Assalamualaikum pembaca sekalian. Aku bukan nak meluahkan perasaan, tapi aku nak bagi tips yang kalau pembaca amalkan, pembaca akan bahagia di dunia dengan izin Allah. Bahagia di akhirat aku tak pasti sebab aku pun belum lagi sampai kat sana, hahahaha.
Sedikit pengenalan tentang diri aku. Alhamdulillah pada 30 Mac dah genap umur aku 30 tahun. Dalam usia aku yang sudah mencapai 30 tahun ini, tiada apa lagi yang aku mahukan di dunia ini. Semua yang aku idamkan, Allah bukakan jalan untuk aku merasai nikmat bahagia di dunia.
Allah kurniakan aku 3 orang anak yang sangat comel dan sihat, Allah kurniakan aku seorang suami yang sangat baik, yang ringan tulang membantu membuat kerja rumah. Allah kurniakan juga kepada aku rezeki yang berlebihan, cukup untuk diagih-agihkan kepada orang yang memerlukan.
Allah hadiahkan juga kekuatan kepada aku untuk menghadapi orang sekeliling apabila aku memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa walaupun aku belajar tinggi, sehinggakan aku mampu menjadi seorang surirumah yang sangat positif, yang bahagia dan yang redha melakukan kerja-kerja rumah.
Antara tips yang aku amalkan :
Selepas Subuh – Wirid dan baca al-Fatihah sebanyak 3 kali. Al-Fatihah pertama, sedekahkan al-Fatihah pada ibu bapa dan orang-orang yang masih hidup termasuklah semua Muslimin Muslimat di Gaza, Syria, Palestin dan negara Islam yang bergolak. Al-Fatihah kedua, sedekahkan kepada orang-orang yang dah meninggal dunia termasuklah datuk nenek, saudara mara dan Muslimin Muslimat yang dah meninggal dunia. Al-Fatihah ketiga, sedekahkan kepada orang yang kita aniaya. Contohnya kita terumpat dia dan terlintas apa-apa yang buruk mengenainya.
Selepas Zohor – Baca surah ar-Rahman beserta terjemahan. Biasanya aku settlekan makan anak-anak dan keperluan mereka dulu. Barulah dapat berlama-lama di sejadah dengan tenang.
Selepas Asar – Baca surah an-Naba’ berserta terjemahan.
Selepas Maghrib – Wirid dan 3 kali al-Fatihah seperti di atas. Baca surah al-Waqiah beserta terjemahan.
Selepas Isyak – Baca surah al-Mulk beserta terjemahan.
Untuk pengetahuan pembaca, aku amalkan surah di atas tanpa mengetahui apa fadhilatnya. Aku amalkan kerana nak redha Allah. Supaya Allah bantu aku. Supaya Allah hilangkan penat aku. Supaya Allah jadikan aku redha dengan pekerjaan surirumah aku ini.
Untuk yang tertanya-tanya apa hikmah yang aku dapat daripada amalan di atas, aku akan ceritakan serba sedikit.
Aku kahwin masa umur aku 23 tahun, suami aku 27 tahun. Sebelum aku kembali kepada al-Quran, suami aku ni agak ego. Masa mula-mula kahwin, dia imamkan aku tapi salah bacaan al-Fatihah. Aku pula lulusan sekolah agama. Aku banyak mengajar ilmu agama kepada suami. Dia susah nak terima. Aku nak ajar dia baca Quran pun dia tak nak. Dia ego dan dia malu dengan aku. Aku akui suami aku seorang yang jahil tapi ada beberapa akhlak dia yang aku puji iaitu dia memuliakan aku sebagai isteri dan tak kekok nak tolong aku buat kerja rumah seperti lipat kain, masak dan basuh pinggan mangkuk.
Masa ni, rezeki suami aku sempit sangat sebab dia belum dapat kerja. Merata-rata cari kerja. Aku selalu ikat perut. Pernah buat 3 kerja dalam sehari sampai tak tidur malam. Pagi sampai petang kerja kedai makan. Petang sampai malam, aku ambil upah menjahit baju. Malam sampai Subuh, aku buat kuih untuk dihantar ke kedai makan. Kadang-kadang terlampau penat, aku menjahit sambil menangis. Kesan dia aku rasai sampai sekarang. Aku kena sakit saraf. Kadang-kadang kaki aku macam kena strok tak boleh jalan.
2 tahun berlalu, masa ni aku tengah pregnant anak sulung. Aku mula kembali menghayati al-Quran, aku tolak ke tepi soal rezeki. Aku penat dah nak bekerja siang malam sampai takda masa untuk Allah. Masa ni jugak suami aku betul-betul berubah jadi seorang yang cintakan masjid dan suka mendalami ilmu agama. Dia dah tak malu nak belajar baca Quran dengan aku. Tak lama kemudian, suami ditawarkan kerja di dalam sektor kerajaan dengan gaji yang lumayan. Walaupun dah mula bekerja, dia cuba usaha pergi berjemaah di masjid 5 waktu sehari. Kalau di tempat kerja, berjemaah di surau office. Kalau balik rumah, samada berjemaah di masjid atau berjemaah dengan aku di rumah.
Kemudian aku diuji dengan malas baca Quran lagi sekali masa bersalinkan anak sulung. Hanya Allah yang tahu bertapa aku penat melayan anak sulung aku yang sangat kuat sawan tangisnya. Setiap saat menangis dan mengamuk sampaikan aku serik nak tambah anak. Dalam pantang aku meroyan sebab anak aku ni jenis tak makan pujuk. Masa aku banyak habis duk gendong anak aku sampaikan takde masa untuk Allah. Solat pun laju. Aku mula tinggalkan Quran lagi sekali. Dari umur anak sulung aku sehari sampailah anak kedua aku umur 2 tahun, Quran tu memang aku tak sentuh langsunglah. Tadi kata tak nak tambah hahaha.
Masa ni suami aku dah berubah, banyak tolong buat kerja rumah bila dia balik kerja. Bila aku ada masa free, aku duk tercari-cari benda apa yang aku boleh buat untuk isi masa free aku ni. Aku terlintas nak baca Quran. Dan aku baca Quran balik dan amalkan apa yang aku dah amalkan sebelum ni. Baru seminggu aku amalkan sambil aku doa sungguh-sungguh supaya Allah jadikan anak sulung aku ni sabar, tak mengamuk dan senang diurus, anak aku ni dah mula tunjuk sikap positif. Kalau sebelum ini, anak sulung aku jenis yang tak dengar kata, suka mengamuk dan suka pukul adik dia.
Tapi sebenarnya aku yang berubah. Bila aku baca Quran, jiwa aku tenang. Aku dah tak marah-marah. Kesan dia Allah tunjuk pada anak aku. Betullah, selama ni aku tak tahu kat mana salah aku bila anak aku ni jadi perengus dan marah-marah, rupanya dia belajar dari aku. Sedih aku dengan diri sendiri. Sekarang, Allah berikan aku rezeki anak-anak yang ringan tulang dan pandai berdikari. Anak aku 2 perempuan dan sorang lelaki. Yang sulung 5 tahun dan yang kedua 2 tahun. Yang lelaki ni baru 5 bulan.
Aku kan ada masalah saraf, jadi anak-anak ni bila dia tengok ibu dia tak larat, jalan pun mengensot bila sakit, dia datang dan tolong urut kaki dan badan ibunya. Anak aku yang sulung dah pandai suap makan adiknya, dah pandai pakaikan baju untuk adiknya, dan dah pandai uruskan dirinya sendiri. Ringan banyak dah tugas aku ini. Berkat surah ar-Rahman yang menjanjikan anak bijak serta celik mata hatinya.
Dan kisah aku pula, dulu masa aku anak dua, aku seorang yang sangat keras kepala. Kasar dan kurang sabar. Dengan anak pun suka pukul dan kadang-kadang suka maki anak. Aku jadi begini sebab aku pernah mengalami major depression sebab keluarga aku berpecah-belah dan aku pernah kena postpartum depression semasa bersalinkan anak sulung. Masa aku bersalin anak sulung, aku pjj dengan suami. Takde rezeki nak sewa rumah lagi.
Aku berpantang sorang-sorang tanpa suami dan tanpa siapa-siapa di sisi. Aku memang balik kampong aku untuk berpantang tapi takde siapa tolong tengokkan aku dan takde siapa tolong ajar aku apa kena buat. Sudahnya aku kena bentan dan meroyan. Selama 4 tahun aku menderita sampaikan dah muak dah nak bunuh diri tapi asyik tak mati. Aku hilang minat nak berniaga, hilang minat nak melawa, aku dah tak cantik, aku kurus kering, serabai dan kasar dengan suami. Aku kecewa dan iri hati dengan kawan-kawan yang bekerja, sedangkan aku hanya duduk di rumah. Aku benci dengan diri sendiri.
Tapi Allah itu Maha Penyayang. Setelah 4 tahun aku tak nampak jalan, Allah bukakan jalan untuk aku berubah. Tak tahulah kenapa suatu hari tu aku jadi rindu sangat nak baca Quran. Aku mula baca Quran balik setelah lama tinggal. Aku jadi banyak menangis bila baca Quran. Aku dekatkan diri pada Quran. Aku mintak ampun pada suami sehinggalah suami aku pun redha dengan aku. Yelah sebab kerja aku mengamuk je dengan suami 24 jam.
Aku sangat bersyukur kerana Allah kurniakan suami yang berlemah-lembut dengan aku walaupun suami aku jahil pasal agama. Berkat doanya juga, aku sembuh dari depresi walaupun bukan sepenuhnya. Masa inilah baru aku sedar kenapa Allah menjodohkan aku dengan suami walaupun orang kata kami tak sekufu. Tapi aku terima jugak bila suami aku melamar, sebab aku yakin dengan jawapan isitkharah yang Allah bagi pada aku.
Selama 7 tahun aku bergelut dengan pahit manis kehidupan. Sekarang aku dah tak murung, aku happy, aku jadi sabar, aku berlemah-lembut dengan suami dan anak-anak aku. Aku dah tak iri hati dengan kawan-kawan aku sebab aku dah jumpa nikmat menjadi surirumah. Alhamdulillah aku temui bahagia setelah bertahun menderita depresi. Aku bahagia dengan suami aku yang mula mendekatkan diri dengan masjid. Aku bahagia dengan rezeki yang Allah beri tak putus-putus. Aku bahagia dengan anak-anak yang semakin ceria. Aku bahagia boleh membahagi-bahagikan rezeki dengan orang lain. Aku bahagia dengan kehidupan aku sebagai seorang surirumah. Segalanya cukup Alhamdulillah.
Setiap bulan, suami akan outstation atas urusan kerja ke luar negeri. Kadang-kadang ke luar negara. Suami aku biasanya ditaja ke program-program tertentu dan diberi pula penginapan percuma. Satu sikap suami yang pembaca boleh dijadikan contoh supaya murah rezeki ; dia suka bawa aku dan anak-anak ikut dia pergi kursus. Kemana-mana pun dia suka angkut aku dan anak-anak. Dia suka membahagiakan aku. Sedaya upaya dia cuba mengembirakan aku, dia faham aku banyak berkorban untuk dia dengan menjadi suri rumah. Aku dan anak-anak apa lagi, horey horey lah hahaha. Hotel pula bukanlah hotel biasa-biasa. Kalau tak ditaja, kami tak mampu pun nak duduk situ.
Tapi pembaca jangan salah faham pula. Yang ditaja cuma suami aku seorang sahaja. Makan dan tiket flight aku dan anak-anak masih dibawah tanggungan suami. Suami aku dapat makan free. Tapi aku takkan pergi makan sekali dengan suami aku, sebab makanan yang disediakan itu bukan hak aku, ia hak orang yang ditaja. Aku tidak ditaja. Hotel pulak memang suami aku duduk sorang-sorang, sebab tu dia bawa kami satu keluarga. Kalau terpaksa sharing, aku dengan anak-anak duduk rumah je. Banyak lagi sifat suami aku yang menyumbang kepada murahnya rezeki kami sekeluarga tapi aku malaslah nak cerita takut pembaca menyampah, hahahaha. Cukuplah yang satu ini.
Dan aku pula dah tak kerja teruk macam dulu. Kerja aku duduk rumah jaga anak sahaja. Aku masak, aku menjahit, kadang-kadang aku buat kuih dan hantar ke kedai. Suami aku larang aku buat tapi aku nak buat jugak sebab bosan. Kalau ada masa, dia hantar aku pergi terapi. Pergi rawatan sana sini. Aku tahu dia nak tebus rasa bersalah dia sebab aku depression pun disebabkan mak dia jugak.
Sekarang pun aku dan suami masih lagi tak putus amalkan surah amalan. Walaupun dah cukup semua yang aku nak di dunia ini tapi aku masih lagi takut kiranya ini ujian untuk aku dan suami. Nak lihat tara mana aku dan suami bersyukur. Kalau tak bersyukur, Allah boleh tarik bila-bila masa je. Ini yang aku selalu pahatkan ke dalam kepala aku dan suami. Doakan kami istiqamah, gais.
Itu je kot. Banyak lagi nak cerita tapi takut hambar hihihi. Sorry kalau berterabur, sorry jugak kalau panjang sangat, aku tak pandai bercerita. Apa yang pembaca boleh ambil pengajaran dari kisah aku ini :
1) Nak apa-apa, minta dengan Allah. Kalau kita belakangkan Allah, Allah akan belakangkan kita.
2) Carilah masa untuk Allah, walaupun kita rasa kita betul-betul takda masa nak baca Quran, cuba usahakan. Cuba, cuba dan cuba.
3) Isteri kena sentiasa doakan suami supaya murah rezeki dan jadi pemimpin keluarga yang alim.
4) Bahagiakan isteri. Kalau isteri bahagia, suami murah rezeki.
5) Apabila suami murah rezeki, seluruh keluarga bahagia. Makin murah rezeki suami.
6) Apabila anak bermasalah, cek diri sendiri. Ubah diri dulu, baru ubah orang lain.
Kalau ada yang nak tambah, pembaca boleh tambah di bahagian komen. Kita sama-sama belajar dan sama-sama kita berubah.
– Puan A.M.S
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit