“Marilah bergembira,
Bersama menikmati hari raya,
Mintak mak kuih sepotong,
Saya mahu makan kerna perut kosong,
Selamat Aidil fitri,
Kepada saudara serta saudari,
Setahun hanya sekali,
Merayakan hari yang mulia ini”
Riang gembira Makcik Lela menyanyi di dalam sebuah wad di sebuah hospital kerajaan. Jururawat dan doktor yang lalu-lalang di sebelah katilnya tersengih-sengih melihat gelagatnya.
Perempuan berusia 72 tahun itu dimasukkan ke wad semalam melalui wad kecemasan. Tertulis di failnya, “Acute on chronic renal failure secondary to poor oral intake”, maksudnya fungsi buah pinggangnya rosak disebabkan dehidrasi dan kurang makan sebagai diagnosis yang diberikan oleh doktor yang merawatnya.
Aku merupakan pegawai perubatan yang menjaganya pada hari itu. Masih segar di ingatanku, dia dimasukkan 2 hari sebelum menjelang hari raya Aidilfitri. Aku tidak mahu berfikiran negatif pada awalnya kerana mungkin dia memang betul-betul sakit yang memerlukan rawatan kecemasan.
Aku membuka komputer, menaip username dan password aku. Aku semak sejarah penyakitnya. Terkedu juga aku lihat. Dalam masa 3 bulan, sudah 5 kali dia dimasukkan ke wad ini dan diagnosis yang dibuat hampir sama sahaja.
Acute on chronic renal failure secondary to poor oral intake, dehydration, community acquired pneumonia, urinary tract infection dan lain-lain. Mengeluh juga aku lihat diagnosis seperti itu, mana taknya, sebab-sebab buah pinggangnya tak elok adalah kebanyakkannya ibarat kesan daripada terabai (poor oral intake) dan tak terjaga kebersihan seperti jangkitan kuman di salur kencing dan paru-paru.
Untuk pengetahuan anda, sekiranya seseorang itu sudah berumur, dan apabila penjagaannya tidak dilaksanakan sebaiknya, terdapat beberapa penyakit yang mulai menyerang disebabkan pergerakkannya yang ibarat dibataskan di atas katil sahaja. Penyakit seperti jangitan saluran kencing, dan jangkitan kuman di paru-paru mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk menyerang para pesakit yang duduk di atas katil sahaja sepanjang hari.
Sudah tentu sekiranya waris pesakit menjaga mereka dengan baik, seperti menyorong kerusi roda untuk mengambil udara segar setiap hari, di samping menyuap makanan dan air minuman kepada pesakit, kecenderungan mereka untuk dijangkiti penyakit ini amat rendah.
Namun, aku tidak boleh judge. Aku bukan hakim, bukan juri. Aku tak layak menghukum seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu. Aku fikir, lebih baik aku mendapatkan maklumat daripada pesakit sendiri memandangkan diagnosis yang ditulis adalah daripada doktor di kecemasan.
Sebagai seorang perawat yang bertanggungjawab, aku perlu memeriksa pesakit terlebih dahulu, bukan sekadar menyalin semula apa yang ditulis oleh doktor lain sewenang-wenangnya.
Bak kata pensyarah aku semasa aku belajar di USM dahulu, Patient is your textbook. Pesakit jualah tempat mendapatkan maklumat, informasi dan perkara baru yang boleh dipelajari dengan pertanyaan demi pertanyaan sebagai salah satu bahagian untuk membuat diagnosis dipanggil yang dipanggil history taking.
Aku lihat terlebih dahulu Makcik Lela. Cengkung, kurus kering. Rambutnya pula beruban, dan kusut masai. Dia berteleku di atas katil ibarat orang kalah judi. Aku mula menghampirinya.
Aku mula bertanya Makcik Lela untuk mendapatkan sebab dan menceritakan kepadaku apa yang berlaku sehingga dia dimasukkan ke wad. Segala persoalan aku dijawab dengan jawapan yang tiada kaitan langsung.
“Makcik, dah berapa lama jadi nak pitam-pitam ni? Dah lama ke?”, aku bertanya
“Along anak aku tu, suka betul dia makan pasembor. Nanti balik rumah aku nak buatkan dia, kau nak sekali ke doktor?” jawabnya dengan loghat utara yang tidak masuk akal langsung.
“Makcik, makcik datang seorang sahaja ke kali ini?”, aku bertanya lagi, tak mahu mengalah dan mencuba sedaya-upaya untuk melaksanakan tugasku.
“Laki aku, Wak Seman dah lama matilah doktor eih”, jawabnya pula.
Aku rasa, dia sedikit “demented’. Dementia adalah salah satu jenis penyakit di mana penyakit ini boleh membawa penurunan fungsi otak dan kebolehan seseorang untuk memahami serta mengingati sesuatu perkara. Kondisi ini kadangkala merupakan tanda awal untuk pesakit mendapat penyakit Alzheimer, iaitu nyanyuk.
Aku lihat, memang Makcik Lela tidak oriented juga. Dia tidak mengetahui di mana dia berada, menjawab yang bukan-bukan. Dia tidak mengetahui waktu sekarang serta tidak kenal akan siapa di hadapannya itu. Nak tanya soalan memang agak susah.
Aku lihat, tiada waris Makcik Lela berdekatan. Aku perlukan mereka untuk bertanya soalan mengenai Makcik Lela di rumah. Dalam hatiku, mungkin mereka turun ke kafe, atau sedang menunaikan solat di surau. Aku cuba berfikiran positif.
“Oit Kak Yana, mana PAP patient katil 8 tu?”, tanya aku kepada salah seorang jururawat di situ. Staff nurse (SN) Yana merupakan jururawat yang menjaga kubikel yang sama dengan aku. Memang semua jururawat aku panggil kak, tak kira umurnya berapa.
“PAP dia tak mari pun daripada tadi, memang tak pernah nampak lagi setakat ni… yang hantar ke atas ni tadi staff nurse daripada wad kecemasan doktor. Tiada peneman pun”, kata Yana dengan loghat Kelantannya.
PAP merupakan singkatan bagi people accompanying the patient, atau bahasa mudahnya, waris pesakit yang menemani pesakit atau saudara-mara terdekat yang mengiringi pesakit ke hospital. Tidak kira suami, anak-anak, saudara mara terdekat dan lain-lain. Asalkan ada pertalian dengan pesakit, merekalah PAP.
Aku memerlukan mereka untuk bertanya keadaan Makcik Lela di rumah. Bagaimana keadaannya, ada batuk-batuk, demam atau ada pernah terjatuh. Pelbagai soalan bermain difikiranku. Pesakit pula tidak mampu memberi maklumat.
Aku menyelak fail pesakit. Ternampak nombor pesakit di situ. Rozita namanya. Aku terus menghubungi operator melalui line telefon hospital, dan menyambungkan ke nombor tersebut.
3 kali aku cuba membuat panggilan. Tidak berjawab. Menyumpah seranah juga dalam hatiku, masakan tidak, nak menghubungi operator pun mengambil masa yang lama, dan dah lama-lama aku tunggu, tidak berjawab. Jelas kejadian seperti itu membuang masa aku. Banyak pesakit lain aku perlu periksa, banyak kerja lain aku perlu selesaikan, tapi masa aku terbuang di situ begitu sahaja.
Mahu tak mahu, aku lihat sahaja keputusan darah pesakit itu. Kedua-dua urea dan creatinine, iaitu bahan kumuhnya tinggi. Peningkatan ini selari dengan diagnosis kegagalan buah pinggang, tetapi tidak teruk sehingga memerlukan pesakit di dialisis.
Aku round petang itu bersama medical officer aku, Dr Faizal. Dia juga bertanya, di mana PAP pesakit? Masih belum tiba, dan masih gagal dihubungi. Dr Faiz meletakkan plan untuk menyambung sahaja kemasukkan air ke dalam tubuh makcik Lela melalui jarum di tangan kanannya.
Mengikut sejarah penyakit Makcik Lela, dia juga mempunyai masalah kolesterol yang tinggi, serta tekanan darah tinggi. Ubat-ubatan lamanya dimulakan semula. Ubat yang sama, berdasarkan rekod yang boleh aku dapati melalui sistem data maklumat pesakit.
Aku menghabiskan kerja-kerja menguruskan pesakit lain. Aku nak balik setelah jam menunjukkan pukul 6.45 petang, tiba-tiba sahaja SN Yana menghampiri aku.
“Doktor, susahlah makcik tu, tak mau makan ubat dia”, kata SN Yana.
“Oh, ya ke, mungkin saya boleh pujukkan dia kot”, kataku, amat yakin.
Aku menghampiri pesakit. Setelah ku pujuk-pujuk, ku layankan lagu hari raya dia, dia memasukkan ubat ke dalam mulutnya. Aku lega dan sedikit bangga apabila strategi aku berjaya untuk menyuruh pesakit makan ubat. Dia memasukkan sahaja beberapa butir ubat sekaligus di dalam mulutnya.
Kebanggaan aku terhenti apabila Makcik Lela meludahkan ubat ke kot putih aku. Aduhai. Nasiblah itu kot putih hospital. Bercampur pula ubat tersebut dengan air kopi yang disulam setelah dia menelan ubat tu.
Memang aku tak marah, tetapi macamana pula ni. Aku segera menghubungi doktor Faiz, mencadangkan mungkin untuk beberapa hari ni, Makcik Lela tidak memerlukan ubat darah tingginya.
Ini kerana bacaan tekanan darahnya sedikit rendah. Tambahan pula dia sedang dehidrasi. Kalau beri lagi ubat darah tinggi, takut-takut makin rendah lagi pula tekanan darahnya. Justifikasi aku itu diterima oleh Dr Faiz. Maklumlah, pesakit ramai, jururawat harus memberikan ubat-ubatan kepada mereka semua.
Susah dan amat membuang masa apabila berlakunya sekatan-sekatan sebegitu rupa. Memang kebiasaanya tugas PAP untuk memujuk pesakit untuk makan ubat. Namun seorang PAP pun tiada di situ. Aku mencatat perbualan aku dengan Dr Faiz di dalam fail pesakit. Kemudian aku pulang ke rumah, memberitahu rakanku, Dr Hana yang harus kekal di wad kerana syifnya sehingga malam.
Malam berganti siang. Aku tiba dan memeriksa Makcik Lela. SN Yati menjaga kubikel yang sama denganku. Nampak-nampak sahaja mukaku menerjah wad, terus dia berkata
“Doktor, makcik Lela tu asyik cabut jarum ditangannya. Sepanjang malam tadi dah 3 kali Dr Hana tukar. Ni tercabut lagi. Dia rentap”
“Alamak”, getus hatiku.
Aku terus ke katilnya membawa jarum beserta plaster yang baru. Bagus juga, kerana aku perlu mengambil darah pesakit. Jadi alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku nak masukkan branula, boleh aku ambil darahnya sekali.
Aku lihat tangannya yang kurus-kering itu bengkak-bengkak kesan cucukan jarum dan rentapan dia. Dr Hana menghampiri aku daripada belakang.
“Weh, ang tau tak, letih weh makcik ni daripada malam tadi. 3 kali aku insert, ni cabut lagi. Dahla PAP dia tak muncul-muncul lagi”, kata Dr Hana seraya mengeluh panjang.
Aku senyum sahaja, tak mahu menambah apa-apa. Terutama di hadapan pesakit. Aku tak berapa gemar merungut-rungut atau mengadu domba mengenai pesakit di hadapan pesakit walaupun pesakit itu barangkali tidak memahami apa yang berlaku pun. Aku masukkan jarum bewarna merah jambu itu.
Alhamdulillah, sekali cucuk sahaja. Terus aku ambil darahnya sekali, dan menyambungkan normal saline yang tergantung di tiang drip. Jarumnya pula, bukan sekadar plaster sahaja, malahan aku balut lagi dengan kain pembalut, bagi menguatkan lagi kedudukan jarum di tangan pesakit.
Tengahari itu, aku semak keputusan darah Makcik Lela, ternyata dah bertambah baik. Sewaktu round bersama Dr Faiz, dia meletakkan pelan untuk membenarkan pesakit balik hari ini.
Cepat-cepat aku siapkan discaj pesakit. Dr Faiz kalau boleh, dia ingin semua pesakit balik, maklumlah esok hari raya Aidilfitri. Aku menyelesaikan semua dokumen berkaitan makcik Lela. Malam ni aku oncall, esok aku boleh balik beraya.
“Makcik, dah boleh balik dah, makcik dah sihat, yeaaay!”, kataku kepada makcik Lela yang termenung memandang keluar tingkap dengan nada gurauan.
“Anak aku Rozita tu tak guna. Langsung tak menghargai aku. Aku benci dia”, kata Makcik Lela. Aku diam sahaja. Tidak mengerti, dan pada aku, dia hanya merepek. Maklumlah memang daripada semalam dia merepek.
Aku memberitahu SN Yati tentang pelan Dr Faiz. Dia mengangguk sahaja kerana saat itu, dia sedang pass report kepada SN Yana pula, yang sekali lagi menjaga kubikel itu pada hari tersebut. Mereka bertukar syif jam 2.00 petang nanti.
Aku selesaikan kerja, kemudiannya Dr Faiz mengajak aku turun, dan meneruskan urusan pekerjaan di klinik pula. Sampai di klinik, memang aku terkejut, ramainya pesakit, Masha Allah. Esok kan raya dalam hatiku, hadap sahajalah tanpa banyak bunyi.
Aku naik ke wad semula jam 5.30 petang setelah selesai menunaikan solat Asar. Sampai di wad, aku hairan, mengapa Makcik Lela masih berada di sini. Segera aku panggil SN Yana.
Dia memberitahu aku, dia membuat panggilan berkali-kali. Sampai kali kelima, anaknya Rozita mengangkat. Tanpa sempat dia beritahu apa-apa, terus dia dimarahi Rozita. Patutlah aku lihat muka SN Yana begitu sahaja daripada tadi. Merah padam mukanya menahan kesedihan dan mungkin sedikit kemarahan apabila diperlakukan sedemikian biarpun menerusi panggilan telefon.
“Tak mengapa, biar saya call pula”, kataku cuba mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini.
Nasib yang sama seperti semalam, aku gagal. Memang tidak berjawab. Voice mailbox sahaja. Aku berang juga, apa ni. Ni ibu mereka. Dah kenapa tak mahu jawab telefon. Saat kegagalan aku kali kelima membuat panggilan, aku terus mengeluarkan telefon aku sendiri untuk mendail.
Bukan masalah aku kedekut bil telefon atau kredit, tetapi aku kalau boleh tidak mahu menggunakan nombor peribadi untuk urusan pesakit. Taku-takut nanti disalahgunakan pula. Nombor Rozita segera aku dail.
Terus berjawab pula.
“Hello, saya Azli daripada wad 5 ni, mak puan dah boleh balik sejak tengahari tadi, dah tau kan?”, kataku memulakan perbualan.
“Ya, boleh tak bagi dia duduk situ dalam dua tiga hari lagi?”, jawabnya dengan selamba.
Tiada sedikit pun rasa kesal dan ingin memohon maaf tak menjawab panggilan bertali arus daripada semalam lagi, sebaliknya nak dilanjutkan pula hari Makcik Lela duduk di dalam wad itu. Apa dia ingat hospital ini hotel?
Di latar belakangnya, terdengar bunyi bising ibarat di supermarket, ataupun mall. Kuat dan rancak bunyi muzik di belakang. Aku mula hairan dan sedikit geram
“Mana boleh macam tu puan, kita dah discharge dia, lagi lama dia tinggal di dalam wad, lagi tinggi risiko dia untuk mendapat penyakit berjangkit daripada…”, tak habis aku cakap, dia memotong.
“Ya, encik Azli, saya tahu, Risiko itu ini. Tapi saya sibuk, esok raya, memang tak sempat nak bawa dia pulang”, kata Rozita, cuba berdalih.
“Err, puan, saya bercakap mengenai ibu puan ni. Bukan ibu orang lain. Bukan makcik puan. Ibu puan, yang mengandungkan puan, yang membesarkan puan daripada kecil lagi”, saat aku berkata begitu, dia naik angin.
“Wei Encik Azli!, ang ni bodoh ke!?, tak faham ke bila aku kata aku sibuk. Biarlah dia tinggal di wad tu. Kat rumah takde orang jaga, faham tak? Apa masalah kau ni sebenarnya?”, kata Rozita. Berdesing telinga aku mendengarnya.
Saat itu, aku rasa darah menyirap naik ke kepala aku. Menggelegak. Aku mula hilang sabar. Memang aku hilang sabar. Nafsu amarah memenuhi diriku.
“Puan, pertama sekali jangan panggil saya encik, saya doktor. Puan jangan kurang ajar dengan saya. Kalau puan nak cakap saya bodoh, saya rasakan puan sepuluh kali lagi bodoh daripada saya. Sudahlah bodoh, derhaka pula, macam anak sial puan tahu”, dia terdiam. Ibarat terkedu apabila tidak menyangka aku memakinya semula.
Mungkin dia tidak pernah dimaki sebelum ini. Mungkin dia menyangka staf hospital semua lembut hati, tak boleh berkasar. Takut-takut diadu pula. Aku peduli apa. Aku tak kira aduan ke, tindakan tatatertib ke, yang penting dalam keadaan seperti ini, aku buat segalanya atas kebaikan pesakit. Bukannya pesakit boleh tinggal lama di wad akibat risiko-risiko yang adakalanya menjadi sebab mengapa pesakit mati akibat dijangkiti kuman di hospital pula.
“So, saya tak kira, sekarang, jemput dan bawa pulang dia sekarang! Apa puan ingat saya bodoh, sibuk konon. Sibuk kepala otak puan. Ni sibuk berbelanja raya, mak puan terkontang kanting seorang diri dalam wad ni. Misi mandikan, basuh berak dia semua. Adakah puan ni betul-betul bebal? Last saya nak cakap, kalau sehingga pukul 7.00 malam makcik Lela ada di sini, saya lapor polis. Baru semua orang tahu betapa sampahnya anak-anak seperti puan ni”
Terus aku letakkan sahaja telefon. SN Yana yang duduk disebelahku ternganga. Mukanya yang tadi merah padam menjadi pucat pula, ketakutan kerana melihat aku dah hilang pertimbangan. Nasib baik kekerasan aku cuma di suara sahaja.
SN Yana yang tadi pucat ketakutan jadi tergelak saat mendengar aku bercakap dengan diri sendiri, “Bulan puasa Azli, bulan puasa, sabar…sabar”, sambil mengurut dadaku sendiri.
Jam 6.50 petang, 10 minit sebelum deadline yang aku tetapkan, aku lihat ada seorang perempuan bersama seorang lelaki masuk di wad.
“Nak ambik makcik Lela”, katanya kepada SN Yana.
Sepanjang dia di situ, langsung mereka tak memandang aku. SN Yana pun diperlakukan sedemikian. Muka mereka masam mencuka, menolak kerusi roda makcik Lela dengan begitu terpaksa sekali. Terima kasih pun tidak. Kurang ajar.
Aku memandang keluar tingkap. Teringat ibuku dirumah. Harapan aku dia sihat dan gembira sahaja di selatan, taktala anaknya ini bekerja di utara. Aku terfikir, pesakit seperti ini tidak akan bertahan lama. Di bawa pulang, diabaikan, kemudian masuk kembali ke wad. Dan cycle yang sama berulang, berulang dan berulang.
Di luar, takbir raya mula bergema. Sayup-sayup sahaja kedengaran. Dalam hatiku menyanyi,
Maafkanlah jika ada terlanjur perkataan,
Diharap supaya jangan disimpan,
Kuberdoa selamat panjang umur murah rezeki,
Semoga Tuhan akan memberkati,
Selamat hari raya,
Hari untuk kita bersuka ria,
Selamat kami ucapkan,
Untuk kita hingga sampai tahun depan,
Selamat hari raya.
TAMAT…
– Ilzanno Sharky
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit