Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi

Assalamualaikum semua. Terima kasih IIUM Confession kerana sudi menyiarkan kisah saya. Saya Miss A, berumur 26 tahun. Ini adalah pertama kali saya menggunakan medium media sosial untuk meminta pendapat orang lain. Post ini mungkin agak panjang, saya mengharapkan komen dan nasihat yang membina daripada semua.

Jika nak diikutkan pengalaman, umur saya masih setahun jagung dalam meniti kehidupan berbanding mereka yang lebih berusia. Acapkali saya dipersalahkan oleh orang dewasa hanya kerana umur dan saiz fizikal saya. Saya dikatakan tidak mempunyai pengalaman seperti mereka. Mereka sudah “makan garam” lebih daripada saya. Saya hanya bertubuh kecil dan berkaca mata.

Demi masa depan yang cerah,saya korbankan masa,tenaga,dan waktu muda saya hanya untuk memberikan yang terbaik buat diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara umumnya. Saya pernah membuat 5 kerja dalam satu masa. Allahu. Saya sendiri tidak tahu apa yang saya fikirkan. Pantang melihat apa sahaja peluang, saya akan mencuba.

Saya pernah bekerja sebagai Tour Consultant, Research Assistant, International teacher, Project Assistant, mengajar KAFA dan private classes mengikut permintaan ibubapa. Dalam masa yang sama,saya sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana secara sepenuh masa. (Fully by-research). Keluarga saya tidak pernah membantu daripada sudut kewangan sepanjang pengajian Ijazah Sarjana Muda dan saya memahami situasi tersebut.

Alkisahnya, saya bekerja sebagai seorang Tour Consultant, membantu pelajar membuat lawatan ilmiah ke luar negara. Saya menggunakan sedikit pengalaman saya yang telah ke luar negara beberapa kali dan telah menjalani latihan industri di Turki. Bahagian pengurusan, kertas kerja, marketing, dan guide diuruskan oleh saya.

Kisahnya, saya dituduh memakan duit pelajar hanya kerana saya agak lantang dengan hak saya. Sedangkan, saya tidak menggunakan akaun bank saya untuk transaksi pembayaran. Fitnah tersebut dijaja di universiti saya pada ketika nama saya diketahui umum kerana penglibatan saya di universiti. Saya terpaksa berdiam diri kerana memikirkan mudarat pada pelajar-pelajar yang lain.

Syarikat menggugut untuk burn 60% sekiranya mereka ingin menarik diri daripada mengambil servis mereka. Fakulti dan hep menghubungi saya kerana fitnah tersebut dan saya sendiri kesal kerana hanya mampu berdiam diri. Saya fikir hanya nama baik saya yang tercalar, berbanding duit titik peluh pelajar daripada banyak kumpulan akan terkesan.

Alhamdulillah, group yang terakhir sudah selesai tahun ini. Saya sendiri sudah move on. Gaji yang dibayar tidak setimpal dengan kerja yang diberikan. Komisen satu sen pun tidak diberikan. Saya mempunyai banyak group. Waktu kerja juga tidak menentu, bayangkan pukul 6 pagi sudah whatsapp dan akhirnya pukul 12 tengah malam belum tentu lagi habis.

Saya terima kerja tersebut untuk mencari pengalaman, dan atas dasar percaya pada mereka. Dan apabila 3 bulan berlalu, saya melihat pengurusan di syarikat tersebut agak rapuh, saya mula meragui ketelusan mereka. Untuk pengetahuan semua, mereka adalah suami isteri yang bekerja sekali. Offer letter diberikan lambat, caruman kwsp yang belum nampak sinarnya.

Oleh itu, saya mengambil keputusan mengajar KAFA pada masa yang sama. Sejak mengajar KAFA, mereka memberikan seribu satu alasan mengatakan saya membuat lebih kerja dalam satu masa. Caruman KWSP tidak dapat dibuat. Dan saya tidak mahu hanya terkongkong dengan satu kerja yang masih kabur. Jadi, isu saya masih muda, tourism diluar bidang saya dijaja. Setelah itu, pihak universiti telah memboikot syarikat tersebut. Alhamdulillah.

Apabila saya menceburi bidang pendidikan, saya tidak menyangka ianya lebih mencabar. Apabila terlibat dengan sektor swasta, ianya lebih “kejam” dan mementingkan diri sendiri. Ya, menjadi kebiasaan kebanyakan syarikat swasta adalah profit-oriented. Pendidikan jatuh no.2, duit no.1. Allahu. Takut bila memikirkan generasi akan datang nanti macam mana. Ada sekolah antarabangsa yang masih mengamalkan budaya “nak buat baik atas ihsan orang ramai”.

Pemilik sekolah tidak ada modal, dan hanya seorang yang pandai berkata-kata. Beliau adalah Singaporean. Hanya bermodalkan air liur, sekolah tersebut mengharapkan bantuan ramai, dan memperjudikan masa depan pelajar-pelajar yang lain. Guru diambil atas dasar yang mana boleh dibayar “murah”. Guru-guru disitu juga masih ada yang kekal hanya kerana mendakwa kasihankan pelajar-pelajar tetapi servis yang diberikan hanya melepaskan batuk ditepi tangga.

Saya juga tidak faham, aduan tidak dibuat tapi masih percaya kepada pengurusan yang menjanjikan bulan dan bintang. Saya terkesan bilamana guru-guru tersebut tidak berfikir jauh mengenai masa depan pelajar. Jika tidak dibayar gaji, selaku guru kita boleh menuntut di pejabat buruh, kwsp juga boleh dibuat aduan. Sekali lagi saya dipinggirkan oleh guru-guru hanya kerana lantang mempertahankan masa depan guru-guru dan pelajar.

Sekiranya sudah bergelar guru, sudah tentu tidak memberikan risiko tinggi kerana sudah mempunyai ijazah, jelas hala tuju, tapi bagaimana dengan pelajar? Mereka masih meraba-raba mencari masa depan dan mengenal dunia. Isu itu dibangkitkan dan saya dipersalahkan seperti biasa. Dikatakan saya masih jiwa muda, mudah marah dan tidak sabar dalam mengukuhkan organisasi. Saya tidak dapat memandang wajah-wajah pelajar yang “innocent”, memeluk saya dan ingin belajar bersungguh-sungguh.

Sekolah seterusnya, saya ditekan dengan lebih kuat oleh pengetua yang merasakan dirinya yang berkuasa. Beliau berkahwin dengan pengurus operasi di sekolah yang sama. Hal guru akan dilaporkan kepada pengetua, hal staf admin dilaporkan kepada pengurus operasi. Pasangan suami isteri ini bertindak sesuka hati memilih guru yang hanya sependapat dengan mereka. Boleh bayangkan dengan jadual yang padat dan aktiviti yang banyak, saya mengajar peperiksaan Pendidikan Islam PT3, SPM dan IGCSE, Arabic IGCSE ( Arabic First Language dan Arabic Second Language).

Saya sudah jelaskan penguasaan Bahasa Arab saya bukanlah seperti native speaker. Pelajar sedia ada datang daripada pelbagai negara. Bila kekurangan guru, saya juga perlu mengajar sekolah rendah. Apabila saya katakan jadual saya padat, pengetua tersebut tidak menerima alasan saya kerana kata beliau, jadual “Super Teacher” yang mengajar darjah 1, 2, dan 3 lebih padat.

Saya sungguh terharu dengan pelajar-pelajar yang bersungguh datang untuk belajar. Ada yang ingin berubah, menangis untuk belajar. Ya, saya sakit kerana bersungguh, saya cuba jadi fleksibel yang mungkin kerana mereka aset akhirat saya. Alhamdulillah, setakat ini, pelajar-pelajar saya adalah mereka yang benar-benar mahu belajar. Selalu tanya apa yang bakal saya ajar.

Saya juga dihimpit dengan tuan rumah yang tamak sepanjang bekerja di sekolah yang mempunyai pengetua yang selalu mengejar saya untuk due date lesson plan, study plan, aktiviti sekolah untuk bahagian menengah tingkatan1 hingga tingkatan 5. Hanya saya seorang diperlakukan sedemikian. Beliau bertindak begitu sejak saya tidak bersetuju dengan apa yang beliau katakan.

Beliau mengatakan Al-Quran hanya perlu difahami bukan dihafal. Bagi perspektif seorang guru, faham dan hafal keduanya adalah penting. Hafalan untuk anak-anak sejak kecil adalah penting. Saya juga menghafal,kenapa saya tidak galakkan pelajar saya berbuat perkara yang sama. Respon pengetua tersebut, “ramai je yang hafal Quran tapi perangai buruk”. Saya hanya terdiam.

Berbalik kepada Tuan Rumah tadi, saya didesak membayar “maintenance fees”. Perjanjian dibuat setelah dua bulan saya tinggal di rumah tersebut. Saya tidak diberitahu secara bersemuka mengenai maintenance fees tersebut, dan hanya tahu setelah Tuan Rumah mengatakan ianya terdapat dalam perjanjian. Isteri beliau yang datang ke rumah juga tidak memberitahu apa-apa, atas dasar percaya sesama Islam, saya hanya tandatangan.

Beliau minta saya teliti isi perjanjian. Lalu saya pergi ke KPKT dan management untuk bertanya mengenai perjanjian tersebut. Alhamdulillah perjanjian tersebut tidak sah kerana tiada setem hasil. Beliau penjawat awam (penolong pengarah) yang bekerja di pejabat tanah dan mempunyai kereta mewah. Saya tidak pasti beliau tahu ataupun tidak mengenai setem hasil tersebut. Beliau menganggu saya dan juga keluarga saya di kampung.

Saya sudah pun membuat 3 laporan polis mengenai beliau, tetapi pihak polis menasihatkan saya supaya tidak memberitahu beliau mengenai laporan polis yang dibuat dan hanya “block” beliau di whatsapp untuk menjaga keselamatan saya. Beliau mendapatkan no telefon ayah saya dengan menghantar orang ke kampung halaman saya. Beliau meminta saya membayar maintenance fees dan bil TNB yang saya sudah tidak lagi duduk dirumah tersebut.

Seperti yang sedia maklum, maintenance fees adalah dibawah tanggungjawab Tuan Rumah. Ini bukanlah kali pertama saya menyewa rumah. Ketika mana saya tekad untuk berpindah, saya baru mengetahui rumah tersebut adalah rumah Selangorku dan tidak dapat disewakan dalam tempoh 5 tahun selepas pembelian. Sedihnya, beliau masih mengganggu ayah saya sehingga sekarang. Gangguan dibuat melalui panggilan telefon dan whatsapp setiap hari. Beliau memberitahu ayah saya untuk mencari saya di universiti sekiranya saya tidak menyelesaikan “hutang” tersebut.

Tipu jika saya katakan saya tidak terkesan dengan apa yang berlaku. Saya pernah difitnah juga memakan duit sepupu saya ketika saya menjaga dia. Saya memasak (masak biasa-biasa, takdelah pandai sangat pun macam chef masak) untuk dia. Bawa ke kedai makan, tapi dia hanya memberitahu ibunya yang dia hanya makan kentang dirumah saya. Cas RM400 (Sewa rumah RM150, makan RM150, petrol RM100) dikatakan melampau di tengah-tengah bandar.

Saya menjaga sepupu kerana mak saudara ingin dia belajar berdikari. Saya mencari kerja yang sesuai untuk dia yang baru tamat SPM dengan gaji RM1000. Saya tidak mampu menampung dia (percuma) kerana saya sendiri membayar yuran belajar dan ada komitmen kereta, rumah sewa dan hutang pendidikan serta saya sendiri mempunyai mak ayah yang perlu dijaga. Saya dicanang satu kampung kerana memakan duit haram. Malah, mak saya turut terkena tempias, dimalukan ketika pergi kenduri di kampung. Tindakan sepupu membuatkan hubungan adik beradik antara mak saya dan adiknya bergaduh.

Saya mengalami severe depression sebelum ini disebabkan burnout dan kesan buruk pada psikologi kerana masih dalam pengajian. Alhamdulillah sekarang saya sudah belajar untuk lebih bertenang dan lebih mendalami rasa hidup bertuhan. Allah kan ada. Allah takkan uji lebih daripada kemampuan hamba-Nya.

Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan orang lain menjadi mangsa kerakusan manusia sebegini. Saya sayang pelajar-pelajar saya. Saya menyimpan cita-cita menjadi seorang pensyarah,dan akan membantu anak bangsa yang benar-benar berjuang untuk ilmu dan memberi manfaat pada masyarakat.

Bagi saya, anak muda perlu dibimbing dan dipimpin kerana mereka adalah pemimpin generasi kelak. Saya mengambil positif dengan dugaan yang menyinggah kerana ada mutiara hikmah disebaliknya. Jika hanya mengeluh, sungguh banyak nikmat yang tidak terhitung yang telah Allah kurniakan kepada kita. Doakan saya dapat menghabiskan Ijazah Sarjana tahun ini ya semua. Terima kasih. Moga yang terbaik untuk semua.

– Miss A

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *