Penawar Gagap

Assalamualaikum. Terima kasih kepada Admin kerana menyiarkan artikel ini. Tujuan aku untuk menulis artikel ini sebab belum ada lagi dalam ruangan yang aku nampak berkongsi perkara ini. Semoga bermanfaat untuk semua.

Aku seorang penghidap gagap. Aku anggarkan diri aku sebagai penghidap tahap sederhana. Tabiat gagap aku ialah selalu mengulang suku kata pertama perkatan berulang-ulang kali sebelum aku sambung suku kata yang seterusnya (contoh: tatatatatapi aku nak….), biasanya pada perkataan pertama ketika aku buka mulut sahaja. Tetapi, tidaklah setiap kali aku nak bercakap. Cuma kerap. Ada yang aku lihat kes yang lagi teruk, kawanku lekat terus di suku kata pertama beberapa saat, tetapi tidak pula mengulanginya (contoh: ha—–bis dah). Ha, siapa kenal orang gagap faham lah.

Sebagai seorang emak, mestilah dia prihatin dengan masalah gagap anaknya. Jadi, mak aku pun bawa aku berjumpa dengan seorang yang alim bab ilmu hikmah ketika aku berumur 4 tahun. Banyak orang pergi berubat dengan dia. Emak aku pun minta air tawar dengan dia. Tetapi Allah masih belum mengizinkan aku untuk sembuh.

Menginjak ke alam sekolah rendah, aku masih lagi gagap. Mungkin kurang sedikit tetapi masih jelas kedengaran. Semestinya, gaya percakapan aku menjadi ejekan segelintir budak-budak nakal. Hmm, redha sahajalah. Tidaklah aku ambil serius. Melihat masalah yang aku alami, ibu saudaraku, Mak Teh memberitahu aku, kalau ingin sembuh dari gagap, sepak pipi sendiri bila gagap tu mai.

Ha… ini lah petua yang sungguh masyhur di Alam Melayu ini kalau berkaitan gagap. Semua orang mesti pernah dengar petua ini. Entah dapat dari mana hanya Allah yang maha mengetahui. Petua itu langsung tidak pernah aku amal. Siapalah yang nak sepak diri sendiri… Memang tak lah. Mungkin orang lain mampu, tapi bukan aku. Haha. Tapi sebenarmya ada perkaitan petua ini dengan penawarnya. Sebab itulah ada orang yang dapat hilang gagap dengan sepak diri sendiri. Nanti akan aku kupaskan.

Jadi, penawar pertama yang aku dapat ialah ketika di dalam kelas bahasa Melayu semasa aku darjah 6. Guruku, Cikgu Zul perasan masalah aku ketika aku menjawab soalan kepada cikgu. Rakan-rakan kelasku ada yang ketawa mendengar aku gagap. Aku pun turut tersenyum malu. Lalu Cikgu Zul memberikan satu perumpamaan. Katanya, ” Si A(aku) ini otak dia laju sangat fikir perkataan, tapi mulut dia brek makan sangat… tu yang gagap tu… Lain kali fikir dulu bagi habis baru cakap.” Kenyataan dan nasihat yang tiada fakta, tiada kajian saintifik. Namun aku turutkan nasihat cikguku itu walaupun aku masih mempersoalkan analogi tersebut di benak fikiran, “betui ka mulut aku ni brek makan sangat?”

Alhamdulillah, setelah aku bersekolah menengah, gagapku boleh dikatakan hilang dengan amalan tersebut. Cuma terlepas sedikit sekali- sekala. Label budak gagap padaku sudah tiada lagi. Ingin dijadikan cerita, pada suatu petang gagapku terlepas di depan rakanku yang digelar Yeh Perut. Ketika itu rasanya kami beramai-ramai bersembang tentang kemalangan kereta. Entah. Dah tak ingat. Ya, rakan-rakan tertawa mendengar suku kata yang aku ulangi berkali-kali.Yeh menegurku,”diam, pikiaq dulu bagi habih baru cakap.” Tegurannya langsung mengingatkan aku tentang pesanan Cikgu Zul.

Ternyata, inilah solusi bagi masalah gagap aku;

1. Tenang ketika ingin bercakap.

2. Fikir apa yang ingin dicakap supaya otak dapat susun perkataan.

3. Bercakap.

Apabila bercakap tentang masalah gagap, kita sebenarnya bercakap tentang masalah mental. Tentang bagaimana minda berfungsi. Selalunya masyarakat kita selalu mengaitkan masalah mental dengan masalah hati dan gangguan paranormal. Murung dikatakan lemah iman dan bipolar dikatakan dirasuk jin. Mengikut ilmu aku yang cetek ini, kalau orang murung lemah iman, kenapa yang langsung tak beriman kepada Allah tu ceria dan bermotivasi sahaja hidupnya? Mungkin berkait, dan mungkin juga hanya mempunyai simptom yang sama tetapi hakikatnya masalah yang berbeza. Wallahualam. Aku serahkan bab ini kepada orang yang lebih alim.

Berbalik kepada masalah gagap tadi, secara mudahnya ialah apa yang kita ingin cakap tidak selaras dengan perbuatan kita yang sedang bercakap, banyak perkataan di otak berbanding yang keluar di mulut, membuatkan percakapan kita ‘glitch’ sebab otak masih belum habis fikir. Maaf, bahasa orang kampung sahaja saya mampu terangkan. Saya pun sembuh tanpa kajian saintifik. Moga Allah memberi kefahaman kepada kita.

Oh, macam mana orang tampar diri sendiri pun boleh sembuh? Sebab hipotesisnya secara tidak langsung dia bagi masa pada otak dia untuk berfikir semasa dia tengah dok sepak tu… atau dengan perbuatan itu telah set minda yang kalau gagap, boleh sakit, atau kedua-duanya sekali. Masalah ini berkaitan dengan minda. Jadi, apa-apa cara yang munasabah untuk ‘triggered’ minda kemungkinan besar berkesan. Bagi saya cara yang saya gunakan sangat mudah, efektif dan sungguh sesuai untuk digunakan umum.

Saya ingin sentuh tentang personaliti-personaliti terkenal yang telah bebas dari gagap. Sekadar hiburan. Kalau malas baca, selang sahaja 2 perenggan ini.

Antaranya ialah Rowan Atkinson, Pelawak yang terkenal dengan karakter Mr Bean. Pada usia muda, beliau telah melanjutkan ke universiti ternama. Universiti orang pandai-pandai. Tak ingat Oxford atau bukan. Kata profesornya tiada apa yang luar biasa tentangnya ketika zaman belajar, sama seperti pelajar yang lain dan agak pendiam. Minatnya pada dunia lakonan tidak pernah pudar walaupun sudah mengaji tinggi namun sering ditolak ketika ingin menyertai ujibakat kerana gagap. Tetapi apabila beliau melontarkan dialog dari skrip, lidahnya sangat lancar.

Personaliti yang seterusnya ialah Samuel L. Jackson. Antara pelakon kulit hitam dari Hollywood yang paling aku minat selain Morgan Freeman dan Denzel Washington. Samuel L. Jackson juga mempunyai masalah gagap. Namun gagapnya hilang apabila dia menyebutkan perkataan keramatnya yang menjadi sinonim dalam filem-filemnya. Apa perkataan keramat tersebut?

Pada yang menonton filemnya mesti tahu. Aku tak mau sebut. Buat tambah saham dosa ja. Samuel L. Jackson ialah pelakon yang sangat hebat. Mula meletup dengan filem Pulp Fiction arahan Quantin Tarantino disebabkan gaya pidatonya yang sungguh signifikan dan sekarang terkenal dengan karakter Nick Fury. Peminat MCU kenal lah dia ni. Aku tak minat. Itu semua yahudi! Haha. Banyak sungguh karakter yang telah beliau lakonkan, tetapi semua gaya sama. Sebab gaya itulah orang tawar dia berlakon.

Dua cerita di atas ini hanyalah selingan yang membuktikan sembuh daripada gagap dapat memberikan impak yang besar dalam karier sesorang. Pada aku, ia tidaklah memberi impak sebesar ini. Gagap aku sebelum ini pun tidaklah memberi impak yang besar dalam kehidupan sosial aku. Aku juga dapat berkawan seperti orang lain.

Kesimpulannya, itulah penawar gagap yang aku dapat. Tenang dan fikir sebelum bercakap. No drugs. No supplements. Just natural. Kongsilah penawar ini kepada orang lain. Kepada ahli psikologi dan ahli psikiatri yang mempunyai ilmu yang lebih sahih, silalah kongsikan. Semoga pahala itu mengalir juga kepada kita. Mohon maaf jika ada yang terkurang atau terkasar bahasa.

– Former Stutter Speaker

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *