Menguji Kesabaran

Assalamualaikum, maaf andai tulisanku ini tak menepati format penulisan dan terdapat kesilapan tatabahasa.. Al-maklumlah, ini kali pertama aku mencoret lakaran hidupku yang mana aku pendamkan selama ini..

Usia masih dalam 30 an, dikurniakan suami yang cukup sempurna dimataku, tidak pernah lokek berkongsi tanggungjawab dalam rumah tangga, tidak pernah berkira bab duit dengan aku, keluargaku, keluarganya malahan sesiapa juga.

Ya, itu lah suamiku.. Seorang bekas pekerja swasta bergaji yang pada hematku cukup menampung hidup anak isteri dengan sempurna walaupun tidak semewah orang lain, yang berhenti kerja demi tanggungjawab sebagai anak.. poket kosong tapi masih utamakan isteri, anak-anak.. Terima kasih duhai suami dunia akhirat ku.. anak-anak pula alhamdulillah, tidak banyak kerenah dan anak-anak yang baik..

Semuanya berjalan lancar sehinggalah bulan November tahun lalu.. Masalah kewangan melanda.. Ya ALLAH, terima kasih untuk dugaan ini.. sebab ujian ini lah yang mendekatkan aku denganMU.. kalau dulu, aku lah hambaMU yang alpa dalam mengingatimu, tetapi sekarang ENGKAU lah yang aku utamakan.. Jika nak keluar ke mana-mana, dalam hati berdoa semoga urusan solatku dipermudahkan.. semoga aku terus istiqamah YA ALLAH..

Aku cuba sembunyikan kesedihan dan keresahan dalam hati hanya mengadu dekat YANG MAHA ESA, tetapi harini perasaanku tidak mampu lagi memendamnya.. sebab itu lah aku menggunakan iium confession sebagai medium aku meluahkan perasaan ini..

Aku sedih sangat, sebab kami tidak mampu menyediakan kelengkapan berhari raya untuk anak-anak.. untuk diri sendiri itu tidak mengapalah, cuma bila melibatkan hal anak-anak ini sesungguhnya perasaan itu sukar diungkapkan.

Aku seorang surirumahtangga, dalam masa yang sama aku cuba membantu suamiku dari segi kewangan dengan berniaga makanan.. kerepek popia dan sebagainya. Selalunya duit hasil jualan ini mampulah menampung belanja harian kami di pasar, pampers anak..

Orang nampak kehidupan kami senang, tapi hakikat sebaliknya.. bayangkanlah bulan lepas ada rm10 dalam tangan, susahnya hati ini.. sambil solat air mata keluar macam hujan.. sambil masak pun sama.. ya ALLAH.. sesungguhnya aku redha dengan ujianMU YA ALLAH.. alhamdulillah, petang tu ada orang bagi rm200 sebagai saguhati untuk suami..

Bila suamiku cakap tentang duit, aku cuma cakap “sabarlah abang, ujian kita tak sehebat ujian orang lain. Bersyukurlah kita masih mampu untuk beli makanan, tidak merempat”. Hakikatnya dalam hati aku.. tiada daya aku lagi..

Dalam kesempitan hidup ini, alhamdulillah kami masih mampu diberikan nikmat bersedekah.. jika ada orang datang rumah minta derma kami hulur, jumpa orang pancit tayar tepi jalan dan tiada duit, kami mampu hulur.. Takpe lah.. rezeki orang..

Maaf semua andai tulisanku ini merapu ke tak sesuai ke, aku hanya perlukan kata-kata semangat untuk aku teruskan ujian ini.. aku tengah down sekarang.. tengah down sangat. Cuma aku tidak mampu tunjukkan dekat suami tentang apa yang aku rasa sekarang sebab aku tahu dia lagi serabut memikirkan semua ini.. sedih sangat perasaan ini, bila buka wallet suami yang tinggal hanyalah rm1.. lalu kuselitkan rm20 untuk dia..

Kalau dulu, aku jenis tidak akan buka wallet suami walaupun disuruh, tetapi sekarang sebelum suami bangun itu lah yang selalu aku buat.. Doakan kami dapat bayar cukai jalan dan insurans kereta yang tertunggak bulan lepas.. Doakan kami sekeluarga dimurahkan rezeki, diberi kekuatan menghadapi ujian ini..

Untuk anak-anak, ibu akan berusaha supaya kalian tidak merasa tempias ini semua.. Jika dulu, ibu ayah sentiasa bawa anak-anak pergi mandi pantai, duduk hotel murah tetapi sekarang ni ibu ayah tidak berkemampuan lagi.. tetapi ibu ayah tetap akan memberikan yang terbaik untuk kalian.. Terima kasih anak-anak kerana cukup memahami keadaan sekarang..

Sekian, terima kasih semua…

– PUAN MARIAM

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *