Luka Seorang Ayah II

Assalamualaikum Warga IIUM Confessions. Terima kasih kepada yang memberi komen pada post aku yang lepas. Confession aku sebelum ni ialah (https://iiumc.com/luka-seorang-ayah/).

Untuk pengetahuan kalian, abang aku dan aku sendiri pernah slow talk dengan D namun dia tak mahu mendengar penjelasan daripada kami. Bagi D, kami hanya nak memburuk-burukkan ibunya. Walhal tak pernah terlintas pun mahu memburukkan Kak Y. Kami cuma menjelaskan apa yang sepatutnya sahaja supaya dia tak menyalahkan abang aku atas apa yang berlaku.

Namun semua penjelasan kami sia-sia belaka. Dia tetap membenci abang aku malah langsung tak tahu nak menghormati abang aku sebagai ayah kandungnya. Aku tahu D baru meningkat remaja, masih tak tahu yang mana betul dan mana yang salah dan kami tak juga menyalahkan D atas sikapnya. Cuma agak kecewa bila layanan sebegitu yang dia bagi pada abang aku.

Kalau nak ikutkan apa yang Kak Y buat pada abang aku teruk juga. Kak Y pernah humban kain baju abang aku kat luar rumah ibu bapanya bila abang aku ajak Kak Y balik kampung kami dan kak Y juga pernah biarkan je abang aku terlantar sakit kat rumah tanpa menghiraukan keadaan abang aku yang demam teruk ketika itu. Abang aku terpaksa drive kereta datang ke rumah aku dalam keadaan tak larat tu untuk sesuap makanan dan ubat. Memang sedih hidup kau bang. Kak Y buat macam-macam pun kau masih boleh bersabar malah perkataan “cerai” itu langsung tak ada dalam kepala kau.

Betapa bersabarnya kau dengan Kak Y. Abang aku tak pernah naik tangan pada Kak Y tapi sebaliknya Kak Y yang tendang-tendang abang aku depan D (masa tu D masih berumur dalam lingkungan 2 tahun) malah pernah cekau abang aku sampai lebam. Abang aku ada simpan gambar lebam tu sebagai bukti. Semua tu kami tak pernah cerita pun pada D kerana aku tahu kalau kami cerita pun dia tak kan percaya kerana pada D, yang jahat cuma Ayah. Ayah miskin, tak berharta, tak mampu nak tanggung keperluan kau dan ibu kau dulu sebab tu ibu pandang hina pada ayahmu.

D pernah cakap kalau boleh dia tak mahu lagi berjumpa ayahnya sampai bila-bila. Tu yang buat abang aku betul-betul terluka. Besar sangat ke dosa si ayah sampai anak boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu. Aku ada juga whatsapp elok-elok bertanyakan khabar si D serta menasihati D supaya call dan bertanya khabar ayahnya, namun mesej aku tidak dibalas malah dia sekat aku di whatsapp. Betul-betul keras hati kau D, sekeras hati ibu kau.

Aku bercerita ni bukanlah untuk masuk campur dalam urusan mereka, Cuma semua kesedihan dan kesusahan abang aku terhidang depan mata aku. Aku tak sanggup melihat abang aku terus-terusan kecewa dengan sikap D. Mungkin kerana terlalu sedih dan kecewa dengan kata-kata D, abang aku pernah cakap pada aku dalam nada yang sangat sayu, “D bukan anak alang lagi, kalau D anak alang, D takkan sanggup cakap macam tu pada alang. Sia-sia sahaja pengorbanan alang selama ini, sakit demam D masa kecil alang yang jaga sendiri, dan segala yang alang buat dulu semata-mata hanya kerana D tapi ini yang D buat pada Alang”. Ya Allah, sedih hati aku bila abang aku cakap macam tu. Takpelah bang, aku yakin satu hari nanti anak kau akan cari kau balik.

Setelah 4 tahun bercerai dengan Kak Y, abang aku telah berkahwin buat kali kedua dengan wanita lain dan telah dikurniakan 4 orang anak dengan isteri barunya. Alhamdulillah, isterinya banyak memberi semangat dan kata-kata positif pada abang aku dan sanggup bersusah senang dengan abang aku sewaktu di awal perkahwinan mereka dahulu. Berkat kebaikan serta kesabaran kakak ipar aku, dia boleh tersenyum gembira kini kerana segala barang, keperluan, kehendak untuk diri dan anak-anak mereka, abang aku tanggung sepenuhnya. Dia juga ringan tulang dalam membantu isterinya menguruskan rumah tangga. Aku berharap dan berdoa agar cinta mereka hingga ke syurga, In Shaa Allah, Amin.

Kak Y pun dah berkahwin dengan lelaki idamannya yang kaya lagi berharta. Semoga kau berbahagia kak. Kau dah dapat apa yang kau nak. Luka-luka yang kau tinggalkan pada abang aku begitu dalam. Hanya Allah sahaja yang layak menilai segala perbuatanmu dahulu. Keluarga kau keluarga baik-baik kak, tidak seperti keluarga aku. Memang kami tak setaraf malahan tidak selayaknya dengan kamu.

Buat para pembaca dan diriku sendiri, ingatlah syurga itu memang di bawah telapak kaki ibu tetapi keberkatan hidup ini juga bergantung pada keredhaan si ayah terhadap kamu. Jangan dilukai hati mereka, tiada apa di dunia ini dapat menggantikan ayah dan ibu kita. Sebaik-baik atau seburuk-buruk mereka, ayah dan ibu tetap ibu bapa kita. Tanpa mereka kita takkan ada di dunia. Ibu dan Ayah adalah harta di dunia hingga ke syurga.

Sekian, Terima Kasih.

– Pakcikmu

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *