Assalamualaikum wbt & salam sejahtera untuk para pembaca. Maaf jika coretan ini bakal mengganggu emosi atau fikiran sesiapa. Niat aku bukan sekadar untuk meluahkan isi hati yang terpendam, namun aku juga mengharapkan agar coretan ini dapat dijadikan panduan & pedoman kepada pembaca-pembaca yang budiman.
Aku seorang wanita yang bekerjaya & berasal dari utara tanah air. Baru mendirikan rumahtangga & masih ‘struggle’ untuk menyelusuri alam perkahwinan ini. Aku menetap berdua bersama suami & masih belum diberi rezeki memiliki cahaya mata. Suami aku juga mempunyai kerjayanya yang tersendiri. Kami masing-masing perlu bekerja untuk menampung keperluan satu sama lain (kami menetap di kawasan elit ibu kota).
Aku berkahwin dengan suami atas dasar cinta (mungkin la kot). Walaupun begitu, selama kami sudah berkahwin, aku masih rasa kosong kerana aku merasakan tiada istilah rasa sayang yang seikhlasnya dari seorang suami buat isterinya selama aku dengan dia.
Sehingga kini, aku selalu tertanya-tanya, apakah makna aku berkahwin jika tiada kemanisan yang harus aku kutip? Aku akui, tiada insan yang sempurna di dunia ini (kecuali Rasulullah saw) & kami perlu menerima kekurangan diri masing-masing. Namun, jika aku sahaja yang selalu menerima kekurangan dirinya, bagaimana pula dirinya terhadap aku?
Masalah yang paling utama aku hadapi ialah suamiku jenis yang suka “berangin” & sangat baran, kalah perempuan yang setiap bulan harus menghadapi PMS atau period pain. Keadaan moody dia, memang aku tak faham sebab ia boleh berlaku dengan tiba-tiba. Sejujurnya, ketika aku berkawan dengan dia (sebelum berkahwin) memang aku tahu dirinya sangat baran. Tapi, ketika kami bersama menghitung hari ke alam perkahwinan, keadaan dia semakin berubah, agak berlembut & sabar.
Perkara tersebut yang membuatkan aku berani untuk meneruskan perkahwinan apatah lagi melihat ahli keluarga masing-masing sudah gembira menanti hari bahagia kami. Namun, selepas berkahwin, aku semakin mengerti istilah “hangat-hangat tahi ayam” & keperibadian seseorang akan terserlah. Keadaan suamiku langsung tidak berubah & tidak seperti yang aku impikan. Hal ini selalu menjadi punca untuk aku semakin stress & berendam airmata. Boleh dikatakan hampir setiap minggu, aku selalu menangis sebab tak mampu nk ‘handle’ isu ini.
Walaupun aku tahu, keadaan baran dia tu kadang kala makan masa yang sekejap sahaja, namun aku gagal untuk menerima keadaan tersebut sebagai perkara yang normal. Cuma sehingga ke hari ini, suamiku tidak pernah mencederakan diriku. Hanya sekadar marah, maki hamun & caci maki sahaja.
Pada awal perkahwinan kami pun, pantang silap sikit memang dia akan maki hamun terus. Perkara sekecil seperti tersalah letak barang di dalam kereta pun menjadi titik permulaan untuk dia naik angin. Kadang tu, aku terlewat pulang dari kerja dalam tempoh 5 minit pun boleh jadi isu untuk dia marah. Walhal, isu tu terlalu remeh & langsung tidak mendatangkan masalah atau kemudaratan.
Aku makin pelik seolah-olah suamiku seronok melepaskan api kemarahan dia kepadaku. Ketika dia marah & sakit hati atas kesilapan orang lain pun aku juga dijadikan mangsa untuk terima tempias amarah & maki hamunnya. Keadaan ini membuatkan aku hanya mampu membayangkan suamiku adalah seorang yang berkisahkan marah, marah & marah lagi.
Untuk pengetahuan semua pembaca, aku ni pula jenis perempuan yang terlalu fragile (bak kata staf sama tempat kerja dengan aku ni) & aku juga jenis tak suka keadaan yang membingitkan. Aku lebih banyak berdiam diri kerana aku tahu tiada penyelasaian antara kami yang akan berlaku. Hal ini kerana, setiap kali suamiku naik angin, dia akan maki hamun secara menjerit-menjerit, tidak mengendahkan keadaan orang keliling ketika itu.
Walau aku cuba ingin pertahankan diri, namun tidak mampu berkata-kata kerana dia tidak mahu mendengarnya. Selagi amukannya tidak selesai, selagi itulah aku tidak boleh bersuara. Keadaan ini membuatkan aku semakin berkecil hati & sering diam membisu. Suamiku tidak pernah fikir akan perasaan & maruahku di kalangan orang keliling kami.
Suamiku pula, sehingga ke hari ini, tidak pernah sekalipun dia cuba ingin selami hatiku untuk bertanya apa yang aku rasa selama ini. Kalau ajak berbincang untuk selesaikan masalah, memang jauh panggang dari api. Selepas puas marah, kalau mood tiba-tiba elok, baru la nk cuba bermanja dengan aku seoalh-olah dia tidak melakukan apa-apa kesilapan.
Hakikatnya, ketika dia maki hamun & marah aku, sikit pun dia tak rasa bersalah untuk cuba belajar mengawalnya. Bukan sehari dua, bukan seminggu dua, tapi berbulan & akan menjangkau tahun pula. Aku cuba untuk menjadi penyejuk hatinya, tapi aku juga manusia biasa. Aku adalah wanita yang kadang kala lahiriahnya bersifat manja & ingin dimanjai oleh si suami. Namun, aku tak mengerti kenapa susah untuk aku memilikinya bersama suamiku ini.
Pada saat dirinya suka marah, caci maki atau tiba-tiba sahaja beremosi, aku sangat teringin untuk mengetahui apakah yang tersirat di dalam lubuk hatinya ketika itu terhadap diriku. Apakah dosa besar yang aku lakukan jika tiba-tiba sahaja dirinya marah padaku? Benci sangatkah dia pada aku? Siapakah perempuan yang layak untuk dia cintai jika aku hanya layak untuk dimarahi? Jika benar aku ini isterinya, memang beginikah selayaknya yang harus aku terima?
Bila suamiku terlalu asyik memaki hamun, aku sangat kecewa & makan hati. Sehingga satu tahap, ayat “MENYESAL” sudah sebati dengan hatiku sehingga kini. Keadaan ini memaksa aku untuk selalu mengimbau kembali memori suka-duka ketika aku masih ‘single’ (sambil menitiskan airmata). Perbezaan yang aku lalui membuatkan aku sangat menderita.
Seteruk-teruk aku ditimpa masalah, aku masih ada ibu untuk aku terus tujui. Sejahat-jahat manusia yang aku jumpa, aku masih ada ‘buddies’ (perempuan sahaja ye, laki aku tak minat nak lebih-lebih) untuk kami keluar buat aktiviti santai. Sepenat-penat fizikal & mental, aku masih boleh travel & jalan-jalan dengan family aku bila ada kelapangan.
Semuanya aku lalui dengan keadaan yang sangat ceria disamping ahli keluarga yang aku cintai. Sebelum berkahwin, aku memang seorang yang ‘family woman’ kerana semua ahli keluargaku memang aku ambil berat. Namun, semuanya seperti mimpi ngeri bila kehidupan aku berubah 360′ selepas berkahwin. Sebenarnya, banyak lagi isu lain yang aku hadapi dengan suamiku, namun cukuplah aku luahkan mengenai amarahnya sahaja.
Aku suka menangis dalam diam sebab aku tak tahu dengan cara apa lagi harus aku bersuara untuk suamiku faham akan diriku ini. Paling ketara, aku menangis kerana dalam diam-diam aku selalu bersuara (mungkin ini juga 1 doa) bahawa aku tidak sanggup punyai anak dengan dirinya (tlg jangan marah atau sindir aku kerana berkata begitu). Biarlah aku sahaja yang menderita, jangan ditambah penderitaan kepada zuriatku kelak.
Sehingga kini, suamiku seolah-olah pelik & kononnya agak curiga kenapa kami masih belum dikurniakan rezeki anak. Ada waktunya, aku melihat reaksi sedihnya tatkala melihat pasangan lain sudah ada yang bunting pelamin la, dah ada anak seorang la, dah bertambah anak la tapi kami masih belum ada peluang lagi. Apatah lagi kami memang tidak pernah mengamalkan sebarang perancang keluarga seawal perkahwinan kami ini.
Namun, suamiku lupa bahawa kuasa Allah SWT untuk memberi rezeki anak ini perlu selari dengan keadaan hambaNya. Hampir setiap kali apabila suamiku naik angin, pasti hati aku akan tersentuh & mula la berkata-kata tentang pelbagai perkara.
Kesedihan yang aku alami ni, hanya tuhan yang tahu kerana jauh di sudut hatiku ini, aku memang teringin sangat-sangat menimang anakku sendiri. Bohonglah andai seorang wanita normal yang tidak ingin mempunyai zuriatnya sendiri. Aku teringin sangat-sangat untuk mendengar suara anakku sendiri bergelak ketawa, menangis, memanggil namaku, memeluk diriku, mendukung, mengusap airmataku, berjalan berpegangan tangan di mana-mana. Manisnya jika saat itu hadir kelak.
Tetapi aku tetap takut kerana masih memiliki suami sepertinya. Aku terlalu ‘overthinking’ sehinggakan tidak sanggup jika anak-anakku mengalami nasib yang sama dengan diriku, sakit & kecewa kerana perbuatan ayah mereka. Aku sedih jika anak-anakku hidup menderita di atas perlakuan suamiku. Tak mustahil jika suamiku akan cepat naik angin terhadap anak-anak kami nanti.
Maafkan aku wahai suamiku kerana jadi begini. Aku fikir kerana aku melihat, sehingga kini kamu tiada perubahan untuk menjadi seorang yang penyabar apatah lagi untuk mengurangkan sifat baranmu itu.
Kerana baranmu itulah, aku banyak kali ditimpa kecelakaan.
Kerana baranmu itulah, aku diletakkan dalam keadaan & suasana orang keliling membenciku.
Kerana baranmu itulah, aku telah hilang keyakinan & kewarasan otak untuk berfikir.
Kerana baranmu itulah, pudar terus rasa kasih sayangku ini untukmu.
Semoga kalian diluar sana yang menghadapi masalah baran atau ‘hot temper’, cubalah belajar untuk berubah demi kebaikan bersama. Percayalah, hidup kita ni tak pernah gembira jika disulami dengan aura negatif seperti baran ni.
– Puteri Lilin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit