Assalamualaikum semua. Saya Madam Z, pernah juga menulis di IIUM Confession ini mengenai tips untuk bos, (https://iiumc.com/tips-untuk-boss/). Tapi kali ini saya nak tulis tips-tips mengenai seni berborak untuk mereka yang muda mudi, yang graduan yang baru masuk kerja (kenalah berborak dengan orang lain, senior apa bagai, jangan dok kematu sorang-sorang kat meja tu), yang tidak tahu nak memulakan perbualan dengan jantina berlainan dan sebagainya.
Berborak ini satu kemahiran jadi ianya boleh dipelajari dan dipraktiskan sampai mahir. Dan jangan ingat anda ini introvert jadi makanya anda adalah seorang yang pendiam 100%. Ramai yang menjadikan alasan “saya introvert jadi saya memang pendiam”. Demm. Kalau ada staf saya yang macam ni, saya mohon dia handle meeting masa tu juga, haha.
Setahu saya introvert ni bukan pendiam 100%. Introvert pun suka berborak tetapi berborak dalam kumpulan yang kecil. Jadi jika anda rasa anda memang tak boleh nak memulakan perbualan langsung dengan sesiapa pun, ha, pada saya itu memang satu masalah besar.
Mengapa saya nak bercakap mengenai isu ini. Kerana seringkali saya membaca confession-confession di sini, aduhai, adakalanya sesuatu isu sebenarnya dapat diselesaikan dengan cara berkomunikasi/berborak yang efektif. Sedih baca confession kome-kome semua. Jadi saya bagilah tips ni sikit-sikit.
Perkara ini sebenarnya berkait juga dengan keyakinan diri. Kedua-duanya berjalan seiring. Jadi jika anda sedang belajar seni berborak ini sebenarnya sekaligus anda sedang belajar juga meningkatkan keyakinan diri anda.
Ok, takmo bebel panjang-panjang, ini antara tips-tipsnya.
Tips 1:
Seorang kawan saya yang memberi tips ini, sangat bagus. Jika anda tidak mahu memandang mata seseorang itu secara terus (direct eye contact), sebenarnya anda boleh memandang bahagian muka di antara hidung dan mulutnya. Orang yang anda pandang itu akan nampak anda memandang matanya walaupun sebenarnya anda memandang bahagian itu. Jadi yang berlainan jantina tu, kalau malu, bolehlah cuba tips ini.
Mengapa saya bagi tips ini sebagai tips yang utama, kerana eye contact adalah sangat penting semasa bercakap atau berborak dengan seseorang. Ok, done tips 1.
Tips 2:
Kata-kata pembuka bicara yang simple seterusnya teruskan berborak tentang topik yang menarik bagi orang itu. Tanya je soalan yang simple-simple dulu macam akak asal mana, akak orang mana, datang sini dengan apa, datang kerja naik apa, anak berapa orang dan sebagainya.
Tapi bila ko bertanya soalan simple ni, ko pun kena sediakan juga jawapan balas paling agung untuk soalan-soalan ko tu. Contoh soalan akak ada anak tu, itu antara soalan sensitif tu. Ha, kalau boleh jangan tanya, tapi kalau dah tertanya ko sediakan jawapan siap-siap contohnya, “Alah, rezeki Allah kita tak tahu, mana tahu nanti akak mengandung terus dapat kembar terus!”, ha, ko rasa akak tu kembang-kembang tak hatinya bila kita doakan dia. Bagi ayat manis sikit, yela, kita dahlah baru jumpa orang tu, kenalah bagi ayat-ayat kembang hati sikit. Kang tak pasal-pasal akak tu maki ko dalam hati, haha.
Tips 3:
Soalan balas soalan. Dah bertanya, takkan nak tanya satu soalan je kan? Ha, jadi balas dengan soalan balik, balas, balas dan balas. Tapi jangan ko asyik nak tanya soalan je, ko bagitahulah juga pasal fakta ke, pengalaman ko yang bersangkut paut dengan topik yang tengah diborakkan tu ke. Kalau pengalaman sendiri tak ada, pengalaman kawan ko pernah cerita kat ko ke, pengalaman pakcik ko ke, makcik ko ke, siapa-siapa jelah. Tapi kalau dah sampai 10 ke 20 soalan, orang yang berborak dengan anda tu pun dah naik bosan. Agak-agaklah soalannya ya.
Untuk tips ini sangat penting untuk anda meningkatkan pengetahuan am anda, tak kisahlah pasal isu semasa ke apa, tapi kalau boleh elakkan dua topik ini: politik dan agama. Jika yang baru kenallah, kalau yang dah lama kenal, suka hati koranglah nak borak apa.
Tips 4:
Jadi pendengar yang baik. Dah ko nak orang berborak/bercerita dengan ko, janganlah ko tak dengar apa yang dia borakkan tu. Macam mana nak jadi pendengar yang baik? Ko bayangkan ko dengan orang yang ko tengah berborak tu hanya ada satu batu antara korang berdua, atau bertiga, atau berempat atau seterusnya. Siapa pegang batu dia yang bercakap, siapa tak pegang batu dia kena dengar. Jadi ko kena sabar sampai orang yang bercakap tu pass batu tu ke tangan ko pula.
Tips 5:
Quote their lines, atau kiranya macam ko ambik isi-isi atau poin yang orang tu cakap, dan ko bagi pula pendapat ko pasal benda tu, atau ko sambung cerita pula pasal poin tu. Kenapa nak ambik poin ni? Sebab orang yang bercakap dengan ko tu akan tahu yang ko mendengar setiap butir apa yang dia cakapkan. Orang akan menghargai apabila kita mendengar dengan baik. Macam mana nak tahu? Dengan cara inilah. Quote their lines.
Oklah, cukuplah 5 tips ni dulu. Ada jugalah tips lagi nak share, pasal body language dan sebagainya tapi korang hadam yang ni dululah. Apa-apa pun saya bagi yang 5 ni dulu sebab inilah antara tips-tips yang saya pakai sepanjang hidup saya tak kira di mana. Frankly speaking saya memang orang yang sangat pendiam semasa sekolah, tetapi tidak lagi sekarang, yahuuuuuu. Memang ia mengambil masa tetapi ia sangat berbaloi. Boleh cubalah tips-tips ini terutama kepada graduan-graduan Melayu yang bekerja, jangan dok kematu je tak pandai berkomunikasi dan bercampur gaul, okay?
– Madam Z
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit