Assalamualaikum reader iium confession. Nama aku Zasy berumur awal 20 an. Terdetik nak tulis confession ni lepas aku tengok video Neelofa menangis bila dia tanya budak tu pergi sekolah bawa berapa ringgit, budak tu jawab RM2 dan kadang2 beli air je dengan duit tu. Aku menangis dan terus menangis, tak tahu kenapa dengan aku. Bukan aku tak biasa tengok video orang beri bantuan, bukan tak biasa tengok bersamamu dan aku sendiri pernah join NGO beri bantuan untuk asnaf. Mungkin ni a call from Lord to me yang sebenarnya ada orang lagi susah dari aku.
Aku datang dari keluarga kelas pertengahan, tapi tiap2 bulan akan ada isu dengan kewangan. Aku pun pernah merasa susah, pernah merasa tak makan nasi sebab beras habis dan lauk pun takda. Pernah merasa hidup dalam panas dan gelap sebab tak mampu bayar bil elektrik. Pernah merasa tak mampu beli baju sekolah baru dan hanya mampu mengharap bantuan dari orang atau zakat. Tapi sesusah manapun hidup aku, susah lagi hidup emak aku. Dia besarkan kita orang adik beradik sebaiknya walaupun kurang dari banyak segi sampai tahap mak aku tak pernah merasa pakai emas bertahun lamanya, baju baru pun tak beli sebab dahulukan anak2.
Bila hari tak ada makanan, dia kutip cebisan makanan dekat dapur tu masak untuk kita orang. Dia kutip duit syiling, dapat dalam seringgit pun dah syukur rahmat dia belikan ikan bilis masakkan apa2 yang boleh dimakan ramai. Tapi sekalipun tak pernah aku tengok mak aku mengeluh tapi makin kuat semangat dia. Aku ingat lagi bila hari nak pergi sekolah tapi duit tak cukup, emak akan pujuk cakap ‘harini mak tak ada duit, ada pun seringgit tapi kena bahagi dua dengan adik tau? Mak janji nanti ada duit, mak bagi kamu bawak 3 ringgit, boleh beli makanan sedap2
Masa tu aku bodoh lagi, masih sekolah rendah, tak faham apa itu susah. Aku merajuk sebab aku malu dekat sekolah nanti apa je yang boleh dibeli dengan 50sen tu. Aku pula jenis kuat merajuk, bila balik sekolah emak akan layan aku sebaik yang mungkin sebab dia tahu aku masih merajuk sebab duit pagi tadi. Tapi aku bodoh, i take granted for everything my emak did to me and my siblings. Adik beradik aku yang atas aku pun alhamdulillah waktu tu dapat biasiswa, boleh juga survive tapi selebihnya duit tu buat belanja rumah.
Hidup emak memang cukup menderita tapi emak kata anak2 dia adalah semangat dia untuk terus bertahan, kalau emak tak fikir pasal anak2 dah lama dia angkat kaki dari rumah tu. Aku tak tahu macam mana emak boleh survive 20 tahun lamanya hidup dalam serba kekurangan macam tu. Kuatnya emak, tak pernah sekali dia mengeluh. Dalam masa yang sama emak sakit teruk, orang sihir emak. Teruk yang amat sangat tapi emak fight sakit tu sorang diri. Ikhtiar berubat mana yang mampu dengan bantuan dari keluarga sebelah emak dan paling banyak emak buat adalah solat dan mengaji. Tak mampu nak ulang pergi perubatan Islam, so emak ikhtiar cari ayat2 pendinding dan buat air yang dibaca surah2 alQuran.
Mesti readers pelik ke mana ayah aku kan? Dia ada, hidup sihat sempurna. Tapi dia pilih untuk abaikan tanggungjawab dia sebagai ketua keluarga, itu penyebab utama kenapa emak dan anak2 merasa hidup susah. Terus terang aku katakan, memang aku salahkan ayah atas segala kami sekeluarga lalui. Waktu emak sakit teruk, ayah buat acuh tak acuh. Itu titik tolak aku benci ayah aku sendiri, sorry not sorry. Dia langsung tak berusaha nak ubah hidup kami sekeluarga, yang dia tahu hanya berseronok dengan entah siapa2 di luar sana. Tapi ayah aku ada aim, kita orang anak2 dia kena balas jasa dia dan emak so kita orang kena kerja bagus2 tapi tahulah, nak invest untuk education kita orang adik beradik pun dia liat. Aku boleh kata selama 12 tahun aku bersekolah, 90% tu adalah bantuan dari sedara mara, zakat dan juga bantuan lain. Ayah aku? Aku rasa readers boleh agak dan juga selalunya wang bantuan yang kita orang adik beradik dapat dia ambil. Kalau dia bagi pun tak semua :)
Impian ayah aku besar, dia nak anak2 dia jadi doctor lah, pensyarah lah tidak pun jurutera. Me being me, aku pilih untuk lawan apa yang ayah impikan. Marah orang tua tu dengan aku sebab aku pilih jalan yang bertentang dengan apa yang dia nak. Sorry ayah, I don’t live my life to follow your words :)
Bila makin besar aku mengeluh kenapa hidup aku susah, kenapa hidup aku tak macam orang lain? Sampai tahap aku rasa macam nak lari hidup dengan keluarga sendiri nak cari keluarga yang senang yang boleh sediakan keperluan aku secukupnya tapi aku batalkan hasrat. Semuanya demi emak, aku hormat emak dan aku sayangkan emak. Bila aku dah besar baru emak selesa bercerita segala perit pedih hidup yang dia lalui tapi sekalipun emak tak menangis sebab hidup susah macam ni. Sabar emak terlalu tinggi dan redha emak terlalu tebal untuk aku cuit supaya roboh.
Bila aku join NGO untuk beri bantuan kepada homeless atau asnaf aku selalu ucap syukur sekurang-kurangnya aku tidak pernah merasa kebulur berhari, tak pernah tadah minum air hujan, tak pernah tidur berbumbungkan jambatan atau atap bocor. Tapi baru hari ini aku kenal erti syukur yang tepat menjentik hati aku. Nikmat mana lagi yang aku dustakan? Allah dah beri countless blessings untuk aku dan keluarga, antaranya kami adik beradik tak pernah sakit, emak dan ayah tak pernah bergaduh atau berperang mulut, kami tak disisihkan oleh adik beradik emak dan ayah. Nampak benda tu simple tapi itu antara nikmat yang aku lupa untuk bersyukur.
Bila kami adik beradik makin besar, Alhamdulillah hidup makin sempurna. Benda yang paling aku bersyukur bila mampu belikan emak makanan yang sedap2, barangan baru untuk emak dan bawa dia keluar menjenguk dunia luar. Aku tak cakap keluarga aku sempurna 100% sebab masih ada kekurangan dalam beberapa perkara tapi alhamdulillah sekarang adik2 aku tak merasa susah macam kami dulu, pergi sekolah bawa 50sen atau tak bawa langsung duit. Aku ada cita-cita dan masih dalam perjalanan menjadikan ia realiti. Doakan aku dapat capai cita-cita aku tu supaya aku boleh bawa emak dan ayah tunaikan haji. Satu benda yang aku tanya emak dari dulu sampai sekarang apa yang paling dia nak; emak akan cakap emak teringin nak pergi tanah suci. Kalau emak baca ni, InsyaAllah anak2 emak akan tunaikan impian emak yang satu tu.
Aku juga nak cakap, kami adik beradik boleh berjaya juga berkat doa emak. Betullah doa emak itu tak ada hijab, segala apa yang aku dan adik beradik capai harini, penyumbang besar dia ada berkatnya doa seorang emak itu.
Kalau kita ingat kita susah, ingatlah ada lagi yang susah dari kita. Kalau kita terpaksa ikat perut dekat U sebab kurang duit, ingat ada lagi ramai yang tak mampu langsung nak pergi ke sekolah. Kalau ingat kita ni miskin sebab tak mampu beli benda yang kita mahu, ingat ada yang lagi tak mampu sampai terpaksa rebus batu kayu untuk alas perut. Bersyukur dan berusahalah, InsyaaAllah rezeki Allah itu luas. Bila kita belajar bersyukur nescaya kita akan merasa cukup dengan segala apa yang kita ada, malah akan ada lebihan untuk kita kongsi dengan mereka yang lebih memerlukan.
– Zasy
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit