Aku cuma nak cerita kejadian yang aku rasa pelik yang sering berlaku dalam hidup aku. Setakat ni aku tak pernah cerita masalah ni pada orang lain sebab aku takut diorang anggap aku ni tak betul dan saja mereka-reka cerita. So ini sahaja platform yang aku ada untuk cerita segala yang terbuku dalam hati aku selama ni. Terpulang kepada yang membaca sama ada nak percaya atau tak.
Masalahnya macam ni, aku sering ada masalah untuk tidur yang disebabkan dari aku yang jenis suka over-thinking dalam sesuatu perkara. Bila ada masalah, aku akan menghabiskan masa berfikir sepanjang hari dan secara tidak langsung akan mengganggu fokus dan keupayaan mental aku dalam kehidupan seharian.
Disebabkan dari itu, kadangkala bila aku cuba untuk tidur waktu malam, otak aku akan kekal aktif dan membuatkan aku susah untuk tidur. Keadaan menjadi semakin teruk bila aku termasuk dalam fasa tengah-tengah di antara alam realiti dan alam mimpi. Ketika ini, minda adalah dalam keadaan separa sedar (subconscious) di mana ia akan menghantar isyarat kepada badan bahawa aku sudahpun masuk ke alam mimpi sedangkan fizikal aku masih di alam realiti.
Mungkin ramai yang tak faham situasi ni ataupun tak pernah kena. Bila termasuk dalam fasa ni, aku memang sedar yang aku sedang tidur dan aku pun sedar yang aku sedang berada di alam lain. Dalam masa ni lah aku akan tahu sejauh mana minda aku dapat mengawal diri aku. Dan sama ada aku mampu lawan atau tak. To be honest, Kadang-kadang aku sanggup tahan tidur dari termasuk ke fasa ni. Bukan sebab insomnia.
Dalam beberapa minit tu, aku cuma mampu melihat secara fizikal tapi seluruh badan aku kaku seperti lumpuh. Ini kerana minda aku dah hantar isyarat bahawasanya aku sedang tidur. Dalam bilik tidur aku, aku akan dengar orang ketuk-ketuk pintu, dengar tapak kaki orang sedang berjalan, bunyi orang mandi dalam bilik air, bunyi orang seret meja, bunyi orang panggil nama aku berulang kali.
Kadang-kadang aku akan rasa macam ada orang baring membelakangi aku di atas katil yang sama. Untuk pengetahuan, aku jenis yang tidur dalam bilik sorang-sorang dengan keadaan pintu tertutup dan ada bilik air persendirian dalam bilik. The worse part is semua tu terjadi dalam bilik yang aku sedang tidur dengan keadaan aku yang separuh sedar dan mata hampir terbuka. Namun, setakat ni aku tak pernah nampak visual yang pelik-pelik lagi.
Satu-satunya jalan keluar ialah kawal minda aku dan cuba untuk sedar sepenuhnya dan masuk ke alam realiti. Lepas aku berjaya keluar dari fasa tu, semua gangguan tadi akan automatik hilang dan aku akan sedar itu semua hanyalah mainan minda. Jangan salah faham, perkara ni tak ada kaitan dengan benda-benda mistik dan seumpamanya. Cuma minda aku yang tak stabil. Tapi apa yang aku rasa masa tu aku boleh katakan ianya 95% real dan betul-betul berlaku. Dan aku paham kenapa orang yang dilabel kurang siuman tu suka bercakap sorang-sorang atau memberikan reaksi yang kita sendiri tak mampu untuk paham.
Ini kerana kesihatan mental diorang dah terlalu lemah oleh sebab-sebab tertentu sampai tak mampu nak lawan minda diorang sendiri. Jangan sesuka hati judge orang. Tak semua orang ada perjalanan hidup yang sama. Ramai orang yang pandang remeh tentang kesihatan mental sedangkan ramai jugak kat luar sana yang menderita disebabkan ni. Sebab kita tak boleh nak detect bende ni kalau nak dibandingkan dengan kesihatan fizikal. Kita tengok kawan kita senyum hari-hari tapi kita kita tak tau mungkin disebalik senyuman dia tu ada terselit depression, anxiety dan masalah-masalah lain yang seumpamanya.
Anyway, terima kasih sebab sudi baca sampai habis. Semoga kita semua diberi kesihatan mental dan fizikal yang terbaik setiap hari. Amin.
– Ajie
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit