Boleh juga baca, (https://iiumc.com/gila-gila-musim-tengkujuh/).
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua. Sekalung penghargaan kepada admin yang budiman atas kesudian menyiarkan lagi cerita saya dan terima kasih buat para pembaca yang sudi meluangkan masa berharga anda semua.
Kali ini, Budak Kampung ingin menyambung cerita seterusnya tentang suka duka adik beradik ramai sebagai perkongsian sebahagian daripada cebisan kehidupan kami. Jom baca!
1) Permainan
Walaupun dah cukup pemain memandangkan kami 14 beradik, tapi kami tetap menjemput pemain-pemain import untuk beradu tenaga bersama. Muncullah jiran-jiran yang sebaya dengan kami dari setiap pelusuk kampung. Main apa? Sebutlah apa sahaja nama permainan, semua kami dah main. Bola padang, police entry, teng-teng, masak-masak, cikgu-cikgu, guli, congkak, lompat tali dan banyak lagi. Paling best, main baling tin (tak tahu la korang panggil apa)..
Memang permainan ni sangat popular di kampung waktu tu. Semua berkumpul depan rumah kami. Pengadil tak bertauliah pun ada sekali. Masa permainan sengit, berdebarnya lain macam. Macam tengah tengok bola sepak Malaysia vs Thailand je gambarannya. Tak sia-sia kami kumpulkan tin susu banyak-banyak. Berguna juga untuk sihatkan badan dan akal, hehe..
Paling geli pulak, main kahwin-kahwin. Ada la anak jiran sorang tu yang paksa main bersama. Shopping bersama (beli guna daun pokok je pun), masak bersama, siap ada yang berlakon jadi anak kami. Beria betul dia berlakon jadi isteri. Gedik semacam.haha..sekarang dah besar dan bila berjumpa, jadi segan pulak. Apabila ingat balik, menyesal pulak setuju nak main.. ahaks.
2) Belalang Kunyit
Biasanya waktu cuti sekolah, dah siap semua kerja sekolah, keluarlah kami memburu di bendang padi. Kat situ memang port belalang kunyit melepak dan bersuka ria riang gembira. Belalang hijau yang biasa tu pun ada. Kalau kena dengan musim belalang berkumpul, rezeki betul. Kami tangkap dan bawak balik rumah dengan teruja. Tibalah giliran emak dan nenek buat kerja. Mereka siangkan belalang tu dan terus goreng. Rangup betul time makan,kruk krak kruk krak gituuu. Rugilah kalau korang tak pernah rasa belalang ni..hehe.
3) Rewang
Amalan dan tradisi daripada dulu dan alhamdulillah masih lagi kekal sampai sekarang. Segar lagi dalam ingatan, ada je orang kahwin, ramai-ramai orang kampung pergi ke rumah pengantin untuk menolong apa yang patut. Sama juga masa kakak sulung kahwin, begitulah suasananya. Ada team yang proses santan (pecahkan kelapa dan kopek satu-satu), team potong daging dan ayam, team siapkan pinggan dan bekas hidangan, team bawang, team beras dan lain-lain. Semua buat kerja dengan sukarela tanpa upah untuk menjayakan majlis.
Betapa ukhuwwah waktu itu begitu utuh. Seronoknya waktu tu. Takde kanopi macam sekarang, hidangan untuk tetamu diletakkan dalam talam. Tetamu akan makan secara berkelompok. Merasa jugak la bersusah payah mencuci pinggan kaca untuk digunakan tetamu seterusnya. Doorgift? Biasanya bagi telur rebus sebiji yang diletakkan dalam bekas lawa. Rare tapi penuh bermakna. Memang tak jumpa dah sekarang ni.hehe..
4) Basikal
Inilah pengangkutan utama kami adik beradik. Ke hulu ke hilir konvoi sama-sama. Berderet je macam kereta api. Nak pergi padang ke, nak ronda-ronda kampung ke, nak pergi surau ke, nak bagi makanan kat jiran ke, basikal la yang paling berjasa. Bahkan,nak pergi sekolah pun kami berbasikal. Dah jadi trending waktu tu. Tapi, takde la satu basikal seorang. Kongsi-kongsi. Bukan semua ayah mampu belikan. Ada orang lain sedekah jugak. Abang dan kakak akan tumpangkan adik di belakang. Tak kira la hujan ke panas ke, tetap berbasikal. Kami tahu, kami bukan orang senang. Guna sahaja apa yang ada.
5) Berkebun
Kata orang-orang tua: ” Tak rugi jika berbakti kepada tanah”. Itulah yang ayah dan mak ajar kepada kami adik beradik. Biasanya waktu petang atau hujung minggu, kami beramai-ramai membanting tulang di kebun. Belajar tanam kacang panjang, terung, nenas, jagung, tebu dan pisang. Kalau bertandang ke rumah kami, boleh nampak sekeliling rumah penuh dengan tumbuh-tumbuhan. Tinggal petik sahaja bila dah sampai masa. Nikmat rasanya bila dapat hasil. Rasa pun enak dan puas hati. Berbeza dengan beli kat kedai atau pasar raya. Berkebun sebenarnya mengajar kita erti kesabaran, selain memahirkan diri dengan ilmu-ilmu perkebunan yang lain. Bila rajin, semua menjadi!
6) Kunang-Kunang a.k.a Kelip-Kelip
Binatang ni memang special di hati kami. Biasanya kalau keluar rumah waktu malam,ada sahaja kelip-kelip berterbangan bebas. Kami tangkap dan main. Jadi pameran dan bahan eksperimen. Paling syok, letak dalam kelambu di tempat tidur dan matikan lampu. Jadi lampu tidur semulajadi kami. Seronok sangat macam dibuai-buai untuk tidur. Terima kasih Encik Kelip untuk tidur kami yang lebih berkualiti. Sekarang dah susah nak jumpa. Mungkin kesan pembangunan yang makin pesat.
7) Berudu
Rasa bodoh sangat apabila teringat cerita ini. Saya,adik dan abang main-main di depan rumah jiran berhampiran jalan raya kampung. Ada parit kecil kat situ untuk saluran air. Bersinar mata kami bila tengok banyak ikan kecil berenang-renang ayu di dalam parit tu. Apa lagi, terus kami terkam dengan rakusnya. Berpesta air menangkap ikan-ikan yang tak berdosa. Hasilnya, penuh dua balang. Bersorak gembira bawak balik rumah tunjuk kat mak. Tup-tup, dimarahi mak pulak sebab tu ikan berudu. Baby katak. Mana la kami tahu..buat penat je tangkap..haha..buang la balik belakang rumah..
Itulah kenangan dan memori kami adik beradik. Satu detik terindah yang tak mungkin akan kembali berulang, walaupun kami sangat mengimpikannya. Yang penting, itu semua banyak mengajar kami menghargai nikmat hidup yang dikurniakan kepada kami sekeluarga.
Terima kasih…
– Budak Kampung
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit