Assalamualaikum pembaca sekalian, moga dalam keadaan bahagia selalu…
Ceritanya bermula apabila kami sekeluarga berpindah menetap di kampung. Dipendekkan cerita, keluarga aku sederhana sahaja. Alhamdulillah kesemua keluarga perempuan aku tutup aurat dengan sempurna hasil didikan ayah dan ibu. Kehidupan kami sering dicemburui jiran tertangga kerana terlihat sangat bahagia dengan solat sentiasa berjemaah, makan semeja, gurau senda dan sentiasa ramah.
Namun semuanya mula berubah apabila kaum lelaki dalam keluarga kami berubah tiba-tiba menjadi panas baran. Bermula dengan ayah dan abang bertengkar. Masing-masing saling tidak sependapat, sehinggakan satu tragedi yang tidak pernah berlaku, pergaduhan besar antara ayah dan abang.
Abang melarikan diri sehingga seminggu baru pulang ke rumah. Apa yang aku perhatikan abangku sudah tidak seperti dulu, oh ya sebelum ini abangku bekerja mengikut shift. Kini abang sering tidak pulang dua tiga hari baru pulang.
Suatu hari terdengar khabar bahawa abang aku terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Jantung aku luluh mendengarnya dan aku tidak menyalahkan dirinya, kemungkinan abang aku terlalu tertekan dan terpengaruh dengan rakannya. Aku buntu dan tidak tahu untuk melakukan sebarang tindakan. Sehingga kini aku mendiamkan diri seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi.
Satu perbuatan abang aku yang aku puji, dia tidak pernah meninggalkan solat dan sangat menghormati ibu. Sebelum keluar bekerja dia akan minta izin dan bersalam dengan ayah dan ibu. Sikap ini masih kekal hingga kini, sehingga ayah dan ibu tidak mengesyaki apa-apa.
Yang menganggu pemikiranku sekarang ialah kegiatan abang, bagaimana cara aku hendak bantu dia keluar dari jalan hitam yang telah dia pilih. Doa tidak pernah putus supaya semua kembali seperti dulu, tapi aku tak kuat, kadang-kadang aku menangis mengenangkan kebahagian keluarga aku yang dulu.
Akhir sekali, nasihat aku, jadikan anak-anak anda sebagai sahabat anda, dengarlah pendapat mereka, nasihatilah mereka sebaiknya. Jangan jadi seperti abang aku, sekali ayah dan ibu terlepas pandang sekelip mata abang berubah memilih jalan yang salah.
Terima Kasih kerana membaca luahan aku. Doakan aku terus kuat dan abang aku berubah meninggalkan jalan hitamnya. Aku sayangkan dan rindukan kebahagiaan keluarga aku yang dulu.
– Anak ayah ibu
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit