Tiada Yang Sempurna

Assalamualaikum buat semua pembaca IIUM confessions. Saya cuba untuk buat luahan ini menarik walaupun saya bukanlah seorang yg pandai bercerita. Ini adalah satu perkongsian yang kita semua boleh jadikan pengajaran..

Oleh kerana ramai rakan dan keluarga yang follow page ni, izinkan saya untuk memperkenalkan diri sekadarnya. Saya seorang wanita yang bekerjaya, berumur pertengahan 20an dan baru saja mendirikan rumah tangga. Pada umur yang saya rasakan masih muda, dimana masih ada cita2 yang belum dicapai, saya putuskan untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang pada saya cukup sempurna diawal waktu perkenalan.

Saya pernah menjalinkan cinta dgn kekasih pertama untuk tempoh yang agak lama (hampir sedekad), selepas 3 tahun berpisah baru saya berjumpa dgn suami. Sejujurnya usia perkenalan dengan kekasih lama buatkan saya serik dan pintu hati saya tertutup. Siapa yang pernah putus cinta mesti faham susahnya nk terima kenyataan takde jodoh, lebih-lebih lagi baru first time perasaan sayang tu hadir. Jadi saya tidak mengenali mana-mana lelaki sepanjang tempoh move on, masa tu baru habis belajar dan menyibukkan diri untuk cari kerja. Rasa bersyukur sebab putus cinta tu buatkan rasa lebih dekat dengan Tuhan (gituu..).

Saya berjumpa dengan suami dalam satu urusan kerja. Terpikat sebab dia memiliki ciri-ciri yang saya cari dalam diri seorang lelaki untuk dijadikan suami (pandai, berakhlak, berilmu dan agak pendiam). Jadi saya terbuka hati untuk berkenalan dan ingin mengenalinya (saya yang approach hehe *gatal). Selepas beberapa bulan berkawan, dia melamar saya untuk dijadikan isteri, dan tahun berikutnya kami berkahwin. Untuk pengetahuan semua, zaman perkenalan kami sangatlah hambar (tak dating sangat, tak sweet, dan tiada siapa yang mengetahui melainkan ibu bapa dan beberapa rakan baik). Kami putuskan untuk berkahwin selepas merasakan keserasian dan life goals kami selari.

Selepas 6 bulan bertunang, kami pun berkahwin. Kebanyakkan kawan terkejut kerana kami bercinta dalam diam. Kalau orang tanya sebab kahwin pun tak tahu nak jawab apa. Jodoh mungkin. Setelah berkahwin, ternyata suami memang lelaki yang baik, sabar, rajin solat dimasjid, hormat ibubapa, dan banyak membantu dalam urusan rumahtangga (saya tak pandai masak sangat). Tetapi, siapa tahu ada satu sudut Allah uji saya untuk tunjukkan dia tak sempurna. Beberapa bulan sebelum kahwin, suami mengenali seorang wanita lain yang dia jumpa ditempat kerja, yang mana dia sendiri mengakui sayangkan wanita tersebut. Saya dah kesan perubahan suami pada awal hari kami berkahwin, dan saya tahu hatinya terganggu bila mana dia sering bercerita tetang “sahabat baik” nya itu. Selepas ternampak mesej dan bukti lain saya minta dia berterus terang. Dan pada bulan pertama perkahwinan, dia melahirkan hasrat untuk jadikan wanita itu isteri kedua.

Allah.. ujian apa ini? terduduk terus rasanya. Dunia terasa gelap, hati terasa berat, menyesal, dan mahu melarikan diri semua ada. Saya tak dapat menerima kenyataan yang suami yang saya sayang, cintai perempuan lain. Tapi syukur tiada suara tinggi yang keluar daripada kami berdua sepanjang tempoh tegang ni melainkan airmata. Kecewa? Allah je yang tahu. Tiada tempat untuk saya luahkan, saya mengajak suami untuk menghadiri kaunseling rumahtangga memandangkan kami berdua masih mentah dan tiada pengalaman, mengharapkan ada jalan yang Allah akan tunjukkan pada jalan buntu ini. Bagi saya dia tidak mampu memandangkan kami pun masih mencari rentak untuk menstabilkan hidup sebagai suami isteri, bagaimana nak menyara lagi satu keluarga?

Terlalu kecewa, saya beri dia kata dua sama ada pilih saya @ wanita tersebut. Sejujurnya tiada perasaan marah untuk mereka berdua tetapi saya rasa tidak wajar untuk saya berkorban sedangkan saya masih muda, ada kerjaya & cita-cita yang saya perlu kejar. Rupa pun not bad hmm. Lain lah kalau suami saya mampu dari segala sudut, saya akan pertimbangkan. Bagi saya poligami tak salah, tetapi cara merealisasikannya tu yang bermasalah. Lelaki sepatutnya lebih matang dalam menilai kemampuan diri sendiri & bukannya menurut hawa nafsu semata-mata. Kalau tahu diri tidak mampu janganlah memasang niat @ memainkan hati pihak lain. Banyak perkara yang perli dipertimbangkan sama ada diri sendiri, isteri, keluarga & pihak ketiga.

Kami berbaik selepas sehari (mereka berdua bersetuju untuk memutuskan hubungan, suami tak sanggup lepaskan saya dan wanita tersebut memilih untuk kembali kepada tunangnya). Ujian ni menyedarkan saya yang hati tidak patut kita sandarkan pada manusia hatta suami sendiri. Kembalikan semua pada yang berhak (Allah). Itu saja cara supaya kita tidak mudah melatah dan terlampau kecewa dengan ujian @ dugaan. Datanglah ia dalam waktu apa pun, jika hati itu sifatnya bertawakal, Allah akan bantu. Dan berhenti mengharapkan kesempurnaan pada manusia. Sekarang jika ditanya, hati saya kosong, sebenar-benar kosong dan tiada lagi pengharapan pada manusia. Alhamdulillah. Doakan kami mampu menjaga hak masing-masing dalam rumahtangga dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

“Akan ada sekelompok orang yang masuk syurga, hati mereka seperti hatinya burung. (HR. Ahmad 8382 & Muslim 7341)”

[1] orang yang hatinya lembut seperti burung
[2] orang yang hatinya mudah takut kepada Allah seperti burung
[3] Orang yang hatinya sangat bergantung dan tawakkal kepada Allah seperti burung

– Putih

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *