Kisah Seekor Anjing

Hai semua bersua kembali. Terima kasih admin kerana telah menyiarkan artikel ‘Tanda Dia Tidak Lagi Into You’, (https://iiumc.com/tanda-seseorang-itu-minat-pada-anda/). Kali ini aku nak cerita kisah remaja aku bersama adik aku Cik Min.

Kisah ini sekitar tahun 2007 dimana aku bakal menduduki PMR dan Cik Min pula berada di tingkatan 1. Kisah ini bermula begini. Masa itu jam telah menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Ini bermakna tamat sudah kelas tambahan aku yang sangat menyeronokkan (kelas Sejarah) sebab cikgunya sangatlah hebat. Hampir satu kelas menyukai beliau.

Kelas aku dah tamat tapi kelas Cik Min nampaknya belum habis lagi. Sebab batang hidung dia pun aku tak nampak inikan pulak kepala dia. Aku pun tunggu lah kejap. Aku tunggu punya tunggu tak juga muncul Cik Min ni. Aishhhh… Tak boleh jadi ni. Aku keluar kejap beli ais krim Cornetto berharga RM 2.00 ketika itu. Lega sikit tekak aku. Suapan terakhir aku berakhir dengan panggilan “Kak, sudah jom kita balik”. Baik. Selesai.

Hari itu kami berdua pilih untuk berjalan kaki. Sekadar suka-suka sahaja. Jauh juga sebenarnya tapi tak apa sekurangnya aku boleh boleh bersenam untuk beberapa minit. Kami berdua berjalan pulang dengan riang sekali dan tiba-tiba. Tengah leka kami berjalan, aku tertoleh belakang, nak tahu apa aku nampak?

Aku nampak seekor anjing. Seekor anjing yang tengah berlari ke arah kami. Apa lagi, aku jadi kelam kabut nak mati. Jantung aku yang relaks tadi tiba-tiba berdegup dengan pantas. Aku cepat-cepat pusing depan dan jerit “Adik, lari! Ada anjing kejar kita! Cik Min ni pulak boleh pulak tanya “Mana? Dah terang lagi bersuluh takkan kau tak nampak?”Apa lagi lariiiiii lah! Cabutlah kita orang berdua sampai nak menangis aku rasa.

Tiba-tiba… Cik Min boleh pula tergolek sebab terlanggar batu. Alamak dia ni, boleh pulak kau tersungkur saat genting macam ni. Getus aku dalam hati. Aku terpaksa berhenti, tengok adik aku. Seluar dia koyak dekat bahagian lutut dan…berdarah. Kesian Cik Min.

Aku teringat anjing tadi dan dia masih berlari ke arah kami dan melintas depan aku dan meneruskan larian nya ke depan lalu meninggalkan kami berdua kat tepi jalan. Aku lihat sahaja pergerakan anjing tu. Aku macam… Ha? Anjing kau kejar siapa sebenarnya? Aku ternganga sekejap sambil tengok anjing tu.

Lamunan aku terhenti dengan jeritan Cik Min. “Bengong lah kau Kak! Anjing tu kejar bos dia lah yang naik motor tu!” Aku pun. Haa? Hahahahaha. Aku gelak. Berderai aku gelak kat situ. Aku tertipu. Kurang asam punya anjing. Dan betul, memang anjing tu kejar bos dia. Aku toleh ke arah adik aku. Dan sekali lagi aku gelak dan cakap “Kau jatuh dik”.

Aku angkat dia perlahan-lahan. Sekali lagi kesian gila aku tengok dia. Pada masa yang sama aku gelak seorang diri memikirkan kejadian tadi. Cik Min pula menyumpah aku sepanjang jalan. Hahahaha. Paling memalukan sekali, aku tak sangka rupanya ada abang yang pandu proton saga hitam sambil gelak dekat kita orang berdua. Ahahaha aku pun tumpang sekaki gelak.

Serius aku cakap masa tu aku dah tak fikir apa dah. Dalam otak aku cakap lari! Tapi itulah Tipah tertipu. Sejak kejadian itu aku fobia pada anjing. Bila nampak anjing aku mesti jalan secepat mungkin dan langsung tak pandang.

Apa pun ini semua kenangan yang aku tak akan lupa. Sekian. Terima kasih.

– Tok

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *