Salam semua. Lusa merupakan dividen ke-empat aku dengan ASB Financing. Loan RM200k, faedah loan 5.25%. Mula 1/3/2015. Ada ambil takaful (lebih kepada terpaksa sebenarnya). Tak ‘rolling’ (i.e. gunakan dividen untuk bayar loan tahun kedua dan seterusnya), jadi setiap bulan, bayar macam biasa.
Masa mula-mula, bayar dalam RM1,223 sebulan, tapi Ogos 2016 gitu BNM turunkan interest rate, jadi komitmen bulanan ASB loan pun turun ke RM1,201. Semua jumlah, %, tarikh yang aku tulis ni yang sebenar-benarnya, bukan seperti ilustrasi2 yang banyak sifu bagi. Meh nak cerita sikit kejutan2 yang aku dah hadapi 4 tahun ni hehe.
Dividen setakat ini :
2015: RM13,383.34 (Tahun ni dividen 7.25% +0.5%*, tapi sebab start Mac, jadi tak dapat full 12 bulan)
Jumlah loan setahun RM1,223 x 12 = RM14,676
Sebab jumlah loan tahunan lebih RM1,292.66 dari dividen 2015, kalau nak rolling tahun 2016 pun tak boleh dan kena top up sikit. Nak tak nak memang kena sambung bayar bulan2 koh koh koh.
2016: RM14,601.74 (dividen 6.75% + 0.5%*)
Jumlah loan setahun (lain sikit sebab ada pengurangan bayaran bulanan) [(RM1,223 x 8) + (RM1201 x 4)] = RM14,588
Duit lebihan dari jumlah loan setahun adalah RM13.74. Haha. Dah boleh start rolling dan RM13 tu beli dinner plate KFC, sebab dividen dah lebih dari komitmen tahunan, tapi aku tak buat sebab aku nak dividend aku berkembang every year. Hasilnya:
2017: RM16,628.92 (7.25%)
2018(unjuran): RM17,122.98 (7%)
Ni nak cerita sikit kenapa aku decide untuk ambil ASBF, ambil takaful, dan nak kongsi apa aku dah belajar sepanjang 4 tahun ni.
1. Ada kebarangkalian bayaran bulanan naik dan turun, sejajar dengan perubahan kadar faedah semasa. Pastikan anda ada ruang untuk bernafas jika bayaran bulanan naik ya. Satu lagi, kalau kita buat ASBF ni tengah tahun, maka dividen tahun pertama pun akan kena ‘prorate’ ya. Januari adalah masa yang terbaik untuk start ASBF, kalau masuk hujung tahun, yang untung hanyalah komisyen dan KPI bankers. Kikiki
2. PNB boleh ubah terma bonus tu ikut suka hati mereka. Dulu bonus tu dia kira purata pegangan dalam 10 tahun (yang ada %* tu), mungkin masa depan dia ambil baki terendah tahunan (macam yg Tabung Haji cadang nak buat dulu tapi Jibby tak kasi). Tahun lepas dan tahun ni, bonus tu tambah je terus pada kadar dividen. Senang. Mungkin juga kalau ekonomi asyik sakit je, takde langsung bonus tu dan akan jatuh bawah 7%.
3. Takaful untuk long term. Jangan ambil takaful kalau nak gunakan ASBF sebagai cara untuk ‘memaksa’ diri menyimpan untuk jangka pendek. Tak kisah lah nak simpan untuk kahwin ke, sambung belajar, downpayment rumah ke dan lain-lain. Kalau ikut sifu asbf, asbf ni selalu orang buat untuk menyimpan dalam tempoh 5 tahun. Yang bestnya, sebab ambil islamic loan, takde kewajipan untuk pegang loan sampai ke penghujungnya (ie 25 atau 30 tahun). Berbanding dengan conventional loan yang ada denda pembayaran awal (rule of 78). Jadi bila dah tak mampu, atau perlukan duit, cancel je loan tu. Lepas 5 tahun dah tak ada denda kalau buat islamik loan. Yang paling bagus, pecah loan kepada 4 (kalau ambil 200k). Jadi ada lebih kelonggaran untuk kurangkan komitment bulanan bila muncul kecemasan. Cancel satu je pinjaman, 3 lagi masih jalan dan duit bulanan ada extra RM300.
Kenapa aku ambil takaful? simple, sebab Bank tu cakap wajib ambil kalau tak dia tak nak luluskan loan. Dorang ada kpi insurans kena kejar. Boleh je aku cari bank lain, tapi sebab cawangan tu banyak uruskan loan untuk staff tempat aku kerja dan sekangkang kera je dari ofis, jadi aku relakan je lah diperlakukan sedemikian rupa.
Rupa-rupanya ada hikmah, sebab bila fikir balik, aku anak sulung, dan alhamdulillah dapat kerja yang ok, dan adik2 pulak tengah sekolah lagi. Risau jugak sebab bila bila je kan kita boleh ditimpa musibah, jadi kalau ada takaful tu, insyaaAllah, apa-apa jadi dekat saya, family boleh dapat RM200k tu terus, walaupun baru sebulan start ASBF. Kalau aku tak ambil ASBF dan hanya mencarum jumlah bayaran loan RM1,201 sebulan dekat ASB, dengan kadar dividen ASB 7% sekarang ni, lepas 10 tahun baru ada RM200k dalam akaun ASB tu. So takaful ini adalah usaha untuk membantu ahli keluarga. Tak kisah lah kita dapat berapa sebulan pun gaji, kalau Allah nak uji, anytime je kita boleh hilang sumber pencarian. Kita merancang, Allah menentukan.
4. Dulu ASB tu senang2 je boleh bagi 10%. Zaman gawat macam ni, 7% pun dah kira bersyukur dah. Tidak ada guarantee yg 7% tu akan kekal selama2 nya. Tapi buat masa sekarang, not bad lah, sampaikan non Bumi semua jeles. Siap ada yg pakai proksi lagi dengan bumiputera untuk rebut peluang ni. Cuba ceritakan mana lagi yg boleh jana 7% konsistenly setiap tahun dan ada sokongan dari government. Fixed deposit nak dapat 5% pun susah. Kalau buat bisnes sebagai ahli lelap mungkin boleh dapat lebih tinggi dari 7%, tapi ada risiko kena tipu sampai kita pun tak boleh nak lelap malam. Ni kita cempak je duit dan lupakan. Hujung tahun collect duit sepak. Nice kan?
5. Sebelum orang ulas pasal ASB tak shariah compliant lah, mari kita lihat fatwa kebangsaan kata apa. Antara saham yg ASB masih pegang yang tak patuh adalah Maybank, dan sebab pegangan pun adalah untuk kemaslahatan ummah. Sebab takde Bank islamik lain yang sebesar Maybank, adalah bahaya untuk PNB tidak masuk untuk mewakili kepentingan bumiputera di Bank-bank utama Malaysia. Insyallah, ASB pun dah menyatakan komitmen nak jadi full shariah. Tapi kalau takde duit dari kita semua, camna lah dia nak beli saham2 Bank-bank ni untuk push agenda memisahkan Maybank Islamic dan merge dengan bank islam yang lain untuk jadikan bank islam terunggul gitew. Kalau kita lihat, KWSP pun dah lancarkan tabung shariah, sebab dah makin ramai orang Islam yang ada pegangan yang tinggi dalam KWSP. Ye la, zaman dulu orang Islam ramai kerja gomen, tapi sekarang dah makin ramai orang Islam yang hebat dan bergaji tinggi di sektor swasta.
6. Ada fatwa mengatakan ASB loan tidak perlu dizakatkan setiap tahun, tetapi hanya bila kita terminate loan dan memiliki sepenuhnya akaun ASB tersebut atau bila kita keluarkan dividen untuk kegunaan persendirian (itupun zakat 2.5% dari jumlah pengeluaran tersebut). Bila kita ambil ASB loan, sijil ASB kita, Bank akan pegang sebagai cagaran, jadi kita tak ada kuasa untuk memindahkan duit ‘principal’ itu. Oleh yang demikian, kita tidak mempunyai ‘full control’ terhadap aset tersebut dan tak kena zakat.
Akhir kalam, pastikan bajet bulanan kita betul. Ada kawan sekerja nasihatkan saya, ada masanya, untuk dapatkan lebih banyak, kita kena berbelanja lebih banyak berbanding menyimpan. Contohnya perbelanjaan akademik dan skills, sedeqah dan amal jariah serta alatan-alatan untuk memaksimumkan pendapatan sampingan kita. Jangan disebabkan kita ingin simpan RM1, kita menutup RM10 rezeki kita. Jangan juga disebabkan mengejar digit di skrin komputer, kita korbankan kebahagiaan keluarga, nafkah isteri dan anak-anak serta kewajipan membayar hutang.
Sekian, wasalam. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Amin.
– Menabung amalan mulia
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit