Assalamualaikum WTB. Disebabkan baru-baru ni rasanya IIUMC banyak berkongsi tips-tips kewangan (umrah, kumpul duit kahwin, cari kerja part-time dan sebagainya). Rasa macam nak share satu tips yang jarang orang bincangkan iaitu tips bebas hutang rumah seawal mungkin.
Ramai orang pandai buat hutang rumah tapi tak pandai selesaikan hutang. Akibatnya, banyak rumah yang kena lelong ataupun dah habis pencen tapi hutang masih tak selesai. Aku target nak pencen awal jadi hutang ini kena selesai sebelum pencen. Jadi nasihat pertama aku adalah bermula dengan HARGA RUMAH.
Pastikan harga rumah yang anda beli di BAWAH KEMAMPUAN ANDA. Maksudnya, kalau kelayakan anda (iaitu 60% daripada gaji) adalah 500K, jangan gatal cari rumah harga 500K. Carilah dalam 40% gaji, lagi kurang lagi bagus. Sebab? Teruskan pembacaan. Nanti anda akan faham.
Ya, tahu. Anda cemburu tengok kawan-kawan rumah besar agam, lampu merelik, dinding penuh wainscotting. Tapi loan kita, mereka ke yang tolong bayarkan?
Yang saya bagi ini adalah untuk yang TAK ADA KOMITMEN lagi. Maksudnya tiada loan kereta, personal etc. Kalau ada, rujuk sini —–> https://www.thevocket.com/
Ok, dah selesai bab pembelian.
Tips kedua, MOHON PEMBIAYAIAN jenis ‘FLEXI’ ataupun ‘SEMI-FLEXI’. Jangan sesekali ‘TERM LOAN’!
Apa beza 3 jenis ini? Boleh teruskan pembacaan anda di bawah (Kredit: https://hartabumi.com/jenis-
1) Term Loan
Secara mudahnya,‘Term Loan’ ini adalah sejenis pinjaman dengan jadual pembayaran yang kekal, dimana bayaran bulanan yang anda perlu bayar adalah sama sepanjang tempoh pinjaman. Jenis pinjaman ini tidak membenarkan anda untuk melakukan sebarang pembayaran awal (advance payment) kepada jumlah pinjaman anda. Sungguhpun anda berbuat demikian, pembayaran lebihan yang anda lakukan akan dibawa ke bulan hadapan dan tidak akan mengurangkan caj faedah yang dikenakan ke atas pinjaman anda.
2) Semi-Flexi Loan
Pinjaman ‘Semi-Flexi’ adalah sejenis pinjaman yang mana peminjam boleh melakukan advance payment untuk mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas pinjaman anda. Dengan pinjaman ini, anda boleh terus melakukan advance payment tanpa perlu lakukan sebarang permohonan rasmi mahupun rundingan dengan pihak bank.
Sebarang advance payment yang anda buat, secara automatik bank akan tolak daripada prinsipal (principal) pinjaman sekaligus menyebabkan faedah pinjaman yang dikenakan akan menjadi lebih rendah. Dan kelebihan semi-flexi ini sendiri, seandainya anda bercadang untuk membawa keluar semula advance payment yang telah anda masukkan, anda boleh buat sedemikian dengan sedikit caj pengeluaran yang dikenakan oleh pihak bank. Bank biasanya mengenakan caj sebanyak RM50 bagi setiap pengeluaran. Tapi anda mesti ingat, setiap pengeluaran yang anda buat, anda akan dikenakan faedah ke atas jumlah pengeluaran tersebut.
3) Flexi Loan
Pinjaman Flexi atau Full-Flexi Loan dari segi fasiliti tidak ubah seperti Semi-Flexi Loan, cuma hanya satu perbezaan. Tiada caj pengeluaran dikenakan. Dalam erti kata lain, peminjam bebas mengeluarkan wang advance payment yang dibayar tanpa melalui prosedur yang leceh dan dikenakan sebarang caj oleh pihak bank. Tapi faedah ke atas pengeluaran masih juga dikenakan ke atas pengeluaran sepertimana pinjaman Semi-Flexi.
Kebiasaannya, bank akan membuka akaun pinjaman yang dihubungkan terus dengan akaun semasa anda. Oleh kerana akaun semasa terssebut dibuka untuk tujuan pinjaman ini, anda akan dibekalkan dengan buku cek bagi tujuan pengeluaran. Dan disini lah bank mengenakan caj bulanan untuk fasiliti ini. Berbanding Semi-Flexi yang mengenakan caj bagi setiap pengeluaran, Flexi loan mengenakan caj bulanan yang lebih rendah dan memberikan kebebasan kepada anda untuk mengeluarkan wang seberapa banyak kali yang anda mahukan. Kebiasaannya, bank akan mengenakan caj RM10/bulan untuk fasiliti ini.
Dalam kes aku, aku memang pilih Flexi loan. Tapi yang kelakarnya, tak auto-deduct pun lebihan? Tips kedua ini sangat berkait rapat dengan tips ketiga aku iaitu BAYAR LEBIH SETIAP BULAN. Untuk buat tips nombor tiga ni, jangan sesekali pilih auto-debit sebagai pembayaran bulanan. Kenapa? Sebab bila anda pilih auto-debit maka anda sebenarnya buat cara ‘TERM LOAN’ secara tak langsung. Akibatnya, jangan terkejut ye dah 10 tahun anda bayar loan tapi ‘pokok’ (prinsipal) tak tumbang-tumbang, yang anda cantas cuma ‘bunga’ (faedah) saja.
Apa yang aku buat adalah, katakan bayaran bulanan untuk loan rumah adalah berjumlah RM1300. Sedaya upaya aku bayar lebih. Tapi tak tetap. Ikut suka hati memandangkan tak buat auto-debit. Kadangkala bayar RM1600. Kadangkala sesak bayar ngam-ngam. Kadangkala bayar RM1500 dan seterusnya. Yang penting, BAYAR LEBIH.
Tips seterusnya iaitu tips keempat, disebabkan bank tak auto-debit seperti yang dicanangkan, selepas 6 bulan ataupun setahun (ikutlah bila-bila anda rasa lapang), sila telefon careline bank dan buat semakan LEBIHAN BAYARAN ataupun juga dikenali sebagai advance payment. Catat berapa lebihan yang ada dan buat surat rasmi kepada bank yang berkenaan mengatakan anda ingin membayar PRINSIPAL menggunakan lebihan bayaran ini.
Seterusnya, sila walk-in ke cawangan berdekatan dan isi MORTGAGE FORM. Pegawai bank akan photostat IC anda dan kepilkan bersekali dengan surat dan borang tersebut untuk dihantar ke HQ yang menjaga loan anda.
Itu saja tipsnya. Harap membantu kalau anda ada aim untuk habiskan bayar awal. Apa kebaikannya buat ADVANCE PAYMENT ni? Pegawai bank akan follow-up anda nanti dan dia akan tanya apa matlamat anda untuk pembayaran prinsipal ini?
Boleh pilih salah satu, samada mengurangkan bunga (interest)/bayaran bulanan ataupun memendekkan tempoh pinjaman. Setakat ini saya tak ada masalah untuk pembayaran bulanan jadi saya memang jawab memendekkan tempoh pinjaman.
Tahun 2017, aku buat semakan pada hujung tahun setelah setahun membuat pembayaran pinjaman rumah. Jumlah prinsipal masih sama iaitu jumlah yang aku pinjam dari awal. Langsung tak berganjak. Haha. Nasib baiklah ada orang kongsi tips ni maka terjadilah ‘confession’ ini.
Tahun 2018, selepas 3 kali buat tips di atas tanpa culas membuat bayaran bulanan, jumlah prinsipal aku dah berkurang sebanyak 10K walaupun lebihan bayaran yang aku buat sebenarnya kurang daripada itu. Jangan culas buat bayaran bulanan ye. Kalau anda culas 3 bulan berturut-turut BLR akan naik. Sebagai contoh, katakan asalnya interest anda adalah 4.5%, interest itu boleh naik sampai 7%! Jadi hati-hati.
Jangan percaya sangat dengan pegawai bank bila dia cakap lebihan bayaran itu tak boleh buat apa kecuali bawa ke depan untuk bayaran bulan seterusnya. Sebab inilah benda yang ada seorang pegawai tu cakap dekat aku waktu pertama kali aku walk-in walhal sebenarnya tak. Bank tak boleh tolak permohonan kita sebab kita nak bayar hutang dan mereka wajib terima.
Tips yang dikongsikan ini hanya untuk yang benar-benar mahu bebas hutang rumah seawal mungkin ye. Bukan untuk yang dah beli rumah harga 600K dan duit cukup-cukup makan saja. Yang dah terbeli tapi masih mahu bebas cepat dari belenggu hutang rumah, samada downgrade rumah ataupun jadi lebih kaya. Pastikan anda boleh bayar lebih ya!
Semoga kita semua baik-baik saja untuk menempuh hidup ini dan bersiap siaga untuk hari tua sekiranya dipanjangkan usia. Aaamiiin.
– Jane Do
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit