Anak dan Vaksin

Lately ni kecoh sangat pasal AEFI dan golongan anti-vaksin ni. Aku pun ada benda nak cerita. Sapa nak baca, bacalah, kalau tak nak sila scroll laju2. Ni lebih kepada cerita je ye, sebab sepanjang benda ni berlaku dalam hidup aku, aku memang tak berkongsi dengan orang luar, hadap berdua kami suami isteri je. Sebab benda ni terlalu pedih untuk dihadapi, apatah lagi untuk diulang-ulang cerita dan menjawab soalan2 yang akan lagi menyakiti kami. Ni anak dah sihat, baru rasa okay nak recall balik kejadian ni.

AMARAN : confession ni memang panjang, sebab aku malas nak buat sambung2. kang ada netizen yang jenis suka membaca komplen aku bajet hot orang dok tunggu cerita aku. Ha, complaint je keje! So nah, baca la seadanya ye. Peace!

Disclaimers :

1. Kisah aku ni bukan nak salahkan mana2 pihak, sekadar aku ingin bercerita kisah anak aku untuk tatapan pembaca yang sudi baca je.

2. Ini cerita aku, jadi aku tak nak ada parents compare kalau kebetulan ada kes yang hampir sama dengan kisah aku. Please rujuk doktor masing2 sebab mungkin the underlying cause tak sama. Aku tak nak kisah aku ni jadi salah paham dalam kalangan netizen.

Anak aku dilahirkan pada tahun 2017, cukup 40 minggu melalui pembedahan caesarean disebabkan fetal distress. Tak de masalah apa2 lepas tu, lepas 3 hari, everything normal, kitorang boleh discharged. Aku dengan husband memang tak plan nak terima tetamu ramai2 sebab kitorang memang aware sangat dengan jangkitan bawaan orang2 dewasa yang secara tak sengaja boleh menjangkiti baby yang time tu imun badan masih ditahap yang rendah.

So sepanjang aku berpantang cuma ada adik 2 orang yg tinggal serumah dan confinement lady yang aku upah seminggu untuk suami aku belajar cara-cara jaga orang dalam pantang. Selebihnya tempoh berpantang aku, memang suami aku yang jaga daripada A to Z. Aku memang berpantang sendiri sebab tak de siapa pun yang boleh jaga aku time berpantang. Mak aku dah meninggal zaman aku belajar lagi, mak mentua aku pulak memang sakit2, so memang tak la aku nak susahkan beliau. Jadi kitorang memang survive sendiri2 la.

Back to the story, lepas anak aku ambik imunisasi 2 bulan iaitu elok2 time tu aku baru habis pantang, anak aku demam selama 3 hari. So kitorang sebagai new parents, menggelabah la.. terus bawak ke ED hospital P. Time ni temperature baby 38.4 degree Celcius. Anak aku kena admit ward. Anak aku consistent demam lepas tu, tapi dia aktif je macam biasa, menyusu pun dia nak je, dia menangis2 tu biasa je la bagi aku, tapi aku tak pasti kenapa ada satu doktor ni syak anak aku meningitis. Doktor tu mintak untuk kitorang jalani prosedur ‘lumbar puncture’ untuk ambik air tulang belakang untuk tengok jangkitan betol ke tak meningitis.

Memang bukan satu keputusan yang mudah untuk kitorang bagi keizinan buat prosedur LP tu, tambah lagi kita memang selalu dimomokkan dengan kononnya kalau buat LP tu ada risiko utk anak lumpuh la. Lepas doktor bagi penerangan pasal risiko dan bincang dengan suami aku, at the end kitorang setuju utk buat LP demi kebaikan anak kitorang jugak. At least kalau lah betul meningitis, boleh treat dari awal. Waktu ni memang anak aku dah on antibiotik, yang masuk melalui IV tu. Hati aku memang tak tahan setiap kali nurse masukkan ubat ikut IV tu anak aku menggelupur kesakitan.

Pedihnya hati aku Tuhan je tau. Lepas doktor dah ambil sampel air tulang belakang anak aku, bila result keluar negative. Ujian darah, negative. Anak aku selang sehari/2 hari, kena buat IV line yang baru, sebab IV yg lama dah bengkak, antibiotik makin lama makin kuat, dari yang cucuk direct, dah kena pakai machine yang drip slow2 1 jam ke 1 jam setengah macam tu. 3 minggu time tu anak aku warded, aku kira lebih 36 kesan IV line dekat dua2 belah tangan, lengan dan kaki dia. Belum kira lebam2 lagi. Tapi suami aku ni, memang setiap kali anak aku kena pasang IV line baru, dia memang setia tunggu depan bilik nurse tu, bila anak aku keluar je, mesti dia akan peluk dan tenangkan anak aku. Nampak dia macam kuat, tapi sebenarnya aku pernah nampak mata dia merah, aku yakin dia menangis tapi dia tak tunjuk kat aku. Aku tau dia terpaksa kuat sebab dia tempat aku berpaut waktu mental dan jiwa aku dah koyak sangat time benda ni berlaku. Thanks b! Semoga Allah rahmati u selalu.

Selama 3 minggu warded, segala test dah buat, test darah, ambik kahak, LP, ultrasound kepala, cek echo jantung, CT scan, semua negatif dan normal. Even doktor pakar yang rawat anak aku sendiri mengaku dekat kami dia pun clueless, sebabnya antibiotik kuat dah bagi, tapi demam still on off. At that time, tetiba doktor came out dengan suggestion nak ambik bone marrow untuk test kalau2 anak aku ada kanser even pakar cakap simptom tu tak macam kanser pun. Risikonya anak aku ada possibility untuk patah tulang sebab tulang kaki dia kan kecil lagi. Yela time tu baru umur 2 bulan lebih. Aku dah sepakat dengan suami, memang tak nak buat prosedur ambik bone marrow tu. Waktu tu aku fikir, aku dah setuju dengan semua prosedur yang doktor nak buat, tapi bukan yang ni. Tak sanggup aku tengok anak aku bersimen.

Kalau korang as parents, apa yang korang rasa? Dah sampai tahap ni, aku dah mula fikir macam2. Aku dah mula rasa doktor2 ni sengaja nak buat anak aku bahan eksperimen ke, asyik bagi ubat je, demam tak setel2 lagi, test dah macam2 buat. Doktor ada cakap ada kemungkinan demam tak setel sebab bengkak kesan IV line, tapi diorang taknak bukak jugak IV tu, diorang tukar IV line kat tangan lain. Kemuncaknya sampai doktor dah tak boleh nak pasang IV line kat mana2 tangan dan kaki dah pun, sebab semua dah penuh kesan cucuk, doktor minta izin kitorang untuk botakkan kepala anak kami untuk pasang IV line kat kepala pulak. Doktor cakap urat kat kepala tu sama je macam urat kat tangan, tapi aku dengan suami memang tak izinkan, tak sanggup kami ambil risiko. Akhirnya doktor usaha jugak untuk pasang IV dekat tangan/kaki. Aku yang time tu dah memang fed up, bincang dengan husband kami nak AOR discharge. Maksudnya discaj atas risiko sendiri.

Kami cadang nak bawak anak kami ke Darus syifa’ kot la ada benda lain yang menempek. Masa nak mintak AOR discharge tu, ya ampunnn memang susah gila. Sampai ketua jabatan pediatrik, dengan pakar2 pediatrik, neonatal semua turun, berkumpul dalam satu bilik, dengan aku dan suami dua ketoi menghadap diorang. Macam2 la risiko yang diorang bentangkan, tapi time tu hati aku dah tak mampu dah nak hadam, dan aku terang2 cakap aku rasa anak aku demam tak kebah2 ni sebab suasana hospital, apa lagi tah aku gebang, time tu aku memang emo sangat, laki aku diam je, besala kan pompuan.

Time tu aku dah tak heran dah even aku nampak bodoh depan doktor2. Akhirnya diorang bagi kitorang AOR discharge. Aku ingat sampai situ je, esoknya sebelum diorang bagi surat mengatakan kitorang nak AOR discharge tu pun lagi sekali diorang panggil kitorang masuk bilik untuk brainwash. Tapi hati kitorang dh tetap. Letih oi duduk hospital lama2. Aku pun dah nak jadi sakit. Bukan doktor je okay dok ulang alik jumpak kitorang , matron (ye kot, yang pakai baju biru gelap selalu tu) dengan sister pun dok ulang alik jumpa kitorang, tapi memang kitorang degil nak keluar jugak.

So, lepas discharge tu, kitorang bawak la anak kitorang pegi jumpa ustaz kat darus syifa’. Ustaz kata badan dia memang panas, and bagi kitorang air penawar. Balik rumah tu memang bagi baby mandi dengan air penawar ustaz bagi. Kami still prepare paracetamol dan selalu cek dan rekod suhu baby setiap 6 jam sekali macam rutin kat hospital. Magically, baby dah tak demam masa kat rumah, cuma kalau cek suhu waktu dalam pukul 3 pagi macam tu, badan dia panas sikit. Hujung minggu tu ada appointment pulak dengan KK, untuk injection 3 bulan. Baby tak demam, so kitorang dengan konfidennya pegi la klinik utk ambik injection.

Dalam hati risau tu ada jugak, takot jadi lagi sekali macam masa ambik injection 2 bulan. Time tu KK memang sesak, macam biasala kalau klinik kerajaan. Masa jumpa doktor klinik, doktor nampak anak aku macam nafas laju, bila cek SPO2 (level oksigen) dalam 89% which is bahaya. (Aku suspect sebab klinik tu sesak sangat, sampai sekarang aku fobia nak bawak pi klinik yang sesak macam tu, orang sakit pun ramai kat klinik, duduk kat tempat yang crowded pulak tu kan). Terus dia refer hospital terdekat (bukan hospital P) iaitu Hospital S. Kena la admitted sekali lagi. Masa warded kat Hospital S, aku bagitau history yang kitorang penah warded kat Hospital P dan AOR discharge baru je minggu lepas.

Doktor Hospital S nak repeat balik prosedur2 yang dah dibuat kat Hospital P. Memang aku xnak la, merayu aku mintak kat doktor suruh hantar kitorang pegi Hospital P balik since semua rekod baby dah ada kat sana. Lantakla waktu tu tebal muka nak hadap doktor2 pakar Hospital P tu balik. Time tu aku fikir, mesti doktor2 Hospital P dan yang confront aku tempohari gelakkan aku. Yela, seminggu keluar, dah kena admit balik. So pegi la kitorang Hospital P balik dengan ambulan yang hantar. Aku cakap nak pergi sendiri, doktor suruh pegi dengan ambulan jugak aku rasa sebab diorang takut aku lari tak pegi hospital kot, parents yang degil ni bukan boleh buat main. Hahaha..

So admit la hospital P buat kali kedua. Time ni xde prosedur apa2. Doktor cuma bagi sambung antibiotik yang kitorang stop minggu lepas dan monitor baby je. Seminggu je warded time ni kalau tak salah aku, lepastu discharge sebab doktor tengok semua ok. Nafas pun tak laju,Time ni rasa hepi sebab doktor yang bagi izin untuk discharge, ubat antibiotik yang IV tu doktor tukar kepada ubat makan, dan doktor suruh bagi ubat on time dan pantau sendiri kat rumah. So kitorang pun balik dengan happy nya.

Tapi…. seminggu lepas tu, kitorang warded balik, sebab aku tengok nafas anak aku laju. Masa warded tempohari aku dah tanya doktor macam mana nak cek laju ke tak nafas baby, kalau normal 40 kali per minit (kalau xsalah aku, dah lupa sebab dah lama, please get your fact straight), tapi time tu aku kira dah lebih 60 kali per minit siap pakej dengan bunyi lagi, ada video dia aku rakam, sampai sekarang aku xboleh tengok video tu, sedih sangat. Warded kali ketiga ni dalam dua minggu, doktor start IV drip, time ni baby aku demam balik on off. Waktu ni doktor memang kata pneumonia, memang baby aku kena xray dan doktor buat ultrasound abdomen. Surprisingly, time ni dapat finding ada tompok-tompok kecil nanah dalam spleen anak aku.

Alhamdulillah cuma tompok nanah kecil (micro abscess) dan tak perlu tebuk untuk buang nanah tu keluar. Doktor bagi antibiotik makan untuk kecutkan nanah tu, dan time ni anak aku dah start kena makan ubat tibi untuk rawat pneumonia tu sebab doktor dah bagi antibiotik paling kuat dah untuk baby aku, so the next level is ubat tibi tu la kot. Time ni aku dengan husband kena buat Mantoux test, utk cek kitorang ada tibi ke tak, tapi result kitorang negatif. Dipendekkan cerita, lepas 2-3 minggu macam tu warded, anak aku dah tak demam dan kitorang dibenarkan discharge buat kali ke 3. Tapi ubat still kena sambung makan kat rumah sampai further notice. Seingat aku, dua bulan jugak kitorang warded. Seksa betol rasanya.

Few weeks lepas tu, doktor Hospital P call, bagitau Hospital S ada satu slot kosong untuk prosedur bronchoscopy (masuk kamera dalam paru2). Hospital S ni memang specialist untuk bahagian Respiratory. Diorang nak kami buat prosedur tu. Kami setuju dan esoknya pergi la admit Hospital S. Dipendekkan cerita, hari yang anak aku kena buat bronchoscopy tu, dia kena puasa start pukul 4 pagi, nak masuk OT tu pukul 10, bertahan je la aku layan anak aku menangis yang kelaparan mintak susu. Aku ingat dengan jelas sangat masa kat OT, anak aku yang dibaringkan atas meja OT, menangis2. Doktor mintak aku cium dia sebelum doktor bius baby aku.

Lepas aku cium anak aku, doktor bius dia, perlahan-lahan aku tengok anak aku tak sedarkan diri dalam keadaan masih mengalir air mata dia. Hancur hati aku, sedih sangat2 tengok time tu. Lepas setel prosedur tu, anak aku dimasukkan ke ICU. Sedih Allah je tau bila aku tengok anak aku bernafas menggunakan mesin bantuan pernafasan sbb kesan bius masih belum hilang. Ubat pun dimasukkan melalui tiub melalui hidung. Badan anak aku kaku, sejuk. Doktor in-charge dalam ICU tu jagakan anak aku, dia suruh aku rehat. Bila baby aku bangun, doktor akan call aku.

Time ni aku memang sakit kepala sangat2. Hati aku berat nak tinggalkan baby, tapi aku memang dah letih sangat2 dan aku ambik keputusan untuk balik rumah. Nasib baik jarak rumah dan hospital aku dekat je. Pukul 4 pagi, doktor call cakap anak aku dah sedar, bergegas aku ke hospital. Memang lapar betul dia time tu, tapi doktor suruh bagi minum air masak je dulu, tengok dia muntah ke tak. Then dah ok, terus aku bagi susu. Petang sikit bila baby aku dah sedar sepenuhnya, kitorang dah boleh keluar ICU dan dimasukkan ke wad pediatrik. Esoknya dah boleh discharge.

Result daripada bronchoscopy tu, anak aku positif TB. Timbul persoalan baru dari mana baby aku dapat TB sedangkan aku dengan husband negative masa buat Mantoux test tempohari. Terus kami direfer ke pakar infectious disease (ID) di Hospital T. Time ni baru terkeluar cerita pasal vaksin BCG yang baby dapat masa baru lahir tu. Kalau korang baca vaksin BCG tu memang untuk fight TB pun. So pakar ID syak baby aku ada masalah immunity, maksudnya dia ada problem dengan immunity badan dia.

Kitorang direfer pulak dengan pakar immuno di Hospital S. Tapi bila result immuno keluar, semua normal. Ha disebabkan doktor syak anak aku ada immunodeficiency, doktor xbagi anak aku ambik vaksin MMR buat sementara waktu sebab MMR tu live vaccine. Vaccine lain2 boleh ambik, alhamdulillah ok xde demam2. Bulan 12 hari tu doktor dah benarkan ambik vaksin MMR since anak aku xde masalah dengan immunity badan dia, so that time ambik dua jab sekaligus, MMR dengan apetah lagi satu vaksin. Lepas ambik tu, so far tak de la jadi apa yang pelik2, alhamdulillah.

Sampai sekarang, memang appointment dengan tiga2 pakar tu kena pergi. Hopefully bulan depan last la jumpa doktor ni semua, sebab anak aku dah sembuh. Ubat tibi dia pun dah habes makan selama setahun. Sekarang doktor cuma nak monitor progress dia je. Kalau semua ok, alhamdulillah. Doakan ye.

Actually, time anak aku on medication, aku tercame across pasal AEFI. Time tu aku ada terbaca kisah seorang mak ni dia cerita pasal anak dia yang case nya lebih kurang macam aku, tapi anak dia ada naik bengkak kat ketiak. Anak dia kena makan ubat tibi jugak. Macam anak aku xde tanda2 bengkak macam tu. Aku private message dia untuk tau lebih lanjut. So dia memang syak anak dia kena AEFI lah. Dia bagitau aku the second child dia tak ambik injection langsung dan alhamdulillah anak dia sihat je. Aku paham dia serik, kalau tanya aku, aku sendiri pun dah tak sanggup nak hadapi benda2 yang aku dah lalui dengan anak first aku. Even gambar dia masa baby pun aku tak tengok sangat, bukannya apa, sebab banyak gambar masa dia kecik2 gambar masa kat hospital.

Kalau aku go through gambar2 tu mesti aku akan menangis. Aku berhenti kerja pun sebab nak jaga anak aku. Tapi tu lah, untuk jadi sorang yang anti-vaksin ni, aku lagi takut sebenarnya. Walaupun apa yang dah aku lalui memungkinkan aku untuk jadi seorang anti-vaksin. Aku tak berani untuk tawakal tanpa usaha. Aku faham anti-vaksin cakap bagi anak makanan sunnah bagai, tapi bila aku fikir balik, sampai bila kita boleh control anak kita bagi makanan sunnah je memanjang. Anak2 tu akan membesar, akan ada keinginan diorang untuk makan itu dan ini. Jadi pendapat aku personally elok aku vaksinkan anak aku, makanan sunnah tu bagi la jugak untuk boost immunity dia, tak salah pun kan, lagi bagus.

Lepas tu, tawakal kat Allah. Mintak doa banyak-banyak, insyaAllah xde apa2. Macam mana pun kita kena mintak dengan Dia, apa-apa benda sekalipun. Sebab apa2 pun semua hak Dia. Aku jadi parents ni, aku tak sanggup nak risiko kan nyawa anak aku. Aku tengok statistik penyakit2 yang bawak maut ni memang buat aku gayat sangat. Tak payah tengok measles outbreak dekat Filipina tu. Tengok penyakit difteria yang kat selatan tu pun dah cukup menakutkan bagi aku. Aku kadang2 tertanya apa yang parents anti-vaksin ni fikir sebenarnya. Share la sikit apa yang korang fikir. Aku tak paham diorang sanggup ke merisikokan anak diorang dengan jangkitan yang membawa maut macam tu. Saluran pernafasan jadi bengkak, last jadi kematian sebab tak boleh bernafas. Aku sejujurnya tak sanggup nak dedahkan anak aku dengan risiko2 macam tu.

Parents aku jaga elok2, bagi vaksin msa aku kecik2, tup tup bila ada anak, aku xnak vaksinkan pulak, memang tak la aku nak buat macam tu. Lagi satukan parents yang anti-vaksin ni selalu cakap, kita yang dah vaksin ni kenapa takut nak bercampur dengan anak2 anti-vacc, kan ke dah vaccine. Ye la cik abang cik kak ooii, memangla anak2 kitorang dah vaksin, tapi kalau ko dah tau ada kelompok manusia yang ada high possibility untuk jangkitkan penyakit dekat ko, korang pergi duduk rapat2 lagi ke dengan orang yang bawak penyakit tu. Of course la nak jauhkan anak2 daripada pesakit2 tu.

Tolong la hormati hak kami untuk berada dalam persekitaran yang sihat sama macam korang tak suka orang lain untuk interfere hak korang xnak vaksinkan anak korang. Vaksin ni bukan maksudnya korang akan terpelihara langsung daripada terkena penyakit tu, cuma less risk la if korang tetiba ter’exposed’ dengan penyakit tu, badan korang dah ada immunity untuk lawan dengan penyakit. Wallahualam..Aku pun tak nak melalut banyak sangat pasal vaksin2 ni, kesimpulannya tolong la dengar orang yang pakar dalam bidang dia. Jangan asyik nak menggoogle je. Nak berilmu, kena ada guru. Guru tu biarla yang ahli dalam bidangnya. Jangan sesedap rasa je menuntut dengan ntah sapa-sapa.

Honestly, aku sebenarnya rasa bersyukur sangat2 anak aku dah sihat sepenuhnya. Time aku diuji dulu, aku rasa ujian aku la yang paling berat nak tanggung, tapi sekarang, aku tengok ramai lagi anak2 orang lain yang sakit teruk, terlantar, aku jadi insaf. Semoga Allah bagi diorang kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian2 ni. Aku paham kesakitan yang diorang rasa, walaupun mungkin level kesakitan tu tak sama. Semoga Allah bagi ganjaran terbaik untuk semua yang sabar dengan ujianNya. Btw, baru2 ni aku dengan husband teringat something, hari yang aku discaj lepas bersalin tu, ada sorang aunty ni volunteer nak tolong pegangkan baby aku sebab dia nampak husband aku macam susah nak pimpin aku masuk kereta, kitorang tak fikir apa2 bagi dia pegang baby aku (bodoh sangat time ni).

Sekarang baru tringat aunty tu memang ada batuk2 time tu. Macam mana la ktorang tak terfikir, Tapi nak buat macam mana, benda dah jadi, dah lepas. Bukan nak tuduh, syak je, sebab sampai ke sudah doktor dan kitorang tak tau mana anak aku dapat TB infection tu. Bukan dari vaksin BCG tu ye, sebab doktor dah confirm anak aku takde masalah immunodeficiency. Kalau nak ikutkan aku memang 50-50 lagi pasal ni, tapi untuk stop ambik vaksin, memang tak akan berlaku la. Kitorang dah redha pun, mungkin ni bahagian ujian kitorang, alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Terima kasih sudi baca sampai habis.

– Kak H, 5.40am

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *