Ibrah Kembara Turki

Assalamualaikum. Jika artikel ini diterima, terlebih dahulu aku ingin mengucapkan terima kasih kepada admin kerana sudi menerbitkan coretanku. Terima kasih juga kepada pembaca kerana sudi membaca kisah perjalananku.

Aku merupakan seorang pencinta kembara dan melancong. Beberapa bulan lepas, aku telah direzekikan oleh Allah untuk mengembara ke bumi Turki. Semenjak di universiti lagi aku telah menyimpan hasrat untuk ke Turki. Apa yang membuatkanku begitu kuat ingin ke Turki adalah kerana terinspirasi dengan kisah kemenangan Sultan Muhammad al-Fateh menakluk Konstantinople. Bagaimana baginda melayarkan kapalnya di atas bukit bukau. Bagaimana meriam telah dicipta pada ketika itu.

Begitu juga usaha umat Islam selama 800 tahun untuk mengalahkan kerajaan Byzantium akhirnya terlaksana seperti hadis nabi, “Akan dibebaskan Kota Konstantinopel itu, maka sebaik-baik raja itulah rajanya. Sebaik-baik tentera itulah tenteranya”. Ya! Aku begitu mengkaguminya. Sedangkan nabi memujinya sebagai sebaik-baik raja, mana mungkin aku tidak merasa kagum akan kehebatannya. Selain itu, aku juga merupakan pencinta sejarah, lebih-lebih lagi sejarah islam, termasuk kehebatan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Semua ini menyebabkan aku memilih Turki sebagai negara luar kedua aku lawati selepas bumi Mekah dan Madinah.

Beberapa hari sebelum tarikh penerbangan aku ke Turki, aku benar-benar berdoa kepada Allah agar perjalanan kali ini menambahkan lagi taqwa dan cinta aku terhadap Islam. Aku membayangkan aku akan dapat merasakan seperti apa yang pernah aku rasakan ketika berziarah di bumi Madinah dan Mekah. Bagaimana air mataku menitis laju apabila melihat padang pasir dan pemandangan dari dalam bas. Sambil fikiranku laju memikirkan aku memijak bumi yang sama yang pernah dipijak Rasullullah.

Ya! Air mataku terus mengalir sepanjang perjalanan sambil dalam hati terus menyebut syukur kepada Allah dengan nikmat yang tak pernah aku sangka aku akan dapat, iaitu menunaikan umrah dan ziarah Rasulullah. Berbalik kepada kisah Turki tadi. Aku membayangkan keadaan mungkin sama. Aku akan rasa takjub kerana berpijak di bumi yang sama yang Islam pernah mekar dan tertegak di atasnya.

Setelah 14 jam perjalanan, aku menjejakkan kaki di lapangan terbang Istanbul, Turki. MasyaAllah. Aku benar-benar gembira. Satu lagi nikmat yang aku tak sangka, Allah beri padaku. Betul! Aku pernah menyimpan cita2 untuk sampai ke Istanbul, Kota Konstantinopel. Tapi aku tak pernah sangka ia akan menjadi kenyataan, kerana kekangan kewangan aku pada masa tu. Jadi, aku benar-benar gembira. Bila melihatkan tembok yang pernah menjadi pertahanan kerajaan Byzantium mengalir air mataku sambil kisah sejarah bermain difikiranku. Tambah lagi tour leader bercerita juga kisah sejarahnya.

Tour leader juga menyebut “Population in Istanbul is 20mil which 18mil are our citizen and another 2mil are our Syrian GUEST. We are not call them as refugees, but GUEST”. Aku merasa terharu masa tu, kerana mereka menganggap pelarian Syria sebagai tetamu mereka. Perjalanan di Istanbul masih diteruskan sambil tour leader bercerita pelbagai perkara. Tetapi, perasaan yang aku harapkan aku dapat rasa seperti di bumi haramain, masih belum hadir. Aku tak dapat merasa kekuatan cinta aku terhadap Islam bercambah dengan lebatnya. Aku masih belum rasa.

Hari kedua di Turki, aku melawat Bursa. Di sana kami dibawa ke sebuah kedai, Munira yang menjual Turkish Delight, Za’faran, madu, delima dan pelbagai lagi. Yang menariknya pekerja2 di sini majoritinya adalah orang Syria. Di sini aku mengenali seorang jurujual bernama M juga warga Syria yang telah menetap di Bursa. Setelah siap membeli belah, M meminta untuk follow IG. Katanya dia akan ke Malaysia hujung minggu tersebut, dan mungkin memerlukan pertolongan dengan kenalan dari Malaysia. Aku terus memberi akaun IG ku.

Perjalanan kembara di Turki masih diteruskan ke Pamukkale, Kapadokya, Bolu, Ankara dan sebagainya. Tetapi perasaan yang aku harapkan masih juga belum hadir. Ya! Aku takjub dengan keindahan bumi Turki ciptaan Allah dan kesan sejarah Islam dan sejarah purbanya. Tapi semua itu belum cukup kuat untuk mencambahkan lagi rasa luar biasa dihatiku. Sampailah hari aku kembali semula ke Malaysia. Aku masih tertanya, kenapa aku tak dapat merasakan sesuatu yang luar biasa dalam kembara Turki ni? Memang mustahil akan ada perasaan setanding kembara bumi Haramain, tapi sekurang-kurangnya aku harapkan sesuatu yang luar biasa timbul.

Selepas beberapa hari tiba di Malaysia, aku mendapat mesej dari M. Dia mengatakan dia sudah berada di Malaysia dan ingin berjumpaku. Kami berjumpa dan aku juga memperkenalkan adikku kepadanya. Hampir 2 bulan M di Malaysia. Dia menyambut Ramadhan dan Syawal juga di sini. Sepanjang 2 bulan, kami berjumpa beberapa kali dan banyak berkongsi tentang kesukaran yang dialami olehnya dan saudara2 islam yang lain di bumi Syria. Ramai daripada mereka menjadi pelarian di Turki. Dia sendiri tinggal bersama bapanya di Bursa, ibunya masih di Damsyik keseorangan (tidak memdapat pas untuk tinggal di Turki), abangnya di Saudi, sepupunya di Jordan.

Keluarga mereka berpecah di pelbagai negara. Bapanya akan kembali sebulan sekali ke Syria untuk berjumpa ibunya. Dia ada bertanya kepadaku, “Siapa aku dalam tempoh 10 tahun”. “Aku menjawab, macam soalan interview. Dan aku mengatakan yang aku hanya harapkan aku akan berkahwin, mempunyai anak2 dan membina keluarga yang bahagia”.  Pastu aku pula bertanya pada dia, siapa dia 10 tahun akan datang. Dia mengatakan dia tak tahu hala tuju dia 10 tahun akan datang. Dengan kerja tetap yang belum pasti, dan keluarga yang terpecah, dia tak tahu. Perancangan 10 tahun dia selalu berubah-ubah. Aku merasa sedih mendengar jawapannya sambil membayangkan konflik di Syria.

Sejak mengenali M, banyak perkara tentang Syria aku mula ikuti. Aku mula mengikut page Syria Care. Aku selalu terkesan melihat penderitaan anak2 yang tak berdosa. Kelaparan, cedera di bom, hidup di dalam khemah, menjadi pelarian. Aku mula mencari jalan untuk mendapatkan duit lebih untuk menderma kepada aktiviti kemanusiaan Syria. Aku berusaha untuk melaksanakan korban di Syria. Bila pihak Syria Care berkongsi gambar korban yang telah dilaksanakan, aku menitiskan air mata kegembiraan. Aku mula terbayang2 anak2 Syria tersenyum menerima korban tersebut. Aku rasa bahagia sangattt.

Aku sentiasa menitiskan air mata bila terlihat video atau gambar2 penderitaan mereka. Aku akan share info2 dari Syria Care. Aku berharap orang lain juga ambil tahu tentang mereka. Biar mereka tahu, yang mereka tidak keseorangan. Kami di Malaysia tetap setia membantu mereka.

Sekarang, aku mula sedar. Mungkin inilah cara Allah memakbulkan doaku dulu. Doaku sebelum ke Turki. Aku inginkan perjalanan kembara yang memberi ibrah kepadaku. Yang memberi impak positif kepada jiwaku, kekuatan agamaku dan meningkatkan taqwaku. Kini, aku lebih mengikuti kisah di Syria, Palestin, Yamen, dll. Dulu aku mengikuti kerana rasa tanggungjawabku terhadap saudara Islamku. Tetapi kini, aku mengikuti dengan penuh perasaan cinta terhadap saudara Islamku dan agamaku.

M sudah kembali ke Turki tetapi kesan yang aku dapat dari sebuah pertemuan itu masih kekal utuh. Pertemuan yang mengubah cara aku berfikir dan bertindak. Pertemuan yang menjadikan aku lebih mensyukuri nikmat Allah, lebih mencintai saudara2 Islam seluruh dunia. Allah benar2 memakbulkan doaku dari cara yang tak pernah aku terlintas. Semoga Allah memberi pertolongan dan kejayaan dunia akhirat kepada M, keluarganya, saudara2 Islam Syria dan saudara2 Islam di dunia seluruhnya.

– Hamba Allah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *