‘Masuk kotak tu sekarang, berdiri diam-diam dalam tu, 15 minit’, arah guru A.
Tergamam saya menyaksikan situasi itu, tambahan di dalam bilik guru pula. Saya yang sedang menyiapkan bahan pembelajaran untuk kelas esok, berhenti menyiapkannya, memalingkan kepala saya ke arah pelajar tersebut.
Dia hanya tersenyum sahaja memandang saya, sambil menganggukkan kepalanya kepada guru A lalu masuk ke dalam kotak yang memuatkan separuh badannya yang sedang berdiri.
‘Allah, cikgu ni nak buat apa lagi’, desis hati saya.
Saya turut mengajar pelajar tersebut. Saya kenal sifatnya yang agak lambat menguasai mata pelajaran, ada sebahagian kerja rumah yang tidak disiapkan dan suka bercakap dengan nada manja, sedangkan sudah berada di tingkatan 3. Satu sifatnya yang saya kagum, dia tidak akan melawan cakap gurunya dengan kata-kata kesat.
Jika selama ini kita sering mendengar rungutan guru-guru tentang akhlak pelajar, mungkin kita juga sebagai guru, perlu muhasabah semula jawatan yang kita sandang ini.
Guru, tugas mulia yang penuh dengan ganjaran pahala. Saya terinspirasi dengan guru-guru yang memotivasi, berpenat lelah demi anak muridnya, bukan mengejar gred A semata-mata, tetapi turut memfokuskan pada pembangunan sahsiah pelajarnya. Tahniah saya ucapkan pada guru sebegini.
Berbeza halnya dengan perkongsian ini.
Saya agak terkilan menyaksikan situasi pelajar yang didenda oleh guru. Bukan bermaksud saya mengiakan kesalahan pelajar tersebut. Namun, pada pandangan saya, ada cara tersendiri untuk menghukum pelajar, bukan dengan memalukannya.
Perkongsian teknik nabi oleh Puan Khairulaniza Khairuddin (Puan Kay) di facebook, banyak membantu saya mengendalikan emosi ketika berhadapan dengan situasi pelajar sebegini.
‘Pandang pada sifat baik pelajar, puji sifat itu, abaikan sikap negatif yang lain, dorong dia ke arah kebaikan, jangan puji orang, puji perlakuan’
Semua pesan Puan Kay sentiasa terngiang-ngiang di fikiran.
Betapa saya terkilan dengan sikap guru yang mendenda muridnya dengan denda yang tidak sewajarnya. Memalukannya di hadapan orang ramai, orang yang lalu lalang diajak untul menggelakkannya beramai-ramai.
Allah, tindakan ini pastinya meninggalkan kesan psikologi yang mendalam dalam jiwa pelajar tersebut. Mungkin lepas ini dia merasa rendah diri dan kurang bermotivasi.
Mak saya selalu berpesan, ‘Kita kena layan orang seperti mana kita suka dilayan sebegitu. Kalau kita tak suka orang tengking kita, kita pun tak boleh tengking orang’.
Kita manusia, tidak lari dari kesalahan. Tapi apabila kita bangun dan memperbaiki diri, itulah perkara yang terbaik di sisi Allah.
Masih jauh perjalanan sebagai pendidik. In Shaa Allah didoakan semua usaha dan penat jerih para guru yang mendidik dan mentarbiyah pelajar, tidak kenal erti jemu, mendapat ganjaran pahala yang tinggi di sisi Allah.
Amin.
– NH
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit