Assalamualaikum. Semalam saya terbaca confession mengenai Madiha, (https://iiumc.com/w39nf3na-wanita-hebat/). Sejujurnya, saya menangis kerana tak dapat dibayangkan sekiranya sahabat yang sangat dikasihi, Khadijah, pergi meninggalkan saya untuk selamanya. Kebetulan, Khadijah juga berasal dari Marang, Terengganu.
Kami berkenalan di sebuah maahad tahfiz di Kedah. Khadijah secara peribadi agak pendiam dan sukar untuk didekati. Namun, kami ditakdirkan untuk tinggal sebilik. Dari situ, saya dapat tahu bahawa Khadijah sebenarnya ‘disembunyikan’ oleh bapa beliau yang baru bercerai dengan ibunya buat kali ketiga.
Khadijah anak bongsu. Mungkin sebab itu, beliau sangat bekerja keras untuk ‘menyatukan’ semula ibu bapa. Sehingga suatu hari, ustazah memberitahu Khadijah bahawa pasangan yang bercerai sebanyak tiga kali tidak boleh rujuk kecuali apabila memenuhi syarat tertentu. Mendengarkan perkara tersebut, Khadijah senyum dan angguk. Tapi, saya tahu beliau sedih dan gigih tahan air mata daripada gugur.
Beliau bercerita, ibu bapanya sering bergaduh sehingga melibatkan pihak polis. Penduduk setempat menyifatkan bapanya sebagai panas baran tetapi Khadijah tetap memilih untuk tinggal bersama bapanya. Ini kerana adik-beradik yang lain membuat keputusan untuk memihak kepada ibu.
Kelebihan keputusan Khadijah adalah bapanya boleh memberikan sepenuh perhatian terhadapnya terutama dari aspek akademik. Oleh sebab itu, Khadijah merupakan pelajar cemerlang dan antara yang terawal mengkhatamkan hafazan al quran.
Malangnya, kepintaran Khadijah disalah guna oleh pihak maahad. Khadijah selalu menjadi wakil dalam pertandingan hafazan, tafsir, tarannum dan sebagainya sehingga ketinggalan jauh dalam pelajaran. Melihatkan perilaku maahad yang membebankan Khadijah, bapanya mengambil langkah untuk menghantar beliau ke MRSM.
Tanpa Khadijah di sisi, hidup saya terasa kosong. Khadijah selalu menjadi tempat saya berkongsi rasa dan nasihat beliau sering menjadi pengubat kepada kesedihan. Diakui bahawa saya merupakan pelajar yang lemah dan Khadijah lah yang membimbing saya sehingga saya turut berjaya bergelar hafizah.
Meskipun berjauhan, kami tidak lokek untuk bertanya khabar. Khadijah juga kerap berkunjung ke rumah saya sehingga dilayan seperti anak sendiri oleh orang tua. Seperti yang dijangka, Khadijah memperoleh keputusan yang membanggakan bagi peperiksaan SPM. Justeru, beliau ditawarkan untuk menyambung pengajian di luar negara. Semuanya berjalan lancar sehingga bapa Khadijah dikhabarkan telah meninggal dunia secara mengejut.
Khadijah umpama hilang arah. Pertama kali saya melihat beliau menangis sehingga hidungnya berdarah dan matanya merah. Paling terkilan, bapanya meninggal ketika Khadijah masih berada di Jerman dan upacara pengebumian terpaksa diteruskan. Sejak itu, Khadijah mengalami kemurungan dan terpaksa dihantar pulang oleh pihak penaja.
Buat seketika, Khadijah tinggal bersama ibunya. Namun, segalanya terasa asing. Ibunya sangat gembira kerana Khadijah telah pulang ke pangkuan tetapi adik-beradiknya yang lain merasakan sebaliknya. Disebabkan gagal membawa pulang segulung ijazah, penjamin kedua, atau ibunya dituntut untuk membayar ganti rugi yang bukan sedikit jumlahnya.
Hal itu telah menimbulkan perbalahan dan Khadijah sekali lagi ‘berundur’ dan tinggal bersama atuk di kampung. Setahun Khadijah tidak melakukan apa-apa dan cuba untuk memulihkan semangat. Beliau mengelak daripada berjumpa sesiapa dan meluahkan perasaan kepada saya dan atuknya sahaja. Bagai jatuh ditimpa tangga, atuknya disahkan menghidap kanser usus tahap 4 pada penghujung 2012 dan menghembuskan nafas terakhir 30 hari kemudiannya.
Sebelum meninggal dunia, atuknya ada memberikan sejumlah wang supaya Khadijah dapat menyambung semula pelajarannya. Duit insurans yang ditinggalkan arwah bapanya juga cukup untuk Khadijah membayar yuran universiti. Selebihnya Khadijah melakukan kerja sambilan untuk menampung keperluan harian. Beliau berasa segan untuk meminta-minta daripada ahli keluarga. Mujur, ibunya ada menghulurkan sedikit wang untuk perbelanjaan bulanan.
Besar harapan arwah bapa dan atuknya untuk melihat beliau berjaya. Motivasi itulah yang mendorong Khadijah untuk mengorak langkah dan kembali bergelar pelajar. Khadijah secara semulajadi memang pandai ditambah pula dengan pengalaman menuntut ilmu di luar negara. Dengan mudah, beliau memperoleh cgpa 4.0 untuk majoriti semester. Sekali lagi, beliau berpeluang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di Jerman.
Khadijah pernah memberitahu saya sebelum berlepas ke Jerman bahawa beliau ingin terus menetap di sana. Terlalu banyak kenangan pahit di Malaysia. Namun, beliau berjanji untuk pulang sekali-sekala bagi melawat keluarganya terutama ibu dan rakan-rakan. Kini, Khadijah menikmati puncak kerjaya dan mampu membayar sendiri ganti rugi yang dituntut pihak penaja terdahulu. Beliau juga mampu menubuhkan surau di kampung buat arwah bapa dan atuknya.
Saya tersangat bertuah kerana dalam kebanyakkan manusia, Khadijah memilih untuk menjadikan saya sebagai sahabat karibnya. Besar pengorbanan dan jasa Khadijah dalam hidup ini. Besar juga jiwa dan peribadinya. Berlainan dengan saya yang telah mendirikan rumahtangga, Khadijah masih membujang. Apabila ditanya mengenai jodoh, beliau hanya tersenyum dan berkata, “Aku kalau boleh nak berjodoh dengan syurga. Tak kisah la kahwin ke tak.”
Tapi Khadijah juga manusia biasa seperti kita. Setiap kali diuji, dia akan mengambil masa untuk bersendirian yang agak lama. Secara zahir, Khadijah selalu berpura-pura bahawa dia baik-baik sahaja. Namun, isi hatinya hanya Tuhan yang tahu.
Terima kasih Khadijah. Kehadiranmu memberi seribu hikmah.
Salam Ramadhan.
– Izzati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit