Sakit Yang Dibuat-buat

Assalamualaikum. Terima kasih sudi post confession aku. Nama aku Ili. Bekas HO. Kalau ada yang baca confession ni mengenali aku, tak perlu whatsapp aku dan tanya, aku ke ni? Terima kasih.

Aku menjadi ‘bekas’ itu taklah lama. Baru sebulan, dengan berbaki 2 posting lagi untuk aku habiskan. Nak jadi doktor memang impian aku dari kecil, jadi seorang pelajar cemerlang, masuk ke IPTA untuk belajar medic, graduate, kemudian menganggur seketika, kemudian aku mendapat tawaran untuk menjadi HO di sebuah hospital di semenanjung. Alhamdulillah, masih di semenanjung, masih dekat dengan keluarga, walaupun beratus kilometer jaraknya.

Kenapa topik aku ni sakit buat-buat?

Sebab itu ada di kalangan rakan sekerja aku yang come out with that term.

Aku mula rasa aku tak okay di awal satu posting. Tak okay maksudnya aku kerap emergency leave (EL), aku kerap MC. Dulu kau bangun pagi, kau tahu kau kena pergi kerja, kau banyak komitmen. Sekarang kau bangun pagi, kau tidur balik. Aku jadi tak semangat nak pergi kerja. Zero.

Aku habiskan masa aku dalam bilik, baring. Aku boleh tengok siling 2-3 jam. Sedar-sedar dah malam. Bila malam aku tak boleh nak tidur, macam-macam datang kat otak aku. Pusing sana pusing sini, masih tak boleh tidur. Kadang-kadang sampai pukul 4 5 pagi, kadang-kadang dah subuh. Kau bangun nak pergi kerja, kau rasa penat. Tak larat sangat. Kau duduk dalam bilik.

Kawan sekerja mula cari aku. Ketua aku cari, aku cakap aku MC. Dan dia announce dalam group whatsapp, maka ada yang tak puas hati dan terus maki aku. Tanpa tanya kenapa. Aku pergi ke klinik swasta, berjumpa dengan seorang doktor yang very motherly. Aku cerita dengan dia, dia cakap aku perlukan rehat. Kemudian dia bagi MC.

Aku laporkan yang aku MC pada superior aku. Dia pertikaikan MC aku sebab katanya tu dari swasta. Dia tak percaya. Lalu dia laporkan aku pada pengurusan aku MIA. Aku terpaksa jumpa pihak pengurusan dan ceritakan masalah aku. Alhamdulillah, mereka mahu menolong. Mereka berikan aku tarikh untuk berjumpa dengan pakai psikiatri. Aku bersetuju.

Mulanya aku takut nak berjumpa dengan pakar psikiatri. Aku malu. Setelah berborak, beliau bertanya apa masalah aku, kenapa aku jadi begitu. Tapi aku tak ada jawapan. Dia simpulkan aku mengalami stress. Maka dia memberikan aku lebih cuti.

Sekali lagi setiap cuti aku perlu laporkan pada superior aku. Dia bising. Dia cakap cuti tu aku tak perlukan pun. Cuti tu cuma buatkan aku akan di extend posting yang akan memberikan impak buruk untuk kerjaya aku pada masa akan datang. Aku diam. Aku teruskan bercuti.

Lepas cuti yang agak lama, aku kembali bekerja. Dan percayalah sepanjang aku bercuti, tidak ada seorang pun rakan sekerja yang bertanya keadaan aku. Aku kembali menyambung kerja di posting yang sama, dengan pandangan pelik daripada mereka. Ada yang dahulu rakan yang gelak bersama, menjauhi aku. Aku jadi total stranger. Aku gagahkan juga untuk bekerja.

Tak kurang juga ada yang mengeluarkan bunyi-bunyi sumbang.

“Apalah yang stress sangat sekarang? Ramai je kerja”

“Entah2 sakit buat2 tu. Boleh dapat cuti panjang”

“Baik berhenti sahaja jadi doktor”

Sehari dua aku bekerja, aku kembali bercuti. Kembali menjadi seperti di atas. Ditambah dengan rasa tak berguna, rasa bersalah. Aku menangis setiap malam. Aku membuat keputusan berjumpa semula pakar psikiatri. Aku disahkan mengalami depression. Aku diberikan ubat antidepressant.

Sebulan kemudian, aku nekad untuk berhenti.

Mungkin ada yang pelik. Kenapa benda ni berlaku? Kenapa masih ada yang boleh bekerja di bawah tekanan? Kenapa tidak aku? Percayalah. Manusia semua berbeza.

Apa yang buatkan aku kecewa, kerana masih ada mereka yang berada di bidang perubatan itu sendiri memandang remeh dengan mental health. Mungkin bagi mereka yang sudah melepasi HOship mereka merasakan yang mempunyai masalah2 ni lemah dan tidak competent. Tidak salah pun kalau kalian sebagai superior mengambil berat. Mengapa dengan patient kalian boleh berbaik tapi tidak dengan bawahan? Bukankah mereka juga manusia?

Untuk rakan-rakan sekerja HO, sekiranya ada rakan-rakan kalian yang MIA, kerap MC, kerap EL. Cubalah berborak dengannya. Sembang-sembang. Mungkin dia ada masalah. Jangan cepat menghukum. Mungkin kalian rasa ketiadaannya cuma menyusahkan hidup kalian kerana banyak kerja.

Mana tahu mungkin kalian boleh mengubahnya.

– Si konfesi

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *