Jangan Salahkan Takdir

Assalamualaikum wbt… Sekadar menceritakan kisahku, moga-moga kalian dapat sesuatu. Aku bukanlah seorang pelajar cemerlang. Aku cuma pelajar biasa sahaja. Rezekiku, dapat sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

Aku dari keluarga susah, sejak dari sekolah aku memang di ajar oleh ibu dan ayah supaya berjimat cermat. Sehinggakan nak bayar yuran pun takde duit. Tapi kerana semangat aku nak belajar tinggi aku terus kejar cita-cita aku. Guru-guru juga banyak membantu. Ibuku juga punya cita-cita tinggi untuk aku. Berharap agar aku sambung belajar sehingga peringkat tertinggi.

Setelah tamat degree, aku terus menyambung pengajian peringkat sarjana. Inilah harapan ibuku. Walaupun kami punyai masalah kewangan tapi aku tak boleh sia-siakan harapan ibu. Aku usaha tanpa meminta dari ibu, sejak degree aku memang ikat perut. Tapi rezeki Allah sentiasa ada. Begitu juga ketika sarjana, aku ikat perut. Sering puasa untuk jimat. Memang sedih. Aku sering menangis.

Akhirnya, aku bekerja untuk tampung sara hidup ketika pengajian. Aku dapat biasiswa yang hanya tampung yuran. Aku kerja kedai makan, basuh pinggan. Sehingga ada kawan aku tanya, “awak tak malu ke kerja kedai makan?” Sedihnya hati,dia sindir pekerjaan halalku. Sedangkan dengan gaji itulah aku sara hidupku. Aku bangga basuh pinggan, dapat duit hasil titik peluh sendiri.

Dengan kerja itu juga aku boleh makan nasi dua kali sehari sebab free dan beli nugget sebab masa tu selalu rasa nak makan nugget. Juga tak menyusahkan ibu ayahku. Tiada siapa tahu betapa struggle nya hidup aku. Sungguh, aku benar2 menangis ketika itu. Pengajian degree dan masterku sukar kerana aku tidak berduit. Tapi, aku tak kisah asal dapat habiskan pengajian. Orang lain termasuk kawan2 tak pernah tahu aku ada masalah kewangan. Ada juga yg sindir buat apa sambung belajar, bukan dapat kerja pun. Namun, aku tekad masa tu.

Akhirnya, aku berkahwin dengan seorang yang baru aku kenal. Aku tak sempat bercinta sebab fokus utama aku belajar. Aku istikharah dan terima dia. Alhamdulillah dapat suami yang baik & anak yang baik. Dipendekkan cerita aku berjaya tamatkan pengajian sarjana. Bermulalah episod cari kerja. Ya sangat sukar untuk dapat kerja walaupun ada master. Puas aku pergi interview, yang dapat hanyalah calon simpanan. Akhirnya berlalu begitu saja. Akhirnya aku putus asa.

Aku sering salahkan takdir, aku menangis kerana tak dapat bantu ibuku di kampung. Aku jahil masa tu, sering menangis sebab tak dapat terima hakikat kenapa tak dapat kerja. Sedangkan Allah Tahu apa yang terbaik untukku. Bila aku sentiasa sedih, suami nasihatkan aku dan bagi semangat. Aku dah give up.

Nasihat suami, mungkin dengan menyambung pengajian boleh buka peluang lain. Aku tetap sama, rasa diri tak berguna. Dalam masa yang sama, suami daftarkan ke kelas al-Quran. Walaupun yurannya mahal, dia tak kisah. Sejak itu, aku sering ke masjid. Jumpa kawan-kawan yang baik, sering bagi tazkirah. Aku dekatkan diri pada Allah.

Pada masa sama,aku tetap sambung phd. Usaha tetap kena ada walaupun kita tawakkal pada Allah. Tapi, masa aku lebih banyak di masjid. Aku banyak join kuliah masjid. Asal ada mesti join majlis ilmu. Manisnya ya Allah. Dalam erti kata lain aku utamakan urusan akhirat daripada urusan dunia. Setelah aku banyak habiskan masa dgn perkara berfaedah, tanpa di sangka-sangka rezeki aku tak putus.

Aku pendekkan cerita, aku dapat habiskan pengajian phd tanpa satu sen hutang pun dan kini telahpun dilantik sebagai pensyarah kanan di IPTA. Syukur padaNya, Dia ‘gagalkan’ interview sebelum ini untuk hadiahkan yang terbaik lagi. Justeru, kalian yang masih berjuang, jangan putus asa. Allah ada. Dia mengira setiap lelah kita. Percaya dengan takdirNya.

Sekadar perkongsian, inilah tips yang aku buat:

1. Sentiasa hadir majlis ilmu.

2. Zikir, zikir, dan zikir. Jangan sesekali tinggalkan zikir tak kira zikir apa pun. Contoh: istighfar, selawat al-nariyah, dan sebagainya.

3. Solat tahajjud, taubat, dhuha dan sebagainya.

4. Al-Quran (bacalah al-waqiah setiap hari, diiringi al-mulk. Pastikan dapat khatam paling kurang setahun sekali) setiap hari mesti berdamping dgn al-Quran.

4. Doa (ubah doa, jangan doa yang biasa-biasa saja. Walaupun Allah Maha Tahu apa yang ada dalam hati hambaNya tapi jangan lupa bahawa kitalah yang kena minta bersungguh-sungguh. Mesti doa yang terbaik dan spesifil. Allah takkan sia-siakan doa hambaNya).

5. Sedekah pada ibu ayah jangan tinggal.

Ada banyak tips lagi, tapi ini je yang sempat saya tulis. Terima kasih sudi baca, ambil sebagai manfaat. Buang yang keruh ambil yang jernih. Sentiasa sangka baik pada orang walaupun ada perasaan benci dan marah dalam hati.

Jangan sangka buruk. Please ignore perkara-perkara yang menyesakkan dada. Fokus matlamat. Fikir yang positif. Inilah cara kita sucikan hati agar Allah makbulkan doa kita. Setiap perkara ditakdirkan bersebab. Allah kurniakan kesedihan sebelum datangkan kegembiraan. Percaya pada Dia, Allah Yang Mencipta.

– Hamba Allah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *