Assalamualaikum semua. Saya tak pasti adakah admin akan luluskan cerita saya ni. Saya ni sebenarnya ada ADD dengan pakej tambahan social anxiety. Dan saya juga tahu yang dah banyak kali dah orang lain cerita perihal benda yang sama.
Saya ada ADD. Ini bermakna cara saya fikir, reaksi, urus benda tak sama dengan orang lain. Saya kelihatan blur pada masa tertentu jika situasi atau arahan terlalu banyak. Saya perlu kerja dalam arahan satu persatu, dalam masa sama tumpuan saya mudah terganggu.
Selain itu fikiran saya mudah melayang ke arah lain. Bukan saya nak pun. Benda ni macam susah nak control. So adakala saya cepat pelupa dengan benda yang tengah saya buat. Masa belajar sering masuk salah kelas. Pergi tandas sekejap je lepas tu dah mula cari kelas belah mana. Sebab dalam kepala fikir benda lain.
Eh jangan salah faham bukan sentiasa saya berangan benda kosong. Ada juga masa saya tenggelam denga idea idea untuk kerja saya. Idea banyak. Tambah pula kerja saya dalam bidang kreatif. Membuatkan saya sentiasa menggali idea yang baru.
Saya cuba push diri saya supaya tak mudah hilang tumpuan. Tapi emosi saya akan jadi letih dan tertekan. Sebenarnya masalah saya ni saya pernah cerita dekat orang. Tapi saya diketawa. Saya dipersoal. Seolah apa yang saya alami ini merupakan satu simbol mengada-ngada bagi orang tertentu.
Ada ADD buat saya hilang keyakinan diri. Rasa rendah diri saya berada pada paras negative. Masa saya kecil saya sering di marahi kerana kurang cerdik. Saya digelar bodoh. Adakala reaksi saya dan tindakan saya juga agak slow. Membuatkan orang hairan atau pelik dengan saya. Saya rasa diri saya bodoh, pelik dan tak berguna sepanjang masa.
Disebabkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lalu. Saya jadi takut dengan orang. Gelabah, bimbang, nak pitam, sesak nafas dan panik tatkala saya perlu berhadapan dengan orang-orang baru atau menghadiri program atau kursus.
Ada social anxiety ni menganggu juga. Saya nak ada kawan ramai. Saya teringin nak join program kemasyarakatan. Tapi saya takut penerimaan orang. Saya takut apa orang fikir pasal saya. Saya takut orang umpat dan hukum kekurangan saya. Sebab saya dah serik dimalukan.
Awak, saya tak minta semua ni. Saya tak ingin semua ni. Kalau boleh saya nak jadi macam awak semua. Saya nak berubat. Saya nak pulih. Tapi saya hilang punca. Saya tak tahu nak minta tolong siapa. Macam mana saya nak mula. Apa perlu yang saya buat.
Ada seorang tu salahkan mak ayah saya. Dia kata, cara didikan tak betul. Sampai hati dia kata macam tu. Tak apa la mungkin mak ayah dan keluarga dia bagus-bagus. Sebab tu dia hebat.
Ada juga orang tu kata kat saya, elok saya dok rumah saja. Bila saya minta dia bagi sedikit nasihat. Dia dan kawannya hanya ketawakan saya. Seolah saya sedang membuat lawak.
Saya pernah whatsapp salah seorang kawan di tempat saya belajar. Saya minta pandangan, memandangkan dia pernah ambil kursus psikologi masa diploma.
Namun dia telah muat naik perbualan saya dan dia tanpa minta kebenaran. Posting nya lebih kepada mempersoal masalah saya daripada membantu. Follower nya ketawakan saya. Walaupun dia telah hide nama saya dan hanya tinggal gambar profile namun saya sangat malu. Saya rasa diri saya teruk.
Sejak daripada tu saya pendam saja. Saya tak lagi minta nasihat sesiapa. Saya tak lagi cerita kepada sesiapa. Rasa tak berguna dalam diri ni juga memakan saya. Tahap keyakinan diri kian menurun pada paras kosong.
Mungkin pada awak masalah saya ni kecil saja. Biasalah masalah orang tak beriman kan. Layaknya masalah ini jadi bahan ketawa awak dan rakan-rakan. Hanya Allah tahu hati saya pedih. Saya sedih. Saya tak tahu macam mana nak selesaikannya.
Tolong apa perlu saya buat? Saya tak tahu minta tolong siapa. Saya tak banyak kawan. Yang ada tidak faham dan lebih suka mempersoal dan memandang masalah ini kecil. Ya saya tahu apalah sangat nak dibandinglan masalah saya dengan masalah mereka yang maha hebat. Orang mulia mestilah hebat masalahnya.
Apa perlu saya buat?
– Artikah
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit