Assalamualaikum w.b.t. Di sini aku nukilkan kisah tentang pengalamanku menghidapi Ovarian Cyst empat tahun yang lalu untuk manfaat perkongsian dan peringatan bersama, khususnya kepada rakan-rakan perempuan seusiaku kerana penyakit ini kebiasaannya menyerang banyak wanita muda. Pengalaman seadanya ini juga boleh dijadikan sebagai perkongsian dan panduan buat kaum lelaki yang mempunyai mak, kakak, adik perempuan, tunang dan isteri tentang kesedaran terhadap penyakit ini.
Kisah ini panjang dan kukongsikan sedikit sebanyak informasi yang kutahu kepada kalian. Apa yang diceritakan adalah mengikut pengalamanku. Untuk pemahaman lebih mendalam, seeloknya rujuk kepada pihak yang lebih pakar.
Kisahku ini kisah lama, kisah empat tahun lalu. Tetapi aku ingin menceritakannya kepada yang lain kerana padaku, mesej yang nak disampaikan penting buat yang lain. Tujuan kisah ini diceritakan semula adalah untuk berkongsi pengalaman dahulu sebagai peringatan dan panduan buat umum khususnya kaum wanita. Sama ada wanita yang pernah dan tidak pernah mengalami Ovarian Cyst, atau wanita yang sedang dalam proses diagnosis dan berada dalam tempoh pemulihan. Kerana penyakit ini agak merbahaya hinggakan boleh menjadi kanser jika ia berlarutan tanpa dikesan atau dirawat lebih awal dan ia boleh menyerang sesiapa sahaja tidak mengira umur tanpa disedari.
Baiklah. Mari kita terus melewati cerita pengalamanku menghidapi Ovarian Cyst ini.
Empat tahun yang lalu iaitu sekitar April 2015 (tika itu usiaku 19 tahun yang sedang menginjak ke 20 tahun), aku pernah menjalani major operation sebagai rawatan untuk mengeluarkan cyst yang agak besar berdiameter 20.2 x 21.9 cm seberat 5 kg. Itu tak termasuk 2 liter air yang disedut keluar sebelum cyst dikeluarkan. Doktor menjelaskan bahawa cyst itu letaknya di dalam kantungan berisi air yang menjaga cyst itu sepanjang tumbesarannya. Jika dilihat fizikal luaranku ketika itu, doktor bilang seperti perempuan mengandung yang usia kandungannya mencecah 6-7 bulan. Tak kusangka perut yang kufikirkan hanya buncit biasa itu rupanya buncit ‘luar biasa’ yang mengandungi ‘sesuatu’ yang hidup dengan caranya di dalam perutku.
Cyst sebesar itu telah menghuni ovari kananku dan pembesarannya yang luar biasa telah memenuhi keseluruhan abdomenku. Menurut doktor, cyst itu barangkali sudah tumbuh 2 tahun di dalam ovari. Cuma dalam tempoh 6 bulan terakhir (sebelum cyst itu dikesan), ia membesar dengan cepat. Akibat daripada itu, ovari kananku menjadi tidak sihat dan doktor pakar yang merawatku mengambil keputusan untuk membuang tiub fallopio dan ovari kanan. Ini kerana ia dikhuatiri cyst itu boleh menyerang lagi dan berisiko untuk ovari kiri pula dijangkiti. Syukur pembuangan itu tidak memberi kesan buruk kepada ovari kiri dan rahimku.
APA ITU CYST SEBENARNYA?
Oh ya, lupa aku mahu terangkan. Buat yang masih belum tahu apa itu cyst, cyst itu boleh dikatakan sebagai sejenis ketumbuhan atau kantung yang berisi lendir/cecair sama ada air, darah atau cecair bercampur protein/tisu-tisu seperti rambut dan gigi. Manakala Ovarian Cyst adalah cyst yang tumbuh di kilang ovari (organ reproduktif wanita). Ovarian Cyst ini boleh menjadi tumor dan bukan tumor. Jika cyst itu tumor, boleh jadi ianya benign atau malignan yang boleh menjadi kanser.
Sebenarnya, semua wanita mempunyai cyst, cuma cyst itu besar atau kecil, aktif atau tidak, yang mana cyst itu terbentuk melalui proses kitaran haid setiap bulan (boleh cari di Google/bertanya kepada yang pakar untuk pemahaman lanjut). Cyst yang tidak aktif akan mengecut selepas beberapa hari/bulan manakala cyst yang aktif tidak mengecut malah membesar dan menjadi satu penyakit.
APA PULA TANDA-TANDANYA? BAGAIMANA AKU MENDAPAT TAHU?
Ovarian Cyst ini menyerang senyap-senyap. Kebanyakan wanita yang mengalaminya tidak menyedari kehadirannya dan hanya mendapat tahu apabila ia telah berada di tahap yang serius. Ovarian Cyst tidak mempunyai simptom yang ketara dan hanya akan muncul apabila cyst sudah tumbuh dan membesar dengan selesanya. Lain orang lain pula simptomnya. Melalui pembacaan tentang pengalaman banyak orang, ada yang mengalami haid tidak teratur, senggugut ketika haid yang luar biasa sakitnya berbanding kebiasaan dan rasa sakit di bahagian bawah perut kiri atau kanan. Ramai juga yang merasai rasa sakit sepanjang cyst itu tumbuh dan mereka dapat mengesan awal lantas membuat rawatan tanpa perlu jalani major operation.
Berbeza pula ceritanya denganku. Aku langsung tak pernah merasa sakit di awal-awal pertumbuhan cyst itu di ovariku. Alhamdulillah, aku tak pernah mengalami senggugut setiap kali datang haid. Dari itu, aku tak pernah merasa sakit yang teramat ketika haid. Ceritanya bermula hanya selepas ia membesar dengan jayanya. Ada satu waktu (tak silap aku ketika itu Ramadhan 2014), aku terperasankan perutku yang buncit. Besar. Nampak besar perutnya tu. Ada juga terlintas rasa pelik di kalbu. Namun waktu itu aku buat tidak tahu. Aku fikir buncit biasa.
Beberapa bulan selepas itu (sekitar November 2014), aku mengalami pendarahan yang banyak. Pendarahan di sini bukanlah bermaksud pendarahan yang kronik sehingga menolakku untuk bergegas ke hospital. Tidak. Belum lagi. Waktu itu aku pun tidak tahu bahawa apa yang kualami itu adalah pendarahan. Namun ianya menambahkan rasa hairanku apabila aku mengalami istihadah (darah penyakit yang keluar bukan dalam tempoh haid dan nifas menurut Islam) yang agak teruk. Sehingga aku gagal dan tak mampu untuk membezakan antara darah haid dan istihadah. Bila aku boleh solat dan bila aku tak boleh solat. Aku menjadi keliru. Keadaan itu berlarutan kira-kira selama 5 bulan dan boleh dikatakan hanya 3 hari aku bersih daripada darah yang keluar melalui faraj dalam sebulan. Aku masih lagi bertahan kerana tidak ada rasa sakit.
Aku pernah mengadu kepada ibuku tentang apa yang terjadi kepada diriku. Tentang buncit dan istihadah. Ada juga aku terfikirkan barangkali kedua-duanya ada kaitan. Ibu juga perasan akan kebuncitan perutku. Ibu menyarankan agar aku buat pemeriksaan doktor di klinik. Tetapi aku menolak pada awalnya kerana fikirku, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Ibu pun akur akan kehendakku tetapi dalam hatinya, aku tahu ibu menyimpan penuh rasa khuatir dan kasihan terhadapku.
Seterusnya, aku juga pernah merasa sakit di bahagian bawah perut tetapi hanya selepas aku melakukan satu perkara. Senaman. Ya, senaman untuk mengempiskan perutku yang buncit (terasa mahu gelak sewaktu aku menulis ini bila mengenang kembali). Itulah aktivitiku di cuti semester (ketika itu aku di tahun satu pengajian) merangkap inisiatif untuk mengempiskan perut. Namun, nasibku tidak baik. Perut tak kempis malah sakit yang aku dapat. Sekali sahaja aku lakukannya. Orang kata taubat. Memang terasa sakitnya. Nak jalan sakit, nak turun tangga pun rasa sakit. Masih lagi aku tak mahu berjumpa doktor. Takut. Dan aku berjaya merahsiakan kesakitan itu daripada pengetahuan ibu. Aku menahan sendiri diam-diam dan lama-lama sakit itu pun hilang. Membuatkan aku semakin berfikir, tiada apa-apa.
Sehinggalah Mac 2015, aku mengikuti satu Program Biro Tatanegara yang dianjurkan oleh Unit Badan Beruniform yang aku sertai di universitiku (USIM) iaitu Briged Sukarelawan Khidmat Negara. Program itu menuntutku menjadi lasak dengan aktiviti-aktiviti yang mencabar seperti meredah hutan yang berbukit-bukit, mengangkat benda berat dan berlari laju. Ketika itu, aku mula sedar satu perkara. Bahawa aku cepat penat. Sebelum itu pernah saja aku melakukan aktiviti lasak tetapi masih lagi steady. Dalam program itu, aku cepat rasa letih dan mengah. Daki bukit sikit, aku mengah. Buat kerja lebih, aku terasa penat sangat. Lari laju sikit, perutku terasa senak. Darah yang aku fikirkan darah haid ketika itu pun banyak keluar. Rasa pelik dan hairan bertandang lagi.
Setelah kejadian itu, pada awal bulan April 2015, aku mengalah. Seolah tak mampu lagi untuk bertahan dengan kekuatan yang ada. Biarpun secara luaran aku tampak kuat, namun dalaman aku lemah teramat. Acapkali aku berdoa, memohon petunjuk dari Ilahi; “Ya Allah, jika benar aku ada sakit yang perlu diubati, Engkau tunjukkanlah kepadaku dan lorongkanlah untukku lakukan apa adanya.” Sungguh, Allah mendengari doa hambaNya yang lemah ini. Dan rasa bingung yang tak tertanggung lagi itu membuak sehingga berjaya menggesaku untuk membuat pemeriksaan awal di Klinik USIM.
Aku mengadukan segala permasalahanku kepada seorang doktor wanita yang bekerja di USIM tentang pendarahan dan kebuncitan perut yang aku alami. Doktor pun memeriksa perutku seraya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil dahinya dikerutkan. Beliau mengatakan kemungkinan di dalam perutku ada ketumbuhan. Lantas beliau menyediakan surat untuk dirujuk ke Gynaecology (pakar sakit puan) dan menyuruhku membuat pemeriksaan lanjut di hospital dengan segera.
Ibu pun terus membawaku berjumpa doktor di klinik swasta untuk membuat pemeriksaan Ultrasound bagi memastikan ada apa sebenarnya dalam perutku yang buncit itu, ekoran prosesnya lebih cepat berbanding di hospital. “Ada cyst ni. Besar. Kenapa dah besar, baru nak jumpa doktor?” Maka, tahulah aku dan ibu ketika itu bahawa apa yang kukandung selama ini bukanlah hanya angin yang banyak hingga membuncitkan perut tetapi cyst yang semakin membesar di ovari. Pendarahan yang terjadi pula disebabkan cyst itu terhentak tatkala aku lasak. Tanpa aku sedari, cyst yang besar itu juga menyulitkan sistem penyahtinjaan dalam tubuhku kerana ia menyempitkan usus besar untuk bekerja dengan baik.
Bermulalah episod kepedihan dan keperitan rasa. Tinggal lagi beberapa hari sebelum cuti pertengahan semester tiba, ditambah lagi dengan bebanan assignment yang banyak, aku kuatkan juga kudrat yang ada untuk terus melangkah bagi menghadirkan diri ke kuliah. Aku masih lagi kuat bertahan kerana tak ada rasa sakit yang keterlaluan. Cuma di saat-saat akhir sebelum aku menjalani pemeriksaan dan rawatan, nafasku kian pendek. Adakalanya aku tercungap-cungap, tak boleh duduk lama. Dada terasa sesak disebabkan ketumbuhan yang semakin membesar menolak dada. Ada juga kawan yang menegur bahawa mukaku pucat. Barangkali kesakitan itu sudah mula memunculkan kehadirannya. Namun aku tetap menyimpan kesakitan yang aku alami daripada pengetahuan rakan-rakan. Tidak kumahu membebankan mereka.
TIBA SAAT DIAGNOSIS DAN PROSES RAWATAN
Dipendekkan cerita, setibanya cuti pertengahan semester, ibu dan ayah membawaku membuat pemeriksaan lanjut dengan doktor pakar puan di hospital swasta (KPJ Seremban). Hampir setengah hari kami di sana. Pelbagai ujian saringan yang perlu aku jalani. Ultrasound, ujian darah dan air kencing, x-ray dan CT scan. Selang beberapa hari, doktor pun mengesahkan penyakitku secara terperinci melalui keputusan-keputusan ujian pemeriksaan.
Ketika itu, aku pasrah dan terima apa sahaja keputusan dengan redha sehingga doktor memutuskan untuk membuat pembedahan ke atasku. Itu sahaja pilihan rawatan yang ada disebabkan saiz cyst yang kian besar. Dikhuatiri jika lambat bertindak, cyst itu akan semakin membesar dan boleh pecah. Aku pernah membaca tentang pengalaman seorang wanita yang menanggung kesakitan sehingga pitam akibat cystnya yang sudah pecah. Mujur aku sempat diselamatkan sebelum keadaan bertambah parah. Alhamdulillah, dipermudahkan semua urusannya.
Begitulah dia kisah Ovarian Cystku.
Banyak sebenarnya pengajaran yang aku mahu kongsikan dengan kalian melalui penceritaan kisahku itu. Semoga sedikit sebanyak dapat membuka minda dan memberi manfaat yang baik buat kalian. Oh ya, tidak berhenti setakat itu saja. Ada lagi perkara lain yang terjadi selepas beberapa tahun aku menjalani pembedahan. Dan masih banyak lagi yang mahu aku kongsikan. Harap kalian masih sudi membacanya.
BAGAIMANA KEPUTUSAN PEMBEDAHANNYA? ADAKAH CYST ITU KANSER ATAU BUKAN?
Seminggu selepas major operation, doktor memanggilku untuk tujuan pemeriksaan susulan (follow up). Pada pertemuan itu, doktor pakar yang merawatku ada juga menerangkan keputusan penilaian cyst yang aku hidapi. Mengikut pemerhatian doktor, Ovarian Cyst yang terjadi padaku dikenal pasti sebagai large mucinous cystadenoma with borderline tumour (panjang lagi sebenarnya keterangan tentang cyst itu, aku cuma pendekkan). Kata doktor, cyst itu bukan kanser dan tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Pun begitu, kebarangkalian untukku menghidapi ovarian cyst itu sekali lagi tetap ada, tetapi tipis kerana ovari kanan sudah pun dibuang sepenuhnya. Alhamdulillah. Mudah-mudahan baik-baik saja.
PERLU BUAT CHECK UP LAGI SELEPAS OPERATION?
Untuk makluman kalian, ketika aku menulis kisah ini, baru aku faham akan maksud sebenar mucinous cystadenoma yang kudapatkan informasinya melalui pencarian di Google. Melalui pemahamanku, mucinous cystadenoma adalah sejenis benign tumour (pertumbuhan sel tanpa kanser di dalam badan yang tidak berfungsi) yang dipenuhi oleh mucinous epithelium. Mucinous cystadenoma ini tidaklah berbahaya tetapi ia boleh berkembang menjadi cystadenocarcinomas yang mengandungi sel-sel malignan yang menyumbang kepada kanser.
Disebabkan itu, doktor meletakkan aku pada tahap borderline yang mana diterangkan kepadaku bahawa kedudukan borderline ini di tengah-tengah antara benign dan malignan. Ia boleh menjadi benign jika sel itu tidak aktif dan sekiranya sel malignan pula yang aktif, maka ia boleh menjadi kanser. Maka disebabkan keadaan ini, doktor menyarankanku untuk membuat pemeriksaan susulan secara kerap setiap 6 bulan bagi memastikan tiada lagi cyst yang datang menyerang memandangkan usiaku masih muda dan masih lagi ada ovari yang boleh berfungsi bagi sistem reproduktifku.
“Biasa kalau patient yang dah ada complete family, dah ada 5-6 orang anak, kita akan buang terus rahim semua. Tapi sebab awak muda lagi, ada satu lagi ovari tu yang kita kena monitor. Usia muda dah hilang satu ovari pun sedih kan?” ujar doktor yang pernah aku jumpa ketika buat follow up di HTJ Seremban. Aku senyum, sengih saja. (Eh, tadi kata operate di KPJ, macam mana boleh buat follow up di HTJ pula? Ha, nak tahu, teruskan pembacaan anda.)
ADA SEBARANG KESAN/KOMPLIKASI SELEPAS SELESAI PEMBEDAHAN?
Alhamdulillah. Sebaik saja pembedahan membuang cyst dijalankan ke atasku, semuanya kembali normal seperti sediakala. Aktiviti harianku tidak lagi terjejas. Sistem-sistem di dalam tubuhku juga berfungsi dengan baik. Alhamdulillah, haid pun kembali teratur. Tiada lagi pendarahan, tiada lagi istihadah. Perut tak buncit lagi. Berat badan pun turun (ramai yang menegur, aku semakin kurus selepas operation, pada waktu itulah hehe). Segala toksik yang ada dalam badan ketika sakit, turut sama keluar. Alhamdulillah.
Namun, kira-kira selepas setahun operation, aku mengalami kesakitan di bahagian bawah kanan perut setiap kali haid pada hari pertama dan kedua. Senggugut? Aku tidak pasti. Kerana aku pernah bilang sebelum ini, bahawa aku tak pernah merasai senggugut, jadi aku tak tahu kalau sakit yang aku rasakan itu dinamakan senggugut. Tetapi yang peliknya, sakit itu cuma di bahagian bawah perut kanan sedangkan di bahagian itu, sudah tiada ovari. Ketika itu, aku membuat andaian sendiri; “Kalau cyst itu datang lagi, mestilah ada di ovari kiri. Secara logik, mestilah akan sakit sebelah kiri. Tapi, sakitnya sebelah kanan. Kenapa pula ya?” Aku membiarkan persoalan itu tanpa ada rasa mahu berjumpa doktor lagi ketika itu (aku masih lagi tidak mengambil iktibar daripada kisah lalu).
Seperti tahun-tahun lalu, aku fikir ianya sakit biasa (barangkali senggugut). Jadi, aku biarkan sakit itu, menahan sendirian setakat yang termampu. Rasa sakit itu pun berulang ketika haid datang untuk beberapa bulan lamanya (kira-kira setahun juga rasanya, sudah tak kuingat). Sekali lagi, aku berjaya sembunyikan daripada pengetahuan ibu (hehe). Aku diamkan rasa kesakitan itu kerana ianya datang sekali-sekala dan sekejap cuma, malah aku masih lagi bisa menanggungnya. Sehinggalah pertengahan Ogos 2017, sedang aku asyik mengemas bilik, sakit itu datang kembali. Aku terduduk sambil tangan memegang bahagian bawah kanan perut menahan sakit. Perit. Air mata jatuh ke pipi. Sakitnya tak tertahankan. Akhirnya, aku kecundang juga. Aku pun mengadu kepada ibu mengenai hal itu dan pada keesokan harinya ibu menemani aku berjumpa doktor di klinik kesihatan berdekatan rumah.
Oh ya, nak dijadikan cerita, sepatutnya pada sekitar Mei 2016, aku perlu menemui doktor pakar yang merawatku dahulu untuk pemeriksaan susulan selepas setahun jalani operation di KPJ. Tetapi aku yang tak mahu disebabkan beberapa faktor. Pertama, aku rasa sudah semakin sihat dan tak terfikir akan ada apa-apa masalah lain. Kedua, faktor bayaran. Seperti semua sedia maklum, kos rawatan dan pemeriksaan di klinik/hospital swasta agak tinggi jumlahnya. Lantaran itu, aku mengambil keputusan untuk tidak membuat follow up di situ pada waktu itu.
SAKIT ITU, DOKTOR SYAK ADHESION COLIC. APA ITU?
Berbalik kepada cerita pada sekitar Ogos 2017, aku membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Sikamat. Aku bercerita kepada doktor mengenai operation yang pernah aku jalani dan kesakitan yang aku alami. Lalu doktor menyuruhku membuat ujian darah dan kira-kira dua minggu selepas itu aku menemui doktor sekali lagi untuk mengetahui keputusannya. Awal September 2017, doktor membuat Ultrasound terhadapku dan Alhamdulillah, tiada sebarang cyst yang menghuni baik di ovari kiri atau rahimku.
Tetapi bagaimana pula dengan sakit itu? Menurut penerangan doktor, aku mengalami masalah usus-usus melekat antara satu sama lain yang dinamakan Adhesion Colic akibat daripada pembedahan lalu. Kata doktor lagi, dalam kes aku, sakit itu juga adalah disebabkan luka pembedahan yang belum kering melekat pada usus menyebabkan terjadinya contraction semasa proses kitaran haid berlaku.
Untuk pemahaman lebih lanjut, aku mencari lagi penerangan yang lebih melalui Google. Mengikut pencarianku di Google, dalam proses penyembuhan luka akibat pembedahan di bahagian abdomen yang normal, parut akan dibentuk untuk menyambungkan bahagian tisu yang terluka. Parut ini dibentuk daripada tisu fibrous yang tidak bersifat elastik seperti tisu usus. Maka secara tak langsung parut itu akan mengganggu fungsi usus itu sendiri. Bahagian yang dipulihkan sebagai parut tidak boleh mengembang ketika makanan bergerak melaluinya. Jika pembentukan parut keterlaluan, ia akan menyebabkan usus itu mengecil atau mencekik. Makanan dan gas yang tidak bergerak pula akan mengembang dan menyebabkan kesakitan. Dalam sesetengah kes, abdomen akan menjadi kembung lalu menyebabkan muntah dan pesakit tidak boleh kentut (keadaan ini tidak berlaku kepadaku).
Melalui pembacaanku lagi, aku memperoleh informasi tambahan bahawa kebiasaan orang yang mengalami Adhesion Colic akan merasa sakit perut (cramp-like pain), perut rasa kembung, loya atau muntah dan tidak boleh buang air besar akibat usus tersumbat. Jika semua simptom berterusan melebihi 12 jam, maka seharusnya pesakit membuat pemeriksaan doktor kerana dikhuatiri usus bukan lagi menyempit tetapi tersumbat sepenuhnya dan mungkin memerlukan pembedahan segera bagi mengelakkan usus pecah atau necrosis dan membusuk di dalam abdomen.
REGULAR CHECK UP SETIAP 6 BULAN
Subhanallah, syukur Alhamdulillah tak ada apa-apa yang teruk terjadi kepadaku setiap kali Adhesion Colic menjengah. Disebabkan kesakitan itu, doktor di klinik kesihatan itu bertanyakan aku sama ada aku perlukan ubat tahan sakit atau tidak. Aku menolak dengan baik kerana padaku ketika itu, sakit sudah berkurangan. Dan Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, aku sudah tidak mengalami Adhesion Colic lagi sehingga hari ini sejak pertemuan dengan doktor pada hari itu.
Kemudian, doktor membuatkan aku surat rujukan untuk dihantar kepada doktor pakar di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban (hospital kerajaan) bagi proses pemeriksaan susulan di sana. Beberapa hari selepas itu, aku pergi ke Klinik Pakar Obstetrik & Ginekologi di HTJ Seremban bagi mendapatkan tarikh pemeriksaan dengan doktor di sana. Maka, pada awal Januari 2018, bermulalah episodku menjalani regular check up untuk setiap 6 bulan di hospital. Dari situlah, aku mendapat tahu bahawa walaupun seseorang itu pernah menjalani apa sahaja major operation di hospital swasta, dia tetap boleh membuat pemeriksaan susulan (follow up) di hospital kerajaan dengan mengemukakan bukti atau rekod pembedahan lalu.
NASIHAT DAN IKTIBAR YANG BOLEH DIAMBIL BERDASARKAN KISAHKU
Follow up atau pemeriksaan susulan secara kerap amat penting untuk seorang pesakit yang pernah ada sejarah pembedahan bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan stabil. Khusus buat diriku, follow up itu amat penting untuk memastikan bahawa tiada lagi sebarang serangan cyst yang tumbuh di bahagian ovari kiri untuk mengelakkan segala kemungkinan yang tak diingini berlaku kerana dikhuatiri cyst yang tumbuh itu membawa sel malignan yang menjurus kepada kanser. Na’udzubillahi min dzalik.
Oleh itu, jangan sesekali kita meremehkan sakit yang ada dan jangan pernah abaikan pemeriksaan susulan yang sepatutnya kita patuhi. Jika ada kesakitan dan keganjilan pada tubuh berbanding kebiasaan, segeralah lakukan pemeriksaan doktor di klinik/hospital berhampiran. Jangan malas jumpa doktor. Semuanya itu untuk kebaikan kesihatan diri sendiri. Peringatan ini bukan sahaja untuk cyst tetapi untuk apa sahaja jenis penyakit dalam dunia ini.
Oh ya, satu lagi, buat sesiapa yang baru sahaja selamat menjalani apa sahaja pembedahan, jangan cepat lasak ya. Jaga diri baik-baik. Sebab aktiviti yang terlalu lasak seperti angkat barang berat, daki bukit/gunung, berlari dan melompat misalnya, akan melambatkan proses penyembuhan dan boleh jadi akan mengakibatkan masalah yang lain. Jadi, bersabar ya. Beri masa untuk diri sendiri pulih sepenuhnya, kemudian barulah boleh jalankan aktiviti kesukaan dengan riangnya. Luka luar kita boleh nampak sembuhnya, namun luka dalam kita tak tahu keadaannya. Mungkin hari ini kita tak rasa sakit. Tetapi siapa tahu nasib kita pada masa akan datang. Oleh demikian, marilah bersama-sama kita ambil perhatian. Bukan sahaja untuk diri kita, tetapi untuk mencakna kesihatan kaum keluarga, sahabat dan kenalan kita.
APA YA PUNCA CYST BOLEH TERJADI?
Ayah pernah bertanya kepada doktor pakar di KPJ mengenai punca/sebab Ovarian Cyst terjadi. Aku ingat lagi, doktor menggelengkan kepala. “Tak ada punca. Tak tahu puncanya.” Ada juga aku membaca kisah pengalaman orang lain dan mencari informasi tentang cyst di Google. Bahkan seorang rakanku yang sedang menyambung pengajian dalam jurusan perubatan juga pernah memberitahu tentang cyst ini; “Cyst is an unknown of aetiology.” Maksudnya, cyst ini adalah satu kajian tentang punca timbulnya sesuatu penyakit yang tidak diketahui.
Biarpun begitu, aku ada mendapat sedikit sebanyak pengetahuan mengenai perkara-perkara yang boleh dikaitkan dengan punca terjadinya cyst ini melalui pengalaman dan perkongsian orang lain menerusi blog mereka yang boleh didapati dengan capaian internet.
Pertama, hormon estrogen (hormon yang berfungsi dalam sistem reproduktif wanita) yang berlebihan dalam tubuh seorang wanita boleh menyumbang kepada pertumbuhan cyst. Banyak faktor yang boleh mengakibatkan ketidakseimbangan estrogen ini, antaranya pemakanan. Pengambilan pil perancang kehamilan dan supplements juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan estrogen dan boleh mengaktifkan cyst.
Kedua, lambakan xenoestrogen dalam badan. Xenoestrogen adalah ‘estrogen sintetik’ yang terdapat dalam persekitaran kita iaitu makanan, air, kimia dari industri pertanian dan penternakan. Dalam kata lain, xenoestrogen adalah estrogen palsu dalam badan. Ia boleh merangsang atau mengganggu fungsi estrogen dalam badan kerana ia berfungsi seakan-akan estrogen.
Ketiga, obesiti. Lemak berlebihan dalam badan akan mengaktifkan satu sistem yang kita panggil sebagai Endocanabinoid system. Sistem ini akan mengganggu fungsi-fungsi hormon yang lain dan juga boleh menyebabkan keradangan yang tinggi dalam badan. Ini bukan sahaja menyebabkan ketumbuhan, malah berisiko untuk mendapat pelbagai jenis kanser. Selain itu, pengambilan gula dan kolestrol yang berlebihan sehingga tidak terkawal juga menjadi penyebab kenaikan estrogen selain menyumbang kepada obesity seterusnya menggalakkan cyst untuk tumbuh.
Seterusnya, punca cyst yang keempat ialah genetik. Terjadinya pertumbuhan cyst dalam tubuh seseorang juga boleh disebabkan pembawaan penyakit melalui genetik. Seorang wanita yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapi cyst atau kanser berisiko untuk mendapat penyakit yang sama.
ADA CARA UNTUK MENGELAKKAN CYST?
Seperti punca cyst yang tak dapat diketahui, langkah-langkah pencegahan juga sebenarnya sukar untuk dikenal pasti. Namun, berdasarkan perkara-perkara yang aku kongsikan yang boleh dikatakan sebagai punca cyst, kita boleh mengelakkan perkara-perkara tersebut sebagai salah satu usaha untuk mencegah berlakunya pertumbuhan cyst dalam badan.
Pertama, elakkan makanan yang menggalakkan penghasilan estrogen yang berlebihan seterusnya mengaktifkan pertumbuhan cyst seperti produk yang berasaskan tenusu, soya, keju, daging merah, makanan bergoreng, makanan dan minuman bergula, salt, kafein dan alkohol, ayam yang disuntik hormon estrogen untuk mempercepat tumbesaran, ikan keli yang dibela serta makanan segera seperti mi segera, burger, nugget, sosej dan lain-lain.
Kedua, pengambilan pil perancang kehamilan dan makanan tambahan (supplements) yang mengandungi bahan kimia yang tinggi juga haruslah dijauhi.
Ketiga, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar organik yang mengandungi banyak phytoestrogen sangat digalakkan kerana phytoestrogen boleh membantu kestabilan estrogen dalam badan.
Keempat, makanan berserat tinggi juga boleh membantu mengurangkan estrogen berlebihan dalam badan. Ini menyebabkan fungsi estrogen dalam badan lebih stabil dan mengurangkan tahap xenoestrogen dalam badan.
Seterusnya, kawal berat badan dengan cara melakukan senaman secara berkala di samping pemakanan yang seimbang. Dan akhir sekali, jangan merokok kerana rokok adalah salah satu penyebab kanser.
JAGA DIRI, HARGAI KESIHATAN YANG ALLAH BERI
Alhamdulillah, hampir selesai sudah penulisan tentang perkongsian pengalaman kisahku bersama Ovarian Cyst. Semoga penulisan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak memberi input tambahan yang berguna buat kalian. Ya, benar, sudah banyak kes cyst yang terjadi dan tidak kurang juga mereka yang pernah mengalami penyakit ini berkongsi pengalaman mereka secara umum. Semuanya dilakukan dengan harapan untuk memberi peringatan buat yang lain. Sama juga sepertiku. Sejujurnya, sudah lama juga kusimpan hasrat untuk berkongsi dengan umum kerana bagiku lain orang, lain pengalamannya. Lain orang, lain kisahnya. Dan lain orang, lain juga perkongsiannya.
Hatiku seakan terpanggil untuk berkongsi hari ini sebaik sahaja aku mendengarkan perbualan doktor yang membuat pemeriksaan susulanku tempoh hari tentang seorang pesakit yang disyaki mempunyai mucinous juga. Ia seolah menyedarkanku bahawa penyakit cyst ini sentiasa terjadi dan sering menyerang sesiapa sahaja untuk menjadi mangsanya. Walaupun ceritaku sudah berlalu selama 4 tahun, namun hal orang lain tak kuketahui nasibnya. Doaku di dalam hati, semoga baik-baik saja untuknya dan moga dipermudahkan semua urusannya sebagaimana Allah memudahkan urusanku dahulu.
Akhir kata, jagalah diri kalian semua. Hargai kesihatan yang Allah kurniakan kepada kita. Apa yang aku pelajari daripada kisah yang berlaku padaku dahulu ialah kesihatan diri itu adalah amanah yang perlu kita jaga. Oleh itu, selagi kita boleh cegah, kita cegah. Bagaimana kita nak lakukan langkah pencegahan penyakit jika kita tak pernah pun mengetahui tentang sesuatu penyakit itu. Kan?
Tetapi bila sudah terkena penyakit, jangan pula kita cepat mengalah. Selagi kita punya waktu, kita masih punya harapan untuk sembuh. Jangan putus asa sehingga tak mahu lakukan apa yang sewajarnya. Inilah masanya untuk kita belajar erti redha, tawakal, sabar dan tabah dalam menghadapi apa sahaja ujian yang Allah datangkan kepada kita. Semoga kita terus cekal dalam kehidupan dan boleh memberi inspirasi kepada orang lain melalui kisah kita. Semoga kita semua sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang optimum dan dipermudahkan segala urusan kita. Aamiin.
Jutaan terima kasih kuucapkan di atas kesudian kalian meneruskan pembacaan dari awal hingga ke akhirnya. Terima kasih.
– Imanina
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit