Pendamping

Assalamualaikum kepada semua pembaca page ni dan aku ucapkan Ramadhan Kareem! Terima kasih admin sekiranya confession aku ni disiarkan.

Daripada tajuk pun pembaca dah tahu apa yang aku nak ceritakan ini ialah sebuah kisah mistik, so ibu hamil dan pesakit jantung anda tidak digalakkan membaca, haha. Maaf juga kalau ada yang rasa kisah ni tak sesuai diceritakan di page ini, aku lebih selesa nak kongsi pengalaman aku di sini daripada page-page lain.

Aku kenalkan diri aku sebagai Diana (nama samaran), aku kerja sebagai doktor gigi di utara tanah air. Aku rasa ramai kawan-kawan dan keluarga yang akan cam penulisan aku, tapi aku minta kita semua rahsiakan, baru ada element surprise.

Aku dah lama rasa nak share kisah aku di sini, tapi selalu tak ada kesempatan sebab acah-acah busy. Memandangkan harini aku ada free time, dan laptop aku pun ada sama (biasanya aku tinggal kat klinik je), so aku bersemangat sikitlah nak taip. Kisah ni dah bertahun-tahun lamanya jadi (rasanya dah 8-9 tahun), tapi aku masih ingat lagi setiap detail dan kronologinya sebab betul-betul memberi kesan kepada aku.

Semuanya bermula masa aku tingkatan 4, aku tergedik-gedik nak masuk asrama sebab konon-konon nak cemerlang SPM lah tahun berikutnya. Padahal bila masuk asrama, siang-siang dalam kelas aku tidur memanjang ja sebab tak biasa stay up sampai tengah malam.

Jadi mak aku pun turutkan kemahuan aku untuk masuk asrama walaupun jarak rumah aku dan sekolah katanya kentut pun boleh dengar. Asrama aku masa ni ada satu blok yang baru dibina atas tanah bekas pokok-pokok besar ditebang. Sebagai senior (ting 4 & 5) , kami diberi peluang untuk merasmikan asrama baru tu.

Malam tu, aku dan kawan-kawan prep macam biasa. Kelas aku tingkat 3. Tengah syok-syok prep (syok sangat), tiba-tiba anak mata kiri aku perasan ada semacam bola api melintas di tepi kelas aku . Bila dah habis prep masa menuju ke surau, aku tanya kawan-kawan yang lain kot-kot ada yang nampak benda yg aku nampak. Ada 2-3 orang lain turut mengaku nampak bola api tu. Tapi sorang kawan aku ni, dia keraskan suara dia “Shhh, jangan tegur!”

Betul lah agaknya apa yang orang duk pesan tu, “Jangan tegur!”. Aku conclude mcm tu lah, disebabkan aku tegur, esoknya aku sorang saja yang nampak lagi. Esoknya tu, aku nampak ada seekor burung yg sangat-sangat besar, berwarna putih keemasan melintas di tempat sama.

Korang mesti kata ” Burung je tu”. Tapi saiz burung tu sangat tak masuk akal, aku rasa tu burung paling besar pernah aku tengok setakat sekarang. Korang jangan la compare dengan burung dinasour tu, aku mana hidup lagi zaman tu, so aku tak tahulah dia besar mana. Malam seterusya, aku nampak sejadah besar pula terbang di tepi kelas aku. Tapi aku “butakan mata” sebab tak mau layan.

Aku ingat semuanya habis di situ, tapi tidak. Slowly semua benda tu progress hari ke hari. Dari benda yang kecil dan remeh, menjadi benda yang besar dan menyusahkan. Aku mula dapat lebam-lebam aneh serata badan aku, peha, lengan, semualah sedangkan aku tak langgar apa-apa atau jatuh katil masa tidur. Aku dah mula rasa takut.

Kemudian satu masa, bahu kiri aku rasa berat. Kadang-kadang sejuk, kadang-kadang panas. Bahu kiri sahaja ye anak-anak. Perasaan dia ialah, macam aku tengah jalan, tapi ada seseorang tengah ikut rapat-rapat sebelah kiri aku ni. Rapat yang boleh rasa panas, sejuk “dia”. Sungguh merimaskan, yang aku lagi selesa berbaring daripada berdiri sebab macam tu saja yang aku tak rasa “dia” tengah berdamping. Sejak itu, ‘dia” pun mula berdamping tanpa izin dengan aku. Bestfriend sangat haha.

Bila aku solat, dia ikut sama berdamping di bahu kiri aku. Bukan nak solat, nak kacau je. Bayangkan, bila aku solat di rumah sorang-sorang, separuh dari sejadah aku gelap sebab bayang-bayang dia (seolah-olah ada sesuatu yang besar di belakang aku tangah lindung cahaya).

Tahu apa yang epic? Epicnya ialah, masa aku solat tu, lampu tu dari arah depan aku, bukan dari belakang. “Dia” saja ja nak bagitahu dia ada sama. Aku jadi takut sangat-sangat, so aku solat laju-laju dan ada sezaman tu masa aku diganggu, aku solat tutup mata sebab aku takut sangat-sangat kalau ternampak “dia”. Sekarang alhamdulillah dah boleh buka mata haha.

Yang cukup meyakinkan aku, dia ada sama di bahu kiri aku ialah (Eh, mcm PA aku pulak haha), pernah sekali tu aku mandi, aku rasa meremang sebab rasa dia ada di belakang aku, so aku tengok bahu aku, bulu-bulu badan aku ( badan aku bukan berbulu mcm gorilla tu, bulu-bulu halus la) yang sebelah kiri tengah terpacak satu-satu sebab meremang tapi seblah kanan elok je rapat ke kulit. Kot ada scientific explaination boleh habaq mai kat aku.

Malam-malam aku mula dapat mimpi aneh. Yamg paling kerap sekali ialah ular. Ular, ular, ular. Ular hitam ada , ular warna warni pun ada, cakap je nak ular apa. Aku mimpi anjing ganas, mimpi kala jengking, mimpi tengah berhubungan, ada anak, lepas tu beranak dan siap menyusukan anak aku dalam mimpi tu lagi.

Masa tu rasa sayang sangat-sangat sampai bila bangun tu menangis. Gila ke apa kan? Ada satu mimpi ular tu, aku bangun terjerit “Allahuakbar” spontan sebab dalam mimpi tu, aku tertatap mata ular tu. Merah terang mcm delima. Seram pula.

Jadi aku pun call mak aku hari-hari dengan telefon duit syiling sekupang dua kupang tu cakap kena kacau, Tapi pada mak aku, biasalah kan dah duduk asrama. “Dia mengusik ja tu”. Jadi bila balik hujung minggu di rumah, ada sekali tu aku tengah buat homework, tiba-tiba aku macam tengah melamun.

Dan “dia” bercakap-cakap dengan aku, tapi aku tak dapat ingat sampai sekarang apa yang dia cakap. Yang aku tahu, dia bagitahu aku something lawak hahaha. Aku boleh tersedar dari lamunan aku tu sebab aku tengah gelak dengar cerita “dia” ye gais. Gila ke apa?.

Dan petang tu di rumah, mak aku tengah goreng cucur, bilik aku ada satu tingkap sliding yang mengadap dapur. So aku tengoklah mak aku tengah goreng cucur (mak aku tak tahu). Jadi “dia” mula lah masukkan jarum-jarum halus dia. Dia cakap “Mak hang tak sayang hang, sebab tu dia tak bawa hang berubat pi mana-mana. Dia suka tengok hang sakit macam ni”. Cukup meyakinkan untuk aku.

Aku jadi rasa marah dengan mak aku masa tu, sebab aku percaya apa yang “dia” kata. Bila aku tanya mak aku, kenapa tak bawa aku pi berubat? Aku bagitahu mak aku yang “dia” bagitahu aku, mak aku suka bila tengok aku sakit mcm ni. Mak aku kelu, dia tak sangka anak dia sakit sampai mcm ni agaknya.

Bila aku di sekolah pula, pantang terdetik apa-apa sikit, “dia” akan terus membisik kata-kata jahat supaya aku jadi jahat mcm “dia”. Contohnya hari tu panas terik sangat, aku cuma terdetik, panasnya harini, terus “dia” cucuk aku supaya aku buka tudung sebab cuaca panas. Bukannya bisikan bishe bishe ye, yang terlalu kuat “Bukalah! Buka! Buka cepat!” Yang kau jadi tak tentu arah selagi tak buat benda “dia” suruh tu.

Bila aku naik kereta pula dia akan kata “Seronoknya kereta laju mcm ni, mesti seronok kan kalau dapat keluar. Terjunlah! Terjun! Terjun!!!” Macam tu lah gayanya, sampai sekali tu masa mak aku drive, aku dah unlock pintu dan pegang pintu nak keluar, mak aku terus parking tepi jalan dan lock balik, muka dia cuak sangat.

Lepas tu pi mana-mana, mak aku akan suruh adik abang aku apit aku dalam kereta kiri kanan. Jadi mak aku terus bawa aku keluar asrama lepas tu, aku balik rumah. Aku ingat bila aku balik, benda tu dah tak ada, Rupanya dia ikut aku balik rumah sama2, dasar peminat tegar haha.

Bila balik ke rumah, dan masih tak berubat, benda tu jadi makin berani dan teruk. Kali ni aku betul-betul dengar suara dia. Aku baru nak tidur malam tu. Aku dengar abang aku panggil aku “Diana~~~ Diana~~~”. Aku diam tak menyahut.

Tiba-tiba mak aku pula panggil “Diana~~~Diana~~~” Suara mak aku masatu lembut mendayu-dayu. Aku diam menggigil dalam selimut. Aku tak menyahut sebab family aku takkan panggil aku dengan nama penuh aku. Diorang panggil aku as “Ana”, bukan Diana. Lepas tu bila “dia” tahu trick dia tak menjadi, dia ketawa manja macam maya karin tu. Ketawa yang mendengus kut hidung tu ‘hmmmmmmmmm’. Aku cabut naik bilik mak aku tidur sana.

Ada satu malam tu, aku keluar ke porch kereta nak bagi kucing-kucing aku makan. Ada kereta mak aku kat luar tengah park, aku nampak adik perempuan aku duduk berdiri sebalik kereta mak aku tu. Masatu zaman kami berdua rambut separas pinggang, jenis yang kiasu dengan each other. Kalau potong rambut, kena potong sama-sama. So aku pun penggil la adik aku “Weyyy masuklah”. Dia berdiri kaku ja.

Aku pun pi ke arah dia, tapi dia gerak menjauh. Aku ikut dia, dia lagi kedepan, sudahnya kami dua pusing kereta tu saja. Aku ingat adik aku saja nak main-main, aku pun malas nak layan. Aku cakap “Ikut suka hang la, aku masuk dulu”. Bila aku masuk ja rumah, adik aku yang aku ingat main sorok-sorok tadi tu tengah tengok tv dia ruang tengah.

So rupanya kat luar tu ialah “dia”. Nasib baik dia tak masuk bila aku pelawa tadi. Aku tutup pintu dan diamkan perkara tu. Esok tu baru aku cerita dekat mak aku yang aku nampak “adik aku” rambut panjang kat porch kereta semalam.

Yang last sekali sebelum aku akhiri cerita aku, ada satu malam tu masa aku tengah tidur, aku terjaga sebab rambut aku tengah kibas-kibas kat muka aku, beberapa urat saja la (perempuan mesti faham kan rimasnya rambut kat muka ni), aku pun tolak rambut tu selit di belakang telinga.

Tiba-tiba rambut tu ada lagi. Ishhh, rimas! Aku pun tolak lagi untuk kali kedua dan ketiganya. Tapi bila rambut tu duk kibas lagi untuk kali ke empatnya, aku hilang sabar dah. Aku pun tarik ja rambut tu buang sebab annoying sangat-sangat. Guess what?? Masa aku tarik rambut tu buang, rambut tu putus lah kan, ada di tangan aku. Tapi kepala aku tak da sikit pun rasa sakit mcm kena tarik rambut. Milik siapakah rambut itu? Jeng3.

Sekian di sini sajalah cerita aku, aku punya jari pun dah beku tak dapat taip sebab aircond klinik kuat sangat.Ni mungkin hanya cebisan dari kisah aku. 3 tahun menanggung sakit diganggu tapi akhirnya pulih Alhamdulillah berkat usaha mak abah aku yang tak jemu usung aku sana sini pi berubat. Kalau nak cerita part berubat tu, banyaklah lagi nak kena taip gayanya.

Kesimpulannya, kalau ada yang sakit-sakit mcm ni, tolonglah sayangi diri anda dan pergi berubat, jangan biar melarat nanti susah. Alam ghaib ni ada, kita perlu percaya. Tapi tak perlu taksub sampai memakan diri.

Aku mohon maaf kalau ada singgung mana-mana hati pembaca lain, ada kata-kata yang tidak enak dan sebagainya. Yang baik dari Allah dan yang buruk segalanya datang dari kelemahan diri aku sendiri. Terima kasih sudi membaca.

– Doktor gigi anda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *