy dalam keadaan kotor. Nasib Joy baik, sebab terkena masa Joy dah balik rumah.

Dan Joy tahu, lelaki yang Joy approve di facebooklah yang buat Joy sebab masa Joy tak sedar beberapa kali semasa rawatan, muka dia yang asyik menjelma. Lagipun, kami memang pernah berjumpa sekali di luar. Joy masatu setuju nak jumpa dia ditemani kawan-kawan Joy. Mas tu, lelaki tu cakap dia nak jadikan Joy isteri. Joy pulak jawab, Joy terima je kalau ayah mak Joy setuju.

Rupa-rupanya, dia ada telefon arwah ayah Joy lepas Joy bagi nombor arwah ayah(ye, Joy tahu, salah Joy) tapi arwah ayah tak izinkan sebab arwah ayah cakap, Joy muda lagi, dia pun muda lagi, habiskan pelajaran dulu. (Joy tak tahu pasal ni, tahu lepas arwah ayah cakap lepas Joy berubat). Patutlah lepas jumpa sekali tu, bila chat je dia tanya, betul ke Joy hanya akan dengar cakap mak ayah Joy pasal jodoh dan Joy banyak kali cakap, selagi mak ayah Joy tak izinkan, selagi tu lah Joy tak kan terima mana-mana lelaki.

Kepada mereka diluar sana yang dah jatuh cinta, tolong usaha nak halalkan orang yang awak suka dengan cara yang baik. Jangan aniaya anak orang yang dah susah payah dibesarkan oleh mak ayah mereka. Joy merupakan manusia yang beruntung sebab sihir ni tak teruk sangat, Allah masih peliharakan Joy, hambaNYA yang banyak lupa kepada dia.

Kepada semua, ingatlah, Allah yang paling berkuasa, jadikanlah Allah tempat pergantungan selama-lamanya. Sekian kisah dari Joy yang tak seberapa.

– Joy Apple

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *