Takdir Hidup Kita Tidak Sama

Assalamualaikum. Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan cerita saya. Saya pasti tiada siapa berimpian ingin menjadi seperti saya kerana perjalanan hidup saya yang berliku dan kurang bernasib baik.

Segalanya bermula pada tahun 2001, tahun di mana saya mengalah dengan takdir hidup saya. Di saat rakan seusia sedang membina kerjaya, mengukuhkan hubungan cinta untuk membina keluarga, Allah menguji saya dengan dugaan sakit. Saya terpaksa redha dengan ujian dariNya dan berhenti kerja disebabkan keadaan kesihatan yang mengganggu tugas saya sebagai kerani perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat yang mempunyai banyak rangkaian cawangan di seluruh negara.

Sejak dari tu, saya hanya lalui hari-hari saya dengan sakit berbisa yang datang dengan pelbagai jenis dan tempat di dalam tubuh yang saya sendiri tak pasti di mana dan bagaimana puncanya. Bila perubatan moden mengesahkan saya sihat sepenuhnya, saya beralih ke rawatan tradisional. Banyak duit simpanan ayah dan adik beradik saya digunakan untuk berubat. Saya juga terpaksa menggadai barang kemas dan menjual moto kesayangan yang saya beli hasil dari titik peluh saya sewaktu bekerja dulu.

Sakit yang bagaimana saya tanggung tu memang bermacam-macam jenis. Bertukar-tukar seperti bermusim. Tapi sakit yang paling teruk dah tentu makan dan minum seperti tercekik, hanya boleh tidor selepas azan subuh, ditindih dan bermimpi buruk tu dah jadi perkara biasa sampaikan berat badan dari 55kg pun susut sehingga tidak sampai 40kg. Antara yang paling menyiksakan lagi, seluruh tubuh rasa berbisa terutama di bahagian dada yang selalu sesak, perut sentiasa berangin dan tubuh yang adakalanya terlalu sejuk dan adakalanya menjadi begitu panas seperti disalai walaupun diluar hujan sedang turun dengan lebatnya.

Pernah pergi hospital minta doktor masukkan air tapi doktor cakap tak perlu sebab saya sihat dan suhu dalam keadaan normal. Pergi klinik swasta, doktor masukkan dua botol air tapi badan masih terasa panas. Bila refer kembali ke doktor dengan panas yang masih tiada kurangnya, doktor terus bagi nombor phone seorang ustaz supaya saya cuba berubat di situ. Katanya dari pengalaman dan ilmu kedoktoran yang dimiliki, sakit saya bukan sakit biasa.

Saya lalui semua kesakitan tu dengan kepayahan dan berikhtiar sana sini mencari penawar. Saya masih ingat, beberapa hari sebelum arwah tok saya meninggal dia tinggalkan pesan minta keluarga bawa saya berubat hingga sembuh. Dan saya juga tak pernah lupa dalam masa ayah saya sedang sakit dan lemah menjelang hari kematiannya awal tahun 2015, dia masih bersandar di sofa memikirkan nasib saya. Walaupun masa tu kesihatan saya semakin bertambah baik, dia tahu saya masih lemah n belum sembuh sepenuhnya. Tapi saya bernasib baik, dia tidak meninggalkan pesan supaya saya berkahwin. Kalau tidak, bagaimana la saya nak tunaikan hajat dia kalau nak jaga diri sendiri pun tak lepas.

Tapi dia tahu saya lebih mementingkan kesembuhan saya dari memikirkan pasal pasangan. Apatah lagi dia faham kekecewaan hati saya bila terpaksa melepaskan seseorang yang istimewa di hati saya disebabkan keadaan masa tu yang tidak dapat menjamin masa depan kami berdua. Dia tahu anak dia merana dan makan hati dalam diam apatah lagi dengan dugaan sakit yang belum berkesudahan. Tapi sebagai bapa kepada seorang anak perempuan, apala daya dia kalau sudah itu yang Allah takdirkan untuk saya. Bila sampai masanya arwah terpaksa”pergi”, dia tahu anak-anak dia yang lain takkan tinggalkan saya bersendirian dan akan terus beri sokongan dan berikhtiar membantu mencari jalan untk kesembuhan saya.

Bayangkan dari tahun 2001-2015, hidup saya hanya bersama keluarga. Tidak bertambah teman baru sebab saya hanya keluar bersama keluarga. Itupun keadaan saya terbatas mengikut tahap kesihatan. Ikut ke tempat shopping tapi lebih banyak duduk dari berjalan. Kenduri kendara pun jarang kecuali keadaan mengizinkan. Hari raya, saya hanya ke rumah saudara mara di kejiranan, selebihnya hanya duduk di rumah dan melayani tetamu yang datang. Di hari kenduri kahwin di rumah, saya terpaksa memencilkan diri kerana sering merasa rimas dikelilingi orang ramai.

Bahagia menerima ahli baru dalam keluarga tapi kemeriahan majlis tu tak dapat saya rasainya. Kiranya, rutin kehidupan saya begitu terbatas. Saya tidak boleh ke tempat hiburan, saya juga tidak boleh ke majlis ilmu. Segalanya seperti dikuasi oleh sesuatu yang membataskan saya dalam pelbagai hal. Tapi dengan adanya fb, saya dapat jmpa balik kawan-kawan sekolah dan rakan sekerja di tempat lama. itupun saya menolak untuk hadiri sebarang acara reunion sebab keadaan kesihatan yang tidak menentu dan kurang mengizinkan.

Dengan setiap keperitan dan kesusahan yang terpaksa saya lalui, ada seorang hamba Allah ni yang sedang ketawa dan begitu berpuas hati sebab niat dia nak lihat saya menderita, tak berkahwin dan masih sakit sampai sekarang tercapai seperti apa yang dia harapkan. Cuma yang dia nak tengok saya mati ja yang Allah belum izinkan. Tapi dia lupa, Allah kan ada. Selama ni Allah murahkan rezeki dia tapi digunakan rezeki yang ada untuk menyiksa insan-insan seperti saya demi kepuasan diri sendiri. Ya, Allah izinkan niat jahatnya tercapai sebagai ujian untuk saya, tapi Allah juga menguji sejauh mana dia sanggup berbuat jahat sesama manusia dengan nikmat-nikmat yang Allah telah beri padanya.

Hairan dengan manusia sebegini, tidak ingat matikah atau mungkin dia ingat tuhan-tuhan dia selain Allah tu boleh melawan Malaikat maut tatkala sudah sampai masa nak mencabut nyawanya nanti?Kenapa dia begitu zalim sehingga sanggup menyiksa hidup saya selama ni. ?Tapi tak perlu saya andaikan sehitam mana hati dia yang sanggup bersahabat dengan syaitan untuk kepentingan diri. Cukupla saya katakan sealim-alim insan-insan mulia yang tolong mengubatkan saya pun boleh menggelarkan dia sebagai binatang yg zalim sedangkan Hamba2 Allah ni sebenarnya begitu beradap sopan bila berkata-kata.

Untuk seseorg yang pernah berada di tempat yang istimewa di hati saya, semoga kamu bahagia dengan hidupmu. Mungkin sudah ada yang lebih baik menantimu di depan sana. Jujur saya tersiksa dengan perpisahan kita. . Takdir sudah tertulis kamu bukan untuk saya. Saya merana menanggung sakit saya n saya juga menderita kerana merindui kamu. Tapi siapa saya untuk mempersoalkan takdir Tuhan. Apapun, kamu anugerah terindah yang pernah Allah berikan kepada saya selain dari keluarga kesayangan saya.

Buat emak dan adik beradik semua, maafkan saya sebab menyusahkan hidup kamu. Saat saya sakit, Allah juga menguji hati-hati kamu semua. Terima kasih sebab kamu semua tidak mengabaikan saya dan berusaha dari segi wang ringgit dan tenaga membntu membawa saya ke sana sini merawat saya sampai ke tahap sekarang. Walaupun belum sembuh sepenuhnya, sampai ke tahap inipun sudah cukup buat semua menarik nafas lega dari dulu bilamana saya tidak boleh tidur ia juga mengganggu tidur kalian. Waktu saya pucat menahan segala sakit yang datang, kamu juga tidak keruan dan turut merasakan kesakitan n risau memikirkan sampai bila keadaan ini akan ada pengakhirannya. Kamu juga rajin membawa saya berubat di merata-rata tempat demi untuk melihat saya sembuh. Cakap saja di mana, ada masa, ada rezeki dan kemampuan kamu, kamu semua akan bergilir bawa saya berubat untuk sama-sama berikhtiar demi kesembuhan saya.

Sampai sekarang saya tak lupa bila seorang adik bercerita, waktu di sekolah dia melihat jam menjelang asar. Masa tu dia terfikir bagaimana keadaan saya di rumah sebab masa tu bila menjelang asar, sakit saya akan lebih memeritkan dan berlarutan sehingga ke azan subuh dan sering bertukar ganti jenis serangannya. Dan saya di rumah seperti bersedia dan terpaksa redha sakit apa pula yang akan saya tanggung hari tu. Lihat, itulah contoh betapa emosi adik beradik saya yang lain juga terganggu dengan keadaan saya. Tapi yang paling saya bersyukur, walaupun sekian lama saya ditimpa sakit misteri, saya tidak pernah dirasuk atau diserang histeria. Cuma seluruh tubuh saya lemah, berbisa dan tersiksa yang hanya Allah saja yang tau apa yang saya tanggung.

Tapi Alhamdulillah, sejak tahun 2016, saya mula ikut kakak saya berniaga, itupun bekerja mengikut kemampuan saja.. Adakala bertemu balik sahabat-sahabat lama. Walaupun belum sembuh sepenuhnya, saya bersyukur dengan perubahan suasana hidup saya. Saya juga berterima kasih sangat atas jasa para ustaz dan pengamal perubatan tradisional yang sama-sama berikhtiar meringankan beban sakit saya. Malahan ada antara mereka sudah dianggap seperti saudara yang masih saling bertanya kabar. Semoga mereka semua diberi kebahgiaan dunia akhirat kerana membantu Hamba2 Allah yang kurang bernasib baik seperti saya. Semoga ilmu dan kelebihan yang Allah berikan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah.

Dan hari ni, saya benar-benar bersyukur kerana Dia telah memanjangkan usia saya hingga ke hari ini. Dia tidak mengambil saya di waktu saya sakit untuk memberi peluang kepada saya untuk terus bersujud kepadanya. Sebagai balasannya, saya pula perlu bersyukur, memperbanyakkan doa dan lebih bersujud kepadaNya untuk memohan kesihatan yang lebih baik supaya dapat lebih beribadah kepadaNya. Bila cinta manusia tidak dapat saya miliki, semoga Allah membalas cinta saya kepadaNya di saat saya memerlukanNya.

Cerita yang panjang tapi dengan hanya satu impian. Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan dunia dan akhirat ku. Sesungguhnya tiada ucapan sebaik doa, moga yang baik-baik itu dimakbulkan olehMu Ya Allah. Aamiin.

– Zamzurina

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *