Apa Pilihan Yang Aku Ada?

Selamat tahun baru kepada admin dan semua pembaca. Terima kasih admin kerana sudi kongsi kisah saya.

Kita tahu kesedaran pasal kesihatan mental sudah mula meningkat di Malaysia. Terima kasih kepada doktor dan NGO yang giat membicarakan tentang isu ini di televisyen, radio dan media social. Alhamdulillah la ramai rakyat Malaysia sudah mula peka dan mula memberi sokongan kepada usaha ini. Apa yang aku boleh kata, solusi terbaik kepada masalah mental adalah kau pergi dapatkan bantuan secepat mungkin daripada doktor pakar atau kaunselor sebab mereka arif tentang hal ini dan mempunyai rawatan yang sesuai.

TETAPI………. aku tertanya-tanya, macam mana dengan orang yang ada anxiety/overthinking ya? Bukan kah mereka ada perasaan takut yang melampau. Dengan orang sekeliling pun mereka cuba elak berkomunikasi, macam mana mereka nak luahkan masalah dekat orang yang dia tak kenal. Mesti korang pelik kan pertanyaan aku? Aku tanya sebab aku syak aku ada masalah tu la. Sekarang aku masih tak buat pemeriksaan dengan doktor sebab aku takut. Setiap kali aku buat keputusan untuk buat pemeriksaan, setiap kali tu la aku fikir macam-macam. Ada je kepala otak aku ni bagi alasan atau persoalan. Aku syak aku ada penyakit OCD juga. Tapi apa yang menghalang aku daripada dapatkan bantuan adalah anxiety ni.

Aku cuba la cari alternatif lain, tapi kebanyakkan bantuan yang diberi hanya telefon dan jumpa depan-depan. Aku ingat mereka ada sediakan perkhidmatan SMS ke, whatsapp ke, wechat ke. Tapi malangnya takde. Kenapa aku lebih suka perkhidmatan yang demikian? Satu, sebab orang tak kenal kau sangat paling kurang pun nama sahaja. Kedua, aku boleh karang ayat siap-siap. Aku boleh baca semula dan perbaiki ayat aku supaya orang mudah faham. Yelah kalau cakap, sekali je kau sebut. La tengah takut, cakap mesti serabut punya. Lama-lama menyampah lak orang nak dengar. Ketiga, aku ni mudah terasa dengan riak muka orang, gerak badan orang. Sensor mata aku ni laju la pula waktu-waktu ni, macam bodoh je kan waktu belajar lambat nak mampus. Bila cakap dengan orang je, tangkap je imej terus hantar kepada otak aku. Nanti mula la fikir macam-macam.

Aku berpendapat yang walaupun manusia mulut cakap lain tapi riak muka dan gerak tubuh badan boleh maksudkan benda lain (Korang fahamkan????). Aku pernah jumpa kaunselor tapi tak berhasil la. Aku masih tak berani nak ceritakan masalah aku sepenuhnya. Bayangkan sedang sesi kaunseling, otak aku sibuk kata macam-macam. Aku boleh cakap mesti kaunselor ni tengah bosan dengar cerita aku. Alahai benda ni pun nak cerita dan banyak lagi………. Sekali tu je la aku pergi. Lawakkan tapi tu la realiti aku. Aku faham kaunselor atau doktor mereka diajar untuk tidak ‘judgemental’ tapi ni bukan salah doktor. Aku rasa memang aku bermasalah.

Bila difikirkan balik, masalah aku ni dah lama sejak sekolah menengah lagi tapi yelah waktu tu mana ada isu ni pun sangat. Kalau ada pun waktu matrik, kaunselor ada menceritakan satu dua kes masalah mental seperti basuh tangan sampai berdarah dan tak pergi kuliah sebab sibuk kemas bilik. Waktu dulu masalah aku tak berapa ketara sangat jadi aku tak perasan. Jadi aku teruskan kehidupan aku macam biasa walaupun ada beberapa perkara yang jelas menunjukkan aku ada masalah mental. Sekarang benda tu jadi teruk sampai aku buntu tak tahu nak buat apa dah. Rasa mengalah pun ada. Lagi satu, keadaan sekeliling aku juga memberi kesan kepada masalah mental aku.

Aku generasi Y. Mak ayah, pak cik mak cik, cikgu, pensyarah aku generasi yang wujud lepas kemerdekaan. Waktu tu zaman baru nak pulih dan berkembang. Kebanyakan mereka hidup susah. Mereka berkerja keras untuk berjaya. Kau dengar jelah celoteh mereka pasal zaman sekolah, macam-macam mereka atasi. Generasi Y kira hidup senang sikit la, ada kemudahan seperti kereta, computer, buku senang dapat, maklumat di hujung jari dan makan pun cukup la. Jadi generasi lama, orang dia agak ‘tough’. Generasi Y mesti pernah dengar ayat orang lama berbunyi ala sikit je tu, orang lain lagi la hidup susah, dulu susah boleh je berjaya, generasi sekarang manja, jangan tanya soalan bodoh, jangan menyampuk, cuba usaha sendiri dan lain-lain. Kata-kata ni bagi aku tak salah sebab ada makna yang tersendiri tapi sedihnya ia cukup memberi kesan kepada aku (mungkin sebab masalah mental aku). Oleh itu, sepanjang aku hidup, aku cuba selesaikan masalah aku secara bersendirian lagi-lagi isu ni. Selagi tak halang kerja selagi tu aku ok. Tapi aku silap masalah aku tak selesai, aku cuma ‘survive’. Sekarang bila dah parah baru la aku terduduk termenung.

Contoh simptom anxiety, aku ada perasaan takut nak berkomunikasi dengan orang lagi-lagi orang yang berusia (orang tua kan cepat terasa, salah cakap nanti panggil biadap). Pada mulanya aku ingat mungkin pasal ‘soft skill’. Yelah waktu sekolah dan universiti, ramai cakap pasal pentingnya kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan interaksi. Jadi aku cuba lah perbaiki masalah tu dengan sertai banyak aktiviti luar seperti bersukan, badan beruniform, masuk pertandingan inovasi, buat kerja amal/program dan jadi pengawas. Aku tak pasti benda tu membantu atau tidak tapi aku pasti yang masalah aku ni tak selesai. Aku masih ada perasaan takut dalam benda yang remeh macam tanya dekat kaunter pertanyaan, jumpa penasihat kelab, jumpa pensyarah, bercakap dengan orang awam ataupun bercakap dalam kelas. Benda yang kompleks lagi la aku cuak seperti telefon syarikat penajaan, berjumpa dengan pegawai tertentu, mesyuarat dengan orang atasan. Kalau ‘stage fright’ itu normal la kan sebab kau berhadapan dengan ramai orang, tetapi bila berhadapan dengan orang secara berseorangan/berkumpulan pun aku bolah jadi kaku.

Selalunya, aku akan berhenti sebelum nak berjumpa orang aku akan fikir apa nak cakap siap karang ayat lagi tu, aku akan cuba lawan perasan tu dan aku tarik nafas panjang-panjang. Kalau berjaya aku pergi bercakap kalau tewas kebanyakan masa aku lari daripada orang, aku cakap takpela. Sumpah benda tu jadi penat sebab aku kena lawan dengan diri banyak kali. La kita ada banyak kerja lain tambah pula dengan masalah ini. Aaaarghhhh………. Serabut otak. Yang lawaknya diri aku ni, ada masa perasaan tu off sekejap. Kenapa aku cakap macam tu? Ada satu masa aku boleh pergi tanya dekat kaunter pertanyaan, jumpa pensyarah atau jawab soalan rawak dalam kelas tanpa ada rasa gelisah. Lepas berborak dengan orang, aku akan cakap dekat diri eh boleh pula aku normal macam ni. Orang gelak kan aku pun, aku macam tak kisah langsung.

Kau rasa lega sangat seolah-olah kau bebas daripada dibelengu benda yang sama. Malangnya benda tu hanya sementara. Aku selalu jerit dalam hati WHY??????. Kadang-kadang aku minta juga tuhan tarik perasaan aku. Biar kosong pun takpe. Tapi aku doa balik jangan, yelah takde perasaan karang aku jadi ‘heartless’ pula buat jahat. Aku paling menyampah bila orang kata kau sombong ke tak ingat kawan ke tak ingat cikgu ke. Tambah pula, dia buat muka marah dan menyampah sebab kita tak tegur dia. Aduhhhh, masalah lagi. Takde kesudahan betul. Untuk pengetahuan korang semua aku bukan taknak tegur. Aku cuma takut. Aku banyak elak jumpa orang dan buat-buat tak kenal sebab aku ada masalah. Minta maaf la sangat-sangat.

Kalau soal OCD pula, aku tak tahu nak cerita macam mana sebab apa yang aku fikir dan buat lagi tak logik diakal. Tapi situasi aku sekarang sama macam kes kaunselor aku cerita waktu matrik. Aku mula basuh berlebihan sampai aku mula rasa sakit. Baru aku faham kenapa orang tu boleh basuh tangan sampai berdarah. Sebab waktu aku basuh, aku tak rasa apa-apa tau. Janji bersih je. Lepas tu, bila bahagian badan kau dah kering baru kau rasa pedih tu. Aku macam alamak.

Mungkin ada yang nasihat cuba luahkan dekat orang yang rapat dalam hidup aku seperti kawan baik atau keluarga. Sejujurnya, bukan aku taknak, tapi masalah aku ni bukan senang nak faham. Aku risau orang akan memberi nasihat yang tak sesuai lalu menambahkan lagi kesan yang buruk terhadap masalah aku. Macam aku cakap tadi, persekitaran aku memberi kesan pada masalah aku. Aku yang sakit fizikal seperti batuk, sakit kaki/tangan atau demam pun orang boleh kata macam-macam dekat aku. Kadang-kadang tak merungut pun, cuma tengah berehat sebab sakit. Orang kata ala sikit je tu, ala mengadanya, buat kerja sikit pun sakit kaki ke. Panas je hati. Boleh bayang tak kalau aku cerita pasal masalah mental yang kau tak nampak. Silap hari bulan orang boleh kata aku gila.

Jadi sesi luahan aku ni diakhiri dengan persoalan yang sama macam tajuk aku. Apa pilihan yang aku ada? Mungkin yang pernah alami masalah macam aku, boleh la kongsi tips dengan aku dekat komen. Mungkin ada solusi yang aku terlepas pandang. Tapi andai kata berjumpa dengan doktor hanyalah solusi untuk aku. Aku akan cuba usahakan. Mungkin ambil masa la. Minta doakan aku supaya kuat dan berani untuk berhadapan dengan kaunselor dan doktor. Sekian.

– Vinsmoke

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *