Assalamualaikum dan hai semua. 12 tahun yang lalu ketika awal kehamilan anak pertama aku dan suami telah bercadang membeli sebuah kereta perodua Myvi untuk memudahkan aku ke tempat kerja, sebelum ini aku menunggang motosikal sendiri begitu juga suami menunggang motosikal ke tempat kerja masing-masing berasingan.
Usia anak pertama baru mencecah 1 tahun 4 bulan aku telah dikurniakan anak kedua. Dalam masa sama aku sedang menyambung pelajaran dan kami ketika itu telah memiliki rumah sendiri. Oleh sebab keadaan kewangan yang masih tidak stabil, kami mengambil keputusan untuk menjual kereta tersebut dan membeli kereta second hand dengan komitmen bulanan yang lebih rendah dan pinjaman tahunan yang lebih singkat.
Cerita bermula di mana, hutang bank melebihi harga jual kereta-bermaksud kami perlu menyediakan wang tambahan untuk membayar loan bank. Kawan suami menolong kami dengan cara mencari orang yang ingin sambung bayar kereta. Urusan sambung bayar kepada A berjalan lancar dengan surat hitam putih persetujuan dengan cop pesuruhjaya. Dalam perjanjian cuma menyatakan A akan bertanggungjawan atas loan bank dan segala saman tetapi aku terlepas pandang mengenai perbincangan kami iaitu selepas habis hutang bank baru pertukaran nama dilakukan tidak dimasukkan dalam surat perjanjian.
A membayar komitmen bulanan dan semua saman dengan baik tetapi aku tidak tahu sebenarnya A menggunakan kereta tersebut sebagai kereta sewa dan akhirnya ingin menjual kereta tersebut di mana satu hari A menelefon untuk memberitahu dia sudah menjual kereta tersebut kepada B, iaitu seorang bukan warganegara, lebih tepat negara Oman/Arab. Aku kurang pasti. B ingin membayar semua baki loan bank dan aku perlu ke bank untuk mengambil geran dan perlu tandatangan borang bank yang berkaitan. Bila aku tanya berkenaan tukar nama A serah bulat-bulat untuk aku berurusan sendiri dengan B.
Setelah 2 tahun tiada khabar berita dari B (telefon dan mesej tidak berbalas)berkenaan tukar nama kereta. Atas nasihat keluarga aku telah membuat report polis menyatakan aku tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang saman dan perkara berkaitan kereta tersebut setelah A menjual kereta kepada B dengan bukti surat perjanjian A, pihak polis berkata mereka tidak dapat membantu untuk aku paksa A atau B untuk menukar nama kereta, aku boleh cuba untuk dapatkan perintah mahkamah sahaja. Masa tu aku macam dah give up dan tiba-tiba aku dihubungi seorang melayu C yang memberitahu B telah menjual keretaku pada D,iaitu seorang pelajar warganegara Oman juga, dari situ baru aku tahu di ibu kota memang aktif hal penjualan kereta kepada pelajar-pelajar luar negara.
Tujuan C menghubungi aku adalah ingin aku menukarkan nama kereta kepada beliau atas permintaan D iaitu anak angkatnya yang telah pulang ke Oman semula. Aku minta surat hitam putih dan akhirnya C rasa hal ini sangat rumit kemudian C serahkan kereta pada E, iaitu seorang warganegara Oman juga dan dia juga aktif menjual kereta dan menyediakan kereta sewa bagi pelajar-pelajar luar negara. Aku xtahu jika perniagaan mereka ini sah (kerana mereka bukan warganegara malaysia) dan di sini aku terfikir adakah aku sorang yang mengalami perkara seperti ini, kereta dijadikan kereta sewa dan dijual sesuka hati. Mereka ini juga seperti takut untuk tukar nama.
Akhirnya, kereta tersebut E jualkan pada pelajar warganegara Oman yang lain dan aku berjaya tukar nama dan urusan Alhamdulilah dipermudahkan. Mungkin nama-nama dalam cerita aku ini mengelirukan dan cerita aku ini tidak menarik, aku minta maaf, kerana niat aku untuk berkongsi cerita dan ingin tahu jika ada yang senasib denganku. Aku tahu masih ada mereka yang jujur setelah habis bayar dan tukar nama.
Cerita ini juga kalau boleh sebagai pengajaran untuk mereka-mereka yang bercadang nak jual kereta secara sambung bayar dan jika ada nasihat-nasihat,pengalaman dan cara mengatasi perkara seperti ini berulang. Terima kasih admin dan semua yang sudi membaca.
– Anonymous
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit