Tinggal beberapa hari sahaja lagi Syabaan bakal kita tinggalkan dan Ramadhan muncul kembali, setiap saat dan ketika diri ini tertanya, adakah ini Ramadhan terakhirku? Masih berpeluangkah aku merasainya seperti tahun-tahun sebelumnya sejak 25 tahun yang lalu. Masih berpeluangkah aku melihat keluargaku kembali bersatu, Ya Allah..
Coretan yang bakal aku tulis ini terasa teramat berat, ibarat membuka segala pekung di dada. Dan biarlah dengan coretan ini, aku berasa lapang, bukan niat untuk menyalahkan dan menghakimi siapa-siapa. Maaf, andai ada salah dan silap sepanjang coretan ini.
Aku Nur, berusia 25 tahun. Oktober tahun lepas, aku disahkan menghidap kanser limfoma. Bermula hanya dengan demam biasa dan di ikuti dengan hanya bengkak kecil di leher, siapa sangka rupa-rupanya aku di sahkan doktor, menghidap kanser limfoma tahap 3. Sukar untuk aku menerima kenyataan. Abah dan Umi di kampung harus aku bilang apa nanti. Allah, ketika itu terasa kerdilnya aku namun aku harus kuat menerima ujian ini, kalau aku kuat, abah dan umi juga kuat.
Segala kesakitan aku rahsiakan sementara dari kedua orang tua ku, aku ambil keputusan untuk berhenti kerja setelah berfikir panjang dan mujurlah Allah permudahkan segalanya, sepatutnya aku harus beri notis berhenti kerja sebulan sebelum atau aku di haruskan membayar penalti jika mahu berhenti secepat mungkin tapi pihak atasan memahami keadaan aku dan proses perletakan jawatan aku hanya mengambil masa seminggu, Alhamdulillah.
Aku pulang ke kampung membawa khabar duka. Hati seorang ibu, seakan tahu anaknya sedang menghadapi kesukaran. Abah dan Umi sangat terpaku bila mengetahui tentang penyakitku. Mereka terima ketentuan takdir ini, Abah katakan aku adalah insan terpilih, hadapi ujian ini dengan penuh redha. Ya, aku redha.. Aku sudah berserah segalanya.
Kini hampir 7 bulan, aku berulang alik ke hospital, menjalani kimoterapi, berat badan yang semakin susut tapi aku tetap ceria meneruskan hari-hari, aku harus kuat untuk Abah dan Umi walaupun sakitnya itu hanya Allah tahu. Cumanya di saat ini, ada sorang insan yang paling aku rindu. Dan rindu ini makin membuak-buak bila satu hari tu, aku terdengar dari bilik Umi yang ketika itu sudah selesai solat sedang berdoa.
Ya, nama lelaki itu tetap meniti di dalam doa Umi biarpun sudah hampir 3 tahun lelaki itu menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sebenarnya, aku sudah pon berusaha memujuk selepas terjumpanya setahun yang lalu, cuma aku rahsiakan pada Abah dan Umi. Aku tak mahu, hati tua itu, kembali terluka.
Kisahnya, abang aku sejak dari zaman kecilnya berpewatakan lembut hingga ke alam dewasanya. Dia seorang yang sangat sayangkan Umi, apa-apa semua Umi yang tahu dulu dari Abah. Tak pernah aku lihat abang melawan cakap Umi, Abah. Segala arahan dan larangan sangat di patuhi. Tiap malam mengekor abah ke surau. Pokoknya dia memang lelaki sejati walaupun berpewatakan lembut. Hinggalah abang dapat menyambung pelajaranya di sebuah universiti di selatan tanah air.
Abang perlahan-lahan berubah. Dia dah pandai tak balik rumah waktu cuti, alasannya banyak assignment. Kalau balik pun asyik terperap di dalam bilik, sudah pandai meninggi suara pada Umi dan yang paling teruk dia dah mula curi-curi pakai alat solek, tu pon sebab aku rajin spy abang aku, hahaha.. tapi aku diamkan, tak bagitahu siapa-siapa. Benda ni tak seteruk waktu dia dah habis belajar dulu, memang 24 jam tu melekat dalam bilik, sampailah abah dapat tangkap dia tengah pakai pakaian perempuan lengkap rambut panjang, bersolek.
Memang haritu, abang aku makan penampar, penumbuk abah, abah memang marah sangat hari tu, abang meraung-raung mintak abah lepaskan dia, Umi dah menangis dekat tepi tu cuba tahan abah dari terus pukul abang tapi abah mintak Umi jangan masuk campur, abah tarik dia masuk bilik air, mandikan dia dengan curahkan air yang kasar. Umi hanya mampu mengucap panjang, tak sangka abang dah ke arah tu.
Lepas peristiwa tu, abah buang pintu bilik abang, abah tak mahu abang terperuk dalam bilik, abah paksa abang mengaji, paksa abang solat taubat, abang macam kena rasuk syaitan, dia melawan-lawan cakap abah. Seminggu dua tu, rumah memang hingar bingar. Abah dah cuba bercakap baik-baik, tanya apa sebab dia berubah macam tu tapi abang tak mahu bercakap, kalau bercakap pun hanya caci maki, abang memang teruk sangat.
Aku kesiankan Umi, kalau dulu Umi nombor satu di mata abang, tapi sejak berubah, cakap Umi pun abang lawan. Abah dah puas nak perbetulkan abang, cara terakhir, abah nak abang kenal diri semula, abah bercadang nak hantar abang ke pondok tapi abang lebih degil, hati batu, dia lari rumah, tinggalkan Umi yang tatang dia bagai minyak penuh, abah yang sayang dia sepenuh hati. Ya, sejak hari tu, aku benci abang, aku benci ada abang yang macam tu tapi dalam benci tu, tetap ada rindu.
Masa aku mula kerja dekat Kuala Lumpur, aku cuba cari abang, aku cuba cari dekat facebook, instagram, twitter tapi tak jumpa sampailah satu hari tu, aku ke satu karnival di Kl dan ternampak seseorang yang macam dia tapi dalam pakaian seorang wanita dan masa tu dia dengan seseorang yang kalau aku sebut satu Malaysia mungkin kenal, seseorang yang ‘kekeliruan jantinanya’. Dari situ aku mula stalk instagram si ‘kekeliruan jantina’ tu dan sampai aku jumpa satu foto ‘perempuan’ yang seakan abang aku. Aku terus follow instagram dia dan SubahanaAllah, memang dia, memang abang aku. Orang yang aku cari selama ni tapi abang dah jauh tersasar, jauh dari jalan-Nya.
Dari apa yang aku stalk dari instagram abang aku, rupanya dia dan si ‘kekeliruan jantina’ tu adalah kawan. Aku cuba hantar chat dekat dia di instagram. Tiada respon pantas. Dan setiap hari aku berdoa bukakan hati dia untuk balas chat aku. Seminggu lepas tu, aku dapat respond, ya, memang dia, abang aku. Aku mohon untuk berjumpa dan dia setuju. Selepas hampir dua tahun tak berjumpa, tak ku tahu khabar, seolah tak percaya yang di depanku ketika itu adalah abang yang sama-sama bersusukan ibu yang sama, berbapakan orang yang sama, berlainan peri lakunya, gayanya malahan suaranya. Bukan seorang lelaki tapi seorang ‘perempuan ‘.
Emosi cuba aku kawal, ikutkah hati, aku memang nak menangis, menangis biar satu restoren tahu abang aku kini perempuan! Dia nampak tenang, mengukir senyuman, bertanya khabar, seolah tiada kisah yang lalu harus di ingatkan. Wajah Umi , Abah bermain di fikiran ketika itu. Pertemuan pertama berlalu sebegitu pantas, tiada banyak kata yang terluah. Pertemuan seterusnya, masih lagi janggal, aku mulakan bicara, mohon ikut aku pulang ke kampung.
Umi terlalu merindu tapi dia memang memang memang hati batu, dia tak mahu, tetap juga bilang tidak walaupon aku merayu. Kali ketiga bertemu, terakhir kali sebelum aku pulang ke kampung buat selamanya. Aku hadiahkan dia set lengkap baju melayu dan sepucuk surat seikhlasnya dari hati seorang adik. Dan sesungguhnya aku berharap dia, masih tersimpan perasaan kasih dan sayang pada Umi dan Abah dan berubah menjadi seorang lelaki yang sepatutnya menjadi khalifah bagi aku dan Umi.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.. Kau tabahkanlah hati hamba-Mu ini dalam dugaan yang telah tertulis dalam hidupku ini. Kuatkan lah iman ku, ibu bapa ku serta abangku, Ya Allah dari berpaling dari-Mu hanya kerana dugaan dugaan ini. Tunjukkanlah jalan yang sebenar-benarnya kepada abangku, Ya Allah. Dekatkanlah kami dengan diri-Mu kerana hanya pada-Mu tempat kami mengadu dan juga hanya pada-Mu tempat kami mencurahkan kasih. Sesungguhnya aku percaya yang baik itu datangnya dari-Mu dan yang buruk itu dari kami, hamba-Mu.”
Dan semoga Ramadhan dan Syawal kali ini lebih bermakna untuk kami empat beranak. Aminnn.
– Nur
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit