Doktor Yang Stress

Doktor dan stress memang tak dapat dipisahkan. Seperti ombak dan pantai. Umpama aur dan tebing. Berkait rapat. Tidak ada doktor yang tak stress. Cuma perbezaannya sama ada stress itu besar atau kecil tahapnya. Sama ada doktor itu mampu mengendalikan stress yang dihadapinya.

Adakah stress ketika bekerja saja? Tidak juga. Ada juga stress kerana masalah peribadi. Namun berpunca daripada kerja sebagai doktor. Contohnya sibuk dengan kerjaya sehingga keluarga merasa terabai atau diabaikan. Sibuk oncall hingga tak ada masa untuk orang tersayang mahupun diri sendiri.

Sejak bergelar pelajar perubatan, seseorang individu itu akan stress. Ianya tidak berakhir di situ. Melangkah ke alam pekerjaan dan menjadi seorang doktor pelatih atau nama glamournya houseman, stress semakin meningkat. Sehingga ada yang mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan stress kerja yang dihadapi.

Adakah ini bermakna houseman saja yang mengalami stress kerja. Tidak juga. Bukan houseman saja akan stress. Pegawai perubatan atau medical officer. Doktor pakar atau specialist. Pakar perunding atau consultant. Setiap peringkat kerjaya perubatan, anda akan berdepan dengan stress.

Soalnya bagaimana anda mahu berhadapan dengan stress itu?

Bagaimana cara terbaik untuk anda mengendalikan stress anda?

Saya tak boleh menjawab soalan itu untuk anda. Saya hanya boleh menjawab soalan itu untuk diri sendiri.

Anda cari sendiri jawapan yang sesuai untuk diri anda.

Mengapa saya tergerak untuk menulis berkenaan stress?

Dua bulan kebelakangan ini, mendadak saya bekerja dengan beban kerja yang saya rasakan begitu luar biasa. Sibuk dengan kursus dan kerja. Kerja hampir 14 jam sehari untuk berhari-hari. Membuatkan saya seakan-akan tiada masa untuk diri sendiri.

Sehingga satu tahap saya benci untuk datang kerja. Sungguh-sungguh benci. Hanya mahu duduk di rumah. Tidak mahu ke hospital langsung. Namun saya kena datang juga. Selesaikan tanggungjawab sebagai speaker kursus, kendalikan latihan sebagai fasilitator. Dalam masa yang sama, bekerja melihat pesakit di hospital. Tetap kena jawab panggilan tanpa mengira waktu apabila oncall.

Hanya orang terdekat saja yang tahu saya mengalami stress. Ya, stress kerja. Selepas sekian lama tidak stress kerja (kali terakhir stress semasa bergelar pelajar sarjana), saya stress untuk bekerja.

Stres menyebabkan saya gagal untuk menulis. Sedangkan menulis adalah cara saya untuk melepaskan stress. Apatah lagi selepas gagal menulis, saya semakin stress.

Saya cuba pelbagai cara untuk mengatasi stress kali ini. Baru bulan ini keadaan saya bertambah baik.

Hari ini bila seorang bekas MO saya menghantar mesej bertanya soalan, saya teringat semula semasa saya stress sewaktu menjadi master student.

Ada satu ketika saya stress kerana satu kes. Keluarga pesakit mengugut mahu menyaman doktor yang merawat anaknya iaitu saya dan hospital kerana dituduh menyebabkan kematian anaknya. Jujurnya, saya begitu tertekan ketika itu. Kita berusaha sedaya upaya namun dituduh membunuh anaknya pula. Kes medikolegal. Mana-mana doktor yang ditanya kalau boleh tidak mahu berhadapan dengan perkara yang melibatkan mahkamah dan saman.

Pada waktu itu, hingga saya terfikir untuk terlibat dengan kemalangan secara tak sengaja. Saya langgar lampu merah ketika menunggang motorsikal. Hingga ke tahap itu. Saya mahu kemalangan dengan harapan dapat melarikan diri daripada situasi yang menimpa ketika itu.

Saya tak berniat untuk bunuh diri. Tidak sama sekali. Cuma mahu diri cedera agar tak perlu berdepan dengan masalah ini. Saya tidak mahu berdepan dengan kes saman dan masuk mahkamah kerana kes yang saya kendalikan. Trauma juga mahu berjumpa pesakit selepas diugut untuk disaman dan diseret ke mahkamah.

Alhamdullilah Tuhan masih sayangkan saya. Saya tak kemalangan walaupun saya langgar lampu merah di tengah jalan yang sibuk dengan kenderaan lain. Begitulah manusia apabila tertekan, kadangkala kita tak mampu berfikir dengan akal yang waras.

Selepas itu saya sedar, saya hanya ada Allah. Saya berdoa bersungguh-sungguh agar dilepaskan daripada kemelut ini. Keluarga pesakit tidak jadi meneruskan saman selepas perbincangan dengan pihak hospital. Dan saya teruskan kerjaya dengan penuh kesyukuran. Namun kesannya bukan sedikit pada diri. Adakalanya saya akan terfikir apakah aku akan kena heret ke mahkamah jika ada apa-apa terjadi pada pesakit yang aku lihat.

Balik rumah pun terfikir-fikir. Adakah pesakit yang aku tengok hari ini okey?

Saya tahu, setiap kerjaya ada cabaran dan stress yang tersendiri. Ini stress sebagai seorang doktor. Bersyukur kerana saya memiliki keluarga yang kuat menyokong dan rakan-rakan yang sentiasa ada di sisi bila diperlukan. My social support is very good.

Pada mereka yang nak kata, ha, padanlah muka. Siapa suruh jadi doktor. Hadaplah. Sudah jadi doktor kan, gaji beribu-ribu.

Saya mahu tanya soalan. Adakah mereka yang berkata begitu akan jadi doktor jika kami mengundur diri daripada bidang ini.

Kami doktor hanya mengharapkan pengertian. Tak perlu pujian. Cukup jika tidak mengecam.

Hanya bantu kami dengan tidak menambahkan stress yang sedia ada. Kerana Allah telah meletakkan kami di posisi sebagai seorang doktor. Kami hanya mahu melakukan apa yang kami telah belajar ilmunya dan menjadi seorang hamba Allah yang amanah dengan tanggungjawab yang diberikan. Jika disoal di akhirat nanti, sekurang-kurangnya kami boleh menjawab. Ya Allah, kami ini hamba-Mu yang lemah. Kami telah lakukan apa yang kami terdaya. Namun segalanya dalam kekuasaan-Mu.

Janganlah kata kami lemah iman atau tak cukup kuat berpegang pada agama. Saya baca al-Quran setiap hari. Saya jaga solat. Tapi tetap Tuhan uji saya dengan stress ini. Namun saya ingat juga, Tuhan kata Dia tak akan menguji dengan apa yang hamba-Nya tak mampu tanggung.

Pada rakan-rakan doktor di luar sana, semoga kita terus istiqamah untuk melaksanakan amanah yang terpikul di bahu ini hingga akhir hayat kita.

– Doktor yang stress

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *