Sinar Baru di Aidilfitri

Assalamualaikum dan salam akhir ramadan. Sebelum tu, aku ucapkan terima kasih jika confession aku ni terpilih untuk disiarkan. Moga ada iktibar yang boleh diambil dari kisah ini.

Namaku Wardah, anak ke 3 dari 5 adik beradik yang mana semuanya perempuan. Kami baru sahaja kehilangan nenek dan ayah pada tahun ini, dalam jarak yang dekat. Namun, sunggguh pemergian mereka membuka sinar baru buat kami yang tinggal.

Inilah ceritanya.. cerita yang terpendam lama, dan ada hati yang sangat terluka. Sejak mak dan ayah aku kawin, ayah bawak nenek tinggal dengan mereka. Ayah aku ni anak mak, memandangkan dia sorang je anak lelaki dalam adik beradik. Ayah memang anak kesayangan nenek. Tapi sayangnya, mak bukan menantu pilihan nenek.

Nenek nak orang kaya, tapi ayah aku taknak. Mak aku pulak gadis kampung, hanya belajar setakat darjah 3, cukup lepas kenal abc dan tahu membaca. Mak terpaksa berhenti sekolah kerana faktor kewangan dan desakan hidup masa tu. Ayah aku berkenan dengan mak lepas kenal dengan abang mak di majlis ilmu. Terus dirisik-risik, dan hubungan mereka berjalan hingga ke jinjang pelamin.

Maka bermulalah kehidupan mak sebagai menantu bukan pilihan. Diherdik, dicaci, dimaki.. Semuanya mak aku hadap. Ayah aku hanya mampu menegur, tapi yang menanggungnya mak seorang jugak. Bila lahir kami adik beradik, kebencian nenek menurun juga kepada kami. Kakak aku pernah dipijak, aku pernah dihantuk ke bucu almari, dan bermacam-macam lagi siksaan fizikal dan mental.

Bila kami mula besar, kami mula sedar dan faham apa yang berlaku dalam rumah dan mula protect mak. Setiap caci maki nenek akan kaklong balas, dan ingatkan tentang balasan dosa dan neraka. Benda tu buat nenek makin naik angin, dan sentiasa cari salah mak. Mak dituduh bagi nasi kangkang, bomohkan anak dia, dan macam-macam lagi.

Rumah kami juga ibarat tempat gelandangan buat semua anak-anak buah ayah, yang mana anak makcik aku, kakak ayah. Konon datang sebab nak ziarah nenek, tapi mengendeng sampai ke sebulan dua lamanya. Dah buat macam rumah sendiri. Makan pakai semuanya ayah aku yang tanggung.

Dan masa inilah nenek akan mempergunakan mak. Mak dibuat jadi kuli, kami adik beradik juga macam hamba abdi. Depan semua nenek tanpa segan silu akan perlekehkan mak dan kami adik beradik. Kalau nak tau, semua benda ni jadi bila ayah takde kat rumah. Bila ayah ada, nenek akan pendekkan sikit tanduk syaitan dia, tapi tetap tunjuk perangainya.

Panjang lagi kalau aku nak cerita kepahitan yang kami rasa, semua cerita di atas dalam tempoh aku membesar selama 14-15 tahun. Namun aku bersyukur, walaupun diuji dengan sebegitu..mak aku sangat sabar. Mak pernah kata dulu hampir nak lari rumah, tapi fikirkan anak-anak yang masih kecik.. Mak lupakan hasrat mak. Dalam tempoh ni, anak anaklah tempat mak luahkan perasaan. Dan kami akan menangis sama sama dalam bilik.

Selang beberapa tahun kemudian, nenek pun makin berusia, dan mula nyanyuk. Masa ni.. Allahurabbi, semakin menjadi jadi perangai dia. Dia akan menjerit tengah malam, menangis nangis tuduh mak curi kain batik dia. Nenek aku ni peminat tegar kain batik, sampai membukit dalam almari dia. Dia akan menangis sambil minta ayah aku ceraikan mak, sebab buat mak mertua macam ni.

Mak akan tegas mempertahankan tindakannya yang tak pernah langsung buka almari nenek, apatah lagi nak curi kain batik dia. Tapi tegas mak kadang mengundang kemarahan ayah, sebab ayah rasa mak dah tak hormat mak dia. Hingga la mak dapat penampar sulung dari ayah. Kejadian tu sangat memberi kesan pada kami adik beradik, betapa peritnya hati tengok mak tersayang diluka sebegitu.

Tak lama lepas tu, kecoh satu pagi ni bila nenek tiba-tiba acu parang kat mak. Dia nak bunuh mak. Ya Allah, bergegas kami adik beradik meleraikan pergaduhan mak dengan nenek. Rupanya nenek kata mak curi rantai emas dia. End up bila kemas bilik nenek, jumpa rantai tu dia letak bawah bantal. Kes kain batik pun, bukannya hilang, tapi tersorok di belakang tuala. Gitulah hidup nenek aku, sentiasa penuh dengan dendam dan hasad dengki.

Ditakdirkan Allah, akhir tahun lepas ayah diuji dengan sakit kencing manis yang kronik. Dan sepanjang tempoh tu, nenek jugak jatuh sakit. Siang malam kami bergilir menjaga ayah dan dan nenek di hospital. Memandangkan kakak2 aku tinggal di asrama di U, dan hanya tinggal aku dan adik di rumah.. Kami minta tolong sepupu2 ku untuk bergilir jaga nenek. Dan masa ni lah, terserlah perangai sorang sorang bila kita minta bantuan. Nenek yang sorang ni belum tentu cucu-cucu kesayangan sudi nak jaga.

Lepas puas bertolak-tolak, akhirnya nenek di bawa pulang ke kampung untuk mereka jaga. Kesihatan ayah pula tak menentu. Sekejap baik sekejap makin teruk. Hinggalah abah menghembuskan nafas yang terakhir pada bulan januari yang lalu. Akhirnya kami ambil semula untuk jaga nenek, dan bila sampai ke kampung.. Alangkah terkejutnya kami..

Nenek yang diserahkan dalam keadaan tubuh badan bersih, tiada luka.. Kini penuh dengan bed sore atau melepuh kesan dari baring yang lama. Kaki nenek juga ada kesan lebam, kata sepupu aku nenek jatuh. Dan masa datang tu, memang kami datang mengejut, tak bagitau pun. Sedih sangat tengok nenek masa tu, bau hancing tahap ape dah. Bila tanya nenek bila last tukar pampers, dia kata petang semalam.

Dan menurut maklong aku, nenek langsung taknak makan. Mulut asyik sebut nama mak aku je. Siang malam pagi petang dia akan sebut nama mak aku. Nak mak aku yang jaga dia.. nak mak aku yang suap dia. Nak mak aku yang salinkan pampers dia.

Nah, masa ni terjelepuk kami semua. Sungguh balasan Allah itu pasti. Orang yang sangat dibenci sepanjang hayatnya, itu juga yang dicari di saat akhir usianya. Ego nenek kini jatuh, dan terpaksa mengemis kasih pada mak. Mungkin layanan yang sangat berbeza, buat dia sedar mana kaca mana permata.

Memandangkan hari pun dah lewat malam, kami janji akan datang esok dan bawak nenek tinggal dengan kami. Dan takdir Allah, malam tu nenek meninggal. Dan mulutnya masih setia menyebut nama mak hingga akhir nafas dia.. Dalam menangis terselit rasa syukur kerana penderitaan mak selama 25 tahun berakhir. 19 tahun aku hidup, inilah saat yang aku nantikan.

Kini.. Kami bahagia dengan kehidupan kami. Maklah nyawa dan syurga kami. Namun ayah tetap subur di hati kami. Baik buruknya, tetap ayah kami. Mak kini aktif dengan aktiviti masjid dan program program ilmu. Aku sangat bahagia melihat senyuman mak, walau aku tahu di hatinya masih ada luka yang berbekas. Namun sekelumit dendam pun tiada, yang ada hanya doa dan air mata yang sering dititipkan buat dua insan yang sering melukakan hatinya.

Buat nenek, alangkah ruginya 25 tahun hidupmu.. hidup dalam penuh kebencian dan dendam kesumat. Aku sering membayangkan, kalaulah apa yang terjadi adalah sebaliknya.. Pastinya nenek adalah mertua paling bahagia yang bermenantukan mak. Sungguh.

Dan satu pesanan mak buat kami anak2 daranya.. “mak tak kan pernah aturkan jodoh untuk anak2 mak.. Tapi satu pesan mak, carilah mertua yang boleh terima kamu, dan inshaaAllah semuanya akan dipermudahkan”

Moga Allah berkati usia mak ku.. Dan moga Allah ampunkan segala kesilapan kami semua.. Nenek, abah, mak, kaklong, kakngah, kaklang, kakcik dan adik.

Aidilfitri kali ini berbeza, namun terasa kesyukurannya.

– Wardatul Jannah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *