Miss Testosteron

Assalamualaikum pembaca2 IIUM Confessions. Nama saya Ann, seorang wanita bujang berusia 30 tahun. Saya merupakan anak ke 5 dari 9 orang adik-beradik. Dalam tempoh setahun yang lalu, beberapa kali saya memasang niat untuk berkongsi “ujian” saya di halaman ini tetapi baru hari ini saya mempunyai kekuatan untuk melaksanakannya. Kemungkinan besar dipengaruhi perasaan malu yang terlalu menebal untuk berkongsikannya secara umum. Oleh itu, terima kasih sangat2 kepada admin IIUM Confessions seandainya perkongsian saya ini disiarkan.

Alhamdulillah, saya dikurniakan tubuh badan yang sempurna anggotanya. Akan tetapi, saya diuji dengan masalah hormon lelaki (hormon testosteron) yang berlebihan. Akibatnya, hampir keseluruhan bahagian tubuh badan saya ditumbuhi bulu2. Di bahagian wajah, ianya tidak terlalu ketara tetapi di bahagian tubuh lain, ianya terlalu ketara terutamanya di bahagian betis & paha. Abang2 & adik2 lelaki saya juga tidak mempunyai bulu selebat saya. Manakala adik-beradik perempuan yang lain sehelai bulu pun tiada.

Cemburu? Sedih? Semestinya! Saya hanya manusia biasa. Sekuat manapun saya menerima diri saya seadanya, sesekali menangis juga ditikar sejadah mengadu pada si Dia. Lagi2 apabila “ujian” ini menjadi bahan usikan adik-beradik & kawan2. Setiap kali hadirnya perasaan begini, saya pujuk diri saya dengan lihat betapa banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada saya terutamanya dari segi pendidikan & kerjaya. Alhamdulillah.

Semasa saya berusia 13/ 14 tahun, saya merasakan bahawa seorang wanita yang mempunyai bulu badan yang lebat adalah normal. Akan tetapi, semakin saya dewasa, semakin saya sedar bahawa saya yang tidak normal. Saya telah mencuba beberapa kaedah tradisional mahupun moden untuk menghapuskan bulu2 ini. Namun, ianya akan bertahan untuk satu jangka masa yang sangat singkat dan akhirnya kembali tumbuh seperti biasa.

Kebiasaanya saya akan menggunakan pisau cukur untuk mencukur bulu2 dia bahagian betis & paha memandangkan prosesnya lebih mudah & cepat. Bukan tidak mencuba Veet/ Organic Waxing, tetapi ianya tidak mampu menghapuskannya 100% dek lebatnya bulu saya. Pada saya Veet/ Organic Waxing, sesuai untuk wanita2 yang berbulu “wanita”. Untuk mencuba kaedah moden yang menelan kos ribuan ringgit, saya tidak mampu. Pernah terfikir untuk membuat pinjaman peribadi & menjalani rawatan laser tetapi saya tidak sanggup.

Sehingga saat ini, saya tidak merujuk lagi “ujian” saya ini kepada mana2 doktor pakar. Saya masih mencari doktor pakar wanita yang boleh dipercayai untuk membantu saya. Buat masa sekarang, selain kaedah2 mudah untuk menghapuskan bulu2, hanya kiriman doa yang mampu saya lakukan. Berdoa moga2 Dia hilangkan semua bulu2 yang tidak sepatutnya tumbuh. Aamiin.

Saya yakin & percaya pasti terdapat wanita2 di luar sana yang diuji sama seperti saya. Saya membawa suara ini untuk diri saya & mereka. Saya sangat2 memerlukan jawapan kepada beberapa persolan di bawah. Oleh itu, saya berharap pembaca2 IIUM Confessions terutamanya wanita2 yang senasib dengan saya & berpengalaman dapat membantu saya untuk menjawab persoalan2 berikut di ruangan komen.

1) Adakah solusi untuk menghapuskan bulu2 ini secara kekal sama ada melalui kaedah tradisional/ moden?

2) Siapakah doktor pakar perempuan yang boleh membantu menyelesaikan “ujian” ini? Jika ada, anda boleh kongsikan nama & kliniknya.

3) Seandainya saya bertemu jodoh, bagaimanakah cara terbaik untuk saya menceritakan perkara sebenar kepada bakal suami? Seboleh-bolehnya, saya ingin bakal suami saya mengetahui perkara sebenar sebelum kami berkahwin supaya dia dapat menimbang tara baik & buruknya. Sejujurnya, saya redha seandainya selepas saya berterus-terang perkara sebenar, dia tidak menerima saya. Inilah juga salah satu sebab mengapa usia sudah menjangkau 30 tahun saya masih tidak mencari teman hidup. Jika ada wanita2 yang mempunyai pengalaman berterus-terang, mohon sangat2 untuk kongsikan caranya.

4) Kepada kaum2 lelaki diluar sana, adakah anda akan menerima seadanya wanita seperti saya untuk dijadikan suri hati? Sanggupkan beristerikan wanita yang mempunyai bulu lebat?

Saya berharap sangat2 pembaca2 IIUM Confessions dapat membantu saya. Moga Allah balas jasa baik kalian dengan sebaik-baik balasan. Akhir kata, yang kurang, semuanya dari saya. Yang baik, semuanya dari Dia.

***Saya minta maaf seandainya bahasa saya sangat formal macam mengarang karangan. Saya memang pencinta Bahasa Melayu. (“,)

Karya,
Miss Testosteron

– Ann

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *