Assalamualaikum semua. Apa yang saya ingin kongsikan disini adalah perkara yang pada mulanya saya anggap mustahil untuk berlaku. Kisah ini bermula apabila saya tersepit dengan masalah hutang dari pelbagai agensi yang jumlahnya sekitar 40k++. Pada awalnya saya bukan lah seorang selalu solat, kalau solat pun biasanya tak cukup 5 waktu.
Saya tamat belajar pada tahun 2012 dengan mendapat biasiswa dari sebuah syarikat pemotoran jepun.(Yang ini pun banyak liku-liku yang terpaksa saya harungi untuk mendapatkan biasiswa tersebut). Ini kali kedua saya sambung belajar selepas kali pertama saya terpaksa berhenti daripada pengajian kerana masalah kewangan dan terpaksa berhutang RM2500 dengan PTPTN.
Kemudian saya bertukar- tukar kerja lebih dari 5 kali dan cuba berniaga sendiri kecil-kecilan. Pernah sekali saya dan rakan sekerja dirompak oleh sekumpulan lelaki bersenjata pisau ketika bekerja di 7E. Kemudian saya tekad berhenti kerja serta merta dan pulang cari kerja di kampung.
Dipendekkan cerita, dengan sedikit simpanan yang ada, saya kembali sambung belajar di kolej swasta pada umur 22 tahun disaat rakan lain sudah menggenggam segulung ijazah. Masalah lain timbul apabila saya tidak dapat membuat pinjaman PTPTN kerana ada baki tertunggak, pada masa yang sama MARA juga tidak memberikan pinjaman pendidikan pada tahun tersebut kerana masalah kewangan.
Saya diberi tempoh sehingga semester 2 untuk menjelaskan yuran pengajian atau terpaksa berhenti belajar. Selepas mengadu pada pihak HEP kolej, mereka juga tidak dapat membuat apa-apa, sebelum saya meninggalkan bilik HEP, pegawai tersebut menghulurkan satu brochure biasiswa, saya pun ambil dan isi borang permohonan tersebut dengan sebuah karangan berkaitan diri kita dan impian kita sebanyak 500 patah perkataan.
Saya pun hantar borang tersebut tanpa mengharapkan apa-apa kerana keputusan SPM saya hanya 3 kredit. (Pada masa ini saya sudah berjaya solat 5 waktu tanpa gagal). Saya mengadu dalam solat dan berkata pada tuhan, seandainya tiada lagi jalan lain, saya redha untuk kembali bekerja seperti dulu.
Dipendekkan lagi cerita ini, saya mendapat biasiswa tersebut selepas melepasi 3000 permohonan, dan tapisan berperingkat, akhirnya 20 orang berjaya mendapat biasiswa tersebut dengan elaun bulanan RM500 dalam pelbagai latar belakang dan bidang pengajian. #alhamdulillah.
Disebabkan biasiswa ini tiada ikatan kontrak, kami bebas mencari pekerjaan sendiri. Tapi malangnya, nak dapatkan pekerjaan bukan lah mudah, walaupun saya grad dengan pointer yang tinggi. Masa inilah saya membuat keputusan untuk berniaga kecil-kecilan dirumah secara online dan akhirnya dapat membuka kedai fizikal selepas beberapa tahun dengan suntikan modal dari sebuah bank berjumlah 20k dan dari agensi lain 10k. Malang lagi sekali, perniagaan tersebut gulung tikar selepas setahun kerana masalah pengurusan dimana saya terpaksa membayar sewa kedai dan upah pekerja dan pembelian stok tak terkawal.
Bermula lah episod surat tunggakan pinjaman yang bertali arus datang dari warna kuning hingga warna merah dan akhirnya menjadi kes mahkamah. Dan panggilan telefon yang menyerabutkan hingga ibu bapa saya turut terima tempias kerana menjadi penjamin. Episod ini berlangsung dari 2013 hingga 2017.
Akibat dari tekanan tersebut, saya sering terjaga tengah malam secara mengejut. Hingga lah pada bulan jun (ramadhan) 2017 ada satu iklan jawatan kosong universiti awam yang saya pernah mohon pada 2012, namun gagal dan saya cuba lagi kali ini setelah 5 tahun ‘menganggur’ dari bidang yang saya belajar. Sejak dari hari permohonan itu saya tidak berhenti solat hajat, tahajjud dan solat-solat sunat lain. Saya juga turut mengamalkan zikir-zikir serta doa-doa berkaitan hutang dari hadis sahih seperti dari kitab amalan zikir rasulullah s.a.w. (Kitab Al-Azkar karya Imam An-Nawawi r.h.), mengamalkan zikir dari al-mathurat serta istighfar sebanyak-banyaknya. (Memang bukan mudah untuk istiqamah, tapi saya bertekad melakukannya).
Saya benar-benar meminta pertolongan Allah untuk mendapatkan pekerjaan ini untuk membayar hutang-hutang tersebut. Saya juga meminta saudara mara dan orang-orang yang pergi ke tanah suci untuk tolong sama berdoa, bila ada orang yang bertanya sekarang saya buat kerja apa, saya hanya bagi tahu sedang menganggur dan menunggu panggilan interview dan saya minta orang tersebut turut berdoa untuk saya.
Pada oktober 2017 saya mendapat emel panggilan temuduga tersebut, dan dalam perjalanan bersama ibu saya untuk temuduga tersebut kami hanya mempunyai wang cukup-cukup untuk perjalanan dan penginapan. Tapi tanpa disangka, saudara saya ingin memasukkan RM1000 ke akaun ibu saya selepas dia mendapat beberapa ribu dari tunggakan claim tempat kerjanya. #alhamdulillah. Disini juga sudah nampak keajaiban rezeki yang tak terduga dari Allah s.w.t.
Dipendekkan cerita, pada penghujung November 2017 saya mendapat pekerjaan dari universiti tersebut selepas melepasi 30 orang calon yang sebahagiannya mempunyai pengalaman pekerjaan dari bidang yang sama. Allah s.w.t telah memakbulkan doa-doa orang yang mendoakan saya. Walaupun saya telah menganggur selama 5 tahun, namun tiada yang mustahil dengan izin-Nya.
Kini setelah setahun saya bekerja dan telah melunaskan sebahagian dari hutang-hutang tersebut. Saya menganggarkan akan selesaikan semuanya pada penghujung tahun hadapan. Doakan saya berjaya selesaikan hutang, dan saya turut mendoakan anda yang mengalami masalah hutang akan diberikan jalan keluar yang terbaik dan diredhai-Nya. Aamiin.
– Azrol Azizi
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit