Pelajar Kesayangan Abang

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua. Terima kasih admin jika cerita aku ini disiarkan. Aku nak cerita tentang abang aku, Abang Man dan seorang pelajar perempuannya, Kak Tin.

Abang aku seorang guru dan berumur awal 30-an. Kak Tin pulak waktu tu berumur 17 tahun. Memang jauh beza jarak umur mereka, namun orang kata kalau dah jodoh tak ke mana. Abang Man berkenan dengan Kak Tin, seorang pelajar yang pandai, sopan, baik akhlak dan rajin, juga manis dipandang.

Tahun 2011, mereka selamat diijabkabulkan. Daripada seorang pelajar, Kak Tin menjadi suri hati Abang Man. Kami sekeluarga menerimanya dengan gembira. Mereka bahagia bersama dan bertambah gembira apabila dikurniakan cahaya mata lelaki 3 tahun kemudian, itu pun selepas kehilangan anak pertama disebabkan keguguran. Ujian pertama buat mereka.

Ujian seterusnya berkunjung tiba. Kak Tin tiba-tiba lemah dan kurang sihat. Kerap kali mengadu sakit di bahagian dada. Batuk tak henti-henti. Awalnya ingatkan demam biasa atau keletihan, tetapi lama kelamaan makin teruk. Terus dirujuk di hospital.

Hasil pemeriksaan amat mengejutkan kami semua. Kak Tin disahkan menghidap kanser payudara. Waktu itu kedua-dua belah keluarga berusaha sedaya upaya untuk merawat Kak Tin. Ramai pengamal perubatan kami dah pergi, hatta di luar negeri. Keadaan Kak Tin sekejap baik, sekejap lemah, tak menentu.

Setelah puas mencuba, hospital jua ikhtiar terakhir kami. Pembedahan berjaya dilakukan untuk membuang ketumbuhan dan sebelah payudara Kak Tin terpaksa dibuang. Di situlah kanser makin merebak dan membesar.

Alhamdulillah, keadaan kembali normal. Kak Tin waktu itu masih belajar, menyambung diploma selepas persekolahan. Bayangkan, dengan komitmen belajar, komitmen keluarga dengan anak kecil, dan melawan penyakit, Kak Tin memang seorang wanita yang sangat kuat dan tabah. Banyak kali terpaksa berpisah dengan anak untuk proses rawatannya. Sedikit pun dia tidak menunjukkan perasaan sedihnya, sentiasa tersenyum dan bergurau. Mungkin tak nak kami risau dan bersedih.

Hari dan tahun berlalu, anak mereka pun semakin membesar. Menganjak ke umur 3 tahun, ibunya diserang lagi simptom yang sama. Tuhan menguji lagi. Kali ini makin teruk, batuk memang tak berhenti sampaikan susah nak tidur, sesak nafas dan lemah nak berjalan. Kami tak menyangka penyakit lama datang kembali. Sel barah dikatakan aktif kembali dan sudah menyerang paru-parunya.

Kak Tin waktu ini baru selesai menamatkan pengajian diplomanya yang sekian lama tertangguh. Hanya sebulan sahaja lagi Majlis Konvokesyen. Semuanya berlaku dengan cepat. Kak Tin makin lemah dan tak berdaya. Abang Man yang banyak membantu mandikan, bagi makan dan bawak ke bilik air.

Dalam sakit dan lemah, Kak Tin tak pernah tinggalkan solat. Tetap menjaga aurat dengan baik. Stokin kaki dan tangan minta dipakaikan jika ingin ke hospital, seperti kebiasaannya di waktu sihat. Suatu hari, Kak Tin tiba-tiba tak sedarkan diri setelah mengadu sesak nafas. Terus dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Dimasukkan ke Intensive Care Unit (ICU). Kak Tin diberikan bantuan pernafasan melalui oksigen. Ditempatkan di Zon Merah.

Waktu genting ini, semua ahli keluarga berkumpul di hospital. Tak putus-putus memanjatkan doa dan solat hajat untuk kesembuhan Kak Tin. Mengharapkan keajaiban berlaku, tak sanggup kehilangan insan mulia seperti Kak Tin. Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Keadaan Kak Tin semakin tenat, air memenuhi paru-parunya dan pernafasan hanya bergantung kepada mesin. Ahli keluarga dibenarkan melawat berdua-duaan sahaja. Sebak melihat keadaan Abang Man dan anak mereka yang masih kecil tidak mengerti apa-apa.

Allah lebih menyayangi Kak Tin, doktor terpaksa mencabut mesin oksigen kerana keadaan Kak Tin tetap sama, hanya bergantung kepada mesin sahaja. Kak Tin disahkan meninggal dunia, pergi buat selama-lamanya. Esak tangis memenuhi ruang menunggu di Zon Merah. Deraian air mata tumpah jua menangisi kehilangan.

Sebak, sedih, terkejut bercampur baur. Bukan menidakkan takdir Ilahi, lumrah manusia yang lemah menangisi pemergian yang tersayang. Lagi sedih melihatkan Abang Man dan anak kecil yang tak habis-habis bertanya tentang ibunya. Moga Allah memeliharamu wahai anak. Allah sahaja yang tahu kepedihan hati kami.

Abang Man kehilangan teman hidup, kehilangan ibu kepada anaknya, juga kehilangan pelajar kesayangannya. Hampir dua tahun Kak Tin pergi meninggalkan kami, Abang Man masih meneruskan hidup membesarkan anak. Kubur Kak Tin diziarahinya setiap hujung minggu tanpa gagal. Anaknya dibawa bersama, makin lama makin anak itu memahami bahawa ibunya sudah tiada.

Sejak ketiadaan Kak Tin, Abang Man tak pernah tidur di bilik mereka, tempat yang penuh dengan memori mereka. “Kak Tin, anak Kak Tin dah besar. Tahun depan dah masuk tadika”. Aku sebak melihat anak itu dibawa ayahnya untuk mendaftar di sekolah. Tanpa ibunya di sisi.

Tatkala anak-anak yang lain gembira ditemani ibu dan ayah masing-masing. Dia tidak lagi boleh merasa pelukan kasih sayang seorang ibu, tidak lagi mampu mengadu dan bermanja. Waktu bermain dengan sepupu-sepupu sebaya dengannya, anak-anak yang lain menerpa ibu masing-masing untuk disuap makanan, dia pula tercegat di situ tak tahu nak menerpa siapa. Hanya ayahlah segala-galanya buat dia.

Sungguh berat ujian buatmu wahai anak syurga. Sungguh, mereka orang hebat kerana diuji dengan ujian yang hebat. Moga syurga buatmu Kak Tin. Kami menyaksikan jutaan kebaikanmu, tenanglah Kak Tin di sana. Al-Fatihah.

Sekian, terima kasih.

– Mawar

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *