Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca IIUMC. Pertamanya, terima kasih admin kerana sudi menyiarkan luahan hati saya. Kepada pembaca yang budiman harap anda dapat memberi pandangan tentang permasalahan saya.
Nama saya Jimy (bukan nama sebenar), lelaki sulung, umur lewat 20-an dan telah bertunang. Saya pekerja swasta dan ada buat kerja part-time demi mengumpul duit kahwin.
Saya ceritakan secara ringkas, hubungan saya dan tunang bukanlah bermula daripada percintaan, tetapi daripada kawan baik sehinggalah saya meluahkan hasrat saya kepadanya sebab dia menepati ciri-ciri yang saya suka.
Dia seorang yang berdikari, peramah, gila-gila, ceria, tidak berkira dan mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Perangai dia sangat kontra daripada saya yang merupakan seorang yang pendiam, tak peramah, agak skema.
Pada mulanya dia menolak kerana saya bukan ciri-ciri idaman dia dan dalam hati dia dah tetapkan saya sebagai seorang kawan baik dan tak mungkin boleh terima jadi peneman hidupnya. Tapi mungkin atas faktor umurnya semakin lewat, dorongan keluarga, dan dah malas mencari pasangan untuk bercinta lagi, maka dia cuba buka pintu hatinya untuk saya.
Awal-awal lagi dia dah beritahu supaya bagi dia masa untuk dia menyesuaikan diri dengan semua ini sebab dia tak biasa. Alhamdulillah, saya manfaatkan sebaik mungkin peluang yang telah diberikan, lambat laun dia boleh terima saya walaupun hatinya masih anggap saya kawan baik sahaja.
Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan yang telah diberikan kepada saya, sebulan selepas saya confess kepada dia, saya dah rancang segalanya untuk mendirikan rumahtangga bersama dia. Walaupun nampak tergesa-gesa tapi memang saya serius hanya mahu kan dia.
Alhamdulillah, setelah sebulan setengah daripada hari confession saya bawa ibu bapa & adik beradik untuk majlis pertunangan. Perbincangan pertunangan dibuat antara keluarga dengan keluarga secara kecil-kecilan sahaja.
Saya beritahu ibu bapa terima sahaja apa permintaan keluarga pihak tunang, saya akan usahakan tanpa menyusahkan mereka. Alhamdulillah majlis berjalan lancar, tarikh majlis telah ditetapkan setahun daripada tarikh pertunangan dengan hantaran sebanyak RM20,000.
Sepanjang kami bertunang baru saya dapat peluang untuk mengenali tunang saya dengan lebih dalam berbanding semasa menjadi kawan baik. Tunang saya minta maaf kerana saya bukan yang terutama dalam hatinya. Saya fikir tak mengapalah mungkin sebab hubungan kami masih setahun jagung dan baru hendak mengenali hati budi.
Rupa-rupanya lain yang tunang saya maksudkan, selama ini tunang saya ada kawan baik ‘lain’ sebelum saya hadir lagi dalam hidupnya. Saya namakan dia sebagai Z. Z seorg perempuan yang berperwatakan seperti lelaki aka tomboy berumur awal 30-an. Z telah hadir lama dalam hidup tunang saya, selepas putus cinta 6 tahun lepas lagi.
Z yang telah menemani hidup tunang saya ketika susah dan senang, dia menggantikan ‘lelaki’ dalam hidup tunang saya. Tidak dinafikan Z memang seorang yang sangat baik, tetapi Z telah menaruh hati kepada tunang saya. Manakala tunang saya pula anggap Z seperti kakak/ adik-beradik/ BFF yang tidak boleh dipisahkan. Tunang saya pernah cakap kalau Z ni seorang lelaki, dah lama diorang berkahwin.
Pada mulanya memang saya makan hati dengan tunang sendiri, tapi bila difikirkan balik saya baru hadir di dalam hidup dia saya turunkan ego saya. Saya mengalah sebab saya terlalu cintakan dia dan saya ada saingan yang saya perlu hadapi supaya dapat naik ranking di dalam hati tunang sendiri.
Kadang-kadang saya breakdown sebab selalu mengalah, apa-apa yang tunang buat semua mengutamakan Z daripada saya sendiri. Saya selalu dibandingkan dengan Z. Bila keluar dengan Z dia minta saya jangan mesej dia takut Z cemburu, bila dia keluar dengan saya dia tipu Z supaya Z tak cemburu.
Bila saya datang rumah nak hantar barang kena beritahu, kalau Z datang boleh masuk begitu sahaja. Bila tunang bergaduh dengan Z sebab Z cemburu, Z ugut nak lari daripada hidup dia, dia pula minta putus dengan saya sebab taknak kehilangan Z.
Selepas mereka dah berbaik semula tunang minta maaf dan pujuk saya semula. Saya tak pernah halang hubungan mereka selagi tidak melanggar batas, tapi lama-lama saya sendiri yang makan hati berulam jantung.
Kesabaran saya lama kelamaan membuahkan hasil, tunang mula sayang pada saya sebab saya tunjukkan konsistensi dan kesabaran yang tinggi pada dia. Tunang kata kalau lelaki lain semua dah tak tahan dan tinggalkan dia.
Masa berganti masa, tinggal 3 bulan lagi sebelum majlis pernikahan kami. Wang hantaran saya dah langsaikan, dewan majlis dah ditempah, doorgift tetamu dah siap & rumah selepas berkahwin saya dah sediakan. Timbul pula isu baru, tunang mula buka cerita mengenai keluarga sendiri.
Mengapa tunang tak kahwin lebih awal kerana tunang merupakan tulang belakang keluarga, walaupun ada ayah dan adik-beradik lelaki tetapi dia yang menanggung beban seorang diri. Daripada bil api, air, astro, internet sehinggalah lauk pauk dalam rumah dia yang beli dan bayar.
Kadang-kadang bila kesempitan Z yang tolong pinjamkan duit, bila ditanya kenapa tak pernah cerita kat saya. Tunang kata taknak susahkan saya yang dah penat kumpul duit kahwin. Rupa-rupanya Z yang nasihatkan tunang supaya terima saya awal-awal dahulu kerana saya yang boleh bawa tunang keluar daripada kemelut masalah keluarga.
Saya terkilan walaupun saya kesiankan dia kerana tanggung beban seorang diri. Saya selalu menangis mengenangkan diri sendiri. Apa yang harus saya lakukan? Saya harap pembaca dapat berikan saya pendapat-pendapat melalui luahan hati saya ini.
– Jimy (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit