Assalamualaikum dan Salam Ramadhan. Aku terbaca confession Tiada Hati, (https://iiumc.com/mungkin-sudah-tiada-hati/), tadi dan masa baca confession tu aku menangis. Kisah kami lebih kurang sama. Sesuai dengan tajuk ini, kasih sayang yang aku dambakan. Aku merindui mak aku sendiri. Bukan niat aku buka aib mak aku cuma aku dah tak mampu simpan sendiri, aku perlukan semangat dari orang lain.
Aku ada 4 orang adik beradik dan aku anak perempuan terakhir dalam keluarga. Keluarga aku datang dari golongan sederhana tapi Alhamdulillah cukuplah segalanya. Umur aku di awal 30-an dan aku masih bujang. Sebelum ni aku bekerja dan kemudiannya, aku berhenti kerja kerana tempat kerja aku ada masalah kewangan. Sekarang , aku hanya menjadi tutor tuisyen dan sedang sambung belajar dalam peringkat Master.
Sejak kecil, aku memang tak rapat dengan mak aku sebab umur aku dengan adik-adik aku rapat. Lagiupun, mak aku struggle membesarkan kitaorang dan dia bekerja. Masa remaja aku banyak dihabiskan di hostel sebab aku bersekolah di SBP. Bila masuk universiti, aku bertambah jarang balik kampung sebab tugasan belajar dan aku aktif berpersatuan. Bila masuk alam pekerjaan, rezeki aku dapat tawaran kerja jauh di selatan tanah air dan aku bertukar kerja sebanyak 2 kali. Kali terakhir aku bekerja di negeri adat perpatih.
Dalam adik-beradik aku, hanya kakak dan adik bawah aku yang dah berkahwin. Aku dan adik aku yang bongsu masih bujang. Sejak aku masuk usia 26 thun, banyak lelaki yang cuba dekati aku tapi end up hubungan tu tak kemana. Mak aku mula risaukan jodoh aku. Dia seboleh mungkin nak aku berkahwin dan pelbagai cara dia cuba, rawatan perubatan islam sampailah dia suruh aku join portal online cari jadoh. Memang aku ada gangguan sihir melibatkan jodoh dan Alhamdulillah aku dah berubat. Kesihatan aku pun dah makin sembuh.
Ada beberapa episod berkaitan jodoh ni gak,kalau aku cerita memang tak cukup 1 confession ni. Cuma boleh, aku katakan..sejak aku di zaman universiti mak aku melarang aku untuk kenal rapat mana-mana lelaki. Mak aku jenis strict dan dia nak anak dia semuanya berjaya dalam pelajaran. Bab pelajaran dan hubungan berlainan jantina ni, dia tak ada kompromi. Kalau dia kata A, A lah kau kena buat. Jangan berani kau buat B kalau kau tak nak dia halau keluar dari rumah.
Pernah kakak aku buat kesilapan sedikit, mak aku menyinga dan halau sambil humban kain baju kakak aku keluar rumah. Kakak aku merajuk sampai lari duduk kampung dengan nenek aku. Hubungan diorang pulih bila nenek aku slow talk dengan mak aku.
So, disebabkan mak aku yang garang macam singa..aku tak pernah ada kawan lelaki kecuali dalam kelas untuk tugasan kuliah. Bila aku habis belajar dia sibuk tanya, aku tak ada ke kawan istimewa? aku hanya jawab tiada. Macam mana aku nak bersosial kawan dengan lelaki kalau mak aku macam tentera. Apa aku buat, mana aku pergi dan segala mesej dalam HP aku dia akan siasat.
Tapi, adik dan kakak aku berjaya lunturkan sedikit sifat garang dia. Diorang berjaya bawa pasangan diorang dan yakinkan mak aku untuk berkahwin. Itu pun ada la juga episod mak aku naik hantu dan akhirnya dia terpaksa akur bila nenek dan bapak aku campur tangan. Oh ya, bapak aku jenis yang vice versa dari mak aku. Dia seorang yang pendiam, lemah lembut dengan anak-anak.
Aku membesar menjadi seorang yang berjaya dalam pelajaran tapi penakut dan tiada keyakinan. Bila aku terbuat salah sedikit dalam kerja atau pada kawan-kawan aku, aku jadi takut. Takut kehilangan kawan-kawan dan aku selalu tak yakin dengan apa yang aku buat. Aku tak berani nak buat keputusan dan aku selalu jadi mangsa buli rakan sekerja sampailah aku hadapi depresi. Depresi kerana aku merasakan aku gagal, hodoh dan tak ada sapa nak berkawan dengan aku.
Aku ke psikiatri secara senyap-senyap dan merawat depresi aku tanpa pengetahuan keluarga. Akhirnya, aku berjaya atasi depresi dengan bantuan doktor dan kakitangan perubatan yang merawat aku. Aku ambil keputusan untuk sambung belajar dan buktikan yang aku mampu berjaya.
Tapi selepas setahun aku sambung master, tempat kerja aku alami masalah kewangan. Aku hanya mampu bertahan 3 bulan dan akhirnya aku hantar surat berhenti.Aku pulang ke kampung setelah 5 tahun merantau bekerja di negeri orang.
Bermula la episod duka dalam diri aku. Aku yang dah tak ada kerja, hanya ada sebuah kereta yang masih ada bayaran ansuran kereta, hutang ptptn dan tengah sambung belajar. Aku fikir, mungkin ini hikmah aku dapat berbakti pada mak ayah aku. Tapi sebaliknya berlaku. Aku dianggap serupa orang gaji dalam rumah sendiri. Aku tak kisah bab urusan rumah dan bantu untuk siapkan urusan harian di rumah. Cuma, hati aku seringkali terguris. Mak anggap aku ni sama macam orang gaji.
Kadang- bila adik aku di KL balik.. Mak aku tatang dia macam minyak. Dia di sambut mesra siap disediakan makanan kegemaran dia dan pasangan dia. Mak aku marah aku depan adik aku dan mengarahkan aku untuk kemas bilik adik aku sehabis cantik. Jangan benarkan adik dan pasangannya buat kerja rumah.
Pernah disebabkan aku terlampau penat dengan urusan harian dirumah, mak aku maki aku bila aku lambat sediakan pinggan di meja makan. Hati aku sangat terasa dengan layanan dia. Namun, aku diamkan saja dan tak pernah aku membalas segala kata makian atau negatif dari dia. Aku sedar diri aku yang tak punya apa-apa berbanding adik aku yang ada kerja hebat, kereta besar, pendapatan tinggi dan pasangan yang tak kurang hebat dari segi kerja dan rupa paras.
Setiap minggu, aku akan ke universiti untuk kuliah dan pernah mak aku macam merungut sebab perlu keluarkan belanja untuk aku ke kuliah. Sungguh, waktu ini aku rasa aku umpama beban pada diorang dan aku nekad nak berhenti belajar. Tapi, kakak aku tak benarkan. Dia suruh aku teruskan belajar dan dia tahu satu hari nanti, aku akan dapat kerja yang lebih baik.
Memang pernah mak aku membentak-bentak dan membebel kerana aku tak bekerja. Bukan aku tak mencari kerja, puas aku hantar resume tapi semua tolak bila tahu aku tengah sambung master. Aku terpaksa memilih jadi home tutor dengan gaji yang hanya cukuplah lepas duit tol dan minyak untuk aku gi kuliah setiap minggu.
Baru-baru ini, ada seseorang lelaki ingin berkawan dengan aku. Kami diperkenalkan oleh orang tengah yang merupakan guru kuliah agama yang aku selalu ikuti di masjid. Aku menyambut baik perkenalan itu dan aku senang dengan perhubungan kami. Lelaki tersebut seorang lelaki yang baik dan menepati ciri-ciri yang aku inginkan. Aku takut nak beritahu pada mak aku tentang hubungan kami.
Jadinya, aku minta lelaki tu berterus-terang pada mak aku selepas 3 bulan kami berkawan. Mak aku terkejut bila lelaki ni call dia dan dia izinkan kami berkawan. Cuma, yang buat aku terkilan mak aku tak menyukai lelaki tersebut bila dia tahu lelaki itu kerja biasa-biasa dan hanya berkelulusan spm.Mak aku seboleh mungkin tak benarkan aku terlalu rapat dengan lelaki tersebut dan dia berulang kali menyatakan yang dia rasa itu bukan jodoh yang terbaik untuk aku.
Aku hanya diamkan saja dan aku tak endahkan. Aku dah lakukan istikharah dan aku pernah uji kesabaran lelaki ini dengan sikap aku yang menjengkelkan tapi lelaki ni berjaya lalui ujian itu. Semakin hari, aku nampak keserasian antara kami. Aku menerima dia seadanya dan bagi aku, apalah sangat dengan kelulusan dia berbanding dengan dia yang menjaga akhlak dan ada kualiti agama dalam diri. Malah, aku sendiri rasa malu pada dia yang amanah dan rajin bekerja.
Bagi dia, Allah yang beri rezeki dan dia perlu usaha bekerja sehabis baik walaupun kadang-kadang kesihatan dia teruji. Kehadiran dia dalam hidup aku umpama sinar baru untuk aku. Aku yang pernah depresi, tak yakin diri dan selalu pesimis dengan masa depan aku akhirnya sedikit demi sedikit berubah.
Aku mampu untuk rasa positif, tersenyum bahagia walaupun aku tak ada kerja tetap dan aku jadi lebih sabar dengan mak yang selalu tengking aku, maki aku. Dia banyak nasihatkan untuk bersabar dan hormat pada mak aku walaupun layanan mak aku pada aku teruk sekalipun berbanding adik-beradik aku yang lain.
2 hari lepas, mak aku hantar whats up pada aku. Dia minta aku putuskan hubungan dengan lelaki ni. Dia tak setuju aku berkawan dengan lelaki ini dan dia tak nak aku beri harapan pada lelaki ini. Lelaki ini diuji dengan masalah kesihatan dan kini dirawat di wad. Mak akujuga tak izinkan aku melawat dia sebagai kawan dan mak aku larang aku untuk ambil tahu pasal lelaki ini lagi. Aku berasa amat kecewa dan terkilan dengan sikap mak aku yang judge lelaki tersebut tanpa mengenali lebih mendalam tentang dia.
Pernah, lelaki ini menghantar mesej untuk bertanya khabar pada mak aku namun mak aku hanya bluetick saja dan adakala dia delete tanpa membaca mesej lelaki tersebut. Lelaki ini sendiri pernah menyatakan yang dia tahu mak aku tak suka dia kawan dengan aku dan dia rela undur diri. Tapi, aku seboleh mungkin yakinkan dia..mak aku hanya penat dan mak aku sibuk sedikit dengan urusan keluarga sebab tu mak aku hanya blue tick mesej dia.
Wahai emak, tiada sekelumit rasa sayangkah dihati mu pada anak perempuan mu ini? Sejak dari Ann duduk tinggal dengan mak dan ayah, hanya kata negatif yang Ann dengar dari mulut emak. Apa yang Ann lakukan semuanya salah di mata emak. Dari kecil, apa yang mak nak Ann buat, Ann laksankan walaupun Ann terpaksa korbankan cita-cita Ann. Mak, Ann teringin berkongsi cerita dan kadang-kadang Ann teringat nak mak pujuk Ann bila Ann kecewa. Tapi, itu semua hanya mimpi. Tak pernah sekali dalam hidup Ann, mak datang pujuk dan berikan kata semangat positif pada Ann.
Mak, Ann dah berjaya dapatkan degree dan buat mak ayah bangga. Kini, Ann sambung belajar sebab mak yang suruh Ann walaupun Ann rasa cukuplah Ann dah berjaya dapat pointer yang cemerlang dalam degree. Tapi, Ann berusaha capai yang terbaik dalam master Ann. Ann dapatkan 4.00 pada semester 1 walaupun masa tu Ann diuji dengan masalah kesihatan sampai Ann warded di hospital.
Demi mak, Ann sanggup. Tapi mak… izinkanlah Ann bahagia. Izinkan Ann rasa positif, ceria dan bahagia dengan jalan hidup Ann. Cukuplah semuanya mak tentukan dari tempat belajar, kos pengajian dan kerja untuk Ann. Izinkanlah Ann pilih pasangan hidup Ann sendiri. Ann ingin bahagia sama macam kawan-kawan Ann.
Ann kini di usia awal 30-an mak. Sampai bila Ann perlu ikut semua kemahuan mak? Kawan-kawan Ann ramai dah beranak-pinak. Setiap kali mereka tanya, Ann hanya mampu senyum tapi dalam hati Ann menangis mak. Ann tak boleh buat pilihan sendiri untuk pasangan Ann. Selagi tak menepati ciri yang mak nak, lelaki yang sama educated dengan Ann, kerja yang hebat dan ada aset selagi tu mak tak izinkan Ann berkahwin.
Mak, andai suatu hari nanti Ann ditakdirkan dapat kerja yang sangat jauh dari keluarga, Ann harap mak izinkan Ann pergi. Ann harap mak akan sedar yang Ann mampu juga berjaya macam adik-beradik yang lain cuma Ann tak diberi peluang. Mak, Ann sayang mak. Ann dambakan kasih sayang mak dan layanan yang sama rata untuk Ann dan adik-beradik yang lain.
Cukuplah mak maki, herdik dan jadikan Ann macam orang gaji di rumah sendiri. Ann minta maaf salah silap Ann pada mak. Ann bukanlah anak kebanggaan mak. Ann tak ada apa-apa. Harta pun tiada untuk diberi pada mak. Ann doakan mak sentiasa sihat, mak panjang umur supaya mak dapat lihat anak-anak kak Ilya (cucu-cucu mak) membesar.
Mak, moga suatu hari nanti Ann dapat rasai kasih sayang mak dan Ann dapat rasai peluk cium dari mak pada Ann. Ampunkan dosa Ann pada mak sepanjang Ann hidup ini. Ann doa keluarga kita bahagia sentiasa. Terima kasih mak, dari Ann anak yang merindui kasih sayang emak.
Dari,
– Ann, anak yang terluka hatinya dan merindui emak.
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit