Bantuan Awal Persekolahan RM100

Assalamualaikum semua. Saya harap admin dapat post confession saya.

Berikut adalah mesej yang saya sampaikan dalam group whatsapp ibubapa kelas jagaan saya berkenaan dengan Bantuan Awal Persekolahan RM100. Saya pasti masalah ini juga dihadapi oleh guru-guru lain.

“Salam, perhatian kepada ibubapa penjaga, saya mendapat maklumat ada ibubapa yang tidak mempunyai slip gaji—berniaga, kerja sendiri yang mempunyai pendapatan lebih dari rm3000, bahkan berpendapatan tinggi, menipu maklumat pendapatan untuk mendapatkan BAP. Saya juga dapat maklumat perkara ini telah berlaku dari sekolah yg sebelumnya lagi.”

Malah ada anak-anak juga mempertikaikan penerimaan BAP murid berkenaan kerana mereka lihat diluar pagar sekolah kenderaan yang dipandu oleh ibubapa murid tersebut.

Sekadar pengetahuan ibubapa/ penjaga, ada ibubapa/ penjaga sekolah ini yang berpendapatan kurang rm3000 menolak BAP atas kerana pada mereka ada lagi golongan yang lebih memerlukan bantuan. Ada juga ibubapa/ penjaga yang berpendapatan lebih sedikit dari rm3000 tetapi mempunyai tanggungan yang ramai—tidak layak terima BAP.

Saya berharap perkara ini tidak berulang lagi. Menipu maklumat pendapatan pada saya adalah tidak wajar. Anak-anak adalah cerminan ibubapa. Jika kita mengharapkan agar anak-anak berperilaku baik, seharusnya dimulai dengan perilaku ibubapa/ penjaga dan guru.

Anak-anak melihat ibubapa sebagai idola, akan meniru perbuatan ibubapanya. Jika elok perilaku ibubapa, selalunya elok juga perilaku anak-anak.

“Bapa borek, anak rintik.”
“Bagaimana acuan, itulah kuihnya.”
“Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.”

“Bagaimana contoh begitulah gubahannya;
bagaimana rupa begitulah bayangnya.”

“Hati tercuit dek lucuan,
Gelak-gelak dek gurauan;
Bentuk kuih ikut acuan,
Sifat anak ikut haluan.”

“Harap maklum dan maaf dari saya jika teguran ini mengguris perasaan ibubapa.”

Sebagai seorang guru yang terlibat dengan penyerahan BAP setiap tahun, setiap tahun juga perkara ini berlaku. Pada pendapat saya, memang patut anak-anak sekarang sukar didik—bahasa kasarnya ialah degil, kasar dan keras kepala. Ibubapa sendiri menunjukkan contoh tidak elok kepada anak-anak, akhirnya menyalahkan guru disekolah.

Pendidikan bermula dirumah, wahai ibubapa sekalian. Apa yang anda tunjukkan dirumah, itu yang anak akan ikut. Jangan salahkan sistem pendidikan, guru-guru, internet, pengaruh rakan semata, jika anda sendiri gagal menunjukkan contoh yang baik.

Orang yang baik, selalunya akan melahirkan orang yang baik-baik juga dan begitulah sebaliknya.

Ibubapa sebegini sebenarnya tidak layak menjadi ibubapa. Harap terasa. Sebagai guru, ini adalah cuma sebahagian isu mengenai ibubapa-murid yang menyebabkan saya dan guru lain kecewa. Ada banyak lagi isu lain berkaitan ibubapa yang menyumbang kepada tingkah laku buruk anak-anak sekarang.

– Cikgu anak awak.

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *