Anak Syurgaku

Assalammualaikum. Nama aku Dell. Telah berkahwin selama 4 tahun. Aku berumur 29tahun. Hampir menjangkau 30s. Pasangan mana yg tidak mahukan zuriat selepas berumahtangga. Begitu juga dengan aku. Aku disahkan mengalami PCOS (polycystic ovary syndrome) dan retroverted uterus (rahim terbalik/kebelakang) yang merupakan penyebab untuk aku sukar hamil.

4 tahun aku ikhtihar. Dah tak berdaya nak melayan pertanyaan orang tentang zuriat. Bermacam tempat aku pergi berurut. Ada yang cakap rahim senget, rahim jatuh, rahim tinggi, bahkan ada juga yg cakap aku terkena gangguan. Tak kurang juga ada tukang urut yang bertukar jadi penilik dengan menyatakan aku takkan dapat ramai anak. Bermacam ubat dan vitamin juga yang aku telan utk mendapatkan period yg teratur dan ikhtiar hamil. Bermacam tips yg aku google dan cuba demi untuk mendapat gelaran seorg IBU.

Alhamdulillah, September 2018 aku disahkan hamil dengan izin Allah. Suamilah org pertama yg ku beritahu dan ternyata dia menangis kegembiraan mendengar berita yg kusampaikan. Alhamdulillah, aku tiada alahan yg teruk semasa hamil. Aku menghargai sepenuhnya rasa loya dan muntah yg diberi tanpa rasa mengeluh. Ya, aku seronok melayan rasa loya dan muntah kerana aku tahu aku sedang membawa 1 nyawa bersama. Semua yg aku terasa nak makan, suamiku akan berusaha untuk dapatkan. Aku dimanja dan dijaga sebaiknya.

Dalam aku seronok dan gembira dgn kedatangan bakal ahli baru, aku lupa. Aku hanya mampu merancang. Yang sebaik2 perancang adalah Allah. 31/11 hasil dari ultrasound mendapati jantung anakku telah terhenti pada usia kandungan 16/52. Tiada suara yg mampu kulontarkan saat doktor menenangkan diriku. Seperti baru sahaja kami melihat jantungnya berdegup laju pada skrin ultrasound 2 minggu yg lepas. Doktor memberikan masa seminggu untuk anakku keluar sendiri tanpa bantuan ubat. Sampai dirumah, aku menangis semahu mahunya dibahu suami. Aku menyalahkan diriku sendiri. Aku membiarkan diriku penat tanpa rehat.

Aku rasakan diriku kuat sedangkan aku lupa aku sedang membawa satu lg nyawa didalam rahimku. Aku tidak pandai menjaga diri dan kandungan. Aku terus terusan menyalahkan diri. Pada ketika ini baru aku tersedar. Rasa loya dan muntah sudah tidak kurasa selama lebih kurang 1 minggu. Semua simptom hamil yg kualami tidak kurasa lagi. Seminggu tempoh yg diberi doktor kuhabiskan dgn bertemankan airmata. Aku usap perut sambil bercakap dengannya. Ku harap semoga ada keajaiban yg berlaku dlm tempoh yg diberi doktor.

Genap seminggu aku kembali ke hospital untuk melakukan ultrasound sekali lagi sebelum apa-apa keputusan dibuat. Kali ini kami dah redha jika kandunganku ini berakhir disini. Pengesahan kali kedua dilakukan dan ternyata keputusannya sama. Aku kelihatan lebih tenang kali ini. Tiada air mata. Cuma redha dengan ketentuannya. Aku dimasukkan ke wad dan doktor memberikan ubat untuk membantu dalam bukaan pintu rahim bagi mengeluarkan anakku.

1 jam selepas ubat diambil, aku mula merasakan sakit di bahagian perut. Sakit seperti senggugut, memulas mulas. Tak dapat kuhuraikan kesakitan yg kurasa. Aku tidak pernah tau bagaimana rasanya sakit bersalin tapi yg pasti tak pernah kurasa sakit sebegini. Sakit yg kurasai semakin kuat. Kelihatan darah mula keluar. Sakitku tidak lama. Allah mudahkan urusanku. Selepas 4jam, anak syurga, zuriat yg kami suami isteri tunggu selama 4 tahun dilahirkan. Cukup sifat. Alhamdulillah.

Kini aku dalam tempoh berpantang. Aku dah lama redha dengan ketentuan Allah. Aku yakin dgn perancangan yg diatur. Sesekali bila teringat aku duduk seorang diri menangis. Sungguh aku rindu saat-saat mengandung. Rindu untuk rasa loya dan muntah. Tapi sekurang-kurangnya aku bersyukur. Aku diberi peluang untuk merasa hamil. Diberi peluang untuk menikmati saat manis semasa mengandung. Jika dibandingkan dengan wanita diluar yang sudah berpuluh tahun ikhtiar namun masih belum diberi rezeki untuk mengandung, aku lebih beruntung. Alhamdulillah.

Allah tak beri apa yang kita nak. Tapi Allah beri apa yg kita perlu. Dan aku bersyukur aku masih ada suami yg memahami, menyayangi dan sentiasa disisi. Semoga hati aku redha seperti mana mulutku yang berkata redha. Doakan aku diberi kekuatan untuk menghabiskan sisa2 hari berpantang yg tinggal.

Untuk anak syurga umi, tunggu umi dan babah disana sayang.

– Dell

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *